Wednesday, June 30, 2010

Memancing Ikan Politik

Semasa kanak-kanak, antara aktiviti utama selepas balik sekolah adalah mengail. Di samping suka-suka, hasilnya juga boleh dibuat lauk. Sewaktu padi sedang ‘membunting’, sawah adalah sasaran utama di samping parit, tali air, paya dan sungai.

Peralatan memancing mudah saja. Sebatang buluh yang boleh didapati dengan mudah, umpannya juga tak perlu dibeli. Lebih menarik mata kailnya juga kadang-kadang hanya dibuat dengan dawai yang dibengkokkan seperti mata kail sahaja. Bagi kawan-kawan yang berada sikit, bolehlah bergaya dengan ‘joran kedai’.

Ikan-ikan popular pula ialah puyu, keli, haruan dan belida. Tapi, untuk suka-suka, kadang-kadang ‘anak kemeras’ juga turut dipancing.

Umpan pula mengikut jenis ikan yang akan dipancing. Ikan haruan pakai katak ong atau katak air. Katak pisang yang kuat melompat tak sesuai dijadikan umpan. Ikan keli pakai umpan cacing. Ikan puyu pula pakai belalang, samada belalang kacong atau belalang perul. Mahu bagus lagi pakai anak tebuan.

Memancing anak kemeras mudah sahaja. Sebatang lidi nyior yang diikat dihujungnya dengan benang menjahit sudah memadai. Hujung benang itu diikat dengan ulat daun pisang yang masih kecil, tidak perlu mata kail. Letak sahaja dimana anak kemeras berada. Bila dia jamah umpan itu angkat perlahan-lahan.

Anak kemeras orang tak makan. Ia dikail pun sekadar suka-suka sahaja.

Bila sudah berusia, pernah juga beberapa kali mengikut kawan-kawan memancing di tengah laut. Peralatannya tentu lebih canggih dan ikannya juga hebat-hebat. Masa yang diambil juga lebih panjang dan risikonya juga besar.

Sekali terjadi, bahagian enjin bot terbakar semasa pelayaran pulang. Namun dengan kecekapan tekong, setelah berlalu beberapa jam, akhirnya sampai juga ke daratan. Kecut perut jadinya. Namun nikmat memancing tetap diingati.

Nikmat memancing ada dua. Pertama, nikmat bertarung dengan ikan apatah lagi kalau ikan ganas. Nimat kedua ialah dapat makan ikan segar, rasa ikan ori.

Itu cerita memancing sebenar. Ada juga memancing ‘majazi’. Memancing dalam bentuk ini rupa-rupanya berlaku dalam dunia politik. Seperti memancing sebenar, memancing dalam politik juga ada peralatan, umpan, teknik, lokasi, masa dan tidak lekang risiko.

Memancing dalam politik bertujuan untuk mengekalkan kuasa. Ikan-ikan sasaran juga adalah adalah ikan yang dilihat berpotensi untuk mencapai tujuan itu. Anak kemeras politik jarang dipancing. Cedok saja pakai timba, beratus boleh dapat.

Sebelum ini ada beberapa spesis ikan politik yang dipancing. Ada antaranya yang memakai umpan semahal RM2j. Ikan politik spesis itu bukan sekadar makan umpan malah menelan kailnya sekali. Akhirnya, ikan politik itu bersuara sebiji dengan suara pengail. Maklum, tersangkut kail dikerongkong.

Akhir-akhir ini, spesis ikan politik yang diburu oleh pengail politik adalah ikan berjenama ‘ulama’. Ikan politik jenis ini khabarnya tidaklah ganas sangat berbanding ikan politik bertaraf YB. Tetapi ikan politik jenis ini kalau dapat ditangkap dikagumi oleh ramai orang. Bukan sekadar kerana dagingnya mahal, tetapi kerana siripnya cantik, berkilat, panjang dan dikagumi penggemar ikan politik.

Ikan politik jenis ini dikatakan cerdik, apatah lagi kalau yang dipelihara di kolam-kolam berair jernih. Istimewanya, ikan politik jenis ini bukan sekadar pandai melompat, malah kalau rajin lagi ia juga boleh bercakap. Dan cakapnya sebiji macam suara tuan yang mengajarnya.

Ikan politik jenis ini juga dikatakan jika dipelihara mampu membersihkan kolam daripada lumut dan kotoran. Caranya ialah dengan memakannya kemudian mengeluarkan semula apa yang dimakan itu dalam bentuk hasilan yang harum.

Umpan untuk mengail ikan ini tak perlu mahal sangat. Ikan politik spesis ini tidak memandang kepada umpan tetapi dia memandang kepada joran dan pengail. Kalau pengail pandai menggerakkan jorannya, pandai bersuara, tidak pakai umpan pun dia akan menyambar kail.

Dia tidak kisah kalau mulutnya rabit sikit ketika menyambar kail. Apa yang penting ialah selepas itu dia dapat masuk ke dalam kolam yang bagus dan dapat makan lumut-lumut dan kotoran-kotoran yang melekat dan tumbuh di dinding atau dasar kolam itu.

Itu pun sudah memadai. Tetapi kalau kolam itu dihias dengan lebih indah, dan dia pula diminta membuat persembahan melompat ke sana sini semasa majlis perasmian pesta kolam atau sebagainya, itu sudah memadai. Baginya, itu satu penghormatan besar.

Maknanya, ikan politik spesis ini tidaklah rewet sangat macam ikan politik spesis YB.

Mengail ikan spesis ini juga agak mudah kerana dia suka hidup berkumpulan paling kurang 40 ekor. Kadang-kadang menjangkau sehingga 100 ekor. Namun, itu pada awalnya sahaja kerana biasanya 60 ekor lagi akan menarik diri disebabkan tidak bersedia untuk hidup dalam kolam dan makan kotoran di dalam kolam itu.

Walau pun spesis ikan politik ini disanjung dan dihargai pada peringkat awal, biasanya setelah berlalu tempoh tertentu, ikan-ikan politik ini dibuang daripada kolam. Atau, dibiarkan hidup di dalam kolam juga tetapi tidak lagi dijemput untuk membuat apa-apa persembahan.

Namun kini orang ramai sudah semakin cerdik. Mereka tidak mudah terpesona sangat dengan sirip, ekor atau lenggok ikan politik spesis ulama ini.

Bagi mereka apa guna ikan itu berperawakan cantik, pandai melompat dan pandai bercakap tetapi makan kotoran di dalam kolam. Lama-kelamaan daging ikan itu akan menjadi hanyir. Walau pun tubuh gemuk tapi dagingnya berbau hanyir, orang akan letak sebelah juga.

Monday, June 28, 2010

Terima Kasih Untuk Vincent?

Terkini, Vincent menyalahkan Pakatan Rakyat kerana menyebabkan kerajaan BN menarik balik keputusan mengeluarkan lesen judi sukan kepada syarikatnya minggu lalu.

Menyalahkan tindakan PR bermaksud membenarkan tindakan BN. Dia pernah memerli PAS dengan katanya, “Adakah kerana mereka tidak boleh bertaruh?” apabila PAS secara jelas membantah pemberian lesen judi tersebut.

Bagi Vincent, tindakan PR membantah judi adalah salah sementara tindakan BN memberinya lesen itu adalah betul. Sifir mudahnya ialah, BN + Judi = Betul.

Vincent taikun judi. Samada judinya dilesenkan atau tidak, itu tidak menjadi soal. Judi tetap diteruskan walau pun tanpa lesen. Cuma, kerajaan tidak turut mendapat hasil apabila judi itu tidak dilesenkan. Dan, Vincent pula mengaut keuntungan judi secara ‘haram’.

Vincent mahu judi dilesenkan untuk membolehkannya menyumbang kepada kerajaan BN. Kerana kemaruk duit, judi itu pun bersedia dilesenkan. Bagi kerajaan BN, asalkan dapat duit, rakyat rosak binasa pun tidak mengapa.

Vincent juga tahu, judi merosakkan. Tetapi orang bisnes sepertinya tidak memikirkan itu semua. Duit lebih penting. Untuk menjustifikasikan perniagaan judinya, dia meuar-uarkan untuk menyumbang hasil judi itu untuk membela rakyat susah.

Kerajaan BN pula bersedia rakyatnya yang susah disenangkan dengan duit judi yang melimpah-ruah itu. Akhirnya, tanpa berfikir panjang, lesen pun bersedia dikeluarkan.

