Saturday, May 29, 2010

Daripada Marahkan Saya, Lebih Baik...

SATU - Khabarnya, tulisan saya di dalam blog ini dibincangkan di peringkat tertinggi parti peringkat negeri. Khabarnya juga, ada pimpinan kanan parti yang melenting dan saya disifatkan melanggar perlembagaan parti.

Mengapa saya disifatkan begitu? Kerana saya menulis sesuatu yang tidak digemari oleh mereka.

Harapan saya, kalau apa yang saya tuliskan itu adalah benar, baikilah dimana yang patut. Apa yang penting ialah isu yang dibangkitkan bukan siapa yang membangkitkan atau bagaimana isu itu dibangkitkan.

Tiada gunanya saya dimarahi, dilentingi, dituduh dan dikata macam-macam. Itu tidak mengubah keadaan parti kita. PAS tidak akan jadi lebih baik dengan memarahi dan memaki saya, tetapi baikilah apa-apa yang dikira patut dibaiki.

Jangan jadi macam SPRM yang dimarahi oleh kita. Bukan menyiasat apa yang kita lapor tetapi menyiasat dan menyusahkan pelapor. Akhirnya pelapor yang kena, isu yang dilaporkan dibakul sampahkan saja.

DUA - Buktikan bahawa apa yang saya katakan itu tidak benar tetapi bukan dengan memarahi saya. Dengan melentingi saya. Buat perubahan segera. Buktikan bahawa tidak pernah wujud pekung pun di belikat PAS Perlis seperti yang saya dedahkan.

Jangan terlalu terpengaruh dengan buah fikiran dan idea mereka yang hanya tahu mengampu, memuji dan membodek. Sentiasa mengambil langkah popular untuk ‘menempah’ kerusi pilihanraya. Ingat, jangan berikan kerusi kepada mereka yang meminta dan menunjukkan kecenderungan untuk meminta.

TIGA - Tempatkan mereka yang berwibawa dalam barisan kepimpinan PAS negeri. Lihat ilmunya, keupayaan mengurus peringkat tinggi, wibawa peribadinya, bukan sekadar pandai bercakap dan menyingkir orang.

Masa tidak menunggu kita. Pengundi di luar meletakkan harapan kepada kita. Anggaplah teguran dan kritikan pedas daripada ahli atau penyokong sebagai pembakar semangat. Ambil mereka sebagai kawan bukan sebagai musuh.

Bukankah kita diajar supaya mengambil apa yang baik walau pun daripada musuh. Ahli PAS yang mengkritik PAS bukan musuh PAS, bukan perosak PAS. Kalau mereka ingin merosakkan PAS, tentu mereka akan membiarkan sahaja PAS begitu tanpa membantu menghulurkan ubat.

Ayuh, bertindak segera membaiki situasi bukan bertindak segera memarahi saya. Ingat, marahkan saya tidak mengubah apa-apa.

Friday, May 28, 2010

Kita Punya Tongkat Sakti?

SATU - Ada yang sawan apabila saya menulis beberapa perkara yang dikategorikan ‘tidak memuji’ PAS Perlis. Saya diserang dengan keras. Seorang sahabat bagi tahu, “Orang marah dengan tulisan enta itu.” Saya diam sahaja.

Sebenarnya memuji tidak payah. Saya boleh menulis berjela-jela untuk memuji-muji mereka. Bahkan, saya boleh menulis untuk memberi gambaran kepada orang KL, orang Ipoh, orang JB bahkan orang di London, Afrika Selatan atau di Dubai bahawa PAS Perlis memang kuat, atau sangat kuat. PAS Perlis bakal memerintah Perlis selepas PRU 13 akan datang.

Jentera pilihanraya PAS Perlis mantap, siap-siaga, menunggu tiupan nafiri sahaja. Kewangan juga kuat, menunggu laci dibuka sahaja. Prasarana pilihanraya juga sudah sedia, menunggu di keluarkan dari stor sahaja. Bakal MB dan barisan exco juga sudah menempah baju Melayu, menunggu untuk disarung sahaja.

Adakah begitu yang dimahukan? Saya yakin pimpinan PAS Perlis juga tidak suka dengan pujian melampaui dos sebegitu. Apa ertinya pujian begitu, jika realitinya nil. Perlukah kita menjadi gendang, berdegar bunyinya tetapi hampa di belakang?

DUA - Saya menulis berdasarkan maklumat benar. Mengapa kita perlu takut dengan sesuatu yang benar? Mengapa kita perlu menganggap maklumat itu sebagai pekung? Mengapa kita perlu takut maklumat itu diketahui orang?

Adakah kita ingin menipu pengundi dengan maklumat palsu? Sampai bila kita mampu menyembunyikan kelemahan itu?

Dua DUN tidak menghantar langsung wakil ke program pelancaran jentera PRU 13 PAS Perlis baru-baru ini bukan rahsia. Saya mendapat tahu perkara ini daripada wartawan (bukan Malaysiakini), bahkan orang Umno pun tahu.

Bila diumumkan bahawa PAS Perlis sasar lapan kerusi dan berkeyakinan boleh menang di kerusi yang diwakili majoriti pengundi bukan Melayu jika mereka beralih angin sebanyak 70 peratus, saya yakin pemimpin dan ahli PAS yang hadir dalam majlis itu pun tidak konfiden dengan sasaran itu.

Kenapa? Kerana sasaran itu dibuat berdasarkan angka dalam keputusan pilihanraya yang lalu. Acuannya juga adalah acuan PAS negeri lain. Sasaran itu bukan dibuat berdasarkan realiti kekuatan PAS Perlis. Kekuatan PAS di negeri yang dijadikan acuan itu jauh bagai Kuala Lumpur dengan Kangar jika dibandingkan dengan Perlis.

Sebab itu saya katakan, PAS Perlis boleh menang dengan ‘miracle’.

TIGA - PAS parti masyarakat bukan parti ‘Tupperware’. Menguruskan manusia bukan macam menguruskan besen atau mangkuk plastik. PAS menguruskan pengundi dan pengundi adalah manusia bukan ‘makhluk berkaki empat’.

