Sunday, March 28, 2010

Leteran Malam Untuk Perkasa

Perkasa mengusulkan supaya PAS dan Umno berbincang untuk menjaga kepentingan Melayu.

Maksudnya, bagi Perkasa selama negara ini diperintah Umno (BN), Melayu tidak terbela. Umno memerlukan PAS bersamanya, barulah Melayu terbela mengikut perlembagaan.

Sekali pandang cadangan ini macam bagus. Tapi kalau pandang kali kedua, cadangan ini nampak kurang cerdik. Pencadangnya tidak berminda strategik, minda 70 an.

Bagaimana nak bela Melayu? Dengan cium keris atau dengan jadi MP bebas?

Melayu boleh terbela bukan dengan bekerjasama dengan Umno tetapi dengan menumbangkan Umno. Kalau mahu Melayu terbela, PAS tidak perlu berbincang dengan Umno tetapi dengan memperkukuhkan Pakatan Rakat.

Apa yang Umno ada untuk membela Melayu? Umno nak bela Melayu dengan cium keris, beli kapal selam tak boleh selam atau terbang dengan jet tanpa enjin? Dengan gaya hidup penjajah, dengan gelumangan rasuah atau dengan politik ‘boleh apa sahaja’?

Melayu terbela dengan keadilan, kebertanggungjawaban dan ketelusan. Meletak harapan kepada Najib dengan Rosmah untuk membela Melayu sama seperti meletak harapan kepada memerang untuk mengawal kolam ikan keli.

Orang Melayu ada al-Quran, tetapi itu diketepikan. Selama Umno berkuasa, pernahkah Umno melayan al-Quran melebihi layanannya sekadar memusabaqahkan kitab suci itu?

Umno bising apabila ada pemimpin PR yang baca al-Quran dalam ceramah, tetapi pernahkah Umno bising terhadap remaja yang tidak pernah baca al-Quran dimana-mana?

Daripada berkering tekak berkeriyau berteriak soal membela Melayu, lebih baik berhabis-habisan berfikir membela Islam. Bukan Islam acuan Umno tetapi Islam wahyuan Ilahi.

Mengapa perlu berpusing kepala berbimbang negara ini jatuh ke tangan Cina atau India? Apa masalahnya dengan Cina dan India? Adakah Melayu lebih mulia daripada Cina dan India? Kalau Cina dan India mampu mengembangkan Islam di negara ini, mengapa orang Melayu perlu bersusah hati?

Kalau Cina dan India lebih berpegang dengan Islam, biarkan mereka memerintah negara ini berbanding negara ini diperintah oleh Melayu jika Islamnya entah kemana.

Kalau di zaman Abdullah ada juga bunyi Islamnya walau pun Islam Hadhari, namun zaman Najib, bunyi Islamnya pun sudah lenyap.

Betulkah jika negara ini jatuh ke tangan India dan Cina, orang Melayu merempat? Malaysia akan jadi macam Singapura? Umno jangan lupa bahawa Singapura jadi begitu angkara Umno, angkara Melayu Umno. Umno lupa?

Aaahhhh… daripada berbincang dengan Umno lebih baik berkawan dengan DAP. Seburuk-buruk Lim Guan Eng, sehingga kini dia belum terbukti rasuah. Sebaik-baik pemimpin Umno, hah… rasuah sampai sesak hidung rakyat untuk bernafas.

Friday, March 26, 2010

Blog, Khianat Dan Ahmad

SATU - “Lama ustaz tak update blog.” Tegur seorang sahabat semasa menunggu solat Maghrib didirikan di sebuah masjid di Kedah.

“Tak sempatlah…” Jawab saya ringkas.

Benar, saya semakin kesuntukan waktu untuk mengupdate blog ini. Bukan tidak teringat atau tidak beridea. Sebenarnya ketagihan untuk aktif berblog seperti sebelum ini sentiasa membara.

Dengan jadual kerja yang agak ketat dan keterlibatan dengan beberapa tugasan di luar pejabat menjadikan waktu untuk duduk dan membelek komputer semakin memendek.

Tugasan yang memerlukan ketekunan dan tumpuan tambah memenatkan sehingga kadang-kadang ‘mood’ untuk membuka blog meluntur.

Namun itu semua tidak bermakna saya akan membiarkan blog ini sepi dan seterusnya mati. Saya akan tetap memastikan ia terus hidup selagi saya masih hidup.

DUA – Memang ramai menduga PRK di Titi Tinggi Perlis tidak akan berlaku. Dugaan itu benar apabila Yip menarik balik surat perletakan jawatannya.

Namun speaker DUN Perlis dipersoalkan, mengapa surat perletakan jawatan serta-merta Yip tidak dipanjangkan ‘serta-merta’ juga kepada SPR? Mengapa surat itu dibuat pekasam?

Secara peribadi saya tidak bersetuju Yip meletak jawatan. Saya lebih senang jika Yip menjadi wakil rakyat bebas jika dia tidak senang dengan BN atau Md Isa.

Salah satu sebabnya ialah, saya inginkan DUN Perlis ada sejarah memiliki wakil rakyat bebas. Mungkin ada orang kata, tindakan itu adalah khianat, yakni Yip khianat kepada rakyat Titi Tinggi yang memilihnya atas tiket BN.

Biarkan orang berkata begitu. Kenapa? Benar Yip khianat, tetapi Yip khianat kepada pengkhianat. Khianat kepada pengkhianat tidak dikira khianat.

Kalau ada pencuri yang keluar daripada kumpulan pencuri, bagi pencuri, tindakan itu adalah khianat tetapi bagi bukan pencuri tindakan itu adalah betul.

