Thursday, June 10, 2010

Pulanglah Ke Pangkuan...

Ust Nakhaei orang alim. Beliau saya kenali semasa belajar di Pusat Islam sekitar tahun 1987. Saya mengaguminya dalam banyak hal. Buku-bukunya saya miliki dan saya baca, antaranya bukunya berkaitan seerah nabi.

Pada waktu itu beliau acap kali berserban ala syeikh al-Azhar, kupiah merah dan serban putih dililit selari tanpa ekor. Saya suka dengan cara itu. Pernah suatu ketika semasa masih belajar saya dan kawan-kawan turut meniru gaya berserban itu.

Kali terakhir saya menemuinya di sebuah kedai makan di Taman Melewar tiga atau empat tahun lalu. Dia dan isterinya Ustz Rusmiati Harun berpakaian sukan. Mungkin baru lepas berjalan kaki, bersenam, mengeluarkan peluh.

Saya menegurnya, kami bersalaman dan seperti biasa bersembang beberapa perkara. Macam biasa, beliau dan isterinya tidak mengenali saya walau pun saya mengenali mereka berdua.

Seorang tokoh seperti Ustz Nakhaei wajar kembali kepada lubuk asalnya PAS. Beliau wajar merenung kembali kehidupannya bersama PAS dan membandingkannya dengan kehidupannya bersama Umno. Mudah sahaja perbandingannya. Semasa bersama PAS dia kelihatan lebih ‘warak’ dengan ketayap, serban, jubah berbanding semasa bersama Umno dia kelihatan ‘bogel’ kepala dan selesa dengan tali leher dan kot.

Bukan tali leher dan kot itu salah. Itu bukan isunya. Isunya ialah penglibatannya dengan kelompok yang berbeza telah membentuk penampilan yang berbeza. Dan, tidak pelik juga penampilan yang berbeza itu turut melambangkan sikap dan fikrah yang berbeza.

Ust Nakhaei tidak perlu silau mata atau malu-malu untuk kembali kepada PAS. Beliau tidak perlu ‘tersipu-sipu’ untuk menerima TG Hj Abd Hadi sebagai ketuanya. Mungkin beliau dan TG Hj Hadi lebih kurang seimbang sahaja pencapaian ilmu mereka, tetapi itu bukan alasan untuk tidak dapat duduk bersama TG Hj Hadi dalam PAS.

Ust Nakhaei perlu memikirkan secara serius untuk kembali kepada PAS dalam keadaan parti yang dia bernaung di bawahnya kini, Umno semakin ditolak oleh umum. Sesuatu yang pelik untuk orang alim seperti Ust Nakhaei masih bersama Umno pada ketika orang lain yang tidak sealimnya pun meninggalkan parti itu.

Jangan pula Ust Nakhaei beralasan begini, “Disebabkan saya orang alimlah, maka saya bersama Umno. Disebabkan mereka kurang alimlah maka mereka bersama PAS.”

Ust Nakhaei perlu bersama dengan semua teman-temannya dahulu, anak-anak usrahnya dahulu juga rakan-rakan seperjuangannya dahulu di dalam PAS. Kawan-kawannya di dalam Umno bukan rakan-rakannya yang sebenar.

Mereka hanya rakannya ketika mereka memerlukannya, atau dengan kalimah yang lebih kasar boleh memperalatkannya. Adakah Ust Nakhaei pernah lupa bahawa dia pernah ditolak oleh perwakilan dalam suatu pemilihan yang disertainya, walau pun beliau adalah sebenarnya adalah tokoh berbanding saingannya yang lain?

Apa ertinya itu? Ertinya orang alim seperti Ust Nakhaei tidak dipandang di dalam Umno dari sudut ilmu. Dia hanya dipandang apabila dia boleh dipergunakan atau diperalatkan oleh mereka sahaja.

Kini, apa tempat untuk Ust Nakhaei di dalam Umno?

Saya yakin jika Ust Nakhaei terus bersama PAS, ilmunya, kebolehannya, keupayaannya, kecerdikannya akan terus dinilai dan dihargai. Sangat banyak saluran dan ruang di dalam PAS untuk beliau berkhidmat dengan secara berkesan kepada Islam.

Ust Nakhaei, pulanglah ke pangkuan PAS. Ust tidak rugi apa-apa. Umno pun tidak rugi apa-apa. Kami dan mereka yang pernah mengutip mutiara ilmu yang terpancar daripada ustaz akan terus menerima dan menyanjungi ustaz selayaknya.

