Saturday, January 29, 2011

Jahiliyyah Bukan Jahil

TPM pening lalat apabila MB Kelantan menyebutkan bahawa sesiapa yang tidak undi PAS adalah orang jahiliyyah. Ya, dia memang wajar pening lalat kerana perkataan jahiliyyah sering dikaitkan dengan zaman jahiliyyah, zaman kegelapan orang Arab.

Mana ada orang yang mahu dirinya dikaitkan dengan zaman itu, walau pun ada orang yang perangainya seperti perangai sebahagian orang yang hidup di zaman itu.

Jahiliyyah memang daripada perkataan Arab, jahala, maksudnya bodoh. Kalau jahil, maksudnya orang bodoh. Jahiliyyah pula bermaksud disandarkan atau dinisbahkan kepada kebodohan.

Orang-orang Arab jahiliyyah sendiri tidak bodoh dari sudut penguasaan ilmu. Mereka mahir ilmu bintang, ilmu keturunan, ilmu syair, ilmu pelayaran, ilmu penternakan dan ramai di kalangan meraka adalah ahli perniagaan.

Secara individu, ramai orang yang cerdik di zaman itu. Kalau mereka cerdik, mengapa masyarakat mereka digelar masyarakat jahiliyyah dan zaman mereka disebut zaman jahiliyyah?

Secerdik mana pun seseorang itu, kalau dia buat kerja bodoh, dia akan dipanggil orang bodoh. Orang waras, tetapi berpakaian compang-camping, menyelongkar tong sampah, kencing tepi jalan, seluar tidak berzip, orang akan panggilnya orang gila.

Walau pun dia berusaha menafikan bahawa dia orang gila, orang akan tetap kata dia orang gila. Malah orang kata, orang gila memang begitu, tidak mengaku dirinya gila. Itulah nasib orang waras yang buat kerja orang gila. Dia dipanggil majnuniyy – orang waras yang perangai macam orang gila.

Justeru, masyarakat zaman itu dikatakan masyarakat jahiliyyah walau pun ramai orang cerdik kerana mereka melakukan kerja masyarakat bodoh. Maknanya, mereka bukan bodoh tetapi dikatakan bodoh kerana melakukan kerja orang bodoh.

Dalam Umno memang ramai orang cerdik. PM dan TPM juga cerdik, menteri di JPM pun cerdik, menteri pertahanan cerdik, kalau tak cerdik takkan mereka dilantik jadi menteri.

Mereka cerdik tetapi mereka buat kerja orang tidak cerdik. Orang cerdik yang buat kerja tidak cerdik disebut syakhsun jahiliyy – individu yang dinisbahkan kepada kebodohan. Masyarakat cerdik yang buat kerja masyarakat bodoh disebut mujtamak jahiliy – masyarakat yang dinisbahkan kepada kebodohan.

Apabila MB Kelantan kata orang undi BN jahiliyyah, maknanya, bukan orang itu bodoh tetapi dia buat kerja orang bodoh. Benar, mengundi BN memang buat kerja bodoh. Apa tidak bodohnya, parti yang busuk dengan rasuah dan penyelewengan itu diundi, bukankah itu kerja bodoh?

Orang Umno patut buat kerja orang cerdik sesuai dengan kecerdikan mereka. Tetapi kalau mereka buat kerja orang bodoh, lalu orang sandarkan mereka kepada kebodohan, mereka tidak boleh marah. Orang kata mereka bodoh kerana buat kerja bodoh, walau pun mereka cerdik.

Kesimpulannya, mengundi BN memang JAHILIYYAH. Terima kasih Tok Guru kerana membikin Muhyiddin pening-pening lalat. Harap Tok Guru buat banyak lagi macam tu dalam tempoh yang masih berbaki ini.

Selamat pening buat Muhyiddin.

Thursday, January 27, 2011

Mengapa Dirobohkan?

Ia tegak dengan titisan peluh dan air mata. Ia bukti pengorbanan mustas’afin, penorah getah, pesawah dan pemandu teksi. Ia masih baik dan boleh digunakan, bahkan baru saja dibaikpulih.

Paling penting ia adalah premis yang diwakafkan.

Harta wakaf adalah hak Allah, bukan milik sesiapa. Merobohkan sesuatu yang menjadi milik Allah adalah suatu dosa.

Jika ingin mendirikan yang baru, yang lama jangan dirobohkan. Masih banyak ruang-ruang kosong yang boleh dimanfaatkan.

Apa pun terpulanglah kepada yang empunya kuasa. Namun barang diingat, sebagaimana kuasa boleh datang, ia juga boleh pergi bahkan menghilang.

Ia dirobohkan untuk apa? Untuk membuktikan sesuatu? Apa yang ingin dibuktikan? Keangkuhan atau ketakjuban?

Memang ia daif, tetapi tidak bermakna ia tidak boleh digunakan. Memang selama ini pun ia digunakan, sesuai dengan kedaifannya.

Jika pewakafnya masih ada, jiwanya tentu terusik. Seolah-olah apa yang diwakafkan itu tidak bermakna dan tidak berharga.

