Tuesday, April 24, 2012

Kenangan PKLP Thailand

“Ustaz nak pergi tu, ok ke…?” Ramai sahabat yang melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan apabila saya menyatakan persetujuan untuk menghadiri PKLP yang akan dianjurkan oleh Sekretariat ESP Thailand pada 15 April di sebuah restoran di Yala. Namun saya nekad untuk berkunjung ke negara itu kerana ramai juga rakan yang berkata, “Pergi saja ustaz, semuanya ok.”

Saya pernah membatalkan pada saat-saat akhir pemergian ke program yang sama pada bulan lalu di Pattani, sebuah wilayah yang dikatakan sering bergolak. Pembatalan ini juga adalah atas nasihat kawan-kawan. ‘Rayuan’ isteri supaya tidak meneruskan hasrat pemergian itu menambahkuatkan lagi hujah pembatalan.

Hatyai, bandar di Selatan Thai yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai bandar bersih, dikejutkan dengan kematian 14 orang dan kecederaan seramai 340 orang pada awal April yang lalu. Mereka yang menjadi mangsa bom kereta itu dikatakan dilakukan oleh pemberontak Islam.

Pada penghujung Mac lalu, 11 terbunuh manakala 100 orang cedera dalam tiga letupan yang berlaku selang beberapa minit sahaja di Yala, sebuah bandar yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan berkereta dari Padang Besar. Di Pattani pula, sebuah motosikal meletup dan seorang anggota polis menjadi mangsa pada tarikh yang sama.

Sesiapa sahaja akan berfikir beberapa kali untuk berkunjung ke Thailand apabila mendengar berita sebegitu. Itu adalah normal. Namun saya bertekad, bukan untuk menempah kecelakaan tetapi untuk melihat dan merasai sendiri suasana di negara gajah putih itu.

Debaran di dada menjadi semakin kencang apabila kenderaan yang membawa saya dan Saudara Ibrahim, Pengurus Cawangan HPA Padang Besar melintasi sempadan Malaysia – Thai. Tiada sebarang pemeriksaan keselamatan di sempadan. 

Kami terus ke rumah Ustaz Sofi di Padang Besar Thailand, seorang warga Thailand yang berpendidikan di Emiriah Arab Bersatu dan Yaman yang akan membawa kami ke Yala. Beliau kelihatan biasa sahaja, tanpa raut kebimbangan yang terpalit di wajahnya. Saudara Ibrahim pula sering mengingatkan saya, “Tak apa ustaz, kita berniat baik. Allah bersama kita.” 

Perasaan saya bercampur-baur antara bimbang dan yakin apabila pick-up yang dipandu Ustaz Sofi mula meluncur melalui jalan besar empat lorong tanpa tol ke Yala. Bagaimana kalau ada ‘butiran besi pembunuh’ sesat menyinggahi kenderaan kami, atau kepala kami? Hah, semuanya serba mungkin.

“Cuba ustaz kira berapa sekatan jalan yang kita tempuh…”, kata Ustaz Sofi apabila kami melalui satu sekatan jalan raya yang dilakukan oleh tentera. Mereka bersoal jawab panjang mengenai barang-barang yang kami bawa. Saya tidak faham apa-apa, semuanya dalam bahasa Thai. Apa yang saya nampak, Ustaz Sofi menjawab semua soalan yang dikemukakan dengan tenang dan selamba. 

Kami melepasi satu demi satu pemeriksaan, tujuh semuanya. Setiap sekatan jalan dilakukan oleh tentera dengan uniform dan bersenjata lengkap. Kebetulan kawasan yang kami lalui adalah kawasan perkampungan yang majoritinya penduduknya adalah orang-orang Islam, menyebabkan kebimbangan kejadian tidak diingini berlaku makin menebal.

Semasa di dalam kenderaan, kami berbual-bual mengenai situasi politik di Thailand. Menurut Ustaz Sofi, bukan mustahil konflik yang berlaku di Selatan Thailand adalah berpunca daripada pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan. Konflik itu dijadikan sebagai batu loncatan untuk meraih keuntungan politik atau ekonomi oleh pihak tertentu.

Entahlah, apa yang saya tahu saya ingin pergi dan pulang dengan selamat. Itu sahaja. Bagi saya, setiap seorang warga Thailand, tanpa mengira apa agamanya, berhak untuk hidup dalam keadaan harmoni. Tidak boleh ada mana-mana pihak yang menjadi pengancam keselamatan kepada pihak yang lain.

Program PKLP Thailand berjalan dengan baik. Kehadiran memberangsangkan. Sepanjang majlis, bahasa yang menjadi alat komunikasi adalah bahasa Melayu Petani. Lebih kurang bahasa Melayu loghat Kelantan. Bahasa itu bukan sahaja digunakan semasa majlis berlangsung, malah ketika berbual-bual juga.

Saya bertanya, “Mengapa orang Thai bercakap sesama orang Thai pakai bahasa Melayu?” Ust Hassan Salaema, PJS Thailand tersenyum. “Sudah biasa…”, katanya. Cuma saya teringat, suatu masa dulu ketika seorang pelajar Thailand dihantar belajar ke sebuah sekolah menengah Arab di Perlis, ayahnya berkata kepada saya, “Kami mahu anak-anak kami belajar bahasa Melayu sebab bahasa Melayu adalah bahasa Islam.”

PKLP dianjurkan di sebuah restoran berhampiran sebuah taman rekseasi. Saya pernah ke situ suatu masa dulu ketika pesta tanglong berlangsung. Seperti dahulu, suasana aman sahaja. Orang berkumpul, berbual, bermain, berlari, makan-makan, berkereta… biasa sahaja seperti di tempat-tempat lain di negara ini juga. Tidak pula nampak riak-riak kebimbangan pada wajah-wajah mereka yang saya temui. Dalam hati mereka, itu saya tidak tahu. 

Orang Thai memang baik-baik. Mereka tahu menghormati tetamu apatah lagi jika saudara seagama. Bagi mereka, orang Islam Malaysia dan Thailand bukan sekadar seagama bahkan ‘seibu sebapa’. Kata mereka, “Jika orang Islam Malaysia selesa menikmati makanan dan bahan gunaan halal, mereka patut berusaha agar kami di Thailand juga mengecapi nikmat yang sama.” Atas asas inilah HPA dikembangkan di Thailand. Bumi itu sangat subur untuk HPA.

Semasa pulang kami melintasi sebuah perkampungan orang Islam. Di tepi jalan raya, di atas sebuah kereta kebal, kelihatan seseorang yang saya kira tentera berdiri di atasnya dengan gaya tersendiri.

“Ustaz, cepat ambil gambar tentera itu…”, cadang Ustaz Sofi. Saya diam. Jika saya diupah sekali pun saya tidak berani mengetik kamera untuk merakamkan panorama menggerunkan itu. Ada sesuatu yang terlintas dalam benak saya. Perkara yang terlintas itu biarlah saya rahsiakan sahaja.

Sepanjang perjalanan pulang, di bandar-bandar yang kami tempuhi, suasana biasa sahaja. Kami berhenti bersolat maghrib dan makan malam di sebuah stesen petrol. Suraunya padat. Kenderaan dengan nombor pendaftaran Malaysia berderetan. Keletihan menjadikan tomyam daging bersama telor dadar tidak berbaki sedikit pun di dalam pinggan. Nasinya pula memang sedap, maklumlah beras Thailand.

Bumi Thailand akan kami kunjungi lagi demi produk halal untuk umat Islam di sana.