SATU - Entah bila saya
kurang pasti, saya berkata bahawa saya tidak mahu lagi menulis mengenai isu-isu
politik. Tapi, jiwa politik saya tidak pernah padam.
Dorongannya sangat kuat.
Lebih-lebih lagi melihat ulasan politik daripada pelbagai sumber yang
kadang-kadang sangat menyesakkan. Akhirnya, saya akan menulis kembali. Mungkin
sambutan kepada tulisan saya dingin, tetapi sekurang-kurangnya menjadi arkib
kepada peristiwa-peristiwa penting politik, khususnya di negeri Perlis yang
bakal saya rakamkan.
Lokasi fokus tulisan saya ialah
Perlis. Isu fokus ialah politik. Sasaran saya ialah parti-parti politik,
individu politik, starategi politik… atau apa sahaja yang berkaitan dengan
politik.
Saya tidak pandai membuat
ulasan-ulasan tinggi berkaitan politik, tetapi saya harap saya dapat menyumbang
sesuatu kepada dunia itu dengan cara dan upaya saya.
Pendekatan mengkritik, kecuali
dasar parti, mungkin akan menjadi pendekatan saya kini, seperti sebelum ini
juga. Soal apa pandangan orang terhadap kritikan itu, pengkritik sebenarnya
sudah menyiapkan topi besi di kepalanya.
Sementelahan pula, saya kini
lebih banyak masa kerana sudah sebulan menganggur. Pagi-pagi baca buku, tulis
buku, terjemah buku. Insya Allah, mungkin ada yang akan keluar. Sudah ada pihak
yang bersedia menerbitkannya.
Menjelang malam, menyampaikan
kuliah di Perlis dan Kedah. Terima kasih kepada kawan-kawan yang terus
menyokong untuk ‘meringankan’ bebanan penganggur ini.
DUA - “Bila nak mula
bisnes…?” tanya seorang kawan. Macamlah saya sedang merancang sebuah bisnes
besar yang kira juta-juta punya. Saya kata, “Dah mula kecil-kecilan..”
Sebenarnya, saya bersama seorang
sahabat memang merancang untuk memulakan sebuah perniagaan kecil. Premis sudah
dipohon, bentuk bisnes sudah dikenalpasti, pembekal sebahagiannya sudah
ditemui, modal sedang dirancang, starategi pemasaran sudah ada dalam kepala…
Pendek kata tempoh tiga tahun saya bergelumang sebagai staf dan pengurus kepada
sebuah organisasi bisnes berskala jutaan ringgit sebulan memberi pengalaman
berharga untuk menjadi ‘business man’. Doakan…
Kekangannya kini ialah agensi
kerajaan. Biasalah, jabatan kerajaan memang agak lambat dan lembab memproses
permohonan. Saya sabar dengan kerenah itu, sebab saya juga bekas pegawai
kerajaan.
TIGA - Di Perlis,
calon-calon PR sebahagian besarnya sudah diketahui. Semangat untuk bertanding
juga berkobar-kobar, sama kobarnya dengan semangat untuk menang. Mereka yang
tersenarai sebagai calon diminta menanggalkan apa-apa jawatan yang tidak
berkaitan dengan pilihanraya. Pada waktu ini, wiridnya ialah pilihanraya.
Saya terserempak dengan seorang
bakal calon sedang menunggang motosikal masuk kampong. Beliau pertama kali akan
bertanding. Saya salute dengan kegigihan beliau. Seorang aktivis memberi komen,
“Undi orang cina, ok. Undi orang Melayu kalau calon kita dapat, itu kerana
peribadi calon itu. Dia orang baik.” Saya puas hati dengan komen itu.
Insya Allah, apabila sampai
masanya, saya akan jadikan blog ini sebagai saluran untuk saya memperkenalkan
calon-calon PR yang bertanding di Perlis. Anggap sahaja ini sebagai sumbangan
saya yang tidak seberapa.
TIGA - Saya diberitahu,
akan ada seorang pegawai kanan kerajaan di Perlis yang bakal bertanding kerusi
PKR di salah satu kawasan parlimen di Perlis. Semasa menutup pintu kereta
seusai kuliah di suatu tempat, saya berkata kepada isteri saya, “Jika berita
ini benar, kita berdua akan turut berkempen untuk beliau habis-habisan. Beliau
perlu menang dengan kewibawaannya.”
Saya sangat berharap supaya insan
yang disebut-sebut itu sanggup melepaskan jawatannya sekarang dan bertanding.
Saya optimis beliau boleh menang.
“Beliau ada pakej. Berilmu,
berpengalaman dalam pengurusan peringkat tinggi, berpengalaman di peringkat
antarabangsa…,” kata saya kepada rakan-rakan pendengar kuliah apabila nama
beliau disebut. Seperti saya, kawan-kawan yang lain juga nampaknya berharap
supaya khabar angin ini bertukar menjadi berita benar.
Saya pernah menemuinya suatu masa
dulu bersama beberapa pimpinan kanan PAS Perlis (alah dulu-dulu … kan semuanya
ok, he he…). Dalam perbincangan kami saya sudah dapat menangkap fikrah
politiknya. Cuma pada masa itu sesiapa pun tidak berani mengagak akan berlaku
seperti khabar yang sampai ke telinga saya ini. Mungkin kerana beliau masih
batu di Perlis dan beberapa isu setempat yang masih panas ketika itu menjadi
keutamaan tugas beliau.
Saya berjanji akan berkempen untuk
beliau walau pun beliau mungkin tidak akan bertanding di parlimen tempat saya
mengundi atau di tempat saya tinggal. Kalau benar beliau bertanding, beliau
menang, beliau layak jadi menteri.
Itu ramalan saya. Sekian dulu…
2 comments:
Tahniah ustaz....selamat kembali artis menulis..
Selamat kembali menulis...dengan giat dan istiqamah..tahniah ustaz..
Post a Comment