Sunday, October 31, 2010

Salah Siapa?


Diberitakan, Umar Ibn al-Khattab tidak menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri ketika negara dilanda kelaparan. Pada ketika itu, kelaparan dikategorikan sebagai unsur keraguan yang melayakkan hukum hudud diketepikan.

Jumaat lalu, di Genting Sempah, tujuh nyawa terkorban kerana kemalangan yang melibatkan sebuah bas. Pemandunya patah kaki. Menurut media, dia memohon maaf kepada semua keluarga mangsa.

Baginya, kemalangan itu berlaku kerana kerosakan bas. Katanya juga, dia ada lesen memandu tetapi dikategorikan lesen terbang dan tidak dibenarkan memperbaharuinya.

Saya cuma terfikir begini, “Betulkah pemandu bas itu bersalah sepenuhnya dalam kejadian itu? Adakah wajar semua beban bencana itu dihempap ke atas kepalanya seorang?”

Jika saya berada di tempat keluarga mangsa, tentu saya mahu sesiapa sahaja yang menjadi penyebab kemalangan itu dihukum sewajarnya. Jika pemandu bas itu puncanya, dia wajar menerima balasan kerana kecuaiannya.

Katanya lagi, dia memandu bas kerana terpaksa, kerana menanggung tiga anak yang sedang bersekolah, isterinya tidak bekerja dan dia juga perlu membayar sewa rumah.

Adakah mustahil sesiapa jua pun yang berada dalam situasinya akan melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukannya?

Dia tidak mencuri, merompak atau memecah masuk pajak gadai. Dia memandu bas. Dia punya lesen memandu tetapi dinafikan kesahannya. Bas yang dipandunya pula dalam keadaan yang kurang baik, wujud kerosakan yang menunggu masa untuk membaham mangsa.

Umar Ibn al-Khattab pernah melahirkan kebimbangan sekiranya ada anak kambing yang mati di tebing sungai Furat kerana kecuaiannya tidak menyediakan kemudahan yang sepatutnya.

Pemandu itu mungkin menerima hukuman kerana kecuaiannya menyebabkan tujuh nyawa terkorban. Namun pernahkah mereka yang berada di kerusi empuk berfikir, wajarkah hukuman itu dikenakan ke atasnya?

Cuba renungkan kenyataan ini:

  • Dia tidak punya pekerjaan, dia melakukan pekerjaan itu kerana terpaksa, salah siapa?
  • Lesen memandunya dinafikan kesahannya, salah siapa?
  • Jika dia tidak bekerja, anak-anaknya tidak dapat bersekolah, salah siapa?
  • Jika ditakdirkan dia memecah masuk pajak gadai, bukan memandu bas tanpa lesen, salah siapa?
  • Jika dia tiada tempat tinggal kerana tidak mampu membayar sewa rumah, salah siapa?

Soalan terakhir, adakah semua menteri yang ada sedia mengaku bahawa mereka juga bersalah dalam kejadian menyayat hati ini?

Wednesday, October 27, 2010

Ambo Dok Say Parti Ku Li, Demo Guano?


Ambo dok gi pon maso penamae calon guo muse,
Tapi ambo jupo gamba ni dale internet,
Ambo tepek je sini.

Ambo dok say parti ku li,
Ambo nok parti hok tok guru pipin.

Ghama-ghama hok atah tu,
Hok mano satu pilihe hati?
He he he..

Tuesday, October 26, 2010

Apa Jadi Dengan Kampong Kodiang Lama?

Semenjak hampir setahun yang lalu, saya mengendalikan kuliah Maghrib bulanan di Masjid Kampong Kodiang Lama Dalam. Pendengarnya tidaklah ramai sangat, turun naik, tetapi pernah menjangkau sehingga 50 orang.

Bagi saya itu sudah dikira ramai kerana masjid itu masjid kampong. Kehadirannya pula sepenuhnya penduduk tempatan. Saya mengkuliahkan ayat-ayat hukum, karangan as-Sabuni.

Semenjak awal lagi, saya sudah diingatkan supaya tidak bercakap pasal politik dalam kuliah. Entah mengapa saya diperingatkan begitu, saya pun kurang faham. Jangankan di masjid, jika saya berkuliah di Markas PAS pun, jarang saya bercakap soal politik secara langsung.