Bila PAS parti manusia maka PAS mesti punya kekuatan untuk menguruskan manusia. Bersedia mendengar suara manusia, bahkan bersedia untuk menangani apa jua kerenah manusia.

Kalau mendengar kritikan ahli sendiri pun PAS tidak sanggup, kritikan di dunia siber dianggap mendedah pekung, kritikan dalam muktamar dianggap biadap, kritikan di dalam usrah dianggap tidak wala’, lebih baik PAS jadi parti ‘Tupperware’. Mangkuk dan besen plastik sahih tidak akan mengkritik.

Kita beria-ia, bergembira, begitu teruja menerima sokongan bukan Melayu yang melimpah-limpah, itu bagus. Soalnya, adakah kita benar-benar bersedia (khususnya PAS Perlis) untuk menguruskan mereka? Bersediakah kita mendengar kritikan mereka, komen mereka, pandangan mereka? Atau, kita katakan saja kepada mereka, “Jangan kritik, kritik dikira buka pekung…” Begitu?

EMPAT - Saya katakan bahawa PAS Perlis perlukan figura awam, itu pekungkah? Selain YDP Kawasan Padang Besar (sekadar contoh), siapa lagi figura awam di Perlis?

Figura awam maksudnya mereka yang dikenali umum, bukan sahaja oleh aktivis PAS tetapi oleh segenap lapisan masyarakat. Dan, bukan sekadar dikenali kerana pandai ‘hemoi’ saja atau kerana kelainan bentuk fizikal, tetapi dikenali kerana kewibawaan ilmu dan kecekapan pengurusan peringkat tinggi.

Mengapa ini penting? Sebab kita uar-uarkan kepada umum bahawa kita akan menjadi kerajaan menggantikan Umno / BN.

PAS Perlis tidak boleh bergantung kepada momentum nasional semata-mata. PAS Perlis perlu membentuk momentu sendiri. Bergantung kepada momentum orang lain tidak kemana, tidak mampu bertahan lama.

Ingat, terutamanya pengundi bukan Melayu, mereka tidak semata-mata mengundi parti, mereka juga mengundi orang.

LIMA - Mahu saya puji? Aaah, tak perlulah. Kalau kita kuat, orang tak kata kita kuat pun kita tetap kuat. Tetapi kalau kita lemah, seratus orang memuji bahawa kita kuat, kelemahan akan terserlah jua. Kalau kita adalah pemimpin hebat, seburuk mana pun gambaran yang dibuat, kehebatan terserlah jua.

Kepada yang mengutuk saya, yang menggunakan perkataan ‘b****’, saya sangat berharap bahawa anda ‘bukan pemimpin PAS Perlis’. Kerana, kalau anda salah seorang daripada mereka, apatah lagi kalau nama anda tersenarai sebagai salah seorang calon PAS Perlis dalam PRU akan datang, saya boleh menjangka apa doa orang kepada anda.

Di bawah ini saya siarkan salah satu komen daripada pengunjung blog ini untuk tatapan semua.

* * * * * * * * *

Zaman mengkritik dalam usrah ke, dalam mesyuarat ke atau secara dalaman ke, saya rasa zaman itu sudah berlalu... (jgn pula menganggap saya tidak setuju dgn cara dalaman. Dalaman pun kena tegur, luaran pun kena buat juga kalau dah tak mau berubah!) Pimpinan PAS perlu berubah untuk menerima teguran walau dari sesiapa jua hatta daripada pihak musuh sekalipun! Kebenaran itu wajar diterima walaupun datang dari musuh dan kejahatan itu wajar ditolak walaupun ianya datang dari kawan yg sangat rapat. Bukankah itu yg diajar dlm Islam? Merujuk dalam sirah pun, kita akan dapat melihat kebanyakan teguran kepada khalifah hatta kpd rasulullah sendiripun dibuat di depan umum. Ini bukannya utk memalukan, bahkan inilah yg menjadi kekuatan kepada jemaah Islam ketika itu. Ini bukannya utk mendedahkan pekung, tetapi untuk menghilangkan pekung yg tumbuh disana sini agar tidak merebak dan menjangkiti orang lain. Kalau di zaman saidina Umar beliau sgt menghormati, menyanjungi dan berterima kasih kepada org yg sanggup membetulkannya dgn pedang (dikhalayak ramai pulak tu... kalau zaman skrg ni internet/blog/dsbnyalah...) masih adakah pemimpin PAS mcm tu skrg ini? Cuba muhasabah diri, jgn asyik meminta ahli sahaja bermuhasabah. Ust zol bercerita tentang kelemahan parti... beliau bukannya menceritakan tentang rahsia parti. Kalau dok cerita kita kuat, hakikatnya tidak... itu pun tak betul juga. Asyik mengharapkan kelemahan musuh, tetapi lupa kelemahan sendiri... itu lagi teruk. Apa program merakyatkan Pakatan Rakyat di Perlis?... ceramah je ke? Kuliah je ke? itu je modal yg ada? Mana pendekatan PAS dgn Keadilan dan DAP? PAS boleh menang sorang-sorang je ke? Mana dia program pendekatan PAS dengan org Melayu, Cina, India, Siam dsb? Itu yg sewajarnya pimpinan Perlis fikirkan. Jgn mengharapkan kemenangan dgn mencula seorang diri di rumah. Ramai ustaz2, profesional2 dr Perlis... tapi kemana mereka sekarang ini? Mana perginya Utz Abdul Aziz Hanafi? Utz Hassan Mahmud Alhafiz, Ust Hassan Din, Utz Hashim Yahya dll? Kenapa PAS Perlis tak manfaatkan tenaga-tenaga seperti ini? Sewajarnya Ust Hashim selaku Pesuruhjaya memikirkan sesuatu tentang mereka ini. Apa yg saya lihat seorang demi seorang menjauhikan diri dari saf pimpinan Perlis. Kenapa terjadi sedemikian rupa? Adakah mereka tidak sudi atau pimpinan yg ada tidak mau berundur memberikan laluan kepada yg lebih layak. Asyik2 muka lama yg jadi calon dgn alasan tak ada orang dsb. Alasan yg sangat dangkal! Bukan MARAH... NASIHAT...