Jadi kalau Yip jadi wakil rakyat bebas, dia tidak boleh dikata pengkhianat kerana dia keluar daripada parti khianat. Mana mungkin orang keluar daripada kumpulan khianat dikata khianat. Bukankah BN parti khianat?

Kalau BN parti khianat, maka keluar BN bukan khianat.

TIGA – Angin mengkhabarkan bahawa Ahmad Awang tidak akan dikekalkan sebagai anggota Majlis Syura Ulama PAS.

Saya sangat mengharapkan khabar ini tidak benar. Bagi saya Ahmad seorang yang masih sangat patut berada di dalam majlis itu.

Semua orang tahu kelebihan dan sikapnya dalam beberapa isu penting parti. Sikapnya itu menjadikan Umno kehilangan banyak modal dalam isu berkenaan.

Sikapnya juga menjadikan PAS dihormati oleh rakan-rakan dalam PR. Ahmad tidak merugikan PAS tetapi menjulang imej PAS dengan sikap dan pendirian itu.

Apa kebimbangan saya kalau Ahmad tidak tersenarai sebagai anggota Majlis Syura Ulama lagi?

Ya, tentu Harussani akan tersengih panjang. Dia boleh menjaja di sana sini. Tengok Ahmad Awang, PAS sendiri pun sudah menolak dia.

Bila Harussani tersengih, maknanya Zamberi juga akan turut tersengih.

Adakah pemimpin PAS akan senang hati dengan sengih Harussani dan Zamberi?

Monday, March 22, 2010

Bila Cina Dan India Hentam Melayu

Walau pun ini bukan kali pertama, tetapi menerujakan. Malam tadi saya berceramah bersama dua penceramah Cina dan seorang penceramah India. Kedua-dua penceramah Cina itu adalah exco kerajaan negeri Kedah. Penceramah India pula siapa lagi kalau bukan Goby.

Kami berceramah di Kulim, kawasan MP yang lompat itu. Kesemua penceramah mendesak MP itu meletak jawatan. Bagi kami, MP itu adalah pengkhianat. Pengkhianat tidak layak mewakili rakyat di parlimen.

Sama ada MP itu akan meletak jawatan atau tidak, itu bukan persoalan pokok. Paling penting ialah rakyat disedarkan bahawa pemimpin seperti itu tidak diperlukan.

Rakyat perlu dididik dengan suatu kefahaman bahawa mereka bertanggungjawab memilih pemimpin yang tidak khianat. Mereka yang menaikkan pemimpin itu dan mereka juga yang berhak menurunkannya.

MP itu orang Melayu. Ramai pendengar ceramah, bahkan hampir keseluruhannya adalah orang Melayu. Kedua-dua penceramah Cina itu menghentam MP berkenaan. Begitu juga dengan Gobi.

Didapati orang Melayu tidak marah walau pun orang sebangsa mereka dihentam oleh orang bangsa lain. Mereka menyambut baik hujah Gobi dan dua penceramah Cina berkenaan.

Malah majlis ceramah itu memang dianjurkan sebagai tekanan kepada MP itu supaya meletak jawatan. Penceramah Cina dan India itu memang sengaja dijemput untuk itu.

Suatu perkembangan menarik. Hari ini orang PAS tidak memandang lagi kepada bangsa dan warna kulit. Apa yang mereka pandang?

Ya, mereka memandang kebaikan, kebertanggungjawaban. Sesiapa sahaja yang mampu membawa kebaikan kepada mereka, sesiapa sahaja yang menjulang kebertanggungjawaban, itulah yang mereka terima walau pun tidak sebangsa.

Nampaknya ajaran yang ditanam dalam kursus-kursus BTN suatu masa dahulu telah diludah keluar oleh orang Melayu daripada mulut mereka.

Inilah kebimbangan Umno. Senjata kebangsaan totok hanyir telah terhakis. Itu maknanya mereka akan tewas dalam PRU 13 akan datang.

Wednesday, March 17, 2010

Selamat Menulis Dr Asri

Rasanya lima tahun lebih saya tidak pernah membeli Mingguan Malaysia, namun itu tidak bermakna saya tidak membacanya. Biasanya akhbar itu saya tatap di kedai makan atau dimana-mana yang saya terjumpa.

Itu bermakna sepanjang tempoh itu juga, tidak semua tulisan Dr Asri dalam akhbar berkenaan dapat saya tatap. Namun saya kerap juga membaca buah fikirannya di dalam laman webnya.

Apabila Malaysiakini bakal mewujudkan kolum khusus untuk Dr Asri, saya menyambut baik usaha itu. Dan, saya bertekad untuk terus menelusuri buah fikirannya. Soal sama ada saya bersetuju atau tidak dengan buah fikirannya, itu bukan isunya.

Isunya ialah buah fikiran orang seperti Dr Asri wajar ditelusuri. Tentu ada banyak perkara bermanfaat dapat dikutip dan sekurang-kurangnya dijadikan bahan berfikir.

Saya percaya ramai orang tidak suka dengan pendirian ini. Bagi sebahagian orang tulisan Dr Asri tidak perlu dibaca, majlisnya tidak perlu dihadiri. Beliau dilabel dengan pelbagai label dan yang paling popular ialah dia Wahabi dan pengembang aktif fahaman (gerakan?) itu.

Saya tidak kisah dengan tanggapan itu. Bagi saya tulisan Dr Asri patut ditelusuri dengan jujur. Tulisannya berani, tegas dan telus.

