Monday, February 28, 2011

Mengapa Najib Marah al-Qardawi?

Syeikh al-Qardawi berfatwa bahawa darah Gaddafi boleh ditumpahkan kerana bertindak kejam dan zalim ke atas rakyatnya. Beliau turut berseru supaya tentera Libya tidak mendengar arahan dan perintah pemimpin kejam itu.

“Saya berseru kepada tentera Libya, jangan sama sekali mendengar arahannya supaya orang ramai di tembak. Saya katakan kepada kamu, sesiapa yang mampu di kalangan kamu untuk menumpahkan darahnya, lakukan. Sesiapa yang berupaya menembaknya, lakukan. Semua itu perlu supaya rakyat Libya boleh hidup tenang daripada kezaliman pemimpin gila ini.”

Menurut al-Qardawi, tidak harus taat kepada pemimpin dalam perkara yang menyanggahi syarak. Arahan Gaddafi supaya orang ramai di serang dengan jet pejuang adalah tindakan pencerobohan yang layak menerima hukuman bunuh.”

“Gaddafi sama sahaja dengan rakan sejawatnya daripada Mesir dan Tunisia. Dia tidak membaca sejarah. Kalau dibacanya pun tidak difahaminya. Kalau difahaminya pun tidak diamalkannya. Kedua-dua rakannya itu kecundang sebelumnya, tetapi dia tidak mengambil pengajaran.”

Jika rajin bacalah kenyataan al-Qardawi ini dalam laman webnya. Najib boleh meminta supaya Jamil Khir tolong bacakan dan terjemahkan untuknya. Kalau Rosmah ikut sama mendengarnya juga sangat bagus.

-------------------------------

El-Zahraa Inn, Sungai Petani

Sunday, February 27, 2011

Hipokrasi Umno

SATU - Kalau Syeikh al-Qardawi menerima cadangan perlantikannya sebagai Mursyid Am Ikhwan Muslimin suatu masa dahulu, adakah kerajaan Malaysia akan menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah kepada beliau?

Saya berani berkata tidak, bahkan tidak sekali-kali. Serangan Najib kepada Ikhwan dan tokoh ulama itu yang dibantah oleh pimpinan PAS membuktikannya.

Al-Qardhawi memang orang Ikhwan dan itu bukan rahsia lagi. Beliau antara produk terbaik Ikhwan. Namun beliau pernah menolak untuk memegang jawatan itu kerana baginya, suaranya lebih berkesan jika beliau tidak memegang jawatan itu.

Hasilnya ialah, suaranya berharga kepada semua pihak dan itu bukan sekadar menguntungkan Ikhwan bahkan Islam secara keseluruhan.

Namun orang tidak pernah lupa bahawa beliau adalah orang Ikhwan. Sekali lagi, serangan serentak Najib ke atas Ikhwan dan al-Qardawi membuktikan semua itu.

DUA - Calon BN di Kerdau terpaksa menunjukkan sijil yang dimilikinya kepada umum selepas dikatakan tidak berjaya menamatkan pengajian. Selepas sijil itu ditunjukkan, dia diserang lagi dengan dakwaan sijil itu diperolehi bukan dengan lulus peperiksaan tetapi dibeli.

Adakah calon Umno / BN itu akan terpilih sebagai calon jika dia bukan lepasan al-Azhar? Saya berani berkata tidak, bahkan sekali-kali tidak.

Calon Umno / BN tidak dikenali umum sebagai tokoh agama. Setahu saya, beliau tidak pernah muncul dalam acara agama berprsetij. Namun itu semua tidak penting. Apa yang penting ialah beliau lepasan al-Azhar.

Samada beliau lepas dengan pintu belakang atau depan juga tidak penting. Apa yang penting, canangkan sahaja bahawa beliau lepasan al-Azhar.

TIGA – Mengapa Umno / BN menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah kepada al-Qardawi? Mengapa Umno / BN memilih lepasan al-Azhar sebagai calon di Kerdau?

Tentulah untuk membuktikan kepada umum bahawa Umno / BN pro agama. Samada Umno / BN benar-benar pro agama atau tidak itu tidak penting. Apa yang penting ialah persepsi umum mesti dibentuk bahawa Umno / BN adalah parti pro agama.

Ada satu lagi langkah yang boleh dilakukan oleh Najib untuk membuktikan Umno / BN pro agama. Apa dia?

Ha… suruh saja si Rosmah bertudung semasa berkempen di Kerdau. Tak perlu pakai furdah, tudung sahaja sikit-sikit, nampak jambul pun tak apa, itu sudah boleh dikira bertudung versi Umno / BN. Kalau si Rosmah boleh bertudung litup, itu lebih mengagumkan.

Semua ini membuktikan apa? Ya… hipokrasi Umno / BN. Itu sahaja.

----------------------------------------------------------------------

Psssttttt…. orang kuat PAS Perlis yang tolong cetak 'poster PRU' kami tu faham ke apa itu hipokrasi? Jangan marah, nanti kena jual.

