Secara berterus-terang, bangunan yang dirobohkan itu ialah bangunan setingkat di MADI yang pernah menjadi bilik kelas dan asrama pelajar. Bahkan suatu ketika bangunan itu pernah menjadi bilik penginapan guru sekolah itu yang masih bujang.
Bangunan itu memang bangunan lama. ‘Foundation’nya pun hanyalah botol-botol yang disusun rapi. Setelah beberapa lama memang lantai koridornya mendap. Perkakasan tingkap memang reput dimakan anai-anai.
Setahun yang lalu struktur bumbungnya masih elok, kalau perlu hanya zingnya sahaja yang sudah reput yang perlu diganti. Tak tahulah, kalau selepas setahun sahaja habis semua struktur bumbungnya di’kenduri’kan oleh anai-anai.
Bangunan itu baru sahaja diperbaiki dan belanja pembaikannya juga besar. Lantai koridor yang mendap itu juga sudah diperbaiki. Walau pun struktur asasnya kurang teguh, kalau bangunan itu berisiko untuk runtuh, mungkin sudah lama runtuh, tetapi masih bertahan dengan baik.
Isu pertama:
Siapakah yang menentukan bangunan itu tidak selamat? Adakah ia ditentukan oleh seorang yang berkelayakan atau orang berkepentingan?
Isu Kedua:
Adakah keputusan perobohan itu dibuat oleh jamaah? Atau, keputusannya dibuat oleh individu yang ada ‘idea’ tertentu?
Isu Ketiga:
Adakah menjadi keperluan bangunan itu diruntuhkan dan keperluan itu sampai ke tahap ‘darurat’? Bukankah masih ada lagi ruang-ruang kosong di tempat lain untuk didirikan bangunan baru?
Isu Keempat:
‘Ad-darurah tuqaddar biqadariha’. Ma mi’yar at-taqdir? Wa man al-muqaddir? Hal yablugh al-muqaddir maqamahu? Apa kriteria yang digunakan untuk menetukan ukuran darurat itu? Darurat itu telah sampai ke tahap wajib diroboh atau bagaimana? Siapa penentu kriteria itu? Layakkah dia?
Isu Kelima:
Kalau benar- benar ingin merobohkan kerana kekurangan ruang, mengapa bangunan itu? Bukankah di sana ada bangunan-bangunan lain yang lebih uzur, lebih teruk dimakan anai-anai daripada bangunan itu? Mengapa bangunan itu yang dipilih?
Isunya bukan bangunan wakaf tidak boleh diroboh, dijual atau dibakar. Isunya ialah, adakah perobohan, penjualan atau pemusnahan itu benar-benar diperlukan? Isunya bukan boleh atau tidak, tetapi perlu atau tidak.
Sekiranya keperluan sampai ke tahap ‘darurat’, maka robohlah, juallah dan bakarlah. Tetapi kalau belum mencapai tahap itu, bolehkah bangunan itu dirobohkan?
Menentukan samada sesuatu bangunan selamat atau tidak bukan boleh diukur oleh sebarangan orang. Penentuannya perlu dilakukan oleh mereka yang berkebolehan.
Usah terlalu terpesona dengan penampilan lahiriah. Bangunan tinggi boleh dibina oleh sesiapa sahaja, malah tangga naik ke langit juga boleh dibuat. Orang tidak pernah memuji pembangun piramid walau pun dia hebat.
Namun seperkara lagi, jika keputusan merobohkan bangunan itu dilakukan oleh seorang sahaja, bukan oleh jamaah, atau keputusan merobohkan itu dibuat sebelum diputuskan oleh jamaah, atau jamaah membuat keputusan merobohkan bangunan itu kerana ingin membela individu yang mendahului keputusan jamaah…
Semua itu sesuatu yang sangat malang bagi jamaah ini.