Benar, kadang-kadang tulisannya juga bias terutamanya terhadap PAS. Kritikannya kepada PAS juga pedas dan kadang-kadang sarat dengan dakwaan tidak berasas. Apa yang berlaku di dalam PAS tiga puluh tahun lalu diungkitnya lagi sedangkan itu semua tidak berlaku lagi di dalam PAS kini.

Mungkin tanggapan begitu terhadap PAS dibuatnya kerana dia melihat kepada ahli-ahli atau penyokong-penyokong PAS. Kemudian itu semua disimpulkan sebagai ‘PAS’ secara keseluruhan.

Beliau juga pernah mengkritik Umno tetapi kritikannya kepada Umno tidak sekeras dan sepedas kritikannya kepada PAS. Itu dapat difahami. Mungkin kerana ada sesuatu yang beliau ‘terhutang’ dengan Umno atau pemimpin Umno.

Tak apa, saya tidak kisah sangat dengan itu semua. Kecuali para nabi dan rasul, mana ada manusia seratus peratus lengkap dan sempurna.

Dan, mungkin kerana tulisan sebegitu juga beliau menjadi popular. Kalau Kassim Ahmad suatu ketika popular dengan kritikannya tehadap hadis dan Farish Nor pula kerana kritikannya terhadap isteri nabi, Dr Asri juga ada sudut-sudut tertentu yang menjadikannya popular.

Ini tidak bermaksud saya menyamakan Dr Asri dengan mereka berdua apatah lagi dengan Astora Jabat yang juga suatu ketika popular dengan pendekatan sebegitu.

Maksud saya mereka popular dengan cara masing-masing. Dan, cara itu jarang digunakan oleh penulis lain kecuali mereka bertiga.

Apa yang paling saya minat dengan tulisan Dr Asri ialah keupayaanya menampilkan dalam tulisan yang pendek dan mudah rujukan daripada sumber-sumber rujukan utama Islam. Maksud saya rujukan daripada kitab ‘turath’ Islam.

Ketika sebahagian penulis berbangga dengan rujukan daripada sumber-sumber dari Barat, Dr Asri nampaknya masih tegar dengan kebanggannya terhadap sumber-sumber itu.

Ini sangat bermanfaat kepada generasi muda terutamanya supaya mereka sedar bahawa apa juga perbahasan semasa telah wujud kaedah dan sumbernya daripada sumber-sumber primer Islam.

Selamat menulis untuk Dr Asri.

Sunday, March 14, 2010

Pemimpin Umno Jadi Tok Dalang

SATU - Pemimpin Umno berhujah, apa pun yang dipanggil ke atas wang hasil minyak negara, sama ada ‘wang ihsan’ atau ‘royalti’, yang penting ialah wang itu sampai kepada rakyat Kelantan. Sekali imbas, hujah itu adalah benar.

Namun jika diteliti, nampak benar bahawa pemimpin Umno cuba bermain wayang kulit dengan nama itu. Patung wayang kulit tidak bercakap, yang bercakap adalah Tok Dalang. Namun penonton tetap terhibur dengan ‘gelagat’ patung-patung itu.

Demikian pemimpin Umno. Mereka cuba mempamerkan kepada rakyat Kelantan bahawa mereka adalah pemimpin yang baik. Namun sebenarnya, wang yang mereka namakan ‘wang ihsan’ yang bakal mereka berikan kepada rakyat Kelantan adalah hak rakyat Kelantan.

Rakyat Kelantan mungkin terhibur dengan wang itu, macam penonton wayang kulit terhibur dengan patung wayang kulit. Hakikatnya, mereka dihiburkan oleh pemimpin Umno macam Tok Dalang menghiburkan penonton wayang kulit.

DUA - Wang minyak negara untuk Kelantan bukan wang ihsan. Ihsan maknanya belas kasihan, simpati. Maksudnya, wang itu diberi kerana kasihan dan simpati kepada Kelantan.

Itu salah kerana wang itu patut diberikan kepada Kelantan bukan kerana simpati. Wang itu perlu diberikan kerana itu memang hak rakyat Kelantan.

Hak wajib diberikan samada kepada orang miskin atau orang kaya. Tetapi simpati tidak tertumpah dari sudut kewangan kepada orang kaya. Adakah pemimpin Umno lupa bahawa wang minyak bukan sahaja untuk orang miskin dan mereka yang ditimpa bencana tetapi untuk semua rakyat Kelantan?

Sama miskin atau bukan, ditimpa bencana atau tidak, wang itu adalah hak semua rakyat Kelantan. Orang kaya juga berhak ke atas wang itu, tetapi kenapa hanya diberikan kepada mereka yang miskin dan ditimpa bencana sahaja?

Nampaknya, pemimpin Umno bermain wayang kulit. Mereka menghibur rakyat Kelantan dengan wang yang menjadi hak rakyat negeri itu macam Tol Dalang menghibur penonton wayang kulit dengan patung kulit lembu.

Selesai persembahan, patung kulit lembu itu disimpan oleh Tok Dalang. Penonton pulang dengan tangan kosong. Hanya kepala berisi kenangan menonton wayang kulit. Patung wayang kulit menjadi hak Tok Dalang. Penonton dapat apa?

TIGA - Rakyat Kelantan tidak akan mendapat apa-apa. Mereka hanya bakal terhibur dengan gelagat pemimpin Umno dengan janji-janji itu sahaja. Wang ihsan akan ‘disimpan’ dalam poket pemimpin Umno macam patung wayang kulit tersimpan dalam peti simpanan patung wayang kulit.

Patung wayang kulit akan diwarisi oleh anak cucu Tok Dalang selepas itu. Wang ihsan juga bakal diwarisi oleh ‘anak cucu’ pemimpin Umno.