Monday, February 21, 2011

Siapa Pembikin Poster PRU Kami Tu?

Semasa sedang memandu menuju ke Merlimau, Melaka, pada hari Sabtu yang lalu (bukan urusan politik tetapi urusan kerja), telefon berdenting.

“Sebenarnya surat layang yang anta siarkan dalam blog anta tu ada lagi dua keping. Semuanya empat keping. Dua ditujukan kepada YDP Padang Besar, satu untuk anta dan satu lagi untuk bekas Ketua Dewan Ulama PAS Perlis.” Beritahu suara itu.

“Orang Umno ke yang buat kerja macam tu?.” Saya menyoal.

“Bukan, cuba anta tengok modus operandinya. Ini kerja orang PAS. Orang yang buat kerja itu ada masalah dengan YDP PAS Kawasan.” Jawab suara itu.

“Begini klunya… bla… bla… bla.” Sambung suara itu lagi.

“Ok, ana tahu, ana tahu…” Saya jawab.

Akhirnya, berdasarkan klu yang diberi itu, dan beberapa sumber lain yang dihubungi selepas itu, saya boleh mengagak orang yang melakukan kerja tak masuk akal ini.

Sesampai sahaja di Merlimau, bendera dacing sudah bergayutan di merata-rata tempat. Sayang tak sempat ambil gambar, letih benar.

Menariknya, markas PAS juga sudah mula terpacak dengan bendera yang khemah yang tersusun kemas. Dijangkakan pertarungan di Merlimau juga sengit dan menarik.

Sambung cerita tadi. Saya tidak kisah jika saya diaibkan. Ini bukan kali pertama, tetapi entah kali ke berapa.

Cuma, satu sahaja yang dikesalkan, orang yang melakukan kerja itu adalah pemimpin PAS peringkat negeri dan kawasan.

Mengapa saya berani berkata begitu? Kerana apa yang ditulisnya adalah perkara yang dibincangkan di peringkat tertinggi parti. Kalau dia bukan ahlinya, macam mana dia boleh tahu dan tulis begitu.

Jangan salahkan saya kerana mendedahkan perkara ini di sini. Inilah sahaja saluran yang saya ada. Saluran lain semuanya sudah tersumbat dan disumbat.

Tidak mustahil, blog ini akan mendedahkan pelaku perbuatan ini jika itu membawa kebaikan kepada jamaah.

Tungggguuuuuu…….Namanya bermula dengan abjad… ehem… ehem…!

Friday, February 18, 2011

Poster PRU Kami Dah Siap!



Beres....
Poster PRU untuk kami sudah siap dicetak
Dah pun dilonggok di merata-rata
Siap untuk ditampal dan ditempek
Yang bestnya...
Poster ini free...
Kah... kah... kah...

Sunday, February 13, 2011

Tabung Sekupang

PAS Perlis pernah melancarkan program Tabung Sekupang untuk PRU tahun 2004. Caranya ialah, ahli-ahli PAS dibekalkan dengan tabung rotan, dan setiap ahli yang menerima tabung itu hendaklah memasukkan 10 sen sehari ke dalamnya, jangan lebih dan jangan kurang.

10 sen itu daripada mana? Ya, lebihan beli ikan atau beli sayur atau lebihan apa sahaja. Apabila sampai hari terakhir sesuatu bulan, seorang petugas akan pergi menemui setiap ahli yang menerima tabung itu dan memungut wang terkumpul itu daripadanya.

Ada yang RM3, RM2.90, kurang atau lebih. Petugas yang mengumpul itu pula diberikan beberapa persen habuan berdasarkan jumlah keseluruhan yang terkumpul.

Ada sebahagian ahli yang mengenepikan saja tabung itu. Apabila sampai hari pengumpulan dia beri sahaja kepada petugas itu RM5 atau RM10 atau berapa yang dia suka. Cara ini tidak digalakkan kerana tidak meninggalkan kesan mendalam dari sudut kesan pengorbanan kepada parti.

Namun seingat saya selepas PRU 2008, program ini senyap sahaja, dan kalau tidak silap, kini tidak berjalan lagi. Di rumah saya tabung rotan itu masih ada cuma petugas mengumpul sumbangan tidak lagi berkunjung ke rumah. Dan, saya pun tidak memasukkan lagi sekupang sehari ke dalamnya.

Hasil program tabung sekupang ini, ada UPU yang berjaya mengumpul sehingga hampir RM10,000. Ada yang kurang dan ada yang lebih. Maksudnya, jika PAS konsisten dengan program ini, ia memang efektif. Wang yang terkumpul ini tidak diserahkan kepada calon tetapi digunakan oleh UPU sepanjang tempoh kempen.

Program ini sangat baik dari sudut menyuburkan keprihatinan ahli terhadap PAS. Tambahan pula pada waktu itu, PAS memang daif (dalam konteks PAS Perlis), semua persiapan menghadapi pilihanraya seadanya sahaja.