Mujurlah rakyat Malaysia lebih cerdik. Walau pun mereka susah, mereka tidak rela senang dengan wang judi Vincent. Mereka tidak rela memenuhkan poket mereka dengan wang ‘halal’ judi berlesen Vincent.

Vincent lupa, bantahan judi bukan datang daripada orang PR sahaja tetapi daripada semua orang. Apabila dia marahkan PR kerana membantah lesen judi, sebenarnya dia marahkan rayat Malaysia.

Inilah ‘faedah’ judi. Judi mengayakan kerajaan yang zalim dan taikunnya. Judi tidak pernah mengayakan orang susah. Judi tidak pernah mengeluarkan rakyat mana-mana negara pun daripada kemiskinan tegar.

Taikun judi menjadi kaya dengan mencekik leher dan menghisap darah kaki judi. Tanpa sedar, kaki judi berasa mereka bakal kaya dengan judi, padahal mereka sebenatnya mengayakan taikun judi.

Orang ramai boleh berterima kasih kepada Vincent. Tindakannya menyalahkan PR mendedahkan pekung sebenar Umno. Rupa-rupanya Umno sangat berharap agar negara ini berpeluang kaya dengan duit judi Vincent.

Bagi Vincent tindakan kerajaan negeri pimpinan PR tidak membenarkan judi sukan adalah tindakan zalim. Dalam rayuannya dia berharap kerajaan PR bersikap adil dalam isu ini.

Maksudnya, dia memuji negeri BN yang bersikap adil dengan membenarkan judi sukan beroperasi di negeri-negeri tadbiran mereka.

Pernahkah perompak memuji polis? Apabila perompak memuji polis, tentu ada yang tidak kena dengan polis. Tetapi apabila perompak marah dan menyalahkan polis, itu tandanya polis berada di pihak yang benar.

Ironinya, apabila Vincent, taikun judi marah dan menyalahkan PR, maknanya PR berada di pihak yang benar. Vincent tidak marahkan Umno, tidak menyalahkan Umno dalam isu ini. Mengapa?

Sunday, June 27, 2010

Masuk Umno - Gertakan Atau Lonjakan

Ada orang yang menganalisa kemasukan 40 orang yang dikatakan ulama ke dalam Umno itu begini.

40 orang itu adalah rakan-rakan baik Dr Asri. Difahamkan mereka sepemikiran dengan Dr Asri. Apabila kerajaan menghebohkan bahawa JI bertapak dan menular di kampus, dan taklimat mengenainya diadakan, Dr Asri dikaitkan dengan Wahabi dan lingkaran JI oleh pentaklimat.

Khabarnya, 40 orang yang dikatakan ulama itu diberi kata dua. Sama ada berhadapan tindakan kerana terlibat dengan Wahabi dan lingkaran JI atau memilih laluan lain.

Laluan alternatif itu ialah menyertai Umno. Menarik juga, bekas MB Perlis yang turut dituduh Wahabi itu turut berada di dalam majlis penyerahan borang 40 orang itu ke dalam Umno.

Dan, yang turut masuk Umno dalam majlis itu ialah anak bekas Mufti Perlis. Bekas Mufti itu adalah besan bekas MB Perlis.

Maksudnya, Umno menggunakan isu penularan JI di kampus untuk menggertak 40 orang yang dikatakan ulama muda itu. Penyertaan 40 orang yang dikatakan ulama muda itu ke dalam Umno akibat gertakan tadi menjadi mileage politik Umno.

Sama ada betul atau tidak analisa itu, tidak dapat disahkan kebenarannya.

Saya percaya bahawa gerakan keganasan memang bertapak di negara ini. Cuma, masalahnya ialah Umno mengambil kesempatan di atas isu ini untuk kepentingan politiknya. Umno menangguk di air keruh dengan isu ini.

Namun begitu, saya fikir kalau 40 orang itu tidak masuk Umno pun kerajaan tidak akan menahan mereka. Buktinya, Dr Asri tidak pun ditahan atas tuduhan Wahabi dan lingkaran JI tadi. Kalau mereka ditahan saya yakin hayat Umno akan menjadi lebih pendek.

Maksudnya, 40 orang yang dikatakan ulama itu masuk Umno bukan kerana didesak, ditekan, diugut atau digertak semata-mata. Mungkin ugutan, gertakan itu ada.

Cuma darjah gertakan itu tidaklah sekuat mana berbanding darjah keghairahan untuk masuk Umno yang memang melonjak-lonjak dalam hati masing-masing.

Saturday, June 26, 2010

Mengapa Umno Tak Akan Jadi Parti Ekstrem?

“Kita tidak mahu Umno dilihat sebagai parti ekstrem. Islam sebenarnya bukan agama yang ekstrem. Jadi kita akan memperjuangkan Islam yang diterima oleh semua pihak dan umat yang terbaik adalah umat yang sederhana mengikut panduan Islam.”

Demikian suara Najib mengulas kemasukan 40 orang yang dikatakan ulama muda ke dalam Umno. Bagi Najib, 40 orang yang dikatakan ulama itu membuktikan Umno diiktiraf oleh golongan berkenaan. Mereka juga untuk mengelakkan Umno menjadi parti ekstrem.

Pernahkah Umno dikenali sebagai parti ekstrem agama? Jawabnya tidak. Umno tidak pernah dikenali sebagai parti ekstrem agama. Umno juga tidak akan menjadi parti ekstrem agama. Kenapa? Kerana parti itu memang tidak pernah dan tidak akan memperjuangkan agama.

Tidak pernah ada, dan tidak akan ada sesiapa yang akan menuduh Umno parti ekstrem agama. Hanya Najib sahaja yang terasa orang akan akan menuduh parti itu begitu.

Apa tujuan Najib berkata begitu? Tentulah untuk menjustifikasikan kemasukan 40 orang yang dikatakan ulama itu.

Kalau Najib tidak berkata begitu, orang akan beranggapan Umno adalah parti yang tidak pernah ambil tahu soal agama. Bila 40 orang yang dikatakan ulama ini masuk, barulah parti itu akan mengambil tahu soal agama.

Macam mana? Najib cuba tarik perhatian umum seolah-olah Umno sebelum ini sangat kuat berpegang dengan agama sehingga hampir dituduh ekstrem. Jadi kemasukan ulama tadi adalah untuk mengelakkan tuduhan itu, menyelamatkan Umno daripada dituduh ekstrem.

Betulkan selama ini Umno sangat berpegang kuat dengan agama sehingga hampir di tuduh ekstrem? Pernahkah orang yang tidak berpegang dengan agama akan dituduh ekstrem agama? Pernahkah orang berkata Najib seorang ekstrimis, Rosmah adalah ekstremis, Hishamuddin adalah ekstrimis, Tengku Adnan adalah ekstrimis. Orang tidak akan berkata mereka ekstremis kerana orang tahu tahap pegangan agama mereka.

Jadi apa perlunya Najib keluarkan kenyataan bahawa kemasukan 40 orang yang dikatakan ulama itu untuk mengelakkan Umno dikatakan ektremis? Kalau 40 orang yang dikatakan ulama itu tidak masuk Umno pun, Najib dan Rosmah serta Umno tidak akan dikata ekstremis dan parti ekstrem.

Contohnya begini. Bagi seorang Muslimah biasa, dia akan berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Namun, bagi sesetengah orang, apabila seorang Muslimah bercadur, berjubah serba hitam, bersarung tangan, Muslimah itu akan dilabelkan ekstremes.

Cuba fikirkan. Adakah Rosmah yang tidak pernah bertudung kepala itu pernah jadi ekstrems dan berpotensi jadi Muslimah ekstremes?

Sebab itu saya katakan, Umno tak akan jadi parti ekstrem dan pemimpin Umno tak akan jadi ekstremes. Kalau Najib ingin mencari alasan untuk menjustifikasikan kemasukan 40 orang yang dikatakan ulama ke dalam Umno itu, Najib patut cari alasan lain.

Alasan ekstrem, mendedahkan pekung sebenar Umno. Maknanya, setelah lebih 50 tahun Umno ditubuhkan, setelah sekian banyak ulama masuk dan keluar parti itu, Umno tetap kekal menjadi parti yang tidak menghiraukan agama.

Kemasukan 40 orang yang dikatakan ulama ini juga tidak akan menjadikan Umno sebagai parti yang menghayati agama.

