Saturday, July 31, 2010

Tolak Perpaduan: PAS Perlu Gerakkan Massa

Tersebar berita, si bekas pegawai di sebuah agensi kerajaan negeri Kelantan suatu masa dahulu mencadangkan supaya 50 buah bas dihantar ke kediaman TG Nik Abdul Aziz merayu supaya PAS – Umno berpadu.

Rayuan itu ditujukan kepada TG Nik Aziz kerana sehingga kini dikatakan TG adalah penghalang kepada perpaduan itu.

Cadangnya, peserta yang akan memenuhi bas itu adalah orang awam kerana menurut si bekas pegawai itu, orang-orang politik tidak boleh diharapkan lagi dalam usaha ini.

Umno akan memanipulasi suasana ini. Untuk menghantar 50 atau 100 buah bas ke rumah MB Kelantan itu adalah mudah sahaja.

Sediakan duit tambang, duit makan, elaun harian, berpusu-pusulah orang Umno yang akan naik bas itu. Untuk menaikkan semangat mereka, provokasikan sedikit bahawa kerja berhimpun di rumah TG ini adalah kerja demi Melayu dan Melayu.

Mengapa Umno sanggup buat begitu?

Umno cuba untuk menggerakkan massa dengan idea perpaduan ini. Biar umum nampak bahawa kemahuan perpaduan ini bukan kemahuan Umno tetapi kemahuan massa.

Jika massa berjaya digerakkan, Umno akan mendapat keuntungan politik yang besar.

Pendirian TG tidak akan berubah dengan bas-bas dan orang-orang itu jika cadangan ini berlaku. TG bersikap begitu bukan kerana kepentingan peribadinya. Pendirian itu bukan pendirian peribadinya tetapi pendirian PAS dan PR.

Cuma apa yang kelihatan ialah TG lebih terkehadapan berbanding orang lain dalam isu ini. TG tidak pernah beri muka kepada siapa-siapa malah pernah mengeluarkan ungkapan pedas, “Gi masuk Umnolah…”

Usaha Umno pada masa ini ialah menggambarkan kepada umum bahawa bukan Umno yang tidak mahukan perpaduan tetapi PAS dan ketuanya ialah TG Nik Abdul Aziz.

Di samping menanam kebencian umum kepada TG dan PAS, Umno berharap dengan sentimen itu sokongan Melayu kepadanya akan pulih semula.

Perlukah PAS membiarkan sahaja usaha ini? Jawabnya tidak. Walau pun PAS tidak perlu berhabis-habisan sangat dengan kerja-kerja bebal perpaduan ini, ia tidak boleh dipandang mudah.

Tidak mustahil sesuatu pembohongan jika diulang-ulang beribu kali, akan ada yang menerimanya sebagai suatu kebenaran.

Umno akan ‘make-up’ isu perpaduan ini sehingga dipandang cantik. Pada masa itu tentu ada sahaja yang terpikat.

Belacan yang busuk itu pun dikatakan sedap apabila acap dimakan, mustahilkah idea perpaduan PAS – Umno tidak akan diterima jika terus didendangkan?

Nampaknya, buat masa ini Umno cuba menggerakkan massa untuk menerima idea perpaduan itu. Jika idea ini dapat diterima massa, pada waktu itu PAS tentu berhadapan laluan sukar.

PAS juga perlu menggerakkan massa untuk menentang idea perpaduan PAS – Umno ini. Maksudnya, usahakan supaya penolakan idea perpaduan PAS – Umno menjadi idea rakyat, bukan semata-mata idea PAS.

Kalau perlu, jika Umno menghantar 50 buah bas ke rumah TG Nik Abdul Aziz, PAS perlu menghantar 100 buah bas. Bukan sekadar ke rumah TG tetapi juga ke kediaman rasmi Najib, ke parlimen, ke Putrajaya.

Tunjukkan, gahkan kepada kepada umum bahawa rakyat Malaysia tidak lagi memerlukan Umno. Usaha menyelamatkan Umno melalui idea perpaduan ini ditolak oleh rakyat.

(Nota: Gambar di atas adalah ehsan skrin al-Bakistani)

Thursday, July 29, 2010

Bolehkah PAS Perlis Menang? - Bah 1

PERTAMA – SERIBU KEMAAFAN

Maafkan saya sekiranya apa yang akan dituliskan ini akan mengganggu emosi sesetengah orang. Adakah boleh saya buat kerja lain selain daripada mengkritik? Jawabnya boleh dan saya memang banyak kerja khusus yang perlu dibuat termasuk bergerak ke merata tempat sebagai sebahagian tugasan rasmi saya.

Namun jiwa politik saya tidak pernah padam. Saya mengikuti perkembangan politik setempat dan nasional dengan begitu rapat.

Mungkin ada satu atau dua maklumat dalaman yang tidak sampai kepada saya, hal itu sama sahaja dengan satu dua maklumat luaran yang tidak sampai kepada pimpinan parti.

Kalau pimpinan boleh berkata PAS boleh menang dengan maklumat dalaman yang mereka ada, saya pula boleh bertanya dengan maklumat luaran yang saya miliki, “Betulkah PAS Perlis boleh menang?” Maksudnya, akses maklumat adalah seimbang cuma berbeza dimensi.

Maafkan saya juga kerana menggunakan saluran ini untuk mengemukakan pandangan dan krtitikan. Tidak adakah ruang lain? Jawabnya ada tetapi pintu ke ruangan itu tertutup dan saya tidak punya upaya dan kemudahan untuk membukanya.

Buat masa ini, hanya ruangan ini sahaja yang terbuka untuk saya. Ruangan ini dibiayai oleh diri saya sendiri, bukan orang lain.

Maafkan saya juga kerana mungkin akan dianggap sebagai ‘bertindak merosakkan jamaah’. Sama ada tindakan saya akan menjadi wahana perosak atau tidak, bergantung kepada bagaimana tulisan ini dinilai.

Tebuan mungkin berbahaya apabila bersarang berdekatan rumah kita, tetapi kalau tuan rumah adalah pengail, anak tebuan sangat diminatinya sebagai umpan.

Tulisan ini adalah dalam posisi saya sebagai ‘bukan pemimpin’.

KEDUA – SOALAN PEMINAT CERAMAH

“Ust, tak dak ceramah ke dimana-mana?” Saya fikir ini soalan popular daripada orang ramai bukan sahaja kepada saya, bahkan kepada orang lain juga. Biasanya penanya adalah penyokong tegar PAS, rendam tidak lemas dan bakar tidak hangus.

PAS buat apa pun orang sebegitu tetap undi PAS. Siapa pun yang pimpin PAS, orang itu tetap undi PAS. Letaklah calon macam mana pun, PAS juga dipangkahnya.

Berapa ramai orang sebegitu? Katakan 10,000 orang. Bagaimana dengan 120 ribu pengundi lagi? Adakah begitu juga? Jawabnya, tidak.

Adakah mungkin orang sebegitu berjumlah 100 ribu orang? Jawabnya mustahil kerana kehadiran ceramah PAS paling ramai adalah 10,000 orang sahaja (kecuali satu ceramah kerana suatu insiden yang tidak selesa untuk disebut di sini suatu masa dulu).

Bagaimana kalau baki pengundi lagi bertanya begini pula? Siapa pemimpin PAS Perlis? Siapa bakal calon PAS Perlis? Kalau PAS menang siapa bakal MB dan exco?

Kita memang ada jawapannya, tetapi persoalannya ialah adakah jawapan itu mampu memenuhi citarasa orang selain 10,000 orang tadi?

Saya tidak memohon supaya dibariskan kepimpinan PAS peringkat negeri kemudian diklasifikasikan mereka, itu permintaan melampau. Menyanggahi akhlak, tetapi jika diminta berbuat begitu, bagaimana?

Saya akui dengan jujur, memang ada kepimpinan PAS negeri yang saya kenali berwibawa, berilmu, kuat bekerja, berwawasan, berfikiran jauh, berminda strategik. Mereka adalah sahabat saya dan kami pernah bekerja bersama. Namun berapa kerat?

Paling penting, adakah mereka berada di hirarki kanan? Penting juga, adakah pandangan mereka didengari? Atau, mereka sekadar diletakkan untuk tidak dipandang negatif?

Suara dan pandangan siapa yang didengar sebenarnya? Suara mereka atau suara siapa-siapa? Adakah suara orang yang didengar itu mampu memenuhi citarasa selain 10,000 yang menjadi peminat ceramah tadi?

Wednesday, July 28, 2010

Tujuk Kepelikan Dunia


PELIK SATU

Hassan jumpa Harussani. Mengapa pelik? Ya, dalam banyak-banyak mufti, Harussani yang Hassan pilih.

PELIK DUA

Farah Azlina berkenan kepada Saiful. Mengapa pelik? Ya, dalam banyak-banyak jejaka, Saiful yang Farah berkenan.

PELIK TIGA

Melayu berpecah. Mengapa pelik? Ya, dalam banyak-banyak bangsa, Melayu yang dihebohkan berpecah.

PELIK EMPAT

Pepaduan PAS – Umno. Mengapa pelilk? Ya, dalam banyak-banyak parti di Malaysia, PAS yang diajak oleh Umno untuk bersatu.

PELIK LIMA

Tidak bersetuju dengan pemimpin. Mengapa pelik? Ya, dalam banyak-banyak perkara di dalam PAS, tidak bersetuju dengan pemimpin akan dikata tidak wala’.

PELIK ENAM

Menang pilihanraya. Mengapa pelik? Ya, dalam banyak-banyak pertandingan, menang pilihanraya yang diidamkan tetapi persediaan untuk menang tidak setara mana pun.

PELIK TUJUH

Cantas-mencantas. Mengapa pelik? Ya, dalam keadaan ramainya saingan politik yang boleh dicantas, kawan sendiri juga yang dipilih.

Friday, July 23, 2010

Panjang Sangatlah...