Ya, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Dan, laut mana yang tidak bergelora. Teduh hujan, nyamanlah udara. Tenang laut, stabillah bahtera.

Tuesday, June 8, 2010

Inilah Bapaku VS Inilah Aku...

SATU - Pemilik blog ini diserang bertubi-tubi apabila dia menulis mengenai organisasi sebuah parti politik pembangkang di Perlis. Walau pun ada yang memuji dan bersetuju dengan pandangannya, itu tidak mampu untuk membendung arus serangan dan hentaman penyerang dan penghentam.

Kritikannya dikatakan kosong, penuh dendam-kesumat, marah dan benci kerana tidak mendapat tempat di dalam parti, mengutuk pimpinan, tidak beradab, mengikut nafsu termasuk yang mempersoalkan hala-tuju masa depannya apabila dia meletakkan sebahagian besar jawatan dalam parti.

Semuanya berselindung di belakang ‘Anonymous’. Dan, sebelum ini penulis blog ini pernah diserang dengan ‘Surat Layang’ yang disebar dibeberapa lokasi, menggunakan nama orang lain. Pendeknya, penyerang dan penghentam pemilik blog ‘tidak berani’ menyua muka atau tampil secara lelaki untuk berhadapan penulis.

Orang Arab bermadah, “Bukanlah lelaki seorang yang berkata, ‘Inilah bapaku’. Lelaki sejati ialah seorang yang berkata, ‘Inilah aku’...” Nampaknya penyerang penulis bukanlah lelaki. Kalau bukan lelaki apa, p****n? Harap-harap bukan.

DUA - Penulis tahu, apa yang penulis kemukakan sebelum ini bukan kosong. Kerana, kalau kosong tentulah tulisan penulis tidak akan dilayan pun. Tetapi, khabarnya tulisan penulis dibincangkan dalam mesyuarat peringkat negeri. Mengapa begitu, kalau tulisan itu kosong?

Adakah penulis berdendam, marah kerana penulis tidak diberikan jawatan dalam parti? Terus-terang penulis katakan, untuk masa ini, lebih baik penulis tidak berjawatan daripada berjawatan.

Kalau begitu, apa hala tuju penulis apabila tidak berjawatan? Penduduk Malaysia ada 28 juta orang. Katakan 14 juta daripadanya adalah Muslim. Katakan pula ahli PAS sehingga kini 1.5 juta orang.

Katakan 6 juta daripadanya telah akil baligh. Bukankah mereka bukan pimpinan PAS dan bukan juga ahli PAS?

Adakah mereka semua tidak punya hala tuju, maksudnya hala tuju untuk mendaulatkan Islam? Penulis tidak akan meninggalkan PAS kerana penulis masuk PAS bukan kerana orang atau pemimpin tetapi kerana visi dan misinya.

Adakah orang yang mempersoalkan hala tuju masa depan penulis faham misi dan visi PAS? Entah-entah tidak.

TIGA – Penulis berdendam, untuk apa? Umur manusia bukan panjang pun. Boleh jadi pemimpin PAS negeri yang ada pergi dahulu daripada penulis. Atau, boleh jadi juga penulis mendahului mereka. Justeru, untuk apa berdendam.

Kita bukan hidup di zaman orang bertarung pakai keris dan belantan. Pada zaman ini orang bertarung hujah dan fakta. Rifel paling canggih boleh tewas dengan fakta dan hujah. Mengapa tentera Israel tidak menembak mati semua wira yang berada di atas kapal Mavi Marmara?

Bukankah mereka ada senjata tercanggih? Kerana, mereka tidak mampu berhadapan dengan hujah dan fakta yang akan dikenang oleh seluruh warga dunia bahawa mereka telah membunuh orang yang tidak bersalah.

Fakta dan hujah yang dikenang oleh warga dunia adalah lebih tajam daripada peluru rifel mereka.

EMPAT - Penulis melanggar perlembagaan parti, kod etika ahli parti atau penulis tidak beradab? Fasal mana yang penulis langgar, kod etika mana yang penulis ceroboh dan adab apa yang penulis tidak patuhi?

Adakah menulis dan menyebarkan surat layang itu beradab? Mengapa pimpinan PAS negeri tidak mengambil tindakan terhadap surat layang yang menggunakan nama warga sebuah institusi parti? Dan, adakah ‘pemimpin’ yang membodohkan orang lain itu beