Friday, March 18, 2011

Lambaian Kaabah

Ke tanah suci Makkah
Mulai 19 Mac - 31 Mac
Pohon kemaafan di atas sebarang kesilapan

Labbaikallahumma labbaik..
Labbaika la syarika laka labbaik..
Innal hamda wan nikmata laka wal mulk..
Laa syariika laka...

Monday, March 14, 2011

Berjuang Untuk Kalah?

“Pilihanraya bukan kerja utama kita. Kita ada banyak kerja yang perlu dibuat. Walau pun kalah, teruskan bekerja.”

“Tidak mengapa, walau pun kita kalah pilihanraya pun, kita tetap menang dalam perjuangan.”

“Kita bukan kalah, cuma tidak menang sahaja.”

“Walau pun kita kalah pilihanraya, sebenarnya kita berpeluang untuk berdakwah apabila menyertai pilihanraya.”

“Pilihanraya bukan matlamat kita. Kita mempunyai matlamat yang lebih besar.”

“Kita rela kalah walau pun 100 tahun lagi asalkan kita terus berjuang Islam.”

“Biarkan BN menang, kerana kemenangan mereka adalah kemenangan yang kotor. Penuh dengan tipu daya. Kemenangan itu tidak diredhai Allah.”

“Kita mesti perkukuhkan jamaah kita untuk perjuangan Islam. Kekalahan dalam pilihanraya bukan bermakna kekalahan dalam perjuangan.”

“Biarkan kita kalah, perjuangan kita adalah perjuangan yang benar. Kita mulia di sisi Allah dengan perjuangan ini.”

“Islam bukan tertegak dengan pilhanraya sahaja, Islam boleh tertegak dengan bermacam-macam cara.”

“Kita masuk pilihanraya untuk mendapat keredhaan Allah, biarlah kita kalah asalkan kita mendapat keredhaan Allah.”

“Wang ringgit kita, titik peluh kita, tenaga kita, semuanya adalah untuk Islam. Walau pun kita kalah, Allah tidak akan mensesiakan semua pengorbanan itu.”

* * * * * * * * * * *

Ucapan di atas memang membolehkan bulu roma orang PAS meremang. Apatah lagi jika diucapkan oleh pemidato handalan dengan sistem pembesar suara yang hebat. Pasti akan ada yang bertakbir. Lebih-lebih lagi jika ditambah dengan ungkapan ini:

* * * * * * * * * * *

“Perjuangan kita adalah perjuangan yang panjang, diwarisi daripada para nabi dan rasul. Kita rela berjuang walau pun seribu tahun lagi. Pilihanraya bukan segala-galanya. Kita rela kalah walau pun seribu kali lagi kerana perjuangan kita adalah perjuangan kebenaran, perjuangan Islam.”

“Apa guna menang, apa guna berjaya, jika perjuangan kita kerana dunia semata-mata. Biarlah kalah asalkan kita terus bersama Islam.”

“Kita rela syahid di medan perjuangan ini, kita rela terkorban, darah kita adalah bayarannya. Kekalahan dalam pilihanraya tidak akan menjadikan kita mundur, undur daripada perjuangan suci ini.”

Saturday, March 12, 2011

Mengapa PAS Kalah?

PAS kalah kerana pemimpin PAS masih belum memahami hakikat perjuangan PAS dan tidak menghayatinya. Mereka tidak berpijak di bumi nyata. Mereka bukan menjadi pemimpin di bumi. Mereka memimpin di awang-awangan. Terlalu idealistik.

Ringkasnya, PAS kalah kerana pemimpina PAS tidak tahu menghayati kekalahan dan tidak tahu kerja sebenar, tugas hakiki PAS. Inilah padangan saya buat pemimpin PAS yang sebegitu.

SATU – MENIKMATI KEKALAHAN

Suatu benda boleh dikatakan besar atau kecil jika dipandang dari sudut yang berlainan. Sepinggan nasi boleh mengenyangkan dan sebaliknya jika dimakan pada waktu yang berbeza. Demikianlah persepsi sama ada PAS ‘kalah’ atau ‘belum menang’ apabila ‘kalah’ dalam PRK atau PRU.