Saya lebih sukakan pendekatan ilmu. Jika ada isu politik yang saya ulas pun, sandarannya adalah ilmu, sekadar yang saya mampu.

Setelah beberapa lama baru saya faham bahawa kampong itu katanya kampong kuat Umno. Namun, masjid itu menjadi tempat berjumaat kepada Pengerusi Tetap PAS Pusat sekarang. Tapi, saya tak kisah itu semua, saya bersetuju untuk mengajar kerana saya suka mengajar.

Setelah bercuti sempena Ramadhan dan Idul Fitri, sehingga sekarang kuliah di situ belum dapat di sambung kembali.

Beberapa hari yang lepas, saya dihubungi oleh seseorang bertanyakan latar belakang saya. Katanya, itu semua diperlukan untuk dipanjangkan ke pejabat agama daerah. Saya berikan kerjasama penuh.

Katanya juga, samada saya boleh menyambung kuliah lagi atau tidak, bergantung kepada keputusan pejabat agama daerah. Saya katakan, saya tidak kisah. Tetapi, kalau diputuskan untuk dihentikan, saya pohon dimaklumkan untuk saya isi malam berkenaan dengan aktiviti lain.

Namun begitu, ada cerita menarik lagi yang sampai ke telinga saya. Kuliah di situ terhenti agak lama kerana ada ‘pilihanraya’. Bukan PRK kerana DUN berkenaan memang tiada wakil rakyat setelah ‘digantung’ oleh mahkamah tetapi ‘pilihanraya kuliah’.

Apa dia?

Satu mesyuarat telah diadakan di masjid, dan satu pungutan suara dibuat untuk menentukan samada kuliah di masjid itu patut diteruskan atau dihentikan. Mengejutkan, setelah diundi majoriti mahukan supaya kuliah dimasjid itu dihentikan.

Saya kurang pasti samada kuliah saya sahaja yang dihentikan atau semua kuliah. Kurang pasti juga, ‘pilihanraya’ itu dibuat di peringkat kampong atau jawatankuasa masjid sahaja.

Apa pun, keputusan itu memang menjadi buah mulut orang ramai. Saya cuma garu kepala sahaja mendengar berita itu.

Ada lagi yang menarik. Setelah beberapa hari selepas ‘pilihanraya kuliah’ itu, serombongan muslimat menemui tuan imam masjid dan memohon supaya kuliah saya diteruskan seperti biasa. Khabarnya, imam masjid itu akur.

Sampai hari ini, saya sedang menunggu keputusan terkini, diteruskan atau dihentikan. Tetapi, suara yang sampai ke telinga saya, ramai orang terkilan dengan keputusan ‘pilihanraya kuliah’ itu.

Apa yang saya alami ini menarik juga untuk disoroti dengan adil. Bagi saya, sama ada sesuatu kampong itu kuat Umno atau tidak, tidak menjadi soal. Semua orang mesti akur kepada kebenaran.

Kalau ada masjid di kampong yang kuat PAS pun, kalau masjidnya tidak diimarahkan, tiada makna juga. Masjid wajib diimarahkan sama ada oleh orang PAS atau orang Umno.

Jika apa yang saya sampaikan adalah benar, walau pun saya orang PAS, wajar diterima. Jika kerana saya orang PAS, masjid dibiarkan sepi daripada kuliah, itu tindakan tidak wajar langsung.

Tetapi kalau saya tidak dibenarkan mengajar kerana saya tiada tauliah, itu benar.

Namun saya bersyukur kerana Kampong Kodiang Lama di Kedah, kalau di Selangor tentu saya jadi sepopular Dr Asri.

Monday, October 25, 2010

Najib Ingin Jadi Nebuchadnezzar?

Pemimpin-pemimpin yang bongkak dan sombong akan meninggalkan sesuatu yang membuktikan kebongkakan dan kesombongannya. Biasanya peninggalan itu berupa timbunan batu dan pasir yang tinggi dan besar.

Firaun meninggalkan timbunan batu dan pasir yang dipanggil piramid. Raja Bukhtanassar (Nebuchadnezzar) meninggalkan timbunan batu dan pasir bernama Taman Tergantung Babylon. Ada lima lagi timbunan batu dan pasir yang tersenarai sebagai tujuh benda ajaib di dunia.