Patung itu hanya dikeluarkan untuk menghiburkan penonton macam wang ihsan bakal ditabur untuk menghiburkan rakyat Kelantan.

Wednesday, March 10, 2010

Mana Lebih Penting?

-------
Baru-baru ini seorang rakan sepejabat berkahwin.
Saya katakan kepadanya,

"Hari berkahwin adalah penting,
namun hari-hari selepas hari berkahwin adalah lebih penting."

Rakan saya menyambut baik. Katanya,
"Terima kasih ustaz."

Tuesday, March 9, 2010

Berbeza Pendapat Tapi Satu Matlamat


Muhyiddin Yasin, TPM Malaysia berkata, “Dalam tempoh dua tahun pakatan pembangkang tidak membuat apa-apa manakala Perdana Menteri belum sampai setahun tetapi sudah banyak perubahan yang dibuat” (baca Utusan Online).

Abdul Jamil Saad, Exco Kerajaan Negeri Perlis berkata, “Adalah tidak adil untuk membuat penilaian terhadap kepimpinan Md Isa hanya selepas dua tahun beliau meneraju negeri itu.” (baca Malaysian Insider).

Muhyiddin sudah menilai kerajaan Pakatan sebab itu dia berani berkata bahawa kerajaan Pakatan tidak membuat apa-apa. Penilaian ini mempunyai dua niat, membodek Najib dan memburukkan Pakatan.

Itu memang kerja Muhyiddin. Biasalah, kalau orang nombor dua tidak membodek orang nombor satu, itu bukan namanya orang nombor dua. Begitu juga, kalau pemimpin Umno tidak mengutuk Pakatan, itu bukan pemimpin Umno namanya.

Apa yang menariknya ialah kenyataan salah seorang exco Perlis yang tidak membenarkan kerajaan Perlis pimpinan Md Isa Sabu dinilai. Katanya, itu tidak adil kerana baru dua tahun Md Isa jadi MB.

Kenyataan ini juga berunsur bodek. Muhyiddin membodek Najib, Jamil membodek Md Isa. Mereka bercanggah pendapat tetapi satu matlamat.

Dan, paling menarik ialah, kerajaan Md Isa bukan akan dinilai oleh orang PAS. Kalau dinilai oleh orang PAS, memang penilaian itu bias tetapi akan dinilai oleh orang Umno daripada pasukan Shahidan Kassim.

Pada masa yang sama, orang Umno juga daripada pasukan MB sekarang tidak bersetuju kerajaan BN Perlis sekarang dinilai.

Muhyiddin menilai kerajaan Pakatan. Exco kerajaan BN tidak bersetuju kerajaan negeri BN dinilai. Macam mana?

Nak pakai yang mana satu? Kalau ikut Najib yang menilai kerajaan Pakatan, maka kerajaan BN Perlis juga perlu dinilai walau pun baru dua tahun.

Kalau ikut exco Perlis pula, Najib tidak berhak menilai kerajaan Pakatan kerana kerajaan Pakatan juga baru berusia dua tahun macam kerajaan BN Perlis pimpinan Md Isa Sabu.

Jamil sepatutnya mengikut Muhyiddin. Sebagaimana Muhyiddin menilai kerajaan Pakatan maka kerajaan Md Isa Sabu juga patut dinilai.

Mengapa Jamil takut kerajaan Md Isa dinilai? Adakah kerana ia akan dinilai oleh Umno? Biarlah Shahidan Kassim menilai Md Isa, apa salahnya. Shahidan pun tahu prestasi Md Isa kerana Md Isa pernah menjadi exco semasa dia MB suatu masa dahulu.

Terpulang kepada Muhyiddin untuk menilai kerajaan Pakatan kerana rakyat juga menilai. Penilaian Muhyiddin tidak mempengaruhi penilaian rakyat. Saya yakin kerajaan Pakatan tidak takut kepada penilaian.

Menghairankan apabila kerajaan BN Perlis takut kepada penilaian. Takut apa? Takut orang tahu kerajaan BN Perlis juga tak buat apa-apa.

Apa yang perlu ditakutkan kepada penilaian Shahidan? Itu tidak akan kemana. Kalau Shahidan berjaya menjatuhkan Md Isa, dinaikkan orang lain, tetap Umno juga. Umno tidak hilang kerajaan. Cuma bertukar pasukan sahaja.

Kalau kerajaan Pakatan tidak takut kepada penilaian TPM, mengapa Md Isa takut kepada penilaian Shahidan? Ada apa-apa ke?


Monday, March 8, 2010

Kenangan Tidak Seberapa Dengan Ust Azizan Razak

Sempena dua tahun kemenangan Pakatan Rakyat di Kedah, terasa untuk menukilkan kenangan tidak seberapa dengan Ustaz Azizan.

Semasa bertugas dengan sebuah agensi agama di Perlis suatu ketika dulu, saya pernah ditugaskan untuk menguruskan penganjuran forum untuk satu program kerajaan negeri. Saya tidak ingat program apa dan tahun bila. Rasanya tahun 1995.

Pada waktu itu MB Perlis adalah Shahidan Kassim. Dan, isu yang panas pada ketika itu adalah isu pindaan akta pendidikan. PAS menentang pindaan itu.

Saya mencadangkan supaya forum itu membincangkan isu berkenaan. Ahli panelnya hendaklah daripada PAS, Umno dan ahli akademik.

Ketika itu saya sudah pun menjadi aktivis pemuda PAS Perlis. Ketuanya bekas Pengurus LPP Perlis. Dia kini adalah usahawan berjaya. Kini saya bekerja di syarikatnya.