Itu saya faham. Namun untuk menafikan kekalahan PAS dengan ungkapan ‘belum menang’, dengan tujuan yang tidak pasti adalah tidak bijak. Lebih baik kita merasai kekalahan dan menikmatinya daripada kita tidak menerima hakikat kekalahan dengan gula-gula belum menang.

“Jangan sebut PAS kalah, sebab PAS cuma belum menang!” Ya, belum menang maksudnya adalah kalah. Bukankah al-Quran menyebutkan bahawa ‘bumi yang luas menjadi sempit’ dan ‘kamu berpaling lari’ ketika memperihalkan peperangan Hunain.

Bukankah kedua-dua ungkapan itu adalah ungkapan yang membawa maksud kekalahan? Justeru, kita tidak perlu takut kepada ungkapan kekalahan. PAS kalah dalam tiga PRK kebelakangan ini. PAS kalah dalam PRU di Perlis, di Pahang, di Johor, di Melaka, di bla, bla dan bla.

Katakan PAS kalah, rasai kekalahan itu, hayatinya, kemudian bangkit dan tebuslah kekalahan itu. Bukankah itu lebih baik daripada kita kalah tetapi tidak berani berkata kalah, tidak berani merasai kekalahan kemudian tidak bangkit menebusnya kerana berasa tidak pernah kalah?

DUA – SATU-SATUNYA KERJA PAS ADALAH MASUK PILIHANRAYA

Satu lagi ungkapan yang saya tidak suka ialah, “Kerja PAS bukan berpilihanraya saja, kita ada banyak kerja lain.” Membahagikan masa kepada, ‘ini masa pilihanraya dan ini bukan masa pilihanraya’ juga agak mengelirukan.

Katakan pilihanraya dihapuskan atau PAS tidak masuk pilihanraya, apa kerja PAS? Ziarah rumah ke rumah ajak orang solat di masjid? Atau, buat kem remaja pada musim cuti sekolah? Atau, masuk hutan ajak orang asli masuk Islam?

Rasanya buat masa ini, adalah mustahil pilihanraya akan dihapuskan ketika banyak negara yang mengamalkan sistem beraja sedang menuju sistem pilihanraya. Negara Brunei juga sudah wujud parti politik, dan tidak mustahil dalam beberapa dekad pilihanaraya akan diadakan untuk memilih para menteri, misalnya.

Kalau PAS tidak masuk pilihanraya pula, apa PAS nak buat? Kalau ada masanya PAS tidak masuk pilihanraya, itu bukan dasar tetapi cuma strategi. Dan, tidak masuk pilihanraya tertentu itu sebenarnya sebagai langkah untuk membakar semangat masyarakat supaya membuat lonjakan perubahan untuk pilihanraya berikutnya.

Bukan tidak masuk pilihanraya kerana dasar PAS tidak mahu masuk pilihanraya.

Masuk pilihanraya adalah kerja PAS, bahkan bagi saya adalah satu-satunnya kerja PAS. Disebabkan mahu masuk pilihanraya PAS mengadakan usrah, mewujudkan sekolah, mendirikan markas, melatih para pekerja sepenuh masa dan banyak lagi kerja-kerja lain.

Jika PAS tidak mahu masuk pilihanraya, untuk apa PAS buat usrah, buat sekolah, buat markas? Dan, kalau pilihanraya bukan kerja PAS, bahkan satu-satunnya kerja PAS, PAS tidak akan jadi PAS. Bahkan PAS tidak akan bernama PAS.

PAS jadi seperti PAS sekarang, PAS bernama PAS, PAS ada ahli seperti sekarang… adalah kerana kerja PAS, bahkan satu-satunya kerja PAS adalah masuk pilihanraya. Bahkan, saya katakan bahawa PAS wujud kerana ingin masuk pilihanraya.

Mengapa JIM wujud, ABIM wujud, PUM wujud, bukankah kewujudan mereka adalah sebagai badan sokongan kepada PAS untuk masuk pilihanraya? Hari ini bekas pemimpin JIM, ABIM, PUM ada di dalam PAS dan masuk pilihanraya. Kalau bukan pilihanraya, untuk apa mereka masuk PAS?

Buat pemimpin PAS, terutamanya pemimpin yang kanan-kanan, senior kata orang putih, tolonglah terimalah dua hakikat. Pertama, PAS kalah. Kedua, satu-satunya kerja PAS adalah masuk pilihanraya. Kalau tidak berupaya berkata sebegitu, saya katakan bahawa anda pemimpin yang tidak menghayati perjuangan PAS.