Jika pewakafnya telah tiada, mudah-mudahan Allah tetap lanjutkan pahala kebajikannya sekali pun bangunan itu telah tiada.

Melalui apa? Melalui lanjutan amalan kebaikan mereka yang pernah bernaung di bawah premis itu dan menimpa ilmu di bawah bayangannya.

Satu perkara lagi, perobohan itu dengan restu siapa? Khabarnya, komiti yang empunya kuasa belum meluluskan kerja perobohannya tetapi ia telah dirobohkan oleh yang merasa ia berkuasa. Roboh tanpa restu komiti yang empunya kuasa?

(Nota: Ketepikan sahaja kiriman ini kepada mereka yang tidak tahu latar belakangnya. Gambar di atas juga tiada kaitan dengan premis yang dirobohkan).

Sunday, January 23, 2011

Hikayat Bersalam Dengan Wanita Umno

Kami semua berbaris di hadapan kerusi masing-masing menunggu ketibaan orang besar-besar. Di belakang kami pula ratusan orang-orang kanan kerajaan juga berdiri seperti kami. Suasana sunyi apabila kelibat orang besar itu kelihatan. Perhimpunan pagi itu adalah perhimpunan rasmi.

Orang besar itu dan isterinya bersalam dengan semua orang, lelaki perempuan. Suaminya mendahuluinya. Sampai giliran saya, selepas suaminya menyalami saya, dia turut menghulur tangan untuk bersalam dengan saya.

Saya meluruskan tangan ke bawah sambil menundukkan kepala memberi hormat. Isteri pemimpin itu berlalu dan bersalam dengan orang selepas saya seorang demi seorang sama seperti suaminya juga, tanpa mengira jantina.

Saya menjangkakan perkara itu selesai di situ, namun rupa-rupanya tidak. Setelah isteri pemimpin berkenaan selesai bersalam dengan semua orang, dia berpatah balik dan menuju bulat-bulat kepada saya. Betul-betul di hadapan saya, sekali lagi dia menghulur tangan untuk bersalam dengan saya secara khusus.

Dengan terkejut, tanpa pilihan, dengan puluhan mata memandang ke arah saya dan dia, dengan terpaksa, bertujuan untuk tidak memalukan isteri pemimpin berkenaan, dengan teragak-agak saya menghulurkan tangan dan bersalam dengannya.

Darah menyirap dan muka saya terasa panas. Saya tidak tahu apa perasaan saya ketika itu, entah malu atau entah apa, dalam keadaan semua mata menghala kepada kami.

Isteri pemimpin itu tersenyum kepada saya, sinis. Dia seperti puas mungkin kerana telah berjaya mengenakan saya di khalayak ramai.

Semenjak suaminya tidak lagi berada di kerusi nombor satu negeri, isteri pemimpin itu tidak lagi kelihatan. Berbanding dahulu, seolah-olah dialah wanita pertama negeri. Namun, suaminya masih lagi menjadi orang kuat Umno di negeri Indera Kayangan.

Apabila pemimpin BN memainkan isu Cikgu Mala tidak bersalam dengan pengundi lelaki, pemimpin BN itu telah melakukan sesuatu yang benar mengikut neraca partinya. Dan, Cikgu Mala pula dikira bersalah berdasarkan neraca itu.

Demikianlah adanya, hikayat bersalam dengan wanita Umno.

Tuesday, January 18, 2011

Kemaafan Bebas Duit

Bersalam erat berpegangan tangan,
Lepas bersalam berpeluk sakan.
Untung jadi suku-sakat BN,
Silap apa pun tetap dimaafkan.

Lepas bersalam berpeluk sakan,
MCA lari Umno rugi.
Isu azan telah dimaafkan,
Saman ekor bila lagi?

MCA lari Umno tersepit,
MIC pecah Umno kalut.
Isu azan tidak dapat duit,
Saman ekor peluang kaut.

Benci Umno buang ke laut,
Benci BN jangan undi,
MCA pening Umno kalut,
MIC pecah India lari.

Monday, January 17, 2011

Antara Azan Dan Tukang Azan

Azan menjadi isu selepas isu non Muslim masuk masjid, senaman depan masjid dan baca al-Quran. Ada demo dibuat oleh sekumpulan orang untuk melahirkan rasa tidak puas hati dengan apa yang berlaku. Harap-harap isu ini tidak terus diapi-apikan oleh mereka yang ada kepentingan. Kesannya sangat tidak baik.

Soalan saya ialah, apa sebenarnya yang tidak disukai? Azan atau orang yang melaungkan azan? Mengapa saya bertanya begitu?

Azan dilaungkan di seluruh dunia termasuk di kota-kota besar yang dimonopoli oleh orang bukan Islam. Tidak ada sedetik pun azan tidak berkumandang di dunia ini. Mengapa azan di sebuah masjid di Malaysia bangkit sebagai isu?

Peliknya lagi, isu berkaitan azan ini dibangkitkan di sebuah negara yang pernah diisytiharkan sebagai negara Islam. Tetapi, mengapa Cina Kota Bharu tidak pula membantah azan yang dilaungkan di Masjid Muhammadi atau di Masjid al-Bara’ah? Adakah azan mereka berlainan dengan azan di tempat lain?