Cadangan ini direstui. Ahli panel forum pada malam itu ialah Ust Azizan Razak, Shahnon Ahmad (Prof Emiritus) dan Saifuddin Nasution. Ketika ini Saifudin masih bersama Umno. Kalau tidak salah ingatan saya, Saifudin hanya menggantikan abangnya yang ketika menjadi SU politik (?) kepada salah seorang menteri.

Saya sendiri yang menghubungi Ust Azizan melalui telefon. Rasanya pada waktu itu dia tidak se’cenge’ seperti ‘cenge’nya selepas itu. Dia mesra.

Forum berjalan lancar. Dipengerusikan oleh salah seorang pensyarah UiTM, Arau. Diadakan di dataran Masjid Alwi, Kangar, selepas Isyak.

Medan tempat forum diadakan dipenuhi manusia. Maklum, jarang benar forum yang menemukan tiga ahli panel yang berlainan latar belakang politik diadakan di Perlis pada waktu itu. Shahidan Kassim turut hadir dan dia berada bersama orang ramai.

Ust Azizan pada waktu itu adalah wakil rakyat Sala, Kedah untuk penggal yang pertama. Dia mengupas isu pindaan akta itu dengan baik. Hujahnya adalah selari dengan hujah Shahnon Ahmad. Saifuddin pula walau pun di dalam Umno turut mengulas mengenai penerapan nilai-nilai Islam dalam pendidikan.

Kalau dikira berlawan, dua lawan satu. Shahnon dan Azizan pada satu pihak dan Saifuddin, pihak satu lagi. Mungkin pengerusi sahaja dilihat memihak kepada Saifuddin.

Saya masih ingat, Saifuddin mengungkapkan doa makan yang katanya sudah dihafal oleh pelajar pra sekolah. Dan, umum tahu bahawa pra sekolah yang mengajarkan doa sebegitu pada waktu itu adalah PASTI milik pemuda PAS.

Ust Azizan seperti biasa. Hujahnya padat dan diselangi seloroh sinis. Antara selorohnya mengenai dirinya, “Saya ni wakil rakyat baru. Macam anak lembu baru tumbuh tanduk. Gatai, dia serondoi merata…” Orang ramai menyambutnya dengan ketawa riuh.

Khabarnya, Shahidan marah-marah dengan hujah Ust Azizan yang mempersoalkan kerajaan meminda akta pendidikan.

Saya tidak pasti sepanas mana marah Shahidan, tetapi apa yang pasti selepas itu tidak wujud lagi peluang untuk menemukan individu yang mewakili pelbagai parti politik untuk berada sepentas di Perlis dalam program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

Ada lagi kenangan lain bersama Ust Azizan, tapi inilah pengalaman pertama saya dengannya. Sahabat saya, Tn Hj Hisharudin Hasan dan Lawyer Zulmi Sabri tentu masih ingat kenangan ini.

Sunday, March 7, 2010

Terima Kasih Untuk Mahfuz

Terima kasih kepada Mahfuz.

Kenyataan di atas membuatkan sebu di otak saya hilang. Letih di badan pun sudah tiada. Semuanya kembali segar bugar.

Terima kasih banyak-banyak.

Ini baru orang politik. PAS perlukan lebih ramai ahli politik bukan pemimpin kumpulan tarekat.

------
PAS tidak perlu Zulkifli - Mahfuz| Print | E-mail
Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 7 Mac: “Mungkin dia (Tuan Ibrahim) berniat dakwah, tapi saya anggap kenyataan itu masih bersifat peribadi yang tidak perlu dipolemikkan,” kata Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS petang tadi selepas menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor.

Sehubungan itu, Mahfuz berkata, keterbukaan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempelawa Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Nordin menyertai PAS seperti yang dilaporkan akhbar elektronik mStar hari ini wajar diteliti terlebih dahulu oleh kepemimpinan tertinggi PAS.

Menurut Mahfuz, PAS seharusnya mengormati etika kepartian yang dipegang secara bersama-sama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

"Kita tak boleh ambil ahli-ahli yang ditolak oleh parti kawan-kawan kita, apatah lagi kalau seseorang itu ditolak disebabkan mengganggu muafakat Pakatan Rakyat, kerana ini etika yang dipegang bersama," jelasnya.

Sekiranya PAS menerima Zulkifli, Mahfuz berkata, PAS boleh dilihat tidak menghormati ketetapan berupa disiplin yang ditetapkan oleh PKR sendiri.

Ini kerana, dengan penyertaan Zulkifli ke dalam PAS, menurut Mahfuz boleh mengakibatkan isu disiplin yang dialami oleh PKR mungkin berpindah pada PAS pula.

"Selepas PKR, mungkin PAS pula berdepan dengan ahli-ahli yang tidak disiplin, yang akhirnya tidak juga menyelesai masalah pokok (disiplin) dalam Pakatan Rakyat sendiri.

“Orang yang tidak ada disiplin dalam parti kawan kita, tiba-tiba kita (PAS) pula atas nama 'terbuka' nak ambil orang itu masuk ke dalam parti kita,” jelasnya.

Sekiranya Zulkifli dibawa menyertai PAS, Mahfuz menjangkakan bahawa PAS sendiri bakal dilihat serong oleh para pemimpin Pakatan Rakyat serta rakyat sendiri.

Tambahnya lagi, Zulkifli yang dilihat acapkali bersikap provokasi, tidak beretika menurut prinsip organisasi serta tidak dilihat bersikap toleransi dengan penganut agama-agama lain sebelum ini, membolehkan PAS sendiri dilihat serong kelak.