Tolonglah berpijak di bumi nyata. Pijaklah bumi dengan telapak kaki tuan-tuan bukan dengan telapak kasut Belly atau Crocodile. Pemimpin hendaklah realistik bukan sepanjang masa idealistik.

Tuesday, March 8, 2011

Melayan Komen...

Kiriman ini adalah untuk melayan komen-komen walau pun daripada orang tanpa nama. Kecuali komen yang menampakkan kerendahan minda pengomen dan bersifat provokatif, selainnya akan dilayan selayaknya.

Komen Anonymous, March 7, “Kalau PRK ada di Perlis, adakah PAS boleh menang?”

Jawabnya, tidak. Jika di Kelantan pun PAS tewas dalam PRK, adakah boleh PAS Perlis yang tidak sekuat PAS Kelantan boleh menang? Kemenangan PAS dalam PRK Arau suatu ketika dulu adalah ‘situasi semasa’ yang tidak boleh dijadikan sandaran untuk mengukur keupayaan sebenar PAS di sini.

Orang PAS Perlis memang kuat semangat, tetapi akuilah, ilmu pilihanraya masih ‘ciput’. Analoginya begini. Jika diibaratkan sebuah ketumbukan tentera, PAS di sini ada sarjan, kopral, lans kopral dan ramai prebet, tetapi tidak punya jeneral.

Komen Mohd Said, March 7, “…. PAS perlu tukar presiden…”

Jawabnya, tidak perlu. Presiden PAS yang ada masih relevan untuk memimpin PAS. Beliau punya kewibawaan tersendiri yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Diakui bahawa beliau juga ada kelemahan seperti orang lain. Namun kelemahan itu tidaklah sampai menghilangkan langsung kelayakannya untuk terus memimpin PAS.

Bukan senang untuk mendapatkan pemimpin segigih dan segagah beliau. Keupayaan ilmu dan pengalaman tetap meletakkan beliau sebagai seorang yang selayaknya diamanahkan untuk memimpin PAS.

Komen Anonymous, March 7, “… PAS hari ini sudah hilang originality…”.

Jawabnya, tidak. PAS tidak pernah hilang dan tidak akan hilang ketulinannya. Sebagaimana PAS ditubuhkan dahulu, begitulah PAS hari ini.

PAS bergerak dan beredar mengikut zaman seperti air. Jika ia melalui laluan kecil, ia menjadi kecil. Jika ia memenuhi ruangan bulat, ia berbentuk bulat, namun ia tetap air. Mungkin ada masanya ia melalui ruangan yang berlumpur, ia turut berlumpur namun itu tidak pernah menghilangkan ketulinannya sebagai air.

Jika dikatakan PAS hilang ketulinan kerana bersama DAP, itu juga salah. Kerjasama PAS dengan bukan Islam bukan perkara baru, cuma kebelakangan ini itu lebih ketara berdasarkan keperluan dan tuntutan zaman dan situasi.

Paksi PAS adalah Islam bukan seperti Umno yang tidak punya paksi. Kerjasama PAS dengan DAP tidak sama seperti kerjasama Umno dengan MCA dan MIC. Kerjasama dalam BN bukan untuk Islam tetapi untuk kepentingan penjajah yang mahukan negara ini diwarisi oleh anak didik mereka.

Komen Pemerhati, March 7, “…dan sebagai parti yang mengaku Islam…”, “… bersatulah kita sesama Islam…”

Jawabnya, PAS bukan parti yang mengaku Islam tetapi memang berpegang dan berpaksikan Islam. Kerjasama dengan DAP tidak pernah merungkai Islam dari tengkuk PAS semenjak dulu sampai kini.

Bersatu sesama Islam maksudnya apa? Bersatu PAS dengan Umno? Adakah Umno adalah parti Islam? Adakah Umno, parti asabiyyah Melayu zalim itu layak untuk PAS ‘bersatu’ dengannya. Jawabnya, tidak. Bahkan saya berani tegaskan, daripada berkawan dengan Umno, lebih baik berkawan dengan DAP.

