Wednesday, October 17, 2012


SATU - Pertama, kerajaan tidak menanggung apa-apa kos sepanjang perlaksanaan AES. Kedua, kadar kemalangan jalan raya akan berkurangan dengan pelaksanaan sistem ini seperti yang berlaku di Perancis dan Kuwait. Ketiga, tidak ada saman akan dikeluarkan jika tidak melakukan kesalahan. Keempat, banyak respon positif diterima mengenai pelaksanaan sistem ini.

Jika saya, atau sesiapa sahaja berada di posisi pegawai JPJ, kenyataan seperti di atas akan dikeluarkan. Itu adalah lumrah kepada mana-mana agensi kerajaan sekali pun. 

Mana mungkin sebuah agensi kerajaan berani mengeluarkan kenyataan akhbar melebihi bidang kuasa dan batasan yang ditentukan untuk agensi berkenaan.

Kritikan masyarakat umum terhadap saman ekor sebelum ini memaksa kerajaan mengabaikan semua saman ekor yang pernah dikeluarkan. Saya sendiri memiliki lebih daripada 30 saman ekor yang masih tertunggak. Sebelum ini, ribuan ringgit saya habiskan untuk jelaskan saman ekor kerana terhalang untuk memperbaharui cukai jalan.

Saman ekor dikritik kerana sistem itu dipercayai gagal mencegah kemalangan tetapi menjadi peluang kerajaan mengumpul wang. Malah ada orang yang berani mengaitkan sistem itu dengan pelbagai imbuhan dan insentif yang dijanjikan kepada polis sekiranya sistem saman ekor berupaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

Akhirnya, saman ekor tidak meninggalkan ekor lagi dan kepalanya juga entah kemana.

DUA - Apabila AES dikendalikan oleh syarikat swasta tanpa melibatkan apa-apa wang kerajaan (seperti kata JPJ), itu lebih memudaratkan rakyat. Fokus syarikat swasta adalah duit. Rakyat akan dipaksa secara berkanun untuk melunaskan ‘hutang’ dan kos yang ditanggung oleh syarikat swasta berkenaan menggunakan dokumen yang dikeluarkan oleh kerajaan kerana pihak yang boleh menyaman hanyalah kerajaan.

Pasti syarikat yang terlibat menyediakan perkhidmatan AES akan menekan kerajaan untuk mendapat kembali wang yang mereka laburkan. Pelaburan itu adalah pelaburan yang dijamin oleh kerajaan. Jika mereka rugi, kerajaan perlu menanggungnya. Kerajaan pula tentu tidak mahu dengan mudah menanggung kos syarikat swasta berkenaan. Jalan yang ada ialah mengeluarkan sebanyak mungkin saman untuk mengumpul wang daripada rakkyat bagi membiayai syarikat swasta itu.

Penswastaan bekalan air, perkhidmatan lebuh raya, bekalan elektrik, perkhidmatan kumbahan dan banyak lagi adalah pengalaman berharga rakyat untuk menilai AES.

TIGA - Menyamakan Kuwait dan Perancis dengan Malaysia sama seperti menyamakan telur dengan buah terung. Kedua-duanya bulat, tetapi telur jika dihempas akan pecah, tidak dengan terung. Betulkah kemalangan jalan raya menurun di Perancis dan Kuwait kerana sistem AES atau kerana faktor lain seperti sisetm pengangkutan awam mereka yang canggih? Atau, adakah kerajaan Perancis dan Kuwait melayan rakyat mereka seperti kerajaan Malaysia melayan rakyatnya?

Rakyat Malaysia menggunakan kenderaan sendiri setiap hari, sama ada motor atau kereta kerana terpaksa. Rakyat tidak ada pilihan. Saya yakin kalau ada pilihan, tidak ada yang sanggup untuk mendedahkan diri kepada apa jua risiko kemalangan di jalan raya dengan menggunakan kenderaan sendiri.

Justeru, mengapa rakyat dipaksa untuk membayar denda selepas mereka dipaksa untuk melakukan kesalahan lanjutan daripada paksaan ke atas mereka supaya menggunakan kenderaan sendiri.

Jika kerajaan belum berupaya menyediakan pengangkutan awam yang baik, berikan keselesaan untuk rakyat menggunakan kenderaan sendiri dan jangan pasang ‘jerat bidas’ di sana sini untuk ‘songlap’ duit rakyat secara berkanun atas nama mengurangkan kemalangan.

3 comments:

Anonymous said...

komentar terbaek boleh publish dalam harakah

Obat Asam Urat said...

bener sekali apa yang di tulis di atas tersebut.,

weightloss said...

Wacana seperti ini sering terjadi di negara berkembang, dimana pemerintahnya masih kurang untuk memperhatikan kesejahteraan rakyatnya..