“Dia dilihat cukup provokatif dalam isu kalimah ‘Allah’ umpamanya, kadang-kadang dilihat begitu 'mengganggu' muafakat Pakatan Rakyat (atas nama) Melayu, sedangkan Islam tidak mengajar sedemikian (dan) PAS pula adalah parti yang toleransi lagi (bersikap) sederhana dengan semua kaum dan penganut agama sebagaimana yang ditunjukkan (oleh) Nabi Muhammad s.a.w.”

Sebab itu, Mahfuz berkata, PAS seharusnya membuat pertimbangan yang sewajarnya mengikut kaedah yang disarankan menurut disiplin ilmu Islam.

“Seingat saya, Islam ada ajar kita ‘menolak kemudharatan itu lebih baik dari mengambil maslahah (kebaikan)’ (maka) kalau dia (Zulkifli) ini kita boleh anggap sebagai suatu mudharat (disebabkan) tidak disiplin dalam PKR, apakah jaminan kebaikan yang PAS akan dapat kalau dia sertai kita (PAS),” soal Mahfuz lagi.

“Kita (PAS) dalam Pakatan Rakyat sedikit sebanyak pun turut terganggu dari segi organisasi walaupun dia (Zulkifli) sebelum ini bermasalah dalam PKR, kalau dia duduk dalam PAS (maka) lebih-lebih lagilah,” jelasnya.

Pun begitu, beliau menganggap masalah disiplin Zulkifli hanya masalah berkaitan organisasi parti semata-mata.

“Masalah dia ini (adalah) masalah berkaitan organisasi parti, maka saya anggap masalah disiplin dia setakat itu saja, tak lebih dari itu.

“Etika dalam parti penting bagi saya, (maka) elok PAS menerima pemimpin yang berdisiplin saja,” ujarnya.

Belum Keluar Surat Sudah Pelawa?


Surat rasmi pemecatan MP Kulim hanya akan dikeluarkan pada hari Isnin ini (8 Mac).

Hari ini mengikut MStar, Naib Presiden PAS sudah sedia menerima MP itu untuk menjadi ahli PAS. Surat belum keluar sudah pelawa?

Saya katakan dalam posting sebelum ini, PKR meletakkan penanda aras yang tinggi dalam menjaga persahabatan dengan PAS dan DAP.

Jika laporan MStar adalah benar, maka saya nampak bahawa sudah awal-awal Pengerusi JK Disiplin PAS ini agak sukar untuk mencapai penanda aras itu.

Entahlah…membaca kenyataan itu, badan terasa letih. Otak terasa sebu. Mengapa? Otak saya penuh dengan pelbagai persoalan. Kalaulah… kalaulah… kalaulah… Tetapi saya tidak menukilkan di sini sebab ‘kalau’ adalah mainan syaitan.

Inilah kenyataan Naib Presiden PAS itu yang menjadikan otak saya sebu dan badan saya letih.

“PAS sentiasa mengamalkan dasar terbuka kepada sesiapa sahaja untuk menyertai kami termasuk YB Zulkifli. Kalau beliau mengemukakan permohonan, pihak jawatankuasa parti akan mempertimbangkannya.”

“Kami harap penyertaan ke dalam PAS akan dapat membantu menguatkan lagi parti ini dan bukannya menjadi beban kepada parti.” Demikian kata Naib Presiden PAS itu seperti yang dilaporkan Mstar.

Apabila membacanya, saya sedang berfikir apa perasaan sahabat kita dengan kenyataan itu.

PKR Letak Penanda Aras Tinggi

Alasan PKR memecat keanggotaan salah seorang ahli parlimennya ialah kerana ‘cross that red line’. Bagi saya, ‘red line’ yang dimaksudkan itu adalah ‘persahabatan’. Maksudnya, tindakan MP berkenaan menjejaskan persahabatan parti-parti dalam PR. Itu adalah kenyataan SU Agong PKR.

Laporan polis yang dibuat oleh dibuat oleh MP yang dipecat itu ke atas Khalid Samad hanyalah ‘aksi’ sahaja. Saya rasa bukan ‘aksi’ itu yang menjadi tumpuan tetapi ‘sikap’ yang melahirkan aksi berkenaan.

Contohnya begini. Seorang pemandu memotong di garisan berkembar dikenakan saman. Tindakannya memotong itu hanyalah ‘aksi’ sahaja. Fokusnya ialah sikap degil dan keras kepala pemandu untuk tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Justeru, sebarang yang menunjukkan kedegilan selain memotong di garisan berkembar; melanggar lampu merah, memarkir di kawasan garisan kuning, memandu melebihi had laju atau apa sahaja harus dikenakan tindakan kerana menjadi simbol kedegilan.

Melakukan kesalahan bukan kesalahan yang sebenar tetapi enggan mengakui kesalahan yang telah dilakukan adalah kesalahan yang sebenar. Sebab itu biasanya, hukuman kesalahan kedua adalah lebih berat daripada hukuman kesalahan kali pertama.

Tentu tidak seberat ini hukuman yang dikenakan ke atas MP berkenaan jika dia bersedia mengakui kesalahannya.

Bagi saya hukuman ke atas MP berkenaan patut menjadi ‘duluan kehakiman – stare decisis et non mevere’. (Nota: Kalau minat nak tahu lebih lanjut mengenai ‘duluan kehakiman’, taip saja perkataan itu dalam Wikipedia).

Maksudnya, sebarang tindakan yang menjejaskan kerjasama Pakatan yang dilakukan oleh anggota parti mana pun dalam pakatan rakyat, hukuman ke atas MP berkenaan adalah mengikat. Pelakunya perlu dihukum dengan hukuman itu.

