Monday, July 12, 2010

Berpuashatikah Kita Dengan Kekal?

Antara kekal, bertambah dan berkurang, dalam konteks sokongan kepada parti, tentulah bertambah yang diinginkan. Bagi orang yang main saham, harga kekal lebih baik daripada merosot dan tidak diniagakan langsung. Tapi kalau menokok, tentu pemain saham tersenyum.

Retreat PAS merumuskan bahawa undi Melayu terhadap PAS adalah konsisten dan terdapat sedikit penambahan. Kenyataan ini tentulah melegakan orang PAS berbanding jika dinyatakan bahawa undi Melayu merosot.

Kenyataan ini boleh dipandang dari beberapa sudut.

Pertama, menafikan sangkaan banyak pihak bahawa undi Melayu kepada PAS semakin merosot. Sekurang-kurangnya menafikan persepsi bahawa PAS hanya menang dengan sokongan bukan Melayu, atau akan bergantung kepada bukan Melayu untuk menang lagi pada masa akan datang.

PAS menang dengan sokongan undi Melayu yang kekal dan undi bukan Melayu adalah bonus. Maksudnya, orang Melayu tidak meninggalkan PAS. Orang Melayu yang memang telah mengundi PAS masih setia dengan PAS. Ini adalah bagus.

Kedua, bagaimana untuk menafsirkan kekalahan PAS di kerusi yang majoriti pengundi adalah Melayu? Di Perlis misalnya, DUN Santan, 99 peratus pengundi adalah Melayu. Berbanding PRU 2004, majoriti kemenangan BN di kerusi itu semakin besar pada PRU 2008.

Jika majoriti kemenangan BN semakin besar dan sokongan kepada PAS kekal, bermakna berlaku pertambahan penyokong BN. Sebab itu BN boleh menang dengan majoriti besar.

Soalannya ialah, mengapa sokongan orang Melayu kepada BN boleh bertambah sedangkan sokongan kepada PAS hanya kekal atau berlaku sedikit sekali pertambahan?

Saya yakin fenomena sebegini berlaku juga di beberapa buah kerusi di Kedah dan Perak. Jika dikatakan bahawa sokongan pengundi Melayu kepada PAS di Kelantan bertambah, itu boleh diterima.

Tetapi, masih ada ruang untuk dipersoalkan walau pun di Kelantan iaitu, bertambah atau balik asal?

Ketiga, kalau pengundi Melayu kepada PAS kekal dan bertambah cuma sedikit, kemanakah undi Melayu itu? Pengundi semakin bertambah, tetapi pengundi Melayu kepada PAS adalah kekal. Adakah pengundi Melayu lari kepada Umno?

Atau, pengundi Melayu mengundi BN di tempat PAS bertanding dan mengundi PKR dan DAP di tempat parti itu bertanding?

Ya, memang sukar untuk menganalisa semua itu.

Namun, berpuashati bahawa pengundi Melayu kepada PAS kekal dan bertambah sedikit adalah sesuatu yang patut dielakkan. Perasaan itu boleh wujud secara sementara sebagai dorongan untuk berusaha memastikan kenyataan pengundi Melayu kepada PAS bertambah dengan pesat.

Keempat, namun ada sesuatu yang lebih patut dirisaukan. Pengundi Melayu meninggalkan PAS kerana PAS bersama Pakatan Rakyat. Memang PAS mendapat banyak manfaat apabila pengundi bukan Melayu mengundi PAS kerana PAS bersama PR.

Tetapi, jika pengundi Melayu tidak mengundi PAS kerana PAS bersama PR, masakan pengundi Melayu akan mengundi PKR dan DAP.

Ini suatu kerugian dan bencana besar.

Sebab itu mempertahankan undi Melayu tidak boleh untuk PAS sahaja, bahkan persepsi tertentu orang Melayu kepada DAP sebagai sekutu PR hendaklah dipulihkan, jika ada. Demikian juga kepada PKR.

4 comments:

Nizam said...

Inilah bahana kalau sesebuah jamaah dipimpin oleh kumpulan pemimpin yang lurus bendul. Bertempur tanpa strategi serta taktikal. Bijak atau kurang bijak? Itu semua perwakilan tentukan sebab sokongan perwakilan KEKAL atau ada sedikit pertambahan. Bila ada sorang terpekik TAKBIR yang lain akan ikut TAKBIR!!! Apa yang ditakbirkan pun dia orang sendiri tak tau. Serupa macam umno. Bila ada sorang terpekik kata HIDUP MELAYU!!! Yang lain akan turut sama terpekik walaupun melayu dah nak mampos dikerjakannya.

Bilalah nak berubah umat Islam ni? Asyik syok sendiri je. Sentiasa mundur ke belakang. Dari ekonomi hingga ke cara berfikir dan bertindak... sentiasa mundur...

Terus terang saya katakan sudah 4 kali pilihanraya saya pangkah pas kerana tiada pilihan. Pas bukanlah pilihan sebenar saya. Tapi daripada umno, ada lebih baik pangkah pas. Itu saya... yang lain tu dia orang punya hak untuk mengundi terutama makcik & pakcik felda. Mungkin dia orang punya fikir lain.

Wallahualam...

Zolkharnain Abidin said...

Sdr Nizam,
Saya hargai pendirian saudara. Sebab itulah kita perlu berani untuk menegur dan memperbaiki PAS. Saya pernah dikata macam-macam kerana menulis mengenai PAS, namun hati saya tidak pernah terdetik untuk tidak menyumbang kepada PAS sekadar terdaya. Insya Allah.

joe penang said...

Bagi ana kenyataan ni x perlu keluar pun di media massa. Boleh menyebabkan kita berpuas hati dengan gerak kerja sedia ada. Kalau nak keluar pun baik ikut negeri, kwsn dan cawangan. Khusus utk lajnah penerangan dan lain2 lajnah.
Bagi ana baik kita cula undi siap2 dari sekrg. jangan bila dah buabar dun barulah terhegeh2 nak panggil ahli mai meeting cula undi.
Hajat besar, gerak kerja ciput camna nak berjaya?

Nizam said...

Salam Ust Zol...

Saya juga menyumbang sekadar terdaya kepada pas dari segi masa & wang ringgit. Masalah sekarang ialah pemimpin pas tidak dilihat bijak dalam strategi. Benar, mereka tidak melakukan kesalahan dari segi hukum. Mereka orang baik-baik. Tetapi mereka tidak bijak memimpin. Yang mereka tahu ialah HALAL... HARAM...

Saya hormati keterbukaan Ustaz Zol tetapi masalahnya ketepuan pemikiran pemimpin pas merisaukan saya. Pasti akan ada komen dari puak-puak jumud yang tidak menyetujui apa yang kita bincangkan. Mereka tetap akan terpekik TAKBIR walaupun pemimpin mereka BENGAP...

Maaf akan kekasaran bahasa... Saya bertanggungjawab atas apa yang saya tulis. Insya-Allah...