Ahli pula memang berasa mereka dihargai apabila mereka diminta menyumbang walau pun kecil (pada nilai manusia). Walau pun ada yang memandang remeh program ini, namun kesudahannya ia sangat berjaya.

Program ini masih relevan untuk dilaksanakan sempena PRU akan datang. Masa masih ada. Cuma jentera untuk menggerakkannya sahaja yang perlu diaktifkan semula. Gunalah tabung apa pun, samada rotan atau buluh. Atau, tin minuman ringan pun boleh, tak kisah.

Orang PAS memang suka menyumbang sekadar terupaya, cuma kadang-kadang mereka tidak disediakan saluran untuk melakukan sumbangan secara mudah. Tabung Sekupang dikira sangat relevan.

Dan, seperkara lagi, orang yang paling sesuai untuk mengaktifkan kembali program ini ialah Cikgu Adnan Din. Beliaulah 'jurutera' program ini pada ketika itu. Tahniah Cikgu Nan.

Monday, February 7, 2011

Perobohan Itu Keputusan Siapa?

Secara berterus-terang, bangunan yang dirobohkan itu ialah bangunan setingkat di MADI yang pernah menjadi bilik kelas dan asrama pelajar. Bahkan suatu ketika bangunan itu pernah menjadi bilik penginapan guru sekolah itu yang masih bujang.

Bangunan itu memang bangunan lama. ‘Foundation’nya pun hanyalah botol-botol yang disusun rapi. Setelah beberapa lama memang lantai koridornya mendap. Perkakasan tingkap memang reput dimakan anai-anai.

Setahun yang lalu struktur bumbungnya masih elok, kalau perlu hanya zingnya sahaja yang sudah reput yang perlu diganti. Tak tahulah, kalau selepas setahun sahaja habis semua struktur bumbungnya di’kenduri’kan oleh anai-anai.

Bangunan itu baru sahaja diperbaiki dan belanja pembaikannya juga besar. Lantai koridor yang mendap itu juga sudah diperbaiki. Walau pun struktur asasnya kurang teguh, kalau bangunan itu berisiko untuk runtuh, mungkin sudah lama runtuh, tetapi masih bertahan dengan baik.

Isu pertama:

Siapakah yang menentukan bangunan itu tidak selamat? Adakah ia ditentukan oleh seorang yang berkelayakan atau orang berkepentingan?

Isu Kedua:

Adakah keputusan perobohan itu dibuat oleh jamaah? Atau, keputusannya dibuat oleh individu yang ada ‘idea’ tertentu?

Isu Ketiga:

Adakah menjadi keperluan bangunan itu diruntuhkan dan keperluan itu sampai ke tahap ‘darurat’? Bukankah masih ada lagi ruang-ruang kosong di tempat lain untuk didirikan bangunan baru?

Isu Keempat:

‘Ad-darurah tuqaddar biqadariha’. Ma mi’yar at-taqdir? Wa man al-muqaddir? Hal yablugh al-muqaddir maqamahu? Apa kriteria yang digunakan untuk menetukan ukuran darurat itu? Darurat itu telah sampai ke tahap wajib diroboh atau bagaimana? Siapa penentu kriteria itu? Layakkah dia?

Isu Kelima:

Kalau benar- benar ingin merobohkan kerana kekurangan ruang, mengapa bangunan itu? Bukankah di sana ada bangunan-bangunan lain yang lebih uzur, lebih teruk dimakan anai-anai daripada bangunan itu? Mengapa bangunan itu yang dipilih?

Isunya bukan bangunan wakaf tidak boleh diroboh, dijual atau dibakar. Isunya ialah, adakah perobohan, penjualan atau pemusnahan itu benar-benar diperlukan? Isunya bukan boleh atau tidak, tetapi perlu atau tidak.

Sekiranya keperluan sampai ke tahap ‘darurat’, maka robohlah, juallah dan bakarlah. Tetapi kalau belum mencapai tahap itu, bolehkah bangunan itu dirobohkan?

Menentukan samada sesuatu bangunan selamat atau tidak bukan boleh diukur oleh sebarangan orang. Penentuannya perlu dilakukan oleh mereka yang berkebolehan.

Usah terlalu terpesona dengan penampilan lahiriah. Bangunan tinggi boleh dibina oleh sesiapa sahaja, malah tangga naik ke langit juga boleh dibuat. Orang tidak pernah memuji pembangun piramid walau pun dia hebat.

Namun seperkara lagi, jika keputusan merobohkan bangunan itu dilakukan oleh seorang sahaja, bukan oleh jamaah, atau keputusan merobohkan itu dibuat sebelum diputuskan oleh jamaah, atau jamaah membuat keputusan merobohkan bangunan itu kerana ingin membela individu yang mendahului keputusan jamaah…

Semua itu sesuatu yang sangat malang bagi jamaah ini.