May 27, 2010 5:58 PM

Wednesday, May 26, 2010

PAS Perlis: Jika Sudi Bacalah!

Membaca laporan Malaysiakini ‘PAS sasar kuasai Perlis’, saya cuba mencari jawapan kepada beberapa soalan berikut:

1. Lapan kerusi yang disasarkan oleh PAS Perlis itu, kerusi mana? Mengapa kelapan-lapan kerusi itu dirahsiakan?

2. Adakah PAS Perlis telah mempunyai jentera pilihanraya yang mampu menyerang (attack) dan bertahan (defence) untuk memenangi lapan kerusi sasaran itu?

3. Adakah jentera PAS untuk lapan DUN yang disasarkan itu benar-benar wujud atau hanya wujud di atas kertas sahaja?

4. Adakah PAS Perlis akan menang bergantung kepada percakaran Umno sesama mereka, atau menang atas kelemahan ‘musuh’ dan bukan atas kekuatan sendiri?

5. Adakah benar pengundi bukan Melayu di Perlis akan ‘swing’ macam pengundi bukan Melayu di Perak atau terbaru di Sibu? Kalau ya, apa indikator yang digunakan?

SATU - Saya sukar untuk menebak (jangan ada yang baca menembak pula) lapan kerusi DUN yang disasarkan itu. Apa yang hampir pasti tentulah bukan Titi Tinggi kerana kerusi ini secara status quonya milik PKR (walau pun calon PAS bertanding atas tiket bebas di situ pada PRU 12 yang lalu). Tidak mustahil kerusi ini akan turut diminati oleh DAP pada PRU 13 akan datang.

Bukan juga Indera Kayangan (PKR) dan Beseri (PKR). Boleh jadi juga kedua-dua kerusi itu turut dipinang DAP. Sementara Tambun Tulang, Pauh, Mata Ayer, Chuping dan Kuala Perlis, walau pun ditandingi oleh PAS pada PRU 12 yang lalu, semua kerusi itu berstatus ‘kelabu’ kepada PAS.

Hanya empat kerusi sahaja berstatus ‘cerah’ iaitu Sanglang, Guar Sanji, Simpang Empat dan Santan. Namun ‘track record’ kerusi Santan kurang meyakinkan kerana pada PRU 10, PAS menang dengan majoriti 269 undi tetapi kalah dalam PRU 11 dengan 500 undi lebih dan kalah lagi dalam PRU 12 dengan 700 undi lebih.

Kemenangan PAS di Simpang Empat pula lebih didorong oleh faktor penolakan kepada calon BN. Maksudnya, kalau BN mampu menampilkan calon yang ‘disukai ramai’, tidak mustahil kerusi itu kembali kepada mereka semula pada PRU akan datang.

Kerusi Sanglang memang dimenangi PAS semenjak tiga penggal, namun majoriti kecil meletakkan kerusi itu tetap dalam situasi panas.

Kecuali di Bintong, PAS pernah menang tanpa bertanding suatu masa dulu, kerusi-kerusi lain seperti Sena dan Kayang, tidak salah untuk meletak sasaran tetapi sehingga kini bidikan PAS untuk memenangi kerusi itu belum pernah menepati sasaran.

Justeru, kalau lapan kerusi yang menjadi sasaran itu dirahsiakan, itu memang benar. Sama ada kerana PAS sendiri belum berkeupayaan untuk melakukan bidikan tepat atau, boleh jadi juga PAS belum berupaya membidik. Sekadar baru meuar-uarkan kepada orang bahawa dia juga ada ‘senapang’.

DUA - Saya mendapat maklumat bahawa pada hari Pelancaran Gerakerja Pilihanraya Ke 13 PAS Perlis baru-baru ini, ada dua DUN yang tidak menghantar wakil langsung. Saya tahu nama kedua-duanya, tapi kurang selesa untuk mencatatkannya di sini. Salah satu daripada DUN berkenaan disebut namanya oleh pesuruhjaya PAS Perlis sebagai DUN sasaran dan berstatus cerah.

Hah, mengapa boleh jadi macam ni? DUN yang disebut nama itu ada berpuluh cawangan, tetapi tiada seorang pun wakil? DUN yang lagi satu juga berpotensi kerana jika 70 peratus pengundi bukan Melayu di situ ‘swing’, kerusi DUN itu memang milik PAS.

Di kedua-dua DUN berkenaan ada beratus ahli dan pimpinan PAS tetapi mengapa tiada wakil? Adakah majlis itu tidak penting atau dipandang tidak penting? Kalau majlis itu dipandang tidak penting oleh ahli dan pimpinan DUN berkenaan, ini tentulah mendukacitakan.

TIGA – Cerita orang Umno atau pimpinan Umno Perlis bercakar sesama sendiri bukan cerita baru. Orang Umno sendiri mengakuinya. Cerita ini sudah berpuluh, mungkin beratus episod dan boleh tercatat sebagai filem ‘top 10’ di Malaysia jika difilemkan.

Realitinya, Umno bercakar sesama mereka tetapi mereka menang juga. Hari ini Zahidi masuk team Shahidan, besok Zahidi masuk team Md Isa. Hari ini Md Isa bertelagah dengan orang Shahidan, besok orang Md Isa berbaik dengan Shahidan. Dan, entah apa-apa lagi.

Saya faham, dalam politik jika musuh bercakar, maka itu ‘advantage’ kita. Mereka bercakar tentu lebih baik daripada mereka bersatu. Ironinya, dalam keadaan mereka bercakar pun PAS tidak boleh menang dengan cemerlang, bagaimana kalau mereka bersatu?

