Thursday, October 11, 2012

Shahidan, Md Isa Dan PR


SATU - Sebelum PRU 12, selesai solat Jumaat, saya bertembung dengan Md Isa Sabu (YAB Dato’ Seri Dr) di sebuah masjid di Perlis. “Saya dah bersara dari politik, dah terlalu lama,” lebih kurang begitulah beliau beritahu saya mengenai dirinya. Tup tup, selepas PRU 13 beliau jadi MB.

Itulah rezeki terpijak Md Isa. Beliau mungkin pernah bermimpi jadi MB tetapi rasanya beliau sendiri tidak pernah percaya mimpinya akan menjadi kenyataan. Sebaliknya tragedi itu adalah mimpi ngeri kepada karier politik Shahidan. Mungkin Shahidan tidak pernah bermimpi untuk ‘tersungkur’ sebegitu rupa.

Memang ada ramai orang yang tidak sukakan Shahidan tetapi ketidaksukaan itu hanya pada bibir sahaja. Menjelang musim raya, apabila Shahidan hulurkan ayam seekor seorang, ditambah dengan kain batik, dicampur dengan sampul berisi not-not merah, kemarahan kepada Shahidan bertukar pujian.

“Tak dak orang boleh ganti Shahidan jadi MB, dia pemurah…”. Tanyalah orang nat pagi Ahad atau pasar malam hari Sabtu, semua peniaga kenal Shahidan yang akan membeli semua barang di gerai mereka dan meminta pemilik kedai mengedarkan percuma kepada orang ramai.

Namun ada kuasa yang mengatasi itu semua. Shahidan ‘menggelongsor’ juga. Hatinya sangat luka bahkan lukanya belum sembuh, masih berdarah sampai hari ini. Para penyokong (baca pengampu pun boleh juga) Shahidan pula seperti tidak percaya itu boleh berlaku. Tapi, mereka juga tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka turut sama ‘terluka’ seperti Shahidan.

Para penyokong Shahidan sangat ramai di kawasan Arau. Kalau kawasan parlimen Arau adalah sebuah negeri, bagi mereka Shahidan adalah MBnya. Mereka tidak boleh menerima Md Isa sebagai MB sama seperti ‘istana’ tidak boleh menerima Shahidan.

Penyokong-penyokong Shahidan sampai ke hari ini terus berkecil hati terhadap istana. Bahkan para penyokong Shahidan di kawasan Arau turut melepaskan rasa kecil hati mereka kepada ADUN Pauh yang berdarah istana.

Apabila ADUN Pauh buat jamuan raya di lokasi berhampiran masjid, mereka perli kononnya nak ambil kesempatan orang ramai keluar masjid supaya nampak majlisnya ramai yang hadir. Buat pula di dewan, lain pula perlinya. Pendek kata, apa yang ADUN Pauh buat serba tak kena bahkan ada NGO yang ditubuhkan untuk memprotes ADUN Pauh atas beberapa isu di kawasannya.

Serangan mereka kepada kepada ADUN Pauh adalah kerana kecil hati kepada istana yang menaikkan Md Isa sebagai MB. Dilaporkan bahawa Shahidan pernah melepaskan geramnya kepada pintu pagar istana semasa proses peralihan MB dahulu.

DUA - Dalam keadaan antara percaya dengan tidak percaya adalah sama banyak, Md Isa pun memanaskan kerusi MB Perlis. Saya percaya kepala Md Isa kosong semasa dia mengangkat sumpah sebagai MB, tiada perancangan walau pun mungkin ada angan-angan.

Berbanding Shahidan, Md Isa memang terkebelakang. Dia tak berapa pandai ‘kelentong’ macam Shahidan, tak pandai pakai jubah, tak pandai bagi ayam daging semasa hari raya, tak pandai macam-macam lagi. Dalam dewan pun, kalau Md Isa menjawab atau menggulung perbahasan, beliau lurus sahaja. Jarang perli dan bidas macam Shahidan.

Dalam kalangan orang PAS, Md Isa disifatkan orang baik. Ada pimpinan kanan PAS negeri boleh telefon terus kepada beliau, dengan panggilan Bang Ca lagi. Semasa ibu Md Isa meninggal, banyak pimpinan kanan PAS yang hadir mentakziahkan Md Isa termasuk pimpinan dari pusat. Bahkan sesekali, pimpinan kanan itu rasa berbangga pula di hadapan orang lain bila dia punya nombor telefon Bang Ca dan boleh berhubung terus dengannya.

Sampai ada cakap-cakap dalam kalangan orang PAS, BN lebih sukar di kalahkan di Perlis di bawah pimpinan Md Isa berbanding Shahidan. Kalau Shahidan lebih mudah untuk ditewaskan kerana dia agak ‘jahat’.

Namun, ada juga yang berkata BN lebih mudah ditewaskan di zaman Md Isa kerana dia lebih lemah dan perlahan berbanding Shahidan.

KETIGA - Bagi saya, faktor peribadi Shahidan atau Md Isa tidak mempengaruhi sangat kebangkitan PR di Perlis, bahkan kalau siapa pun orang BN yang jadi MB. Kalau PR berharap kepada perpecahan Umno untuk menang di Perlis, harapan itu adalah fatamorgana. Tanpa menafikan ada kesannya, tetapi ia sangat minimum.

Sama juga dengan cakap-cakap Umno berpecah tiga, atau berpecah empat, atau lima sekali pun. Dalam situasi pecah itu pun jarang kedengaran ada orang kuat Umno masuk PAS atau PKR. Tidak seperti sesetengah negeri, PAS atau PKR menerima kemasukan bekas pegawai kanan kerajaan, bekas orang kuat Umno, namun itu semua tidak kedengaran di Perlis.

Saya bukan mahu menafikan peluang PR di Perlis, tetapi apa yang ingin saya katakan adalah, kita hanya berpeluang atas upaya kita sendiri tanpa berharap kepada kelemahan musuh.