Mengapa begitu berat? Kerana itulah nilai sebuah persahabatan. Kalau seorang sahabat tidak tahu menjaga persahabatan, itu bukan sahabat. Dia cuma kenalan sahaja.

Sama juga dengan nilai sebuah permusuhan. Kalau melakukan sesuatu yang menguntungkan musuh, itu bukan nilai sebuah permusuhan. Itu juga cuma kenalan. Kenalan belum boleh menjadi musuh atau kawan.

PKR telah meletakkan ‘penanda aras’ yang sangat tinggi dalam menghargai sebuah persahabatan. Penanda aras ini bukan mudah untuk dikesampingkan. Selepas ini kalau ada mana-mana parti dalam Pakatan yang tidak mencapai penanda aras itu dalam persahabatan, itulah pengkhianat.

Ya, pengkhianatan kepada sebuah persahabatan.

Saturday, March 6, 2010

Mereka Bebeza, Tetapi Sama

Harussani Zakaria, Zulkifli Nordin dan Ibrahim Ali, secara zahir mereka bertiga bukan orang Umno. Seorang adalah Mufti, seorang MP PKR dan seorang lagi MP Bebas.

Mereka berbeza dari sudut jawatan yang dipegang. Tugas harian juga secara khususnya adalah berbeza. Namun, mereka mempunyai beberapa persamaan.

Apa dia?

Pertama - Membuat kerja yang menguntungkan Umno. Harussani menyokong rampasan kuasa Umno di Perak. Zulkifli membuat laporan polis terhadap Khalid Samad, rakan sendiri dalam PR. Ibrahim pula, sudah mula mengetuk pintu gerobok buruk Umno.

Kedua – Dulu disukai, sekarang diseranah. Dulu, orang suka dengan Harussani kerana ketegasannya dalam isu murtad. Orang sukakan Zulkifli kerana ketegasannya ‘membela’ Anwar melalui ceramah-ceramahnya. Ibrahim pula disukai kerana dengan lantang mengkritik kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Ketiga – Disuruh masuk Umno. Hari ini mereka bertiga didesak masuk Umno. Harussani diminta tanggalkan baju Mufti dan pakai baju Umno. Zulkifli didesak lompat segera ke dalam Umno. Ibrahim pula diminta mengulangi lompatannya dengan lebih bergaya untuk mendapat tempat semula dalam Umno.

Keempat – Pandai temberang. Ahmad Awang kata Harussani bohong (temberanglah tu). Ramai kawan-kawan kata Zulkifli juga banyak temberang dalam ceramahnya mengenai Anwar. Ibrahim Ali? Aaah, sama saja.

Friday, March 5, 2010

PKR, Jangan Rasa Selesa Sangat!

Pertama, ada masalah peribadi. Kedua, ada masalah kewangan. Ketiga, ada yang disiasat oleh SPRM. Keempat, tidak menjaga kawasan. Kelima, tidak membela rakyat. Keenam, tidak menunjukkan prestasi yang baik di parlimen.

Menurut Syed Husin Ali, itulah enam punca mengapa ahli parlimen PKR iaitu Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru) dan Ten Bee Beng (Nibong Tebal) keluar parti itu.

Selain Tuhan, hanya Syed Husin dan ahli parlimen yang terlibat sahaja yang tahu sama ada apa yang disebut oleh Syed Husin itu benar atau tidak.

Benar atau salah apa yang Syed Husin kata itu juga tidak membawa apa-apa kesan lagi sebab mereka telah pun keluar PKR. Soalan saya, mengapa hanya setelah mereka keluar PKR baru keenam-enam perkara itu timbul?

Adakah keenam-enam perkara itu terlintas dalam fikiran Syed Husin selepas mereka keluar PKR atau sebelum itu? Atau, kalau kesemuanya telah diketahui lebih awal, mengapa tidak ada tindakan awal diambil terhadap mereka?

Misalnya, kalau prestasi mereka sebagai wakil rakyat di kawasan mereka lemah, rasanya bukan sukar benar keadaan itu diperbaiki. Bantu mereka dengan jentera parti. Kalau PKR tidak berjentera cekap, tentu di kawasan mereka ada jentera PAS atau DAP. Mengapa tidak dimanfaatkan?

Kalau mereka ada masalah peribadi dan kewangan, ahli parlimen lain juga ada yang bermasalah peribadi dan kewangan. Mengapa mereka tidak keluar parti pun?

Disiasat SPRM, ramai lagi pimpinan yang lain disiasat SPRM, tetapi mereka tidak bertindak keluar parti. Kalau mereka rasa ada kesalahan yang mereka buat, sama ada mereka keluar parti atau tidak, mereka tetap berhadapan tindakan.

Kalau mereka didapati bersalah selepas keluar PKR, adakah itu memberikan imej yang bersih kepada PKR? Media tetap melaporkan, “Bekas ahli parlimen PKR didapati bersalah…” Bukankah PKR tetap terkait?

Pendedahan punca yang dibuat oleh Syed Husin itu mungkin dapat ditelan dengan mudah oleh mereka yang tidak berfikir panjang, tetapi bagi yang tahu menganalisa, pendedahan Syed Husin itu menggambarkan situasi semasa PKR.

Apa dia?

  1. PKR tidak mempunyai mekanisme pemantauan prestasi wakil rakyat dengan berkesan.
  2. PKR seolah-olah mendedahkan bahawa PAS dan DAP tidak membantu wakil rakyat mereka di kawasan yang mereka wakili.
  3. PKR ada masalah dalaman tersendiri yang ditutup rapi daripada pengetahuan umum.
  4. PKR tidak mempunyai kualiti asuahan kekuatan dalaman untuk pemimpinnya sehingga dengan mudah dapat dipujuk atau dibeli BN.