Bagi saya percakaran sesama Umno Perlis tidak melemahkan mereka. Percakaran itu menjadi seperti geseran ketam dengan papan. Papan jadi licin dan ketam tidak haus. Mereka seperti ‘mewujudkan’ percakaran itu untuk bangkitkan sentimen ahli, mengukuh kedudukan diri, menarik simpati ahli dan mengejutkan pemimpin yang agak leka.

Atau, tidak salah rasanya jika saya katakan mereka bercakar untuk bersatu. Namun, ada waktunya sebahagian pimpinan kita mengharapkan kemenangan daripada percakaran itu. Ini sama seperti mengharapkan papan menggerutu kerana ketam atau periuk bocor kerana api.

EMPAT – Ada orang bergurau, ada dua kelompok bukan Melayu yang belum berubah iaitu bukan Melayu Johor dan Perlis. Kedua-duanya di hujung semenanjung. Adakah kerana Johor dekat dengan Singapura dan Perlis dekat dengan Thailand?

Satu perkara yang sukar ternafi ialah, golongan bukan Melayu ingin melihat ‘public figure’ atau tokoh umum. Jika mereka memenangkan sesuatu parti, siapa figura umum dalam parti itu yang bakal mentadbir negeri. Tokoh itu ada minda bisnes atau tidak atau bagaimana?

PR Perak ada Ustaz Ahmad Awang, kemudiannya Nizar. Mereka juga ada Nga dan Ngeh. PR Selangor ada Hasan Ali dan Khalid Ibrahim. PR Pulau Pinang ada Lim Guan Eng dan Mujahid. PR Kelantan ada Tok Guru, Husam, Mohd Amar dan sekian banyak lagi. PR Kedah ada Ustaz Azizan Razak, Amirudin, Fakhrulrazi dan lain-lain. PR Terengganu , usah dibilang lagi.

Atau, kita anggap saja begini; aahh…, orang, figura, tokoh tidak penting. Apa yang penting ialah parti. Tidak salah beranggapan begitu. Tetapi kita tidak boleh berkecil hati kalau golongan bukan Melayu terus menolak kita kerana mereka mahukan figura awam juga.

Soalnya, adakah PAS dan PR Perlis punya figura awam seperti dimiliki oleh PAS dan PR negeri-negeri lain. Kita kata, ada! Kalau ada, mereka dimana? Siapa mereka? Berapa ramai? Sehebat mana? Selain YDP PAS Kawasan Padang Besar yang dikira figura awam, YDP PAS kawasan lain macam mana?

LIMA – Perhatikan petanda-petanda membimbangkan ini. (1) Dua DUN tidak hadir dalam pelancaran gerak kerja pilihanraya baru-baru ini. (2) SMS yang meminta pimpinan hadir usrah juga bernada sedih. ‘Al-fadhil Naqib amat merindui semua’. Berbeza dengan dulu, ‘Program wajib hadir’. (3) Pernahkah pimpinan PAS Perlis mendengar ungkapan ini? ‘Selagi si anu si anu memegang jawatan sekian sekian, kami nak jadi pengundi sahaja’. (4) Majlis taklimat berkaitan jentera pilihanraya (?) yang diadakan di sebuah bangunan besar di kawasan Arau dihadiri oleh dua orang sahaja. (5)

Saya akur, tulisan ini memang tidak disenangi oleh sebahagian orang. Tidak mengapa, kerana apa salahnya sesekali kita mendengar sesuatu yang tidak disenangi. Saya boleh menulis untuk memuji sesiapa yang saya mahu, tetapi kata Imam Ghazali, ‘Jika ada orang melumur mukamu dengan selut, itu lebih baik daripada dia memujimu di hadapanmu’.

Saya juga tidak kisah jika tulisan ini dibakulsampahkan saja, tetapi jika ada orang yang berani memberi respon, saya sangat berterima kasih.

Soalah akhir, adakah PAS boleh menang di Perlis? Jawabnya, ya. Menang dengan satu perkataan sahaja. Apakah perkataan itu? Perkataan itu ialah ‘MIRACLE’.

* * * * * * * * *

PAS sasar kuasai Perlis

http://www.malaysiakini.com/v6/media/authors/50x50/Abdul-Rahim-Sabri.jpg

Abdul Rahim Sabri
Mei 25, 10
12:40pm

http://www.malaysiakini.com/v6/media/inside/fontsize.gif

PAS Perlis melancarkan gerak kerja Ahad lalu, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan mensasarkan sekurang-kurangnya lapan kerusi DUN bagi merampas negeri itu dari BN.

"Saya rasa tidak mustahil untuk PAS memenanginya. Manakala rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat pula dilihat berpeluang memenangi beberapa kerusi lagi," kata Pesuruhjaya PAS negeri, Hashim Jasin kepada
Malaysiakini kelmarin.

Perlis mempunyai 15 DUN termasuk dua DUN yang dikuasai oleh PAS iaitu Sanglang yang diwakili Hashim dan Simpang Empat (Rus'selle Ezlan).

Menurut Hashim, PAS telah mengenalpasti lapan kerusi yang boleh dimenanginya dalam pilihan raya umum akan dating – termasuk Sanglang dan Simpang Empat.

Bagaimanapun, beliau yang juga ahli Majlis Syura Ulama PAS 'merahsiakan' kawasan yang disasar parti itu.


Majlis gerak kerja itu dilancarkan oleh setiausaha PAS Kedah, Senator Mohamad Yusof Hussin di Balai Islam MADI di Jejawi Arau, dengan dihadiri kira-kira 300 petugas parti dari setiap DUN.

Menjawab soalan, Hashim berkata, antara faktor yang akan membantu PAS merampas lapan DUN berkenaan ialah tsunami politik yang berlaku pada 2008 serta kejayaan Pakatan mentadbir Kedah.

Satunya faKtor, katanya ialah peningkatan sokongan bukan Islam terutamanya kaum Cina terhadap PAS dan usaha berterusan menentang BN.