Friday, June 25, 2010

Menjual Dan Memijak Ilmu

Bagus benar apabila 40 orang yang dikatakan ulama masuk Umno cawangan Dataran Merdeka. Kalau dibandingkan dengan cawangan Umno seluruh Malaysia, itulah cawangan paling alim. Sepengetahuan umum, tiada cawangan Umno yang seramai cawangan itu disertai ulama.

Paling banyak adalah cawangan Umno yang tidak punya ulama langsung. Sebab itu di sesetengah kampung yang cawangan Umno di situ kuat, masjidnya sunyi dan sepi. Lebih banyak cicak dari orang. Apabila tiba waktu solat, orang itulah bilal, imam dan makmum.

Ada sebuah masjid di Kedah, menurut masyarakat setempat tidak pernah langsung ada guru luar yang datang mengajar ke masjid itu. Hanya imam di situ saja yang mengajar tetapi kuliah imam itu tidak mendapat sambutan sebab orang setempat kenal dengan perangai imam berkenaan.

Imam itu orang Umno dan perangainya agak kurang senonoh. Kuliahnya akhirnya mati begitu sahaja. Akhirnya atas desakan masyarakat setempat, diusahakan guru dari luar datang. Masjid itu meriah dengan jamaah dengan usaha itu. Demikianlah nasib masjid yang dikuasai oleh Umno.

Dataran Merdeka tidak ada masjid. Masjid yang terdekat adalah Masjid Jami’ Bandaraya. Tentulah selepas ini masjid itu akan meriah dengan kuliah. Kalau 40 orang ulama muda yang masuk Umno itu mengambil setiap seorang satu malam sahaja untuk berkuliah di masjid itu, maka mereka terpaksa menunggu selama 39 malam untuk sampai giliran semula.

Untungnya orang Umno cawangan Dataran Merdeka kerana mereka berpeluang menimpa ilmu daripada sekumpulan ulama muda yang bukan calang-calang. Selepas ini Umno cawangan Dataran Merdeka bukan setakat memecah rekod cawangan paling ramai ulama tetapi cawangan Umno paling alim.

Begitu juga, selepas ini tentulah Dataran Merdeka akan bebas daripada sebarang program maksiat. Tidak ada konsert tak senonoh dan tak perlu panggil penceramah Indonesia untuk berceramah di situ. Cukuplah 40 ulama muda itu bergilir-gilir.

Cuma 40 ulama muda itu jangan berkecil hati atau bergundah-gulana kalau kuliah yang mereka sampaikan tidak seramai mana pendengarnya. Orang tahu mereka ada ilmu tetapi orang tidak menilai ilmu berdasarkan sijil sahaja. Orang menilai ilmu dengan amalan.

Amalan mereka bercanggah dengan ilmu mereka. Kitab yang mereka tadah mengajar mereka untuk tidak terpengaruh dengan orang yang zalim, namun ajaran kitab itu mereka lempar ke tepi sahaja. Mereka masuk Umno kerena meraka melempar kitab.

Saya juga percaya 40 ulama muda itu masuk Umno kerana mereka belum kenal Umno dengan sebenar. Kalimah dan ungkapan Umno tiada dalam kitab-kitab yang mereka tadah dengan guru mereka. Mereka ‘alim’ tetapi tidak ‘faqih’.

Alim maksudnya banyak ilmu. Belum tentu orang yang alim adalah faqih kerana faqih bermaksud keupayaan yang tinggi untuk menterjemah ilmu yang dimiliki dengan suasana dan keperluan semasa.

Kalau mereka faqih mereka tak akan menyertai Umno kerana dasar Umno, halatuju Umno, pendekatan Umno semuanya bercanggah dengan ilmu yang mereka tuntut di menara gading sebelum ini. Mereka sepatutnya menjadi faqih bukan sekadar menjadi alim.

Walau pun begitu, saya tidak berhasrat untuk ‘menghentam’ mereka sangat. Mereka masuk Umno belum pun sampai 24 jam. Pada ketika ini, bagi mereka Umno semuanya manis dan indah, macam orang baru berkahwin. Angin Umno pun masih wangi.

Mari kita menunggu dengan sabar. Kalau mereka semua amanah dengan ilmu masing-masing dan dalam hati mereka terdapat sedinar iman, tunggulah. Hanya ada dua kemungkinan sahaja. Pertama, Umno akan meminggirkan mereka. Atau kedua, mereka akan meninggalkan Umno.

Bukankah mengubah Umno adalah kemungkinan ketiga? Tidak adakah kemungkinan itu? Jawabnya, tidak ada. 40 ulama muda ini boleh terus kekal bersama Umno, serasi dengan Umno bukan kerana mereka berjaya mengubah Umno, tetapi Umno yang mengubah mereka. Harap-harap tidak.

Thursday, June 24, 2010

Sindrom Penafian

Senario Satu - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, polis menafikan mengaitkan Presiden PAS, bekas Mufti Perlis, Mufti Perlis dan Bekas MB Perlis sebagai pengganas dalam taklimat Bukit Aman. (Baca Mstar).

Timbalan Menteri itu berkata, ada taklimat kedua yang dipersoalkan kerana mengaitkan keempat-empat tokoh tadi dengan keganasan.

Berdasarkan sumber, taklimat kedua itu adalah daripada Pusat Islam. Penyampainya ialah Zamihan Mat Zain, seorang pegawai di situ.

Senario Dua – Zamihan pula menafikan beliau mengaitkan keempat-empat tokoh itu dengan Wahabi dan JI. Kata Zamihan lagi, dakwaan mengenai perkara itu ke atasnya adalah tidak betul, tidak jujur dan dusta (Baca Malaysiakini).

Beliau hanya berkata bekas Mufti Perlis sepemikiran dengan Wahabi berdasarkan buku tulisan Asri yang menyamakan sambutan Maulid Nabi dengan amalan orang Kristian.

Senario Tiga Bekas Mufti Perlis pula menafikan bahawa beliau pernah menulis seperti yang didakwa oleh Zamihan di dalam buku yang dimaksudkan itu.

Beliau mencabar Zamihan supaya menunjukkan ayat dan muka surat mana yang menyebutkan perkara itu (Baca Malaysiakini).

* * * * * * * * * * * * *

Polis nafi tuduh empat orang itu pengganas. Zamihan juga nafi perkara yang sama. Kedua-dua pihak berlepas tangan. Polis nak jaga Bukit Aman, Zamihan pula nak jaga Pusat Islam. Pihak yang tertuduh telah pun tertuduh.

Zamihan dan Asri pula saling jawab menjawab. Entah siapa yang betul, entah siapa yang silap.

Polis biarkan Zamihan dan Pusat Islam berdepan dengan orang yang dituduh. Polis biarkan Zamihan dan Pusat Islam berdepan juga dengan Asri dan PAS.

Sedangkan isu ini pada asalnya dibangkitkan oleh polis. Perjumpaan ini adalah antara Naib Canselor dengan Ketua Polis Negara.

Tapi hujungnya ialah Zamihan, Asri, Mufti Perlis dan PAS yang menjadi mangsa. Shahidan macam mana?

Aaahh…, dalam isu ini ada atau tiada Shahidan serupa saja.

Wednesday, June 23, 2010

Kenali Bukan Wahabi

Mereka Berdua Bukan Wahabi...

Khairi Ahli Parlimen Tahun 1810!

Akhirnya Khairi Jamaludin terpaksa akur dengan kekuatan Pakatan Rakyat. Orang seperti Khairi biasanya sukar untuk mengiktiraf kehebatan orang lain, namun berdepan kemaraan PR, akhirnya dia akur jua. Pengiktirafan itu berlaku secara sedar dan diungkapkan di parlimen.

Menurut Khairi, ‘brain drain’ tiada noktahnya jika pembangkang terus membentuk persepsi buruk terhadap pentadbiran negara. Sama ada dakwaan Khairi adalah benar atau tidak, itu boleh dipersoalkan.

Dari satu sudut, Khairi mengakui kehebatan Pakatan Rakyat sehingga berjaya mempengaruhi golongan profesional dan tenaga mahir berhijrah ke luar negara sementara yang memang berada di luar negara pula tidak berhasrat untuk pulang.

Golongan profesional bukan senang untuk dipengaruhi. Apatah lagi oleh pembangkang yang telah dilabel oleh pihak berkuasa sebagai ‘bangkang semua benda.’ Dengan sokongan media yang terhad, kejayaan pembangkang mempengaruhi golongan profesional seperti dakwaan Khairi dikira suatu kejayaan besar.