Kecuali piramid, timbunan batu dan pasir yang lain kebanyakkannya sudah musnah akibat banjir, gempa bumi atau terbakar.

Inilah kerja manusia sombong dan angkuh, meninggalkan timbunan batu dan pasir. Rakyat dikerah untuk menimbunnya demi nafsu serakah mereka. Mereka memacak bendera kesombongan di atas timbunan batu dan pasir yang bercampur-baur dengan keringat dan air mata rakyat tertindas.

Semua peninggalan timbunan batu dan pasir itu hanya menjadi tontonan sahaja. Tiada apa yang diperolehi oleh rakyat terbanyak samada ketika timbunan batu dan pasir itu masih teguh apatah lagi setelah ranap menyembah bumi.

Apa yang rakyat Mesir dapat daripada piramid? Kecuali beberapa kerat orang Arab yang jadi jaga pintunya atau memegang tali kekang unta ke sana ke mari membawa pelancong yang tak pernah naik unta?

Rakyat terbanyak hanya memerhati dari jauh timbunan batu dan pasir itu sambil menyumpah-nyumpah pembinanya yang bersemadi di dalam kotak kaca di Muzium Kaherah, Ramses II.

Najib juga ingin mempamerkan kesombongannya dengan menara 100 tingkat. Menara itu hanya timbunan batu dan pasir.

Adakah dia ingin dikenang dengan menara itu atau dia ingin dikutuk? Percayalah, rakyat negara ini akan mengutuknya, pelajar yang tidak dapat biasiswa akan mengutuknya, anak miskin yang makan roti dengan jem seperti dalam laporan Ketua Audit Negara akan mengutuknya.

Bilakah mereka akan mengutuknya? Selepas dia sudah tidak ada lagi. Seperti rakyat Mesir yang mengutuk Firaun dengan peninggalan piramidnya.

Jika kita berbual dengan rakyat Mesir, ramai yang berbangga kerana negara itu ada Jamal Abdul Nasir. Walau pun Jamal Abdul Nasir ada sejarah hitamnya, tetapi budinya kepada rakyat ada juga yang mengenangnya. Dia dipuji kerana jasanya itu walau pun piramid bukan dia yang membinanya.

Berbuallah dengan rakyat Mesir, adakah di kalangan mereka yang pernah memuji Firaun? Sedangkan piramid dibina olehnya.

Kalau Najib inginkan supaya rakyat Malaysia mengutuknya 30 atau 40 tahun lagi, binalah menara 100 tingkat itu. Tentu akan ada rakyat Malaysia yang akan mengajar anak cucunya kencingkan kubur kamu wahai Najib.

Tak percaya, buatlah.

Sunday, October 24, 2010

Fathul Bari Punya Masa Depan Politik

Fathul Bari orang Perlis. Rumah keluarganya di Arau. Ayah dan ibunya memang dikenali ramai. Saya dan keluarga ini saling kenal-mengenali tetapi tidaklah rapat sangat. Namun begitu, secara peribadi saya ada kenangan tersendiri dengan keluarga ini.

Malah ketika berjumpa dengan ayah Fathul Bari di sebuah bank di Kangar beberapa bulan yang lalu, ketika menutup perbualan dengannya saya mengungkapkan, “Ustaz, bagi saya ustaz seperti ayah saya.” Dia tersenyum penuh makna.

Pada bulan lepas juga saya berhubung dengan ayahnya melalui telefon kerana ada bantuan yang ingin saya pohon. Walau pun apa yang diharap itu gagal, tetapi saya berpuashati dengan usaha ayahnya untuk membantu saya.

Semasa saya mula-mula menetap di Perlis, Fathul Bari masih anak-anak. Ketika itu apabila ditanya apa cita-citanya, dia akan jawab nak jadi Mufti. Mungkin teruja dengan kedudukan ayahnya sebagai Mufti.

Setelah 18 tahun berlalu, saya tidak menyangka Fathul Bari akan masuk Umno. Sebab, sepengetahuan saya, latar belakang keluarga ini bukan rapat sangat dengan Umno. Bahkan, mereka lebih rapat dengan PAS jika dilihat sejarah keluarga.

Saya percaya juga, suatu ketika di dalam jiwa ayahnya masih ada ruang-ruang yang terisi dengan ruh perjuangan PAS. Cuma mungkin tidak terserlah kerana sesuatu yang hanya beliau mengetahuinya.