Allah lebih mengetahui hakikat sebenar, tetapi perlu diingat, perkara yang sama jika dilakukan oleh orang yang berlainan mendatangkan kesan yang berlainan. Saya bukan menujukan perkara ini kepada individu tertentu di tempat tertentu tetapi saya menyebutnya kepada semua orang di semua tempat.

Pertama – Azan di negara kita bukan semata-mata azan, tetapi didahului dengan ungkapan-ungkapan yang bukan azan. Jika azan sebenar tentunya mengambil masa yang tidak terlalu panjang.

Kedua – Azan di negara kita lagunya terlalu mendayu-dayu dan lenggoknya panjang-panjang. Cuba dengar betul-betul azan di negara lain termasuk Mekah dan Madinah, adakah lagu dan lenggoknya sepanjang lagu dan lenggok azan di negara kita?

Azan perlu kembali kepada fungsinya yang sebenar iaitu memberitahu orang Islam mengenai waktu solat juga sebagai medium dakwah kepada orang bukan. Orang bukan Islam diberi peluang menilai perbezaan ajakan beribadat yang terdapat dalam agama mereka dengan ajakan beribadat dalam agama Islam.

Mana satu lebih murni, lebih tulus, lebih menyamankan, lebih mententeramkan, lebih bermakna, lebih halus, lebih menyentuh jiwa dan lebih berkesan. Suara azan atau suara-suara loceng mereka yang tidak bermakna, merimaskan dan tidak mententeramkan itu?

Kadang-kadang azan dilaungkan bukan dengan nada dan gaya memanggil atau menyeru, mengajak atau memujuk tetapi dengan gaya mengejutkan atau menggertak. Suara azan seolah-olah sedang marahkan orang tidur kerana tidak bangun atau menggertak orang di jalan supaya berhenti solat.

Kalimah azan adalah kalimah agung. Mustahil kalimah itu akan dibenci dan dimarah. Kalimah itu datang daripada Allah yang Maha Penyayang. Kalimah itu adalah kalimah rahmat dan kasih sayang.

Namun kalimah yang baik jika diungkapkan dengan cara yang salah, gaya yang salah, tidak mustahil ia akan disalah ertikan. Al –Quran juga jika dibaca pada masa yang salah, dengan cara yang salah, juga akan disalah ertikan.

Saya tidak mengatakan orang yang membantah laungan azan itu betul. Saya juga tidak mengatakan juru azan masjid berkenaan salah. Itu bukan maksud saya. Apa yang saya maksudkan ialah, juru azan perlu menghayati azan yang dilaungkannya, faham fungsi dirinya sebagai pendakwah, laungan yang keluar daripada hatinya, tentu azan itu sangat berkesan kerana ia akan masuk ke dalam hati.

Atas dasar itu orang yang melaungkan azan diberi ganjaran pahala yang besar. Itu bukan tugas mudah, mudah tugas tangkap muat, bukan tugas pakai jadi. Tapi tugas yang berpijak di atas ilmu, kebijaksanaan, kasih-sayang, rahmat, ….

Mengapa Rasulullah saw memilih Bilal bin Rabah menjadi juru azan baginda? Mengapa tidak Umar atau orang lain? Pilihan tangkap muat? Pilihan pakai jadi?

Mengapa bekas hamba dijadikan juru azan? Bukankah jiwa seorang bekas hamba itu lebih halus dan sensitif? Gambarkan bagaimana laungan ajakan bersolat yang dilakukan oleh orang yang jiwanya halus, sensitif, suci dan pasrah? Ya Allah….

Saya sukar untuk menggambarkan bagaimana kesudahanepisod azan ini. Tetapi, kepada mereka yang sayangkan agamanya, mungkin demontrasi salah satu caranya, tetapi itu bukan satu-satunya cara.

Jangan disebabkan kejahilan kita, agama kita menjadi mangsanya.

Thursday, January 13, 2011

Padan Dan Tak Padan

Padan Dan Tak Padan

KJ cabar Anwar debat isu 100 hari.

Anwar bekas TPM, KJ menantu bekas PM. Anwar ketua pembangkang parlimen, KJ ahli biasa parlimen. Anwar ketua umum, KJ ketua pemuda. Anwar dah ada cucu, KJ belum punya menantu. Anwar pernah masuk penjara, KJ lalu tepi penjara.

Tak padan… tak padan…!

UH juga cabar Anwar debat isu liwat.

Anwar bekas TPM, UH bekas….? Anwar ketua pembangkang, UH ketua …? Anwar ketua umum, UH ketua…? Anwar ada cucu, UH ada…? Anwar masuk penjara, UH masuk…?

Tak padan… tak padan!

Kalau dua-dua tak padan, siapa yang padan?

Siapa lagi kalau bukan Najib. Tapi sayang, yang sepadan tak berani pulak. Yang tak padan berani sebab dia tau orang tak akan layan dia. Yang padan pula tak berani sebab dia tau orang sedang tunggu dia.

Kalau KJ debat dengan Pak Pandir macam mana? Atau, UH debat dengan Mak Andih? Padan… ?