Ini juga adalah bukti bahawa tahap kepercayaan golongan profesional kepada kerajaan yang diterajui oleh BN adalah merosot. Kerajaan dengan sokongan media yang tidak terbatas masih gagal mempengaruhi golongan tadi untuk pulang ke tanah air.

Dalam masa yang sama mereka yang berada di dalam negara pula gagal di halang oleh kerajaan untuk berhijrah.

Kalau mereka enggan pulang dan berhijrah keluar kerana pengaruh pembangkang, maknanya BN akan hanyut dalam arus ketidakpercayaan golongan profesional dan tenaga mahir tadi pada PRU akan datang.

Khairi berhujah seperti Pak Pandir. Bukan anak aku sahaja yang mati, anak orang lain pun mati juga. Dia menyebutkan mengenai Cina dan India yang turut menghadapi masalah pengaliran keluar tenaga mahir.

Kalau India, Cina dan Malaysia menghadapi masalah pengaliran keluar tenaga mahir, mengapa Khairi pernah menempelak Kelantan suatu masa dahulu kerana penghijrahan keluar rakyat negeri itu dari Kelantan?

Mengikut Khairi, kerana Kelantan mundur, tiada peluang pekerjaan, ekonomi lembap, pemimpin tidak cekap dan banyak lagi.

Kini, Malaysia di bawah Najib juga mundur, tiada peluang pekerjaan, ekonomi lembap dan pemimpin BN tidak cekap? Kalau itu bukan puncanya, mengapa boleh berlaku ‘brain drain’?

Patutlah Najib tidak lantik Khairi ke dalam kabinetnya. Hujahnya menjadi beban kepada BN. Agaknya Khairi lupa dia menjadi ahli parlimen pada tahun 2010, bukan pada tahun 1810. Bukankah pada ketika itu belum ada kemudahan ICT?

Tuesday, June 22, 2010

Betulkah 100 Ulama Akan Sertai Umno, Temberanglah!

Wujudkah ulama tulen dalam Umno?

Bekas MB Perlis berkata, Umno bakal dimasuki oleh sekumpulan ulama tulen. Baginya ulama tulen adalah ulama yang sebelum ini tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Di Malaysia, Umno telah mengenal pasti 100 ulama tulen yang bakal menyertai Umno. Salah seorang daripadanya adalah bekas Mufti Perlis.

Sama ada bekas Mufti itu bakal menyertai Umno atau tidak itu soal lain, tetapi beliau sebelum ini adalah ulama tulen kerana tidak menyertai mana-mana parti politik. Kalau beliau masuk Umno, maka ketulenannya sebagai ulama terhakis sebab dia terikat dengan Umno.

Mengikut lojik bekas MB itu, maka Yusof Nor, Hamid Othman, Firdaus Ismail, Shamsul Najmi dan terbaru Jamil Khir (kalau boleh dikatakan ulama) adalah bukan ulama tulen kerana mereka terikat dengan Umno. Nakhaei juga bukan ulama tulen sebab menyertai Umno.

Maksudnya di dalam Umno tidak ada ulama tulen dan yang ada adalah ulama Umno atau ulama politik atau lebih kasar lagi ulama cari makan.

Wujudkah penghayatan agama dalam Umno?

Bekas MB itu menyarankan agar para ulama menyertai Umno untuk memperkukuh agama dalam parti itu. Soalnya ialah, adakah wujud penghayatan agama di dalam Umno? Adakah sekian banyak ulama yang ada dalam Umno sekarang tidak menyumbang untuk pengukuhan penghayatan agama dalam parti itu?

Maksudnya, Umno terpaksa menunggu 100 ulama itu menyertai Umno barulah wujud kekukuhan penghayatan agama. Kalau mereka tidak menyertainya, tiadalah kekukuhan penghayatan agama itu. Nampaknya para ulama yang berada di dalam Umno selama ini tidak melakukan apa-apa untuk pengukuhan agama dalam parti itu.

Kalau penghayatan agama dalam Umno wujud dan kukuh, mengapa ulama Umno diam mengenai judi bola? Maknanya tak kukuhlah.

Betulkah 100 Ulama Akan Sertai Umno?

Saya fikir ini gimik politik murahan Umno. Saya yakin tidak ada seratus orang ulama yang akan menyertai Umno seperti yang diuar-uarkan itu. Tetapi kalau yang dimaksudkan ulama itu adalah guru-guru agama Kemas, ustazah Tadika Kemas, guru-guru kelas al-Quran, jangankan 100, melebihi angka itu pun boleh.

Namun, 100 ulama setaraf bekas Mufti Perlis, atau setaraf Nakhaei, kenyataan pemimpin Umno itu sekadar gimik sahaja, tidak lebih daripada itu.

Sekurang-kurangnya kenyataan itu menjadikan orang bercakap mengenai Umno, menumpu kepada Umno. Itu juga sebagai usaha membentuk persepsi umum bahawa Umno juga mengutamakan agama. Politik adalah persepsi. Dengan persepsi itu, diharap orang Melayu akan terus setia mengundi Umno dalam PRU akan datang dengan hujah Umno juga adalah parti agama.

Saturday, June 19, 2010

Apabila PM Fikirkan Nama Kucing

SATU - Mungkin untuk menarik simpati peminat kucing, mungkin untuk menunjukkan kepada umum bahawa beliau seorang yang penyayang, atau mungkin kerana Rosmah adalah aktivis persatuan penggemar kucing, maka Najib pun berinteraksi dengan umum mengenai kucing.

Cuma kucing yang dibeli itu adalah kucing Parsi, bukan kucing tempatan.

Kucing itu mungkin bertuah pada hari dia dibeli kerana dibelai dan didukung oleh PM, tetapi selepas itu tentulah kucing itu akan dilayan oleh pekerja di rumah PM saja. Namun dia tetap bertuah kerana dapat tinggal di rumah PM.

Najib benar-benar orang politik. Apa sahaja yang boleh dijadikan modal politik, modal sokongan orang, maka benda itu akan dipolitikkan termasuk kucing.

Kalau hari ini Najib mendokong kucing untuk menarik perhatian peminat kucing, mungkin besok atau lusa dia akan mendokong binatang lain pula untuk menarik perhatian peminat binatang itu termasuk ayam atau anak lembu. Semua itu boleh dilakukan selepas acap kali kelihatan Najib mendokong anak orang.

DUA – Mengapa Najib sanggup berinteraksi dengan orang ramai pasal kucing saja? Najib sebenarnya tahu tahap cerdik politik rakyat negara ini.

Saya masih ingat kata-kata seseorang apabila dia nampak seorang wakil rakyat naik kereta mewah masuk kampong. Dia kata, “Apa salahnya dia pakai kereta mewah? Itulah tanda dia pandai mengurus duit.”

Pada hal orang yang memberi komen begitu sekadar naik Honda Cup cabuk tanpa ‘signal’.

Kalau itulah tahap celik politik rakyat negara ini, tentu akan ada orang yang melihat Najib dukung kucing akan berkata begini, “Tengok PM kita, kalau dengan kucing pun dia begitu sayang, tentulah dengan kita juga dia sayang.”

Hasilnya apa? Hasilnya ialah apa sahaja yang pernah dikaitkan oleh umum dengan Najib seperti kes warga M******a dan sebagainya boleh terpadam dengan aksi dukung kucing sahaja.

TIGA – Saya juga pernah tengok gambar TG Nik Aziz dukung anak kambing tetapi tidaklah pula selepas itu dia berinteraksi dengan umum untuk minta pandangan mengenai nama kambing itu.

Maksudnya, samada TG Aziz atau Najib, dan orang lain juga, naluri sayang kepada binatang memang wujud. Kalau orang biasa berinteraksi sesama mereka diruang maya untuk bertanya nama bintang, itu mungkin perkara biasa.

Tetapi apabila yang berinteraksi itu adalah seorang PM, bertanya nama untuk seekor kucing, dan ada cadangan tentulah cadangan itu perlu diambil kira untuk tidak mengecilkan hati pencadangnya. Apabila cadangan itu banyak tentulah perlu diteliti satu persatu kemudian menimbangkan yang mana sesuai. Seterusnya… seterusnya….

Bayangkan berapa banyak masa yang diambil oleh seorang PM untuk selesaikan masalah nama anak kucing Parsi. Bukankah PM perlu fikirkan banyak perkara selain nama seekor kucing? Adakah gaji seorang PM dibayar untuk fikirkan dan selesaikan nama seekor anak kucing?