Namun kini setelah Fathul Bari masuk Umno saya tidak tahu adakah ruh perjuangan PAS itu masih wujud di dalam jiwanya seperti dulu.

Saya katakan bahawa, ayahnya memang orang baik dan Umno mengambil kesempatan dengan sifat baiknya itu.

Orang yang membawa keluarga ini rapat dengan Umno adalah Shahidan Kassim. Shahidan memang licik dan berani. Dia sanggup buat apa yang orang lain tidak sanggup buat.

Pada suatu ketika saya tidak percaya ketika diberitahu bahawa Dr Asri akan jadi mufti Perlis. Sepengetahuan saya, Dr Asri lebih serasi dengan cara perjuangan PAS berbanding Umno.Mana mungkin pelawaan orang kuat Umno itu diterima.

Tetapi itulah kelebihan Shahidan, dia boleh membuat sesuatu yang di luar jangkaan. Akhirnya Dr Asri jadi orang yang rapat dengan Shahidan sampai sekarang.

Kini Shahidan bukan sekadar berjaya membawa keluarga Fathul Bari semakin serasi dengan Umno, bahkan dengan kehendak Yang Maha Kuasa, keluarga Shahidan dan keluarga Fathul Bari bertambah intim dengan ikatan persemendaan. Mereka berbesan.

Kini Fathul Bari sudah jadi orang kuat Umno. Saya yakin Shahidan sedang mempercaturkan sesuatu untuknya. Walau pun Shahidan bukan orang nombor satu Umno di Perlis, tetapi bisanya walau pun tidak mengatasi Md Isa tetapi dikira setanding. Dia masih ketua Umno bahagian Arau.

Kerusi parlimen Arau kini disandang adik Shahidan, Ismail Kassim. Tidak mustahil Shahidan akan menyerahkan kerusi DUN Tambun Tulang yang dipegangnya kepada Ismail dan kerusi parlimen Arau diserahkan kepada Fathul Bari.

Atau pun, kerusi Tambun Tulang diserahkan terus kepada Fathul Bari dan Shahidan boleh menggilapnya sebagai pemimpin masa hadapan di Perlis. Dengan cara itu, tangan Shahidan masih wujud dalam kerajaan negeri Perlis.

Saya percaya ini bukan mustahil berdasarkan situasi semasa. Fathul Bari tentu akan dihadiahkan sesuatu oleh Najib dan hadiah yang paling bernilai adalah kerusi.

Pada pandangan saya, jika Fathul Bari bertanding di Perlis, samada kerusi DUN Tambun Tulang atau parlimen Arau, saya percaya dia akan menang. Dan jika PAS bertanding di kerusi itu menentang Fathul Bari, PAS akan kalah.

Mengapa saya berkata begitu? Saya ada jawapannya. Namun di sini bukan tempatnya untuk saya mengemukakan jawapan itu.

----------------------------------------

Kampong Kubang Paya, Arau – lebih kurang satu km dari rumah keluarga Fathul Bari – 6:34 pm.

Saturday, October 23, 2010

Petikan Kitab Jawi Mengenai Adab Menegur Pemimpin

(Kitab ini dibaca dan diijazahkan kepada semua pelajar pondok Ontah Dimano oleh Tok Guru Tahful Hari. Baca dengan hati-hati sebab tiada titik dan koma.)

bermula ini adalah satu kitab pada menyatakan akan adab menegur akan pemimpin ada pun pemimpin itu orang mulia-mulia jua maka menegur mereka itu tidaklah harus dengan sebarangan jika adalah salah sekali pun mereka itu bahkan jika adalah salah mereka itu besar sekali pun maka sayugialah ditegur mereka itu dengan seelok-eloknya

bayugia diingat bahawa menegur akan pemimpin itu hendaklah dengan caranya dan adabnya maka ada pun adabnya dan caranya itu banyak sekali setengah daripadanya ialah hendaklah dimulakan akan tegur akan pemimpin itu dengan puji-pujian jua

maka misal puji-pujian itu banyak sekali seperti katanya perkara yang dilakukan ini tidak salah juga pada pandangan hamba cuma adalah ia tidak betul sahaja atau pun dikatanya begini tidak mengapa buat salah ini jika buat salah ini adalah sekali-sekali sahaja atau tidak salah buat salah begini jika adalah buat itu untuk satu malaysia jua

