Cinta dan perjuangan ibarat aur dan tebing. Ibarat pena dan kertas. Tanpa cinta perjuangan tidak bermaya, tanpa perjuangan cinta tidak bermakna. Cinta mencetuskan perjuangan sementara perjuangan adalah bukti cinta. Cinta agung mencetuskan perjuangan agung dan perjuangan agung adalah bukti cinta agung.
“Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu), jika kamu semua mencintai Allah, maka ikutilah aku, tentu kamu akan dicintai oleh Allah, dan Dia mengampunkan dosa kamu. Dan, Allah adalah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih”. Ayat 31 surah Ali Imran ini mengukirkan mengenai makna cinta agung.
Bagaimana pula Rasulullah saw mengukirkan persoalan cinta agung melalui lisan mulia baginda? Al-Bukhari melaporkan, daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah saw bersaba, “Maka dewi Allah yang jiwaku di dalam genggaman-Nya, tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada bapanya dan anaknya”.
Demikian ukiran makna cinta agung, cinta kepada Allah dan rasul. Cinta yang didambakan oleh mereka yang benar-benar memahami makna cinta. Bukan sekadar cinta yang diungkap bak menanam tebu di pinggir bibir. Namun cinta akarnya terpasak kukuh di dalam bumi sementara pucuknya pula menjulang ke langit. Cinta ini diungkapkan dibibir, dibuktikan dengan tindakan dan disemadikan di dalam hati.
Allah mengungkapkan asas cinta ini di dalam al-Quran, surah Ibrahim ayat 24, “… kalimah yang baik adalah ibarat sebatang pohon yang baik yang akar tunjangnya tetap teguh dan pucuknya menjulang ke langit.”
Ibnu Kathir menjelaskan di dalam tafsirnya, “kalimah yang baik…” itu adalah kalimah syahadah.
Jika ada manusia yang mengadu jiwanya kosong, hidupnya terumbang-umbang, fikirannya bercelaru, semuanya kerana dia kehilangan cinta agung. Hidup seorang pencinta sentiasa ceria, bermakna dan fokus. Yang dicintainya sentiasa dibibirnya kerana dia yakin dia tidak pernah bertepuk sebelah tangan. Cintanya pasti berbalas.
Dia sentiasa meyakini janji kekasihnya. “Dan Tuhanmu berkata, berdoalah kepada-Ku, tentu aku perkenankan untukmu”. Begitu ukiran janji Tuhannya di dalam surah Ghafir, ayat 81. Kekasihnya mengungkapkan lagi dalam surah Ibrahim ayat 7, “Jika kamu bersyukur, pasti aku tambahkan untukmu…”
Biar pun jasad pencinta merayap di bumi namun jiwanya menjulang ke langit. Yang dicintai tidak memandang kepada rupa paras pencinta. Pandangan-Nya ialah amal dan niatnya.
Inilah cinta pencetus perjuangan, cinta agung. Cinta ini menjadikan pencinta sanggup berbuat apa sahaja, berkorban apa sahaja, demi kekasihnya. Cinta ini meletakkan pencinta sentiasa ‘tergila-gila’ untuk memenuhi kehendak kekasihnya. Cinta ini menjadikan semua makhluk lekeh dan kecil sahaja pada pandangannya.
Rabiatul Adawiyah mengungkapkan, “Wahai Tuhanku, jika benar aku mendapat cintamu, semua benda yang ada di dunia ini kecil belaka. Kerana, semua benda yang ada di atas tanah adalah tanah sahaja”.
Inilah cinta yang menjadikan hamparan solat basah dengan air mata dan menjadikan pedang-pedang basah dengan darah. Yasir dan Sumaiyah, sanggup menjadi pengukir sejarah sebagai penjual jiwa pertama demi yang dicintainya, Allah dan rasul. Bilal bin Rabah, sanggup diseret di atas bara padang pasir, dihempap dengan batu, diselar dengan besi panas di belakangnya, demi cinta ini. Apabila yang dicintai adalah Yang Maha Agung, lahirlah pencinta yang hebat dengan nilai cinta yang sangat hebat.
Cinta ini sangat unik. Ia tidak bermula di istana, dengan pakaian kemegahan, dengan kalungan bintang-bintang kebesaran dan ukiran-ukiran kebanggaan. Cinta ini bermula di sebuah gua. Dari gua ini juga tercetusnya perjuangan. Dengan beberapa ungkapan awal yang meminta kekasihnya membaca dengan nama-Nya, bersemaraklah cinta dan tercetuslah perjuangan.
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipkakan. Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia dengan pena. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” Inilah ungkapan cinta yang terukir padu, kukuh dan kekal sehingga kini di dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 5.
“Selimutkan daku…, selimutkan daku…”. Pencinta bimbangkan situasi dirinya dengan pengalaman pertama itu. Khadijah binti Khuwailid, kekasih awal dan akhir mengungkapkan sesuatu yang menenangkan jiwa pencinta. “Tenanglah, demi Allah. Sudah pasti Allah tidak akan mengecewakanmu sampai bila-bila pun…” Ungkapan ini menjadikan seluruh isi dunia tidak bernilai lagi kerana pencinta telah menemui cinta sejati. Cinta pencetus perjuangan.
Mari kita perhatikan pula dua insan pencinta, Abu Bakar as-Siddiq dan Umar bin al-Khattab. Dilaporkan oleh Abu Daud, bahawa Rasulullah saw telah memerintahkan para sahabat bersedekah. Umar menitipkan separuh daripada harta yang dimilikinya untuk Islam. “Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?” Rasulullah saw bertanya kepada Umar. “Sama seperti apa yang saya nafkahkan ini”, jelas Umar.
Seketika kemudian tampil Abu Bakar dengan semua harta yang dimiliknya. “Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?” Abu Bakar menjawab, “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan rasul-Nya.” Sanggup berhabis-habisan demi cinta dan dan demi perjuangan.
Kerana cinta agung ini, akhirnya tiada seinci bumi pun yang tidak disinari cahaya Ilahi. Tiada seinci bumi pun yang tidak disirami embun rabbani. Pahlawan-pahlawan Islam yang diukir oleh sejarah akan kehebatan mereka, kilatan mata pedang mereka sahaja sudah digeruni oleh musuh. Itu bukan kilatan mata pedang biasa, tetapi kilatan mata pedang yang dicetuskan oleh cinta.
Abdullah bin Rawahah pernah bermonolog, “Wahai diri, jika kamu tidak mati di medan juang, kamu tetap mati walau di atas ranjang.” Akhirnya, pencinta ini syahid di medan perjuangan Mu’tah bersama dua lagi sahabatnya, Jaafar bin Abi Talib dan Zaid bin Harithah. Perpisahan nyawa daripada jasad menjadi saat palling manis kerana perpisahan itu menjanjikan pertemuan. Meraka menemui kekasai mereka melalui detik perpisahan.
Gambarkan jika kehidupan di dunia ini tanpa cinta. Dunia pasti akan rosak. Tiada tangan yang akan terhulur untuk membela dan memenangkan kebenaran. Tiada kaki yang akan menelusuri bumi untuk menumpaskan kepalsuan. Tanpa cinta bumi akan hiruk-pikuk dengan kefasadan. Tanpa cinta embun rahmat tidak akan menyiram.
“Dan jika Allah tidak menolak sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentu rosak binasa bumi ini…”. Inilah natijah cinta yang dirakamkan oleh al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 251.
1 comment:
artikel yang sangat bagus...
Post a Comment