Entahlah… kalau ya pun nak tenangkan fikiran dengan seekor kucing, usahlah dihebohkan kepada orang lain. Nampak sangat politiknya. Taruklah nama apa pun, kucing tetapi kucing. Awak tu PMlah...

Thursday, June 17, 2010

Calon PAS Mesti Orang Kaya

Menurut Pengerusi DAP Perak, ADUN Malim Nawar keluar parti itu kerana menghadapi masalah kewangan. ADUN itu dibayar dengan jumlah yang besar walau pun tidak mencecah RM20 juta.

Difahamkan bahawa ADUN dan MP PR sebelum ini menjadi bebas atau menyertai BN juga kerana masalah kewangan. Mereka tidak mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik kerana tidak punya sumber kewangan yang memadai.

Apa moral pendedahan sebegini?

Wakil rakyat di Malaysia bukan sekadar penggubal undang-undang tetapi mereka juga adalah pegawai kebajikan. Orang pertama yang terlintas dalam kepala rakyat apabila mereka bermasalah adalah wakil rakyat.

Bayangkan jika wakil rakyat itu hanya ada elaunnya sahaja, sekitar RM5 ribu sebulan bagi ADUN. Dengan elaun itulah dia menyara dirinya dan keluarganya. Dan, dengan elaun itu juga dia menyara rakyat dalam kawasannya yang puluhan ribu orang itu.

Bila berhadapan dengan situasi sebegitu, ada dua perkara yang boleh dilakukan oleh wakil rakyat berkenaan. Pertama, jika dia adalah wakil rakyat kerajaan maka dia akan menggunakan kuasanya untuk mendapat wang tambahan melalui projek-projek kerajaan yang dikuasainya.

Kedua, jika dia bukan wakil rakyat kerajaan, dia mungkin terfikir untuk melepaskan diri daripada bebanan itu dengan pelbagai cara. Salah satu opsyen yang ada ialah melompat parti menjadi wakil rakkyat yang menyokong parti yang menjadi pemerintah.

Justeru, apa jalan penyelesaian yang ada?

Pada masa akan datang, parti-parti yang bertanding hendaklah memilih calon yang kaya sahaja. Mereka yang bakal bertanding hendaklah telah pun memiliki rumah sendiri tanpa hutang, kenderaan yang baik tanpa hutang dan sumber pendapatan tetap yang lain yang membolehkannya tidak bergantung dengan elaun sebagai wakil rakyat.

Pendek kata, jika ditakdirkan dia menang, dia tidak pandang pun kepada elaun bulanan wakil rakyat yang diterimanya itu kerana dia memang telah ada pendapatan tetap yang lain. Semua elaun itu boleh digunakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat yang diwakilinya. Bahkan, dia boleh menambah lagi dengan wang peribadinya kerana dia memang orang kaya.

Seseorang yang belum ada rumah atau ada rumah tetapi masih berhutang, masih tinggal di rumah sewa, tidak punya kenderaan yang baik, ada kenderaan baik tetapi masih berhutang dan tidak punya pendapatan tetap yang melebihi RM5000 sebulan hendaklah tidak dipilih menjadi calon.

Kenapa? Ya, dia pasti tidak dapat memberi tumpuan kepada tugas-tugas sebagai wakil rakyat kerana dibebani masalah kewangan. Bebanan kewangan yang dihadapinya memungkinkannya dibeli dengan mudah oleh parti lawan yang mampu menawarkan ganjaran kewangan yang menarik dan lumayan.

Calon PAS macam mana?

Setakat ini belum ada wakil rakyat PAS yang melompat parti. Itu suatu kelebihan PAS. Walau pun wakil rakyat itu tidak melompat parti, itu tidak bermakna dia tidak punya masalah kewangan. Apatah lagi jika menjadi wakil rakyat pembangkang.

Dia memang tidak mampu menjalankan tugas dengan baik kerana bebanan kewangan itu. Bila ini berlaku, orang akan berkata begini, “Wakil rakyat PAS pun tak buat kerja juga. Cakap saja lebih…”. Dia bukan tidak mahu buat kerja, tetapi dia tidak punya sumber kewangan yang mencukupi untuk buat kerja.

Elaun bulanan sebagai wakil rakyat habis untuk bayaran sewa rumah, ansuran bulanan kenderaan, yuran persekolahan anak, hantar kepada ibu bapa di kampong. Hasilnya, dia tidak mampu menumpu kepada tugasnya sebagai wakil rakyat kerana masalah kewangan tadi.

Memang PAS mempunyai ramai calon yang baik, warak, petah berpidato, rajin kerja, amanah, sanggup berkorban, pandai bercakap…, tetapi itu semua tidak memadai jika dia bukan orang kaya. Semua kebaikan itu tidak membawa erti jika tidak punya wang.

Itu tidak bermakna seorang yang punya wang tetapi berakhlak buruk, tidak punya kebolehan mengurus, hanya pandai bercakap adalah lebih layak untuk menjadi calon.

Maksudnya, seseorang yang layak dipilih sebagai calon telah punya kelayakan peribadi tetapi mesti punya nilai tambah iaitu KAYA.

Orang Arab bermadah:

Kefasihan Hassan, keindahan khot Ibnu Muqlah;

kecerdasan Luqman dan kezuhudan Ibnu Adham.

Apabila semua itu, ada pada seseorang, namun jika orang itu tidak punya wang;

orang berkata kepadanya, “Kamu tidak berharga walau sedirham.”

Pesan Guruku

Guruku berpesan,
Anakku,
Jika ingin mengambil contoh,
Ambillah daripada orang yang telah pergi.

Anakku,
Jika ingin mengambil pedoman,
Ambillah daripada orang yang telah tiada.

Anakku,
Jika ingin menempuh jalan,
Tempuhilah jalan orang yang telah mendahului.

Anakku,
Orang yang telah pergi,
Orang yang telah tiada,
Orang yang telah mendahului,
Tidak pernah memungkiri.

Tuhanku,
Ampunilah dia,
Rahmatilah dia,
Redhailah dia.

Perkenankan doaku,
Untuk dia yang tidak mengenaliku.

Tuesday, June 15, 2010

Memang Betul Pun...

PM Malaysia kata, (kedudukan) Raja Permaisuri Agong lebih tinggi daripada "wanita pertama". Maksud Najib ialah "wanita pertama" itu lebih rendah daripada Raja Permaisuri Agong. Betulkah kenyataan itu?

Entahlah, agak sukar dipastikan. Tetapi mungkin apa yang tertera di bawah boleh membantu untuk menentukan betul atau tidak kenyataan itu.

Semasa Sanusi Junid mula-mula naik jadi MB Kedah dulu, dia mengamalkan "management by camera".

Nampaknya teori pengurusan Sanusi memang berkesan.





Monday, June 14, 2010

Lunturkah Identiti PAS?

SATU - Saya tertarik dengan kenyataan ini, “Namun ia tetap menarik kerana dengan keputusan itu, PAS bergerak setapak lagi ke arah melunturkan identitinya sebagai parti Islam dan parti majoriti orang Melayu.”

Kenyataan itu adalah daripada A Kadir Jasin dalam kiriman terkini di dalam blognya (baca sini).

Kenapa saya tertarik dengan kenyataan itu? Kalau kenyataan itu daripada orang biasa, itu biasa sahaja. Namun, apabila keluar daripada orang seperti A Kadir, saya agak tersentak.

Saya kurang pasti kenyataan itu bersandarkan apa; kurang kenal PAS atau kurang faham mengenai Islam. Rasanya keduanya tidak. A Kadir kenal PAS dan faham Islam. Mungkin ada dorongan lain sehingga kenyataan sebegitu dikeluarkan. Apa dorongan itu, saya sukar menebaknya.

DUA - Apabila dikatakan, “… PAS bergerak setapak lagi…”, maksudnya sebelum ini telah ada tapak-tapak yang dijejaki oleh PAS untuk melunturkan identiti Islamnya. Saya kurang pasti juga apa tapak-tapak itu? Mungkin PAS berkawan dengan DAP, PAS menubuhkan DHPP atau apa?

Maksudnya, kalau sebelum ini identiti Islam PAS berwarna hijau pekat, dengan tindakan PAS berbaik-baik dengan DAP dan penubuhan DHPP itu menyebabkan identiti Islam PAS berwarna ‘hijau muda’.