Komen Anonymous, March 7, “…tak mahu PAS menang sebab takut dipengaruhi Anwar dan DAP…”

Jawabnya, tidak perlu takut dengan pengaruh sesiapa. PAS hanya terpengaruh dengan kebaikan. Jika kebaikan yang dibawa oleh Anwar atau DAP, maka PAS tetap terpengaruh dengan kebaikan itu.

Komen Juak Umno, March 7, “… dulu elok-elok dengan dasar yang ada, tukar pula. Hudud hilang, hilang pemerintahan Islam…”

Jawabnya, salah. Dasar PAS tidak pernah bertukar walau pun bertukar pemimpin. Hudud juga tidak hilang. Pemerintahan berteraskan Islam juga terus berjalan.

Kelantan tetap dengan pemerintahan berteraskan Islam dalam bidang kuasa yang dimilikinya. Mengapa Umno tak boleh menang di Kelantan? Sebab, rakyat Kelantan yang terkenal dengan pegangan Islam mereka terus meyakini pemerintahan PAS yang memang berteraskan Islam.

Komen Anonymous, March 7, “…Kalau nak menang join Umno …”

Jawab, tidak sama sekali. Umno hanya layak untuk disertai oleh mereka yang mementingkan perut sahaja. Kalau ada ulama yang menyertai Umno, ulama itu adalah ulama ‘perutisme’.

Tolong carikan seorang pemimpin Umno yang bebas rasuah. Najib, bersih? Muhyiddin, bersih? Hishamuddin, bersih? Zahid Hamidi, bersih? Ummi Hafilda, bersih? Rosmah, bersih?

Biar tak menang, namun bersama Umno, no… no… no!

Namun komen daripada Waris, March 8, dikekalkan dengan keasliannya. Mudah-mudahan menjadi renungan semua.

AnonymousWaris said...

Pemimpin pas tak belajar tentang human behaviour. Dia org hanya syok sendiri bila TERmenang secara tak sengaja dlm pru12 dulu. Pemimpin kena ingat... Kemenangan bukan satu perkara mudah. Untuk mempertahankan kemenangan adalah lebih sukar. Pemimpin pas perlu mengubah cara berfikir sesuai dgn zaman. Memang benar Islam itu sesuai utk semua zaman. Tetapi ada pemimpin yg tak sesuai utk semua zaman. Pas perlu menukar pemimpin yg berotak lama sesuai dgn zaman. Kalau masih mengekalkan pemimpin jenis ini maka pas akan kekal sebagai pembangkang walau 100 tahun lg. Bagaimana Islam nak ditegakkan jika begitu? Nak harap undi ahli pas? Berapa kerat sangat ahli pas yg ada?

Monday, March 7, 2011

Bakul PAS Sudah Penuh?

“Kita tidak kalah, cuma belum menang sahaja.” Kami ahli-ahli biasa PAS tidak mahu mendengar lagi ungkapan itu diulang-ulang. Entah bila ia bermula tetapi itulah ungkapannya setiap kali PAS kalah dalam pilihanraya. Ungkapan itu bukan diucapkan oleh ahli PAS biasa-biasa tetapi pimpinan PAS yang besar-besar.

Mungkin itu gurauan namun apa ertinya gurauan yang tidak membawa apa-apa manfaat. Ya, menyedapkan hati sendiri, mungkin juga. Apa pun yang pasti, gunalah ungkapan apa pun, sebenarnya PAS kalah.

Sudah lima kekalahan iaitu di Bagan Pinang, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Cuba perhatikan pula keputusannya, bukankah keputusan semua kekalahan itu, bukan sahaja kekalahan tetapi dengan peningkatan majoriti untuk BN.

Ada lagi, undi untuk PAS di saluran 3, 4 dan 5, saluran orang muda juga tidak memihak kepada PAS. Malah, dalam PRK sebelum ini pun dikatakan undi daripada bukan Melayu juga turut merosot. Maksudnya, kalau saluran 1 dan 2, saluran orang gigit mi tak putus tidak memihak kepada PAS ditambah dengan saluran 3,4 dan 5 serta bukan Melayu juga sama, bagaimana masa depan PAS dalam PRU 13?

Kita boleh menyalahkan BN, menyalahgunakan media, jentera kerajaan, ugut dan beli pengundi, provokasi dan banyak lagi, itulah namanya BN. Kalau masuk pilihanraya dengan penuh rendah diri dan tanpa taktik jahat, itu bukan BN namanya.

