Sunday, August 22, 2010

Gerakan Menyusahkan Umno

Jika Pemuda Gerakan menganggap undang-undang hudud adalah impian peribadi Nik Abdul Aziz, anggapan itu sangat meleset. Sukar diagak, adakah Umno tidak mengajar Gerakan selama ini bahawa undang-undang hudud bukan persoalan Nik Abdul Aziz tetapi persoalan Islam?

Undang-undang hudud adalah impian semua orang Islam, bukan sekadar Nik Abdul Aziz secara individu. Jika ditakdirkan Nik Abdul Aziz tiada pun, undang-undang hudud tetap diimpikan oleh semua orang Islam.

Undang-undang hudud bukan undang-undang Nik Abdul Aziz, juga bukan undang-undang PAS. Jika perasaan keinginan kepada undang-undang hudud tidak ada dalam diri orang Islam, maka keislaman orang itu berhak diragui.

PAS tetap inginkan undang-undang hudud walau pun salah seorang orang kuat DAP mempersoalkannya. Itu tidak pelik kerana Karpal bukan Islam. Harap-harap Karpal bersuara atas kapasiti peribadi bukan kapasiti parti.

Ada dua kemungkinan dia mempersoalkannya. Mungkin kerana jahil dan mungkin kerana jahat. Kalau dia jahil, maka orang Islam berkewajipan mengeluarkannya daripada kejahilan itu. Tetapi, jika dia jahat, dia akan ditinggalkan dan diketepikan begitu sahaja.

Oleh kerana Karpal berkawan baik dengan PAS, maka kewajipan itu terpulang kepada PAS. Kesediaan Nik Abdul Aziz berhadapan dengan Karpal dalam perkara ini adalah langkah sangat tepat. Nik Abdul Aziz bersedia ditemui bila-bila masa atas isu itu.

Disela-sela berbalas kenyataan antara Nik Abdul Aziz dan Karpal itu, Pemuda Gerakan tumpang sekaki. Pemuda Gerakan bersuara atas kapasiti parti. Mereka tidak boleh menerima hudud sama seperti Karpal. Adakah Umno bersetuju dengan pandangan pemuda Gerakan ini?

Pemuda Gerakan juga seperti Karpal, tidak Islam. Mereka tidak bersetuju dengan hudud juga mungkin kerana jahil atau jahat.

Kalau mereka jahil, kawan rapat mereka ialah Umno. Ulama muda Umno wajar memahamkan mereka mengenai hudud ini.

Kalau mereka jahat pula, adakah mereka akan diketepikan sedangkan kenyataan itu dikeluarkan atas nama parti? Sudi dan sanggupkah Umno mengenepikan Gerakan?

Sehingga kini Umno belum bersuara. Jika parti itu bersuara pun, suaranya adalah suara untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP. Isu hudud ini nampaknya sangat berkesan untuk tujuan itu.

Pendirian PAS adalah jelas. Undang-undang hudud akan diusahakan supaya boleh dilaksanakan. Jika ada yang tidak bersetuju, meja dialog sentiasa terbentang.

Bukan sekadar Nik Aziz dengan DAP, malah semua pemimpin PAS bersedia. Bukan sekadar dengan DAP malah dengan sesiapa sahaja termasuk dengan Umno.

Mengapa PAS mengambil pendirian begitu? Kerana pelaksanaan undang-undang hudud adalah impian semua orang PAS.

Cuma apa yang orang ramai ingin tahu sekarang ialah apa pendirian Umno dengan kenyataan pemuda Gerakan itu? Umno bersetuju dengannya?

Nampaknya kenyataan Pemuda Gerakan ini menyusahkan Umno dan bukan menyusahkan PAS atau DAP.

1 comment:

Anonymous said...

perbezaan pandangan terhadap hudud memang berbeza antara pas dan dap. itu fakta. tapi ia menyakitkan. bila apco tau itu adalah titik yang menyakitkan dalam pr, maka dia akan pukul dan cucuk tempat tu bertalu-talu

sebenarnya pkr juga tak sependapat dengan pas tentang hudud, tapi apco nampak umno patut cucuk guna dap

karpal patut menyatakan pendiriannya kerana lama kelamaan ahli dap akan mula sangsi, bila diperingkat akar umbi bn mula memesongkan mereka

memang wujud perbezaan dan pr, sama seperti dalam bn. tetapi ingat, pr mula mencapai kemajuan bila masing-masing mencari titik persamaan dan berjuang atas titik tersebut

menyembunyikan titik perbezaan yang dilakukan sekarang adalah langkah sementara sebenarnya. apa yang perlu dilakukan ialah memberi pengiktirafan terhadap titik perbezaan tersebut. pas mesti mengaku bahawa dap tak suka hudud dan pkr tak mau bercakap tentang hudud. semua komponen pkr perlu berkumpul dan mengenalpasti titik perbezaan tersebut. setiap parti menyatakan apa yang dia tidak suka. selepas tu, saling menghormati perbezaan tersebut. semoga selepas itu, bila karpal kata dia tak suka hudud, orang pas tak marah

sekarangpun tak patut marah, sebab karpal bukan orang islam. tapi dah yang cucuk tu umno dengan nada mengejek, maka orang pas jadi marah pada benda yang patut

walaupun lim guan eng suka pemerintah umar, tapi belum terdengar lagi dia puji hudud. kerana dap memang tak suka hudud. kalau dap suka hudud, dap patut jadi sayap pas. maka biarkan dap dengan indentitinya

janganlah hanya kerana dap lawan bn seperti pas, maka dap akan suka hudud seperti pas

apa yang sedang berlaku sekarang ialah penyokong pas ditipu oleh lidah umno bahawa dap telah melakukan kesalahan dan patut dibenci kerana tidak suka hudud (sama seperti rakyat ditipu bahawa parti pembangkang adalah gerakan anti kerajaan)