Saya kurang faham mengapa tindakan PAS berbaik dengan DAP dikira tindakan melunturkan identiti Islam PAS. Dasar PAS tidak berubah, slogan PAS tidak berubah, arah perjuangan PAS tidak berubah. Pendekatan PAS dengan orang bukan Islam juga tidak berubah.

Cuma, berdasarkan perkembangan dan keperluan semasa dalam perjuangan PAS, sokongan orang-orang bukan Islam kepada PAS perlu distruktur dan disusun semula supaya lebih kemas. Itu sahaja. Sokongan orang bukan Islam kepada PAS bukan bermula kelmarin atau minggu lepas, bulan lepas atau tahun lepas malah semenjak awal penubuhannya lagi.

Cuma sokongan itu tidak semeriah hari ini. Justeru keperluan untuk menstrukturkan sokongan pada waktu itu tidak mendesak seperti keperluan pada hari ini. Semenjak dahulu lagi ramai orang DAP mengundi PAS.

Bersama DAP bukan melunturkan identiti PAS tetapi itulah kebijaksanaan PAS menstruktur sokongan orang-orang DAP kepada PAS.

TIGA – “… melunturkan identitinya sebagai parti Islam…”, apa identiti PAS sebagai parti Islam yang luntur itu? Juga, apakah identiti PAS sebagai parti Islam itu?

Seorang peniaga Muslim tidak boleh berurusniaga dengan riba dan menipu. Saya fikir itulah identitinya, sama ada dia berurusniaga dengan seorang Muslim atau bukan Muslim. Kalau dia tidak menipu orang Islam tetapi menipu orang bukan Islam, itu boleh dikatakan peniaga itu melunturkan identitinya sebagai peniaga Islam.

Orang Islam yang dipilih sebagai calon PAS hendaklah menghayati dasar PAS dan berakhlak mulia. Itu juga kriteria yang terpakai terhadap orang bukan Islam yang bakal terpilih sebagai calon PAS. Tetapi kalau Presiden PAS berkata, calon PAS orang Islam mesti menghayati dasar PAS dan bermoral tinggi sementara calon PAS bukan Islam tidak terikat dengan kriteria itu, baru boleh dikatakan PAS melunturkan identitinya sebuah parti Islam.

EMPAT - Memberi peluang kepada orang bukan Islam bertanding atas tiket PAS bahkan terlibat dalam beberapa hal berkaitan PAS bukanlah sekadar ‘opsyen politik’. Itulah sebahagian hak mereka. Bagaimana kita boleh melaksanakan kewajipan kita terhadap mereka jika mereka tidak diberi ruang pilihan untuk menyuarakan hak mereka?

Saya seperti boleh menghidu kebimbangan sebahagian orang mengenai masa depan politik orang Islam (saya malas menyebut masa depan politik orang Melayu), jika orang bukan Islam diberi opsyen politik yang banyak sebegini.

Soalnya, mengapa kita hanya nampak opsyen mereka, tetapi tidak opsyen kita? Bukankah menarik mereka hampir dengan kita juga memberi opsyen kepada kita, bukan sekadar opsyen politik tetapi opsyen dakwah.

Mereka mendapat lebih ruang opsyen politik, kita pula mendapat lebih ruang untuk opsyen dakwah. Bukankah sejarah perjanjian Hudaibiyah membuktikan bahawa Nabi menyediakan opsyen itu apabila bersedia bertolak-ansur dengan beberapa tuntutan dalam perjanjian itu yang dilihat oleh sebahagian sahabat sebagai merugikan orang Islam?

Apa hasilnya selepas itu? Orang Islam semakin kuat bukan?

LIMA - Orang Melayu Islam di Malaysia perlu membebaskan corak berfikir mereka daripada acuan Umno/BN. Mereka perlu menolak tempurung Umno/BN yang menyerkup mereka. Orang Melayu Islam perlu berfikir dengan acuan Islam bukan acuan asabiyah Melayu Umno, atau acuan asabiyah Cina MCA dan acuan asabiyah India MIC.

Sekurang-kurangnya berfikirlah dengan acuan fikiran ‘kemanusiaan’.

Adakah membela anak-anak orang India yang terpinggir daripada arus perdana pendidikan negara seperti yang disuarakan oleh perwakilan DHPP dalam muktamar baru-baru ini bukan sebahagian daripada ajaran Islam?

Adakah tidak boleh sebuah parti Islam seperti PAS menerima keahlian bukan Islam sedangkan dalam sebuah negara Islam semenjak negara Islam pertama lagi, orang bukan Islam diterima sebagai warga negara?

Adakah hilang identiti Islam PAS hanya kerana PAS bersedia menerima orang bukan Islam sebagai calon? Sebenarnya, menerima orang bukan Islam sebagai calon itulah identiti sebenar parti Islam. Bukan melunturkan identiti tetapi mengukuhkan identiti.

Hanya orang yang masih berfikir di bawah tempurung U*** sahaja yang melihat PAS melunturkan identitinya apabila bersedia menerima bukan Islam sebagai calon.

Sunday, June 13, 2010

Potensi Tumbang Dan Potensi Menang

SATU - Biasanya unjuran pencapaian sesuatu parti dalam pilihanraya berikutnya adalah berdasarkan pencapaian parti itu dalam pilihanraya sebelumnya. Walau pun unjuran itu bukan muktamad, tetapi angka-angka sebelumnya amat berharga untuk menentukan angka-angka selanjutnya.

Terima kasih kepada Pengarah Pilihanraya PAS Pusat dengan ucapan dalam sesi penggulungan muktamar baru-baru. Dalam keghairahan ramai untuk mara ke Putra Jaya dan menang lagi di beberapa buah negeri, sekurang-kurangnnya kenyataan Pengarah Pilihanraya itu menyentakkan mereka mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi.

Dalam optimis ada realistik. Ketika sedang menggapai awan, jangan lupa rumput di daratan.

DUA - Berdasarkan keputusan PRK Hulu Selangor, PR menghadapi kemerosotan enam peratus undi Melayu dan sepuluh peratus undi India. Itulah angkanya. Kita boleh berkata apa sahaja; itu pilihanraya kecil, BN tabur undi, BN ugut, BN guna jentera kerajaan atau apa sahaja, semua itu tidak mengubah angka berkenaan.

Jika trend ini berterusan, di Selangor PAS bakal tinggal dua kerusi. PAS Kedah bakal kehilangan kerajaan negeri. Kelantan pula berhadapan 18 ‘kerusi kelabu’.

Negeri-negeri lain macam mana?

TIGA - Inilah apa yang saya tulis sebelum ini mengenai prestasi Pakatan Rakyat di Perlis. Saya simpulkan begini; majoriti BN di DUN yang mereka menang bukan semakin menurun tetapi meningkat. Sementara, majoriti di DUN yang kita menang iaitu Sanglang tidak bertambah. Sementara kemenangan PAS di DUN Simpang Empat banyak di dorong faktor dalaman BN bukan faktor kekuatan kita.

Pada masa yang sama kita meletakkan harapan untuk menang di DUN yang ramai pengundi bukan Melayu dengan ‘swing’ sebanyak 70 peratus. Soalnya, adakah harapan ‘swing’ sebegitu tinggi adalah realistik?

EMPAT - Tsunami politik 2008 tidak melimpah hingga ke Perlis. Sepanjang pengetahuan saya itulah Tsunami politik paling besar dalam sejarah politik negara ini. Tsunami itu tidak banyak mengubah selera undi orang Melayu. Di DUN yang bermajoriti pengundi Melayu prestasi PAS Perlis masih begitu-begitu juga.

Adakah Tsunami itu akan berulang? Tidak mustahil akan ada gelombang kedua tetapi riak-riak laut politik semasa tidak menampakkan ia akan berulang dalam tempoh terdekat. Justeru, jika gelombang Tsunami politik kedua mungkin tidak berlaku di peringkat nasional, adakah itu hanya akan berlaku di Perlis sahaja?

Jika yang sudah berlaku pun tidak sampai, jika tidak berlaku macam mana?

LIMA - Kerja-kerja politik memerlukan skil yang tinggi. Pekerjanya perlu memiliki jangkauan akal politik yang panjang dan luas. Kerja-kerja politik adalah kerja-kerja lapangan, bukan kerja-kerja ucapan ‘penyedap telinga’ di dalam kamar mesyuarat.

Politik adalah imej, juga persepsi. Politik bukan sekadar ‘idealisme’ tetapi ‘realisme’. Suatu masa dulu kita mungkin boleh menarik orang dengan ucapan kita berteraskan dasar dan prinsip. Maksudnya orang sokong PAS kerana dasar PAS atau prinsip PAS.