Kita tidak boleh hanya menjawab soalan yang bermula dengan apa, siapa dan dimana sahaja tetapi perlu berani menjawab soalan mengapa? Ya, mengapa.

Dan, seperkara lagi, adakah orang kuat PAS tahu bahawa ada penyokong PAS yang berkata begini, “Nasib baik PAS tidak menang.? Juga ada yang berkata begini, “Aku harap PAS tidak menang di ******.” Mengapa? Dia menyambung, “Memburukkan keadaan, menjatuhkan imej Islam.”

Saya boleh menjangkakan, tulisan ini akan mengundang dua persepsi. Pertama, “Hang hanya pandai komplen dalam blog, hang buat apa?” Kedua, “Tulisan hang ini mendedahkan keburukan PAS, apa untungnya PAS?”

Kalau ibarat perlawanan bolasepak, ‘bakul’ PAS sudah hampir penuh menampung hasil rembatan pasukan lawan. Dan, kalau ada lagi perlawanan selepas ini, mungkin ada orang berkata, “Siap bakullah…”

Sesuatu perlu dilakukan. Jangan harapkan keajaiban. Benar, doa adalah senjata tetapi senjata itu perlu diasah dan ditajamkan. Ia juga perlu berada di tangan orang yang bijak, bukan orang yang tidak tahu menggunakan senjata.

Saturday, March 5, 2011

Ruang Dakwah Di Luar Lingkungan Biasa

Malam tadi, jam 8, di Dewan Seminar Pustaka Miri, Miri, Sarawak, saya berpeluang bercakap mengenai MLMS dalam Seminar MLMS HPA. Walau pun kehadiran peserta hanya sederhana sahaja, namun saya sangat gembira kerana ada juga peserta non Muslim yang menyertainya.

Apakah MLMS? Multi Level Marketing Syariah, sistem pemasaran pelbagai aras berasaskan Islam yang dipelopori oleh HPA. Saya tidak menyangka akan ada non Muslim yang bersedia menyerahkan diri untuk mendengar mengenai Islam bersama orang Islam.

Segala puji bagi Allah, saya dapat bercakap mengenai rahmat Islam kepada semua peserta. Saya tegaskan bahawa Islam sentiasa memuliakan anak Adam. Berlainan agama bukan bermakna kerjasama tidak boleh dijalin untuk kepentingan dan kesejahteraan manusia sejagat.

Darah manusia semuanya merah, mereka berpijak di atas bumi yang sama dan bernaung di bawah langit yang sama. Rahmat Islam, kebaikan Islam, kesejahteraan yang didokong oleh Islam adalah untuk semua. Sebagaimana orang Islam berhak mendapat rahmat Islam maka non Muslim juga berpeluang luas mendapat nikmat itu dengan syarat Islam diberi tempat dan peluang.

Sektor muamalat adalah sektor yang sangat berpotensi untuk menampilkan kebaikan Islam. Banyak pihak yang menjadi mangsa penipuan dan penindasan apabila sektor ini tidak disinari dengan hidayah Islam.

HPA tampil mempelopori MLMS untuk memberi peluang kepada orang Islam mendapat pendapatan yang lumayan yang sahih pada pandangan syarak dengan MLMS. Kebaikan sistem ini turut menyelamatkan non Muslim daripada ditindas dengan sistem muamalat kongkongan Kapitalis.

Memang ada sesetengah pihak yang sinis dengan usaha ini, namun sehingga kini sambutan masyarakat sangat positif.

Segala puji bagi Allah, jam 10 malam ini saya akan bercakap lagi mengenai MLMS HPA dalam program yang menghimpunkan 150 orang ahli HPA di Park City Everly Hotel, Miri. Program yang bermula semenjak pagi ini turut menghimpunkan ahli HPA dari Sabah, Sarawak dan Brunei akan disertai sama oleh lima orang non Muslim.

Inilah peluang kedua bagi saya untuk menampilkan lagi mengenai kebaikan sistem muamalat Islam kepada mereka.

Ya Allah, segala puji untukmu kerana memberi peluang kepada hamba-Mu ini untuk terus mengembangkan Islam melalui ruang-ruang ini.

---------------------------------------------------

Park City Everly Hotel, Miri, Sarawak - 10:50 pagi