Kiriman ini bertujuan untuk mengingatkan PKR bahawa sebenarnya parti itu tidak boleh berasa selesa sangat dengan prestasi mereka sekarang. Banyak perkara yang perlu dibuat terutama proses pengukuhan organ dalaman parti.

Walau apa pun yang dikata oleh pemimpin PKR, sebenarnya apa yang menimpa PKR kini adalah sangat tidak bagus. Buatlah sesuatu dan jangan menunggu sampai rakyat menghukum PKR kerana kelalaian PKR sendiri.

Thursday, March 4, 2010

Malaysia Bila Lagi?

Gambar di atas menunjukkan banduan penjara di Iraq yang jari mereka terdapat kesan celupan dakwat selepas mereka keluar mengundi.

Walau pun suasana di negara itu kini bergolak dengan dua kejadian pengebom berani mati meletupkan diri mereka di dua buah pusat mengundi di Baghdad, namun pilihanraya tetap berlangsung.

Sejumlah 19 juta pengundi berdaftar bakal keluar mengundi Ahad ini untuk memilih seramai 325 wakil rakyat.

Bila lagi pengundi Malaysia nak merasa celup jari selepas membuang undi?

Monday, March 1, 2010

Sepuluh Jangan Untuk Pemimpin Kami

SATU - Macam-macam alasan. Ada yang keluar kerana nak perjuangkan Islam dan Melayu melalui Umno. Ada yang mendakwa parti itu sudah menjafi parti anak-beranak.

Tidak kurang yang mendakwa kepimpinan parti tidak boleh disentuh langsung. Antara yang menarik juga ialah keluar parti itu kerana tidak puas hati dengan DAP.

Tan Beng Tee, Mohd Fairuz Khairudin, Sallehudin Hashim, Zahrain Mohd Hashim sudah keluar PKR. Ada yang masuk Umno dan ada yang menjadi bebas.

Sebagai mana mudahnya mereka masuk, begitulah senangnya mereka keluar. Sebagai mana banyaknya alasan untuk bersama, sebanyak itu juga alasan untuk berpisah.

Inilah nasib yang menimpa PKR pada masa ini. Apa pun ulasan pemimpin PKR, itulah realitinya. Kadang-kadang ulasan itu sekadar untuk menyedapkan hati sendiri termasuk meredakan keresahan sebahagian ahli yang lain.

Nasib baik semua itu berlaku pada masa ini. PRU masih jauh. Inilah masa yang sesuai untuk PKR menyiapkan bakal calon yang lebih berwibawa dan setia. Bukan sekadar untuk survival PKR tetapi juga untuk kebaikan Pakatan Rakyat.

Mereka yang keluar, biarkan mereka. Pemimpin PKR hendaklah menumpukan usaha mempertahankan sokongan yang ada dan menarik sokongan ramai lagi simpatisan kepada PKR dan PR.

DUA - PAS macam mana? Alhamdulillah, ketika ini belum ada dan diyakini tidak akan ada yang keluar PAS.

Walau pun ada yang tidak berpuashati, malah sangat tidak berpuas hati dengan beberapa perkembangan dalaman PAS, tidak ada yang keluar. Hatta, ada yang dikenakan tindakan disiplin pun, walau pun tidak sudi merayu, tetapi tidak berkerat rotan dengan PAS.

Orang PAS masuk PAS bukan untuk suka-suka tetapi untuk satu tujuan besar dan murni. Mereka tidak mengharap apa-apa daripada pemimpin PAS. Apa yang mereka harapkan ialah, harapan dan cita-cita mereka sebagai ahli PAS tidak disia-siakan oleh pemimpin PAS.

Pemimpin PAS tidak perlu bimbang sangat dengan kritikan ahli terhadap mereka. Apa yang perlu mereka bimbangkan ialah, berupayakah mereka memenuhi kehendak, inspirasi dan harapan ahli? Berupayakah mereka meyakinkan ahli bahawa kehendak, inspirasi dan harapan ahli itu tidak mereka persetankan?

Walau pun ahli PAS tidak akan keluar PAS, tapi ada perkara yang pemimpin PAS tidak boleh buat terhadap ahlinya. Inilah sepuluh ‘jangan’ itu:

  1. Jangan berkonfrantasi atau ‘bermusuh’ dengan ahli.
  2. Jangan mendiskrimasi atau ‘pilih bulu’ terhadap ahli.
  3. Jangan buruk sangka atau ‘menjeling tajam’ kepada ahli.
  4. Jangan wujudkan kem-kem atau ‘klik-klik’ di kalangan ahli.
  5. Jangan pecah-belahkan atau ‘timbulkan perbalahan’ sesama ahli.
  6. Jangan pinggirkan atau ‘peti sejukkan’ mana-mana ahli.
  7. Jangan pandang rendah atau ‘remehkan’ kebolehan mana-mana ahli.
  8. Jangan dengar pandangan sebahagian ahli dan ‘persetankan’ pandangan ahli yang lain.
  9. Jangan anggap ahli sebagai musuh atau ‘sudah masuk Umno’ kerana tidak sependapat.
  10. Jangan rasa ada ahli benar dan ‘bagus semuanya’ dan ada pula tidak bagus semuanya.

Tak apa, selepas ini saya akan menyenaraikan pula sepuluh jangan untuk ahli PAS. Kalau ada sesiapa yang sudi menyenaraikannya saya sangat alu-alukan dan saya akan siarkan dalam blog ini.