"Kita mensasarkan untuk memperolehi undi dari kaum Cina sekitar 70 peratus bagi setiap DUN yang disasarkan," katanya


Hashim memberi contoh DUN Sanglang di mana kira-kira 800 pengundi CINA di situ menyokong penuh BN sebelum pilihan raya umum 2008.

Tetapi, katanya, dalam pilihan raya umum lalu, sokongan kaum Cina terhadap PAS didapati meningkatkan 50 peratus.

Selain itu, katanya, PAS juga mampu merampas semula kerusi DUN Guar Sanji - yang terlepas ke tangan BN dalam pilihan raya 2004 dan 2008.

Katanya, ini ekoran wujudnya krisis kepimpinan antara "puak-puak dalam Umno" di DUN tersebut yang memberi kelebihan kepada PAS untuk mendapat sokongan pengundi di situ terutama pengundi Melayu.

"Kita sudah mula menggerakkan jentera kita. Aktiviti yang dijalankan berlangsung dengan baik dan perlu diteruskan," katanya.

Monday, May 24, 2010

DHPP: Umno Semakin Sawan

Apabila PAS menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), berbunyi suara sumbang kononnya PAS tidak mempercayai DAP dan PKR untuk mengawal orang bukan Islam yang menyokong PR. Niat suara sumbang itu ialah untuk memecahbelahkan PR. Agendanya ialah, biar PAS, DAP dan PKR ‘bertokak’ kerana isu bukan Islam ini.

Orang bukan Islam bebas untuk memilih sama ada PKR, DAP atau PAS. Amalan demokrasi membenarkan dan memberikan hak kepada mereka untuk memilih mana-mana parti sama seperti mereka berhak untuk memilih MCA atau MIC.

Selepas ini, PAS, DAP dan PKR akan menjadi parti pelbagai agama dan budaya. Sepertimana ada Melayu dan Islam dalam DAP, maka begitu juga akan ada Cina, India dan bukan Islam dalam PAS. PKR memang semenjak awal membuka keahlian kepada semua kaum dan agama.

PAS, DAP dan PKR benar-benar memenuhi aspirasi rakyat Malaysia yang tidak ingin lagi hidup dalam ‘longkang perkauman hanyir’ bikinan dan kebanggaan BN untuk sekian lama.

Selepas ini hanya komponen BN sahaja yang akan kekal dengan perkauman hanyir itu. Umno dengan Melayu-nya, demikian MCA dan MIC dengan label perkauman yang tertera nyata pada nama parti masing-masing.

Mampukah komponen BN, terutamanya Umno untuk terus bertahan dengan ‘kehanyiran’ perkauman Melayu-nya itu?

Inilah musykilah besar terkini Umno. Selepas parti itu berhadapan dengan kemerosotan sokongan Melayu, orang bukan Melayu yang dikatakan pernah menjadi tongkat kanan dan kiri Umno tidak lagi bersedia terus menongkat Umno. Jika Umno kehilangan kedua-dua tongkat ini, BN pasti tumbang dalam PRU akan datang.

Tiada apa lagi yang boleh dibuat oleh Umno untuk membendung penghijrahan orang bukan Islam ke dalam PR, kecuali dengan menggambarkan komponen PR sebagai saling curiga-mencurigai antara satu sama lain.

Salah satunya ialah, gambarkan kepada umum PAS mencurigai DAP dan PKR untuk mengurustadbir penyokong bukan Islam. Inilah modal yang Umno ada setakat ini.

Bukan mustahil Umno akan berkata, PAS lebih Cina daripada DAP, PAS lebih liberal daripada PKR dengan serangan dua laras kepada PR. Satu laras dengan tujuan menanamkan keraguan orang PAS kepada PAS dalam isu dasar atau teras PAS. Satu laras lagi dengan tujuan melaga-lagakan parti-parti komponen PR, kononnya PAS merampas ahli atau penyokong mereka.

Adakah Umno akan berjaya dengan serangan ini?

Jawabnya, tidak. Orang PAS hari ini amat mengalu-alukan penubuhan DHPP. Dan, penubuhannya sebenarnya memang ditunggu-tunggu. Penubuhan DHPP menjadikan ufuk perjuangan PAS lebih luas dan melebar selaras dengan ufuk kesyumulan Islam yang menjadi dasar PAS itu.

Sebagaimana PAS tidak pernah bimbang dengan penyertaan orang-orang Islam ke dalam PKR dan DAP, demikian juga PKR dan DAP tidak akan bimbang dengan penyertaan orang-orang bukan Islam ke dalam PAS.

Menyediakan lebih banyak ruang dan peluang adalah lebih baik daripada menutupnya. Apa yang penting mereka bersama PR.

DHPP adalah merupakan cabaran baru kepada PAS. Kita memasuki daerah baru yang serba indah tetapi mencabar. Walau apa pun cabarannya, PAS mesti memasuki daerah baru ini dengan penuh keberanian. Keberanian ini menggambarkan kita semakin kuat.

Inilah kekuatan kita dan inilah kelemahan Umno. Apabila Umno meuar-uar bahawa parti itu adalah Melayu totok, hari ini Umno sedang menanggung padah dan akibatnya. Parti itu hari ini tenggelam dalam kebusukan perkauman bikinannya itu.

Umno hilang kebergantungan kepada orang Melayu kerana orang Melayu sudah tahu bahawa Umno hanya memperalatkan Melayu untuk tembolok pemimpinnya. Hilang kebergantungan kepada Cina dan India, kerana kedua-dua kaum itu juga sedar mereka diperalatkan oleh Umno untuk menakut-nakutkan dan berkelahi dengan Melayu.

Semuanya; Melayu, Cina dan India selama 50 tahun diperalat untuk memenuhkan tembolok pemimpin Umno dengan khazanah kekayaan negara yang mereka punggah dengan kuasa.

Tuesday, May 18, 2010

Antara Bung Dan Menteri Itu: Siapa Patut Dihukum?

Ada dua isu. Pertama, isu ini tidak salah dari sudut agama tetapi salah dari sudut undang-undang. Kedua, isu ini salah dari sudut agama dan salah juga dari sudut undang-undang. Mereka yang bersalah dalam kedua-dua isu berkenaan wajar dihukum samada dengan undang-undang dunia atau agama.