Tidak ternafi ramai yang menyokong PAS kerana dasar dan prinsip itu. Tetapi, kini apa yang orang ingin lihat ialah bagaimana dasar dan prinsip itu diterjemahkan. Menterjemahkan prinsip tidak semudah melaungkan prinsip.

Membawa turun prinsip ke medan kehidupan tidak sama dengan menceramahkan prinsip di atas pentas ceramah.

Soalan saya ialah, adakah PAS Perlis mempunyai ‘penterjemah’ prinsip yang mencukupi untuk berhadapan aspirasi rakyat dalam PRU ke 13 akan datang?

Thursday, June 10, 2010

Pulanglah Ke Pangkuan...

Ust Nakhaei orang alim. Beliau saya kenali semasa belajar di Pusat Islam sekitar tahun 1987. Saya mengaguminya dalam banyak hal. Buku-bukunya saya miliki dan saya baca, antaranya bukunya berkaitan seerah nabi.

Pada waktu itu beliau acap kali berserban ala syeikh al-Azhar, kupiah merah dan serban putih dililit selari tanpa ekor. Saya suka dengan cara itu. Pernah suatu ketika semasa masih belajar saya dan kawan-kawan turut meniru gaya berserban itu.

Kali terakhir saya menemuinya di sebuah kedai makan di Taman Melewar tiga atau empat tahun lalu. Dia dan isterinya Ustz Rusmiati Harun berpakaian sukan. Mungkin baru lepas berjalan kaki, bersenam, mengeluarkan peluh.

Saya menegurnya, kami bersalaman dan seperti biasa bersembang beberapa perkara. Macam biasa, beliau dan isterinya tidak mengenali saya walau pun saya mengenali mereka berdua.

Seorang tokoh seperti Ustz Nakhaei wajar kembali kepada lubuk asalnya PAS. Beliau wajar merenung kembali kehidupannya bersama PAS dan membandingkannya dengan kehidupannya bersama Umno. Mudah sahaja perbandingannya. Semasa bersama PAS dia kelihatan lebih ‘warak’ dengan ketayap, serban, jubah berbanding semasa bersama Umno dia kelihatan ‘bogel’ kepala dan selesa dengan tali leher dan kot.

Bukan tali leher dan kot itu salah. Itu bukan isunya. Isunya ialah penglibatannya dengan kelompok yang berbeza telah membentuk penampilan yang berbeza. Dan, tidak pelik juga penampilan yang berbeza itu turut melambangkan sikap dan fikrah yang berbeza.

Ust Nakhaei tidak perlu silau mata atau malu-malu untuk kembali kepada PAS. Beliau tidak perlu ‘tersipu-sipu’ untuk menerima TG Hj Abd Hadi sebagai ketuanya. Mungkin beliau dan TG Hj Hadi lebih kurang seimbang sahaja pencapaian ilmu mereka, tetapi itu bukan alasan untuk tidak dapat duduk bersama TG Hj Hadi dalam PAS.

Ust Nakhaei perlu memikirkan secara serius untuk kembali kepada PAS dalam keadaan parti yang dia bernaung di bawahnya kini, Umno semakin ditolak oleh umum. Sesuatu yang pelik untuk orang alim seperti Ust Nakhaei masih bersama Umno pada ketika orang lain yang tidak sealimnya pun meninggalkan parti itu.

Jangan pula Ust Nakhaei beralasan begini, “Disebabkan saya orang alimlah, maka saya bersama Umno. Disebabkan mereka kurang alimlah maka mereka bersama PAS.”

Ust Nakhaei perlu bersama dengan semua teman-temannya dahulu, anak-anak usrahnya dahulu juga rakan-rakan seperjuangannya dahulu di dalam PAS. Kawan-kawannya di dalam Umno bukan rakan-rakannya yang sebenar.

Mereka hanya rakannya ketika mereka memerlukannya, atau dengan kalimah yang lebih kasar boleh memperalatkannya. Adakah Ust Nakhaei pernah lupa bahawa dia pernah ditolak oleh perwakilan dalam suatu pemilihan yang disertainya, walau pun beliau adalah sebenarnya adalah tokoh berbanding saingannya yang lain?

Apa ertinya itu? Ertinya orang alim seperti Ust Nakhaei tidak dipandang di dalam Umno dari sudut ilmu. Dia hanya dipandang apabila dia boleh dipergunakan atau diperalatkan oleh mereka sahaja.

Kini, apa tempat untuk Ust Nakhaei di dalam Umno?

Saya yakin jika Ust Nakhaei terus bersama PAS, ilmunya, kebolehannya, keupayaannya, kecerdikannya akan terus dinilai dan dihargai. Sangat banyak saluran dan ruang di dalam PAS untuk beliau berkhidmat dengan secara berkesan kepada Islam.

Ust Nakhaei, pulanglah ke pangkuan PAS. Ust tidak rugi apa-apa. Umno pun tidak rugi apa-apa. Kami dan mereka yang pernah mengutip mutiara ilmu yang terpancar daripada ustaz akan terus menerima dan menyanjungi ustaz selayaknya.

Ya, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Dan, laut mana yang tidak bergelora. Teduh hujan, nyamanlah udara. Tenang laut, stabillah bahtera.

Tuesday, June 8, 2010

Inilah Bapaku VS Inilah Aku...

SATU - Pemilik blog ini diserang bertubi-tubi apabila dia menulis mengenai organisasi sebuah parti politik pembangkang di Perlis. Walau pun ada yang memuji dan bersetuju dengan pandangannya, itu tidak mampu untuk membendung arus serangan dan hentaman penyerang dan penghentam.

Kritikannya dikatakan kosong, penuh dendam-kesumat, marah dan benci kerana tidak mendapat tempat di dalam parti, mengutuk pimpinan, tidak beradab, mengikut nafsu termasuk yang mempersoalkan hala-tuju masa depannya apabila dia meletakkan sebahagian besar jawatan dalam parti.

Semuanya berselindung di belakang ‘Anonymous’. Dan, sebelum ini penulis blog ini pernah diserang dengan ‘Surat Layang’ yang disebar dibeberapa lokasi, menggunakan nama orang lain. Pendeknya, penyerang dan penghentam pemilik blog ‘tidak berani’ menyua muka atau tampil secara lelaki untuk berhadapan penulis.

Orang Arab bermadah, “Bukanlah lelaki seorang yang berkata, ‘Inilah bapaku’. Lelaki sejati ialah seorang yang berkata, ‘Inilah aku’...” Nampaknya penyerang penulis bukanlah lelaki. Kalau bukan lelaki apa, p****n? Harap-harap bukan.

DUA - Penulis tahu, apa yang penulis kemukakan sebelum ini bukan kosong. Kerana, kalau kosong tentulah tulisan penulis tidak akan dilayan pun. Tetapi, khabarnya tulisan penulis dibincangkan dalam mesyuarat peringkat negeri. Mengapa begitu, kalau tulisan itu kosong?

Adakah penulis berdendam, marah kerana penulis tidak diberikan jawatan dalam parti? Terus-terang penulis katakan, untuk masa ini, lebih baik penulis tidak berjawatan daripada berjawatan.

Kalau begitu, apa hala tuju penulis apabila tidak berjawatan? Penduduk Malaysia ada 28 juta orang. Katakan 14 juta daripadanya adalah Muslim. Katakan pula ahli PAS sehingga kini 1.5 juta orang.

Katakan 6 juta daripadanya telah akil baligh. Bukankah mereka bukan pimpinan PAS dan bukan juga ahli PAS?

Adakah mereka semua tidak punya hala tuju, maksudnya hala tuju untuk mendaulatkan Islam? Penulis tidak akan meninggalkan PAS kerana penulis masuk PAS bukan kerana orang atau pemimpin tetapi kerana visi dan misinya.

Adakah orang yang mempersoalkan hala tuju masa depan penulis faham misi dan visi PAS? Entah-entah tidak.

TIGA – Penulis berdendam, untuk apa? Umur manusia bukan panjang pun. Boleh jadi pemimpin PAS negeri yang ada pergi dahulu daripada penulis. Atau, boleh jadi juga penulis mendahului mereka. Justeru, untuk apa berdendam.