maka qiaslah akan lafaz puji-pujian untuk pemimpin itu mengikut kadar upaya kita jua dan sayugia hendaklah diingat puji-pujian itu hendaklah setara ia dengan makam pemimpin itu pula jika besar dia maka tinggilah pujinya dan jika kecil dia maka patut padanlah dengan kecilnya itu

begitu juga jika pemimpin itu berada ia di tengah-tengah orang banyak maka pujiannya juga hendaklah banyak dan jika tiada ia ditengah orang banyak maka cukuplah sekadarnya sahaja dan jika dibanyakkan akan puji-pujian pun adalah baik jua

maka ada pun jika mengherdik dia akan pemimpinnya itu maka salahlah dia kerana pemimpin itu sama sekali tidak layak diherdiknya seperti mengherdik dia akan kerbau yang dipeliharanya

dan lagi puji-pujian itu seperti katanya perkara ini tidak mengapa tidak berdosa kalau dibuat kerana satu malaysia atau seumpamanya

Maka jika tidak memulai ia akan dia dengan puji-pujian maka jadilah tegur itu tidak beradab dan berdosalah dia jika tidak beradab dia dengan pemimpinnya lebih-lebih pula jika pemimpinnya itu adalah wanita pertama pula

ada pun sebab mengapa isteri pemimpin itu tidak boleh diherdik dia akannya adalah kerana dia bukanlah seperti isteri-isteri orang lainnya misalnya isteri fak fandir atau isteri si luncai

maka ada pun jika menegur kita akan isteri siluncai atau isteri fak fandir maka tidak memulai kita dengan memuji-mujinya itu tidaklah bersalah jua kerana Si Luncai dan Pak Pandir itu bukanlah layak keduanya untuk dipuja-puji akan keduanya

(Edisi berikut adalah kitab jawi yang telah dimodenkan dengan titik dan koma).

Maka jika isteri selain keduanya, seperti isteri PM misalnya, atau isteri TPM atau mana-mana isteri atau isteri-isteri mana-mana satu daripada mereka, maka menegur mereka itu hendaklah dimulai dengan puji-pujian jua, tidak boleh dengan selainnya.

Dan lagi adab menegur akan pemimpin itu, hendaklah memegang ia akan tangannya sama ada kiri atau kanannya. Dan sayugia dengan tangan kanan kerana kanan itu mulia jua. Ada pun tujuan memegang akan tangan pemimpin itu hanya sanya untuk melahirkan kemesraan jua, bukan kerana selainnya.

Setelah dipegang elok-elok akan tangannya, maka berbisiklah pula di telinganya. Seelok-eloknya telinga kanan sebab kanan itu lebih mulia juga. Ada pun jika telinga kanannya pekak maka tidak mengapa berbisik ia di telinga kirinya.

Ada pun tangannya, jika ia tidak ada tangan kanannya, seperti putus ia, atau lumpuh ia, atau apa jua kerana yang dikeranakan ia akan tangannya, maka bolehlah dipegang tangan kirinya. Jika tiada tangan kiri jua, maka bolehlah dia memegang dimana-mana sahaja kecuali tempat yang geli ia akannya jika dipegangnya.

Ada pun berbisik jua ada adabnya. Janganlah berbisik itu sampai terhambur akan air liurnya kerana sayugia diingat bahawa telinga yang dibisikkan itu adalah telinga pemimpin bukan telinga siapa-siapa. Adalah tidak elok jika terkena air liur orang berbisik itu akan telinga pemimpin.

Maka ada larangan air liur terkena telinga pemimpin itu adalah kerana mulianya pemimpin itu jua.

Maka jika dipegang tangannya dan dibisikkan ke telinganya, maka tidak mengikut pemimpin itu akan teguran itu, maka memeluknya para pujangga lama berselisih pendapat mengenainya. Pendapat taifah Satu Malaysia katanya, adalah boleh peluknya kerana untuk tujuan menasihati juga. Bahkan jika peluknya itu kuat sekali pun…

… Kalau ada orang rajin boleh sambung. Lepas ini kita hantar cetak dan kita hadiahkan kepada Ketua Ulama Muda Umno untuk jadi rujukannya. Demikianlah adanya…