Berkahwian tanpa kebenaran pihak berkuasa adalah salah dari sudut undang-undang tetapi tidak dikira salah dari sudut agama. Bung dan Zizie bebas bersama dan bersekali semenjak sekian lama. Mereka dihadapkan ke mahkamah bukan kerana kesalahan berkaitan agama tetapi pelanggaran undang-undang dunia.

Meluluskan lesen judi pula adalah bersalah dari sudut agama dan undang-undang dunia. Dari sudut agama mana boleh sesuatu yang haram dilesenkan. Dari sudut undang-undang dunia pula mana boleh sesuatu yang menimbulkan kerosakan dalam kehidupan bermasyarakat dilesenkan.

Lantaran itu tindakan menteri berkenaan yang meluluskan lesen judi bolasepak kepada Berjaya adalah salah dari sudut agama dan undang-undang.

Ironinya, menteri berkaitan bersalah dalam dua undang-undang; undang-undang dunia dan undang-undang agama.

Akhbar melaporkan Bung dan Zizie dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan berpoligami tanpa kebenaran. Bung dan Zizie mungkin dikenakan hukuman. Samada hukuman itu berat atau ringan bukan isunya tetapi tentulah hukuman itu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Dalam masa yang sama pula ada sekumpulan wanita berdemontrasi mendesak Bung meletak jawatan sebagai MP Kinabatangan kerana kesalahan yang dilakukannya itu. Bagi mereka tindakan itu diluar kewajaran seorang penggubal undang-undang di samping dikira menjatuhkan maruah wanita.

Kalau Bung yang melakukan kesalahan kepada satu undang-undang bakal dikenakan hukuman, kenapa menteri berkenaan yang melakukan kesalahan kepada dua undang-undang tidak dikenakan hukuman?

Pada hal, berbanding kesan kesalahan yang dilakukan, kesalahan Bung hanya melibatkan dia dan isterinya sahaja sedangkan kesalahan menteri berkaitan melibatkan 28 juta rakyat Malaysia.

Kalau pihak berkuasa agama berani menghadapkan Bung ke mahkamah, mengapa mereka tidak berani menghadapkan menteri berkenaan ke mahkamah? Kerana menteri itu adalah menteri dan Bung bukan menteri?

Salah Bung tidak sebesar mana berbanding salah menteri berkaitan. Saya tidak berkata Bung tidak perlu dihukum sama seperti saya tidak berkata menteri itu tidak perlu dihukum. Mereka perlu dihukum berdasarkan kesalahan masing-masing.

Mengapa salah Bung berpoligami orang nampak sangat dan salah menteri meluluskan lesen judi bola sepak orang tak berapa nampak sangat? Adakah kerana poligami adalah janggal kepada masyarakat Malaysia dan judi pula bukan janggal? Kalau rakyat Malaysia nampak begitu, memang kes berat.

Walau pun Bung bersalah, saya tetap mendoakan kebahagiaan dia dan isterinya. Mereka melakukan perkara yang baik dan bagus walau pun ada orang yang nampak itu tidak bagus. Itu menjadi tidak bagus hanya kerana dilakukan tanpa kebenaran.

Menteri yang meluluskan lesen judi itu walau pun tidak bersalah, saya mengutuknya habis-habisan. Tiada doa kebaikan untuknya. Jika sejuta orang bakal rosak dengan kebenaran berjudi itu, saya berharap sejuta keburukan juga menimpa menteri itu.

Biar dia dihukum oleh kesalahannya sendiri walau pun dia tidak dihukum oleh manusia yang mampu menghukum.

Thursday, May 13, 2010

Masa Depan Kita Dalam Tangan BN

“Masa depan anak-anak kita berada dalam tangan BN…” Demikian lapor akhbar mengenai ‘pemasyhuran’ wanita BN di Sibu.

Maksudnya rezeki mereka, kehidupan mereka, anak-anak mereka, cucu cicit mereka pada masa hadapan ‘ditakdirkan’ oleh BN.

Adakah maksudnya juga adalah BN penulis ketetapan kehidupan manusia di Luh Mahfuz?

Saya teringatkan kempen PRU lalu di sebuah felda di kawasan Parlimen Padang Besar. Seorang mak cik dengan tegas berkata kepada juru kempen muslimat, “Biar mak cik masuk neraka pun tak pa. Mak cik tetap nak undi BN.”

Saya tidak berhasrat mempersoalkan aqidah sesiapa. Namun apabila kenyataan sebegitu terbit daripada mulut orang Islam, ‘gayat’ juga jadinya.

Nampaknya negara kita bukan sekadar berhadapan dengan kegawatan ekonomi dan kegawatan politik tetapi kegawatan aqidah juga.

Kegawatan ekonomi dan politik ditangani oleh PM. Soalannya, adakah PM itu juga turut menangani kegawatan aqidah?

Jawabnya, tidak. Mengapa saya kata tidak? Kalau ya, tentulah judi bolasepak tidak dilesenkan.

Wednesday, May 12, 2010

Bawalah Politik Ke Masjid, Apa Maksudnya?

Otak saya keras berfikir maksud ungkapan ‘Bawalah Politik Ke Masjid’. (Baca sini). Tulisan ini bagus jika dibaca secara selari dan mendatar. Ideanya penulisnya adalah benar dan sahih. Saya tiada masalah menyokong idea itu dan mempertahankannya.

Namun, apa sebenarnya maksud membawa politik ke masjid? Adakah maksudnya menyebut PAS Umno dalam masjid? Atau, berkempen pilihanraya dalam masjid? Atau, adakan ceramah kempen parti politik dalam masjid? Atau, jadikan masjid sebagai pusat mengundi?

Nabi melarang mengumumkan barangan hilang dan berniaga di dalam masjid. Para ulama juga memakruhkan menjalankan perbicaraan di dalam masjid. Wanita ‘berbulan’ dilarang duduk lama di dalam masjid sekiranya itu mengotorkan masjid. Membaca al-Quran dengan lantang juga terlarang di dalam masjid.