Kita bukan hidup di zaman orang bertarung pakai keris dan belantan. Pada zaman ini orang bertarung hujah dan fakta. Rifel paling canggih boleh tewas dengan fakta dan hujah. Mengapa tentera Israel tidak menembak mati semua wira yang berada di atas kapal Mavi Marmara?

Bukankah mereka ada senjata tercanggih? Kerana, mereka tidak mampu berhadapan dengan hujah dan fakta yang akan dikenang oleh seluruh warga dunia bahawa mereka telah membunuh orang yang tidak bersalah.

Fakta dan hujah yang dikenang oleh warga dunia adalah lebih tajam daripada peluru rifel mereka.

EMPAT - Penulis melanggar perlembagaan parti, kod etika ahli parti atau penulis tidak beradab? Fasal mana yang penulis langgar, kod etika mana yang penulis ceroboh dan adab apa yang penulis tidak patuhi?

Adakah menulis dan menyebarkan surat layang itu beradab? Mengapa pimpinan PAS negeri tidak mengambil tindakan terhadap surat layang yang menggunakan nama warga sebuah institusi parti? Dan, adakah ‘pemimpin’ yang membodohkan orang lain itu beradab?

Adakah orang yang bercakap soal perlembagaan faham perlembagaan, faham adab dan faham kod etika? Mengapa tiada tindakan ke atas ‘orang’ yang menggunakan nama institusi milik parti untuk tujuan tertentu?

LIMA - Penulis akan terus menulis dan mengkritik melalui blog ini. Rajin-rajinlah jengok. Sekurang-kurangnya hits blog ini bertambah dan ruangan komen blog penulis makin riuh dan rancak. Itulah nikmat menulis blog. Atau pun sekurang-kurangnya, berpeluang juga mereka yang tidak sukakan penulis menghentam dan mem*****kan penulis.

Tetapi itu tidak bermakna penulis akan menulis tanpa fakta dan hujah. Penulis juga tidak akan memaki, menghamun atau mem*****kan sesiapa. Itu bukan cara penulis. Penulis akan menulis perkara yang benar berdasarkan apa yang penulis tahu.

Macam mana penulis dapat maklumat? Itu tak penting kerana maklumat boleh dapat daripada beribu sumber. Adakah tuan-tuan tahu, penulis pernah mendengar satu mesyuarat penting yang sedang berlangsung melalui handphone yang terpasang?

Thursday, June 3, 2010

Belajarlah Daripada Zulqarnain

Selesai membaca tafsir surah al-Kahfi buah tangan Ibnu Kathir, saya teringat untuk membuat kiriman ini. Walau pun bukan kerana kesamaan nama, saya tetap berterima kasih kepada al-marhum ayah yang meletakkan nama itu untuk saya. Siapalah saya untuk disamakan dengan seorang raja adil lagi perkasa yang diabadikan namanya di dalam al-Quran itu.

Zulqarnain di dalam al-Quran mengikut para ulama bukan Iskandar al-Maqduni atau Alexander The Great yang pernah kita baca dalam buku sejarah itu. Alexander itu adalah penakluk yang tidak beriman. Mereka berdua mungkin sama dari sudut kepintaran menakluk, tetapi iman memisahkan mereka.

Saya tidak berhasrat untuk berbicara panjang mengenai latarbelakang personal Zulqarnain, tanya sahaja ‘Mr Google’, dia mampu menjawab dengan agak baik.

Menurut al-Quran Zulqarnain sampai ke penghujung timur dan barat bumi. Beliau menemui pelbagai watak manusia. Dia melakukan kebaikan kepada mereka dan mengajak mereka beriman kepada Allah.

Kemuncak pengambaraan Zulqarnain ialah apabila dia sampai ke daerah yang terletak di antara dua bukit. Daerah itu sering diserang oleh Ya’juj dan Ma’juj, daripada keturunan Adam yang mengganas tanpa batasan.

Siapakah Ya’juj dan Ma’juj? Tanyalah ‘Mr Google’, dia akan mencadangkan ensiklopedia bebas Wikipedia untuk ditelaah. Rasanya itu memadai.

Kaum yang tinggal di daerah itu bersedia mengupah Zulqarnain untuk membina tembok pemisah antara mereka dan Ya’juj dan Ma’juj. Zulqarnain menolak upah itu dan bersedia bekerjasama dengan mereka untuk melakukannya.

Bagaimama Zulqarnain bekerja? Ini yang penting dan sepatutnya diteladani.

1. Zulqarnain berkepakaran tinggi – Dia bukan pemimpin biasa tetapi seorang yang berilmu. Dia menguasai ilmu dakwah, ilmu perang, ilmu seni kepimpinan termasuk ilmu binaan. Dia membina tembok pemisah dengan sangat teguh sehingga tidak mampu dipanjat dan ditebuk.

Semua kepakarannya dimanfaatkan di tempat yang sebenar. Dia berlemah-lembut dengan sasaran dakwahnya, bertegas dengan penentangnya dan bekerjasama dengan mereka yang sedia bekerjasama. Dengan lembut ada tegas, dalam tegas ada bijaksana.

2. Bijak memanfaatkan kebolehan orang lain – Biar pun Zulqarnain berupaya membina tembok itu dengan kekuatan tentera yang dimilikinya, namun dia tidak berhidung tinggi. Dia menghargai kebolehan penduduk setempat dengan memohon kerjasama mereka dalam bidang yang mereka berkebolehan.

Beliau meminta mereka mendapatkan kepingan besi, menimbunnya setinggi bukit, meniup kepingan besi sehingga panas membara, mendapatkan tembaga cair dan menuangkan tembaga itu di atas timbunan besi berkenaan.

Penduduk setempat tidak merasai tembok itu sumbangan Zulqarnain sepenuhnya, tetapi merasai itu hak mereka juga kerana mereka turut menyumbang dalam pembinaannya.

3. Sedar mengenai kedudukan diri sendiri – Selesai pembinaan tembok, Zulqarnain menyifatkan kejayaannya itu sebagai rahmat dari Tuhan. Tembok itu terbina dengan kehendak Tuhan dan bakal ranap dengan kehendak Tuhan juga.

Beliau tidak merasa dirinya serba hebat, serba tahu dan serba sempurna. Penyandaran urusan hidup kepada Tuhan pada permulaan dan penghujungnya, membentuk jiwa mereka yang berkuasa agar sedar akan amanah kekuasaan yang dimilikinya.

Sebesar mana pun kuasa, setinggi mana pun jawatan, sekuat mana pun pengaruh, sampai masa ranap jua.

4. Sentiasa mendapat pertolongan Allah – Zulqarnain sentiasa dipermudahkan oleh Tuhan dalam semua urusannya. Jalan sentiasa terbuka dan terbentang. Dia boleh sampai kemana-mana dengan bantuan angin.

Tuhan memudahkan urusannya sebab itu kehendak Tuhan untuknya. Beliau pula memanfaatkan semua kemudahan itu untuk meninggikan kalimah Tuhan. Dia tidak mengambil kesempatan kemudahan anuherah Tuhan itu untuk kepentingan dirinya.

Beliau sedar, sehebat mana pun dirinya, semua itu anugerah Tuhan jua.

Paling penting, mengapa Zulqarnain dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran. Beliau bukan nabi dan rasul. Namun, kisah beliau disebut dengan panjang lebar oleh Tuhan di dalam kitabnya. Kisahnya bakal dibaca oleh manusia sampai kiamat.

Di sana ada ribuan nabi, namun nama mereka tidak tersebut pun di dalam al-Quran. Di sana ada puluhan rasul, nama mereka tersebut tetapi tidak diceritakan dengan panjang seperti Tuhan memperihalkan Zulqarnain?

Adakah beliau lebih mulia daripada nabi dan rasul? Tidak, para nabi dan rasul lebih mulia daripadanya. Kalau begitu, mengapa begitu?

Inilah model pemimpin yang dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi, pemimpin di peringkat mana pun. Pemimpin mesti berilmu, bijak memanfaatkan kebolehan orang lain walau pun orang yang paling lekeh, sedar akan letak duduk diri sendiri dan sentiasa berusaha untuk melayakkan diri mendapat pertolongan Allah.

Sekurang-kurangnya kita semua adalah pemimpin kepada diri sendiri atau keluarga kita. Contohilah Zulqarnain, apatah lagi kalau kita adalah pemimpin sebuah JAMAAH ISLAM.

(Nota: Gambar di atas adalah hiasan saja, tiada kena mengena dengan Zolkharnain atau Zulqarnain dalam tulisan ini).