Dipetik daripada Sinar Harian, Timbalan Mursyid Am PAS berkata:

“Jangan buang masa bercakap perkara yang tak akan kemana-mana, sebaliknya kedua-dua pihak harus memberi tumpuan kepada apa yang diperkatakan itu.”

“Umat Islam khususnya orang Melayu perlu kepada penyatuan ummah, tetapi perkara itu perlu bermula dari akar umbi termasuk seluruh lapisan pemerintah dan dasar pemerintahan.”

“Kita tetap dengan dasar yang sama dan tidak akan mengubahnya. Kalau mereka mahukan kerjasama terlaksana dengan segera, pertimbangkan dan ubah dasar dengan segera.”

“Kita sedia maklum, jika umat Islam khususnya bangsa Melayu disatukan, kita yakin akan menjadi satu kelompok yang paling kukuh untuk perpaduan umat. Jadi, utamakan dasar dahulu sebelum memikirkan untuk bersatu.”

Jawapan di atas panjang sangatlah, berjela-jela. Saya mengaku saya sukar memahaminya dengan baik. Mungkin kerana saya tidak cukup upaya untuk memahaminya.

Pertimbangkan dasar, ubah dasar pemerintahan, umat Melayu disatukan, kita akan jadi kelompok kuat, utamakan dasar dahulu… hah, saya letih membaca berulang kali untuk memahaminya.

Kalau saya tidak faham tidak mengapa kerana saya tidak akan mentakwilnya dengan takwilan yang buruk.

Masalahnya ialah, jika jawapan yang panjang sebegini dibaca oleh orang yang berkepala Umno, takwilannya ialah seperti takwilan mereka terhadap tulisan salah seorang pemimpin PAS sebelum ini.

Betul, saya sangat bersetuju dengan seorang ungkapan seorang sahabat saya, “Orang PAS pantang nampak wartawan, semuanya nak diulas.”

Thursday, July 22, 2010

Betul, Tetapi Bukan Masanya

Sesuatu yang benar jika dipersembahkan pada masa yang salah, akan dianggap salah. Kebenaran hendaklah diletakkan pada masa yang benar dan di tempat yang benar.

Al-Quran adalah benar. Ya, wahyu Allah. Tetapi jika dipersembahkan dengan cara yang salah dan masa yang salah, kesannya tidak seperti mana yang diharapkan.

Seruan ‘aslim taslam’ adalah benar tetapi seruan itu tidak patut ditujukan kepada Umno buat masa ini. Kenapa? Kerana Umno akan menakwilkannya sebagai ajakan kepada perpaduan PAS – Umno. Dan, itulah apa yang berlaku sekarang.

Doa makan adalah benar tetapi jika dibaca ketika menaikan kenderaan, itu akan dikata sebagai suatu kesalahan. Bukan doa itu salah, tetapi doa itu diletakkan di tempat yang salah.

Ini bukan masa menunjuk baik dengan pemimpin Umno, bukan masa ‘bermujamalah’ dengan mereka, tetapi masa menyerang dan ‘bermujadalah’.

Pada masa ini, hulurkan apa sahaja Umno akan menyambutnya. Gunakan ungkapan apa pun samada perbincangan, plan damai, duduk semeja, G to G… semuanya akan ditakwil oleh Umno sebagai perpaduan PAS – Umno.

Bagi saya, untuk ketika ini, menjadi suatu ‘kesilapan’ apabila ada pemimpin PAS menulis mengenai plan damai PAS – Umno. Kita boleh berkata Umno tersalah tafsir, tetapi bagi Umno itulah tafsiran yang benar.

Mengapa Umno menafsirkannya begitu? Kerana jalan pemikiran penulisnya mendorong Umno menafsirkannya begitu. Sesiapa pun yang berkepala Umno akan menafsirkannya begitu.

Bilakah seruan ‘aslim taslam’ ini patut dikumandangkan?

Setahu saya ungkapan itu adalah kandungan surat Nabi kepada maharaja Rom, Hercules. Pahlawan yang berhadapan dengan Hercules adalah Abu Sufyan. Maksudnya, peristiwa ini berlaku selepas keislaman Abu Sufyan, yakni selepas pembukaan Kota Makkah dan Islam sudah berkuasa.

Itu relevannya. Saya bukan bermaksud ungkapan ‘aslim taslam’ tidak relevan buat masa ini, tetapi latar belakang ucapan itu adalah ‘ketika Islam sudah berkuasa’.

Rupa-rupanya menjadi politikus tidak semudah menjadi guru agama di masjid, di surau atau di markas. Orang yang datang ke masjid, surau dan markas adalah orang baik-baik. Kepala mereka tidak berfikir yang buruk dan jahat.

Justeru, semua ucapan guru agama akan diterima dengan baik tanpa takwilan dan tafsiran buruk.

Namun ucapan politikus di dengar semua orang, tulisan politikus di baca semua orang. Bayangkan jika yang membaca tulisan itu adalah orang jahat, bagaimana dia mantakwilnya?

Tentulah sebagaimana pemimpin Umno mentakwil tulisan pemimpin PAS ini.