Mengapa?

Mencemarkan masjid secara fizikal atau maknawi adalah terlarang, kerana semua perbuatan itu mengalihkan perhatian manusia daripada menjadikan masjid sebagai tempat tumpuan ibadah.

Bagaimana pula dengan membawa politik masuk ke dalam masjid?

Saya fikir, kalau maksud membawa politik ke dalam masjid itu maksudnya membawa masuk ‘ilmu politik’, tentu itu tiada pertikaian lagi. Itu sama sahaja dengan membawa masuk ilmu perniagaan, ilmu peperangan, ilmu membunuh orang (Qisas) dalam masjid.

Tetapi kalau berniaga di dalam masjid di larang, bolehkah berkempen parti politik dalam masjid?

Asas larangan berniaga di dalam masjid ialah, perniagaan membuka ruang pertikaian, perbalahan. Kalau berkempen parti politik di dalam masjid boleh menimbulkan pertikaian dan perbalahan, patutkah itu dibenarkan?

Kalau sekiranya menyebut PAS Umno dalam masjid boleh menimbulkan perbalahan, patutkah itu dibenarkan? Kalau berceramah kempen parti politik dalam masjid menimbulkan perbalahan dan pertiakaian, patutkah dibenarkan juga?

Di zaman nabi, ada orang Habsyah bermain pedang di dalam masjid baginda. Aishah menontonnya dengan dagunya diletakkan di atas bahu nabi. Tiada larangan daripada nabi.

Kalau bermain pedang dibenarkan, takkan ceramah kempen politik kepartian tidak dibenarkan pula? Berlatih pedang di dalam masjid memang bahaya tetapi itu tidak menimbulkan perbalahan. Itu hanya sekadar bermain.

Tetapi ceramah kempen politik dalam masjid menimbulkan perbalahan, pertikaian, patutkah dibenarkan? Atau, apa sahaja ceramah yang boleh menimbulkan perbalahan di dalam masjid patut dibenarkan?

Saya faham fungsi masjid di zaman nabi. Masjid adalah institusi ummah. Kalau di pasar kita berbalah, di ladang kira berbalah, di parlimen kita berbalah, kalau di masjid juga kita berbalah, dimana kita ingin berhenti berbalah?

Bagi saya, membawa masuk politik ke masjid bermaksud membawa masuk ‘ilmu politik’. Bukan kempen parti politik, ceramah parti politik, atau jadikan masjid tempat membuang undi.

Cuma malangnya ialah, bagi Umno membawa masuk ‘ilmu politik’ ke dalam masjid tak boleh, malah sebut perkataan politik pun tak boleh.

Monday, May 10, 2010

Mengapa Ada 'Musang' Dalam PAS?

Ayam biasanya adalah santapan musang. Walau pun musang bijak, tetapi memerangkap ayam bukanlah kerja senang. Silap perkiraan, mata musang menjadi buta dipatuk ayam bapak.

Justeru musang perlu mempelbagaikan taktik untuk memerangkap ayam. Salah satu taktik berkesan ialah menyusup masuk ke dalam reban ayam dengan rupa ayam.

Maksudnya, musang perlu berlagak, berkokok, melompat, mematuk, mencakar, dan paling penting berbulu ayam untuk mengelak diperasani oleh ayam bahawa yang masuk adalah musang.

Di zaman nabi wujud manusia bernama Ibnu Ubai. Adakah nabi tidak tahu Ibnu Ubai adalah ‘musang’? Nabi tahu, cuma bertindak ke atas ‘musang’ adalah sukar. Nanti dituduh sebagai bertindak ke atas sahabat sendiri.

Perlu diakui dalam PAS juga ada ‘musang’. Ada ‘musang’ yang dibiayai untuk menjadi ‘ayam’. Ada juga ‘musang’ yang menjadi ‘ayam’ untuk menarik perhatian musang sebenar supaya dia diterima dengan istimewa dalam kalangan musang.

Mengapa ada ‘musang’ di dalam PAS?

Pertama, orang PAS baik-baik dan bersedia menerima sesiapa sahaja menjadi kawan. Kedua, PAS perlukan ramai petugas. Ketiga, PAS memerlukan kebolehan yang pelbagai. Keempat, PAS kekurangan sumber kewangan. Kelima, PAS ingin dilihat sebagai parti yang terbuka. Dan banyak lagi.

Sesiapa sahaja yang sanggup bersama PAS, bertugas untuk PAS, ada kebolehan yang berlainan dan bersedia bekerja dengan pembiayaan yang minimum, dengan senang hati orang itu diterima untuk bertugas dengan PAS.

Apatah lagi jika yang tampil itu adalah bekas atau berpura-pura menjadi bekas orang parti lawan. Dia diterima dengan lebih senang hati. Bahkan kadang-kadang dilayan melebihi orang PAS asal atau lama.

Sikap sebegitu betul dan tidak salah. Cuma, dengan apa yang berlaku kebelakangan ini kepada PAS, nampaknya PAS perlu lebih berhati-hati atau lebih hazar (berjaga-jaga).

Kalau Rasulullah pernah ‘ditegur’ oleh Allah supaya baginda tidak mengalihkan perhatian daripada para sahabat setia baginda walau pun mereka miskin dan lemah, apa salahnya PAS juga diingatkan supaya jangan terlalu ghairah dengan mereka yang ingin berkhidmat kepada PAS tanpa langkah berjaga-jaga.

Harap-harap selepas ini semakin banyak ‘musang’ yang terlondeh bulu ayamnya dan mendedahkan identiti sebenarnya bahawa dia adalah musang.

Friday, May 7, 2010

Bila Cinta Bertasbih

Ini bukan pasal novel ‘best seller’ karya Abdul Rahman Asy-Syirazi itu, tapi pasal lain. Saya sudah baca hingga separuh jilid 2 novel itu, tapi belum dapat menjangka klimaksnya.

