Thursday, November 10, 2011

Jika Berhaji Mabrur

Ibadah haji bukan ibadah ritual tahunan. Menyingkap rahsianya, sesiapa sahaja akan memahami bahawa ibadah itu adalah penyumbang besar kepada kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan manusia sejagat. Bukan sekadar untuk mempamer kekuatan, tetapi lebih penting daripada itu ibadah haji menebarkan nikmat kebaikan Islam untuk dirasai oleh semua tanpa mengira agama, warna kulit dan bahasa.

Gambarkan kehebatan Islam menyatukan hati para penganutnya. Para hujjaj yang tidak pernah saling mengenali antara satu sama lain, apatah lagi saling bersama, namun mereka berjaya hidup bersama tanpa sebarang sengketa ketika mengerjakan ibadah haji. Hati, perasaan dan niat mereka hanya menumpu kepada satu, Allah Yang Satu.

Ya, penyatu hati jutaan manusia di tanah suci itu ialah Allah, bukan wang, pangkat, kepentingan atau kuasa. Terbukti sudah, wang memusnahkan perpaduan, pangkat meleraikan persaudaraan dan kepentingan mengkesampingkan kemanusiaan.

Mengapa jamaah haji boleh bersatu ketika mereka menyempurnakan ibadah itu? Jelas, kerana mereka hanya mempunyai tujuan yang satu iaitu mengabdi diri kepada Allah. Ada, memang ada mereka yang memijak kaki ke tanah suci itu bukan untuk berabdi kepada Allah, tetapi dengan tujuan-tujuan duniawi yang lain. Namun, dia akhirnya larut di tengah-tengah kesibukan jutaan manusia lain sehingga akhirnya kewujudan insan sepertinya tidak merosakkan kemurniaan ibadah yang agung itu dan mencemarkan tanah yang suci itu.

Dunia kini sedang merasai nikmat ibadah haji yang difardhukan oleh Allah itu. Nikmat keamanan dan nikmat persaudaraan. Tiada persengketaan yang tercetus walau pun jutaan umat Islam berhimpun kerana mereka berhimpun bukan untuk memercikkan api sengketa tetapi untuk menyuburkan nikmat hidup bersaudara.

Dunia seluruhnya tumpang merasai nikmat rezeki yang melimpah dengan ibadah ini. Gambarkan jika seorang jamaah haji membelanjakan RM10,000, berapakah pusingan wang berlaku sepanjang ibadah haji berlangsung? Samada peniaga, petani, pegawai, atau sesiapa sahaja, muslim atau bukan muslim, bukankah mereka semua tumpang merasai nikmat itu, secara langsung dan tidak langsung?

Setelah tamat menunaikan ibadah haji, para hujjaj akan pulang ke tanah air masing-masing. Mereka pulang seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya. Bersih, dalam situasi fitrah ibarat kain putih. Dia pulang ke tempatnya membawa jiwa yang dicanai dengan kecintaan kepada keamanan dan persaudaraan.

Gambarkan, jika sesebuah negara itu seramai 10,000 Muslim pulang daripada menunaikan haji setiap tahun, dia pulang dengan membawa keamanan yang akan disebarkan di negaranya. Untungnya negara berkenaan. Negara itu tidak perlu berbelanja untuk membentuk jiwa patriotik di dalam dada warganya, tetapi warganya sendiri menjadi patriotik dengan ibadah haji yang difardhukan oleh Tuhannya.

Ibadah haji, seperti ibadah-ibadah yang lain adalah proses memanusiakan manusia. Kehidupan manusia menjadi rosak kerana wujud sebahagian manusia yang menjadi perosak. Golongan perosak ini, samada golongan yang ingkar kepada Allah, golongan bertalam dua muka, golongan yang memakai wajah syaitan adalah manusia yang telah hilang kemanusiaan mereka.

Al-Quran menampilkan perumpamaan mengenai manusia jahat dan ingkar dengan binatang seperti dengan anjing atau seperti binatang ternak. Bahkan al-Quran juga menjelaskan ada syaitan daripada kalangan manusia. Mereka adalah manusia yang telah hilang kemanusiaannya.

Manusia yang hilang kemanusiaan, tidak hilang rupa sebagai manusia tetapi kehilangan watak, jati diri dan akhlak sebagai manusia. Ringkasnya, perangainya adalah perangai binatang walau pun rupanya adalah rupa manusia.

Manusia akan melakukan pelbagai kerosakan jika telah kehilangan jati diri kemanusiaannya. Justeru, ibadah haji yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga, perasaan dan paling penting wang ringgit adalah proses yang sangat tepat untuk memupuk serta menyuburkan kembali nilai-nilai keinsanan di dalam dirinya.

Mereka yang memperolehi haji yang mabrur kembali ke tempat asalnya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya. Bersih, suci, tulen, unggul, atau dengan istilah yang lebih tepat kembali kepada fitrah. Manusia yang mengatur kehidupan mereka di atas landasan fitrah sentiasa dinaungi kesejahteraan dan kemakmuran daripada Allah.

Memakai ihram, bertawaf, bersaei, berwukuf, mengumpul anak-anak batu, melontar jamrah, menyembelih binatang korban adalah ibadah yang berupaya mengikis habis sifat-sifat sombong, takabbur dan besar diri dalam jiwa seseorang.

Sifat-sifat itu adalah sifat-sifat syaitan. Apabila manusia menempatkan sifat-sifat sebegitu dalam dirinya, hilanglah sifat-sifat kemanusiaannya. Kehilangan itulah yang menyebabkan runtuhnya keamanan dan kesejahteraan dalam kehidupan. Runtuh keamanan, runtuhlah kemakmuran.

Ibdah haji adalah ibadah Islam. Ibadah haji adalah ibadah yang menyumbang kepada keamanan sejagat. Ibadah haji adalah ibadah yang menyumbang kepada kemakmuran.

Justeru, wajarkah manusia memilih selain daripada Islam?