Paling mustahak, tentu saya dan orang yang baca novel ini nak tahu apa kesudahan Khairul Azzam dan Althafun Nisa’. Sudikah wanita ini menerima Furqan sebagai teman hidupnya setelah diketahui lelaki itu dihinggapi HIV secara tidak sengaja?

Filemnya saya bellum berkesempatan untuk tengok. Tengoklah nanti, kalau sempat tengok, saya akan tengok.

Tapi ini cerita lain, cerita politik. Mungkin semua ternanti-nanti apa klimaks kepada ‘novel’ politik Kelantan. Watak utamanya Husam dan Kick. Isu terbaru adalah GMC dan duit RM4j. Mungkin ada isu lain lagi yang akan dimasukkan oleh Kick sebagai plot ‘novel’ itu.

Suatu masa saya pernah memberi komen agak negatif kepada Kick di hadapan seseorang. Orang yang dengar komen saya itu marah kepada saya. Hari ini, mungkin orang itu tidak marah lagi kepada saya dengan apa yang berlaku.

Dunia politik memang sukar dijangka. Seorang sahabat memberitahu, dia akan menjadi orang paling awal sampai ke tempat ceramah jika penceramahnya adalah MP Kulim. Hari ini dia marah saya jika saya menyebut nama itu di hadapannya.

Sedikit sebanyak saya boleh menjangka kesudahan novel Bila Cinta Bertasbih walau pun belum habis membacanya. Tetapi, membaca kesudahan ‘novel politik’ adalah lebih sukar.

Sebagaimana sukarnya Furqan untuk menduga dia akan dihinggap HIV angkara agen Israel yang menceroboh masuk ke bilik hotelnya, begitulah sukarnya membaca kesudahan ‘novel politik’ Husam dan Kick.

Mengapa saya berkata begitu?

Ya, Husam Musa bukan calang-calang ahli politik. Dia anak didik Tok Guru, harapan Tok Guru, tangan kanan Tok Guru. Namun, berdepan dengan Kick, dia terpaksa hadapi apa yang sedang dia hadapi kini.

Kick bukanlah sesiapa sangat, tetapi Husam terpaksa memerah otak juga untuk berhadapan dengan pendedahannya. Apa yang didedah Kick sedikit sebanyak memaksa Husam ‘adjust’ kedudukan kerusinya untuk mendapat posisi yang lebih selesa dan nyaman.

Apa pun, saya akan baca novel Bila Cinta Bertasbih sehingga tamat untuk mengetahui nasib Khairul Azzam, Furqan dan Althafun Nisa’. Novel itu ada penghujungnya.

Soalnya, adakah ‘novel politik’ terbaru Kelantan ada kesudahannya? Kalau ada, bagaimana?

Wednesday, May 5, 2010

Marak Api Jiwa Politik Yang Tidak Pernah Padam

Hampir sebulan blog ini tidak ter’update’. Bukan sengaja, bukan tidak teringat, bukan tidak ingin, bukan tidak punya kemudahan, tetapi ada halangan lain.

Marak api jiwa politik saya tidak pernah padam, walau pun kini agak ‘tersisih’. Masih punya jawatan di dalam parti, tetapi tidak lagi punya ‘semangat’ untuk beri komitmen. Semangat itu tidak padam, tetapi tidak semarak dan sehangat suatu ketika dulu.

Semangat itu bukan sengaja dipudarkan tetapi faktor sekeliling yang memudarkannya. Ibarat unggun api, bahan bakarnya masih banyak, cuma ada orang menyiramnya dengan air. Unggun itu tidak padam sebab siraman air itu pun tidak sebanyak mana, tetapi siraman itu merencatkan kemarakannya.

Apabila tiba masanya api itu akan marak kembali, insya-Allah. Apabila orang yang merenjiskan air itu kehabisan air, atau dia tidak punya kudrat lagi untuk terus merenjis, atau apabila sampai masa dia memerlukan unggun api untuk sekurang-kurangnya untuk memanaskan badan.

Saya tidak akan membiarkan marak api jiwa politik saya terus malap, malap, malap dan padam. Tidak, ia mungkin malap, tetapi tidak padam. Ia sedang marak semula bahkan dengan bahan bakar yang lebih baik daripada sebelumnya.

Benar, ‘penyisihan’ secara terhormat ini agak melukakan. ‘Dokumen-dokumen’ penyisihan terhormat ini masih disimpan rapi samada dokumen berwajah atau dokumen ‘layang’.

Suara-suara, kerlingan-kerlingan dan pandangan-pandangan ‘penyisihan terhormat’ ini masih tersimpan di rak-rak ingatan. Semua itu menjadi saksi bahawa saya tidak pernah menyisih diri, tetapi disisihkan.

Syukur, masih ada kawan-kawan yang memahami. Tersisih dari daerah A, tersedia pula ruang di daerah B. Daerah B pula nampaknya subur dan berpotensi. Ruangnya lebih luas, udaranya lebih nyaman, tidak ternafi juga beban komitmennya juga lebih besar.

Masa depan sukar diramal walau pun boleh dirancang. Perancangan Allah lebih tepat. Kini, yang terdengar, yang ternampak hanyalah suara-suara dan pemandangan-pemandangan ‘memperbaiki kerosakan’ yang sengaja dilakukan.

Bolehkah kerosakan itu dibaiki? Banyak benar faktor yang perlu diambil kira. Kalau ibarat kereta, mekanik yang sedia ada tidak mampu lagi membaikinya. Kerosakan itu memerlukan sentuhan mekanik baru yang lebih kuat dan berupaya.

Adakah Pakatan Rakyat boleh menang di Perlis dalam PRU akan datang? Entah..., ada yang sudah mula syok bahawa PR akan menang di Perlis dan turut pasang angan-angan. Tak apa, angan-angan tidak salah cuma jangan tiru Mat Jenin sudah.

Tapi jangan lupa, ada juga yang sinis. Betulkah PR boleh menang di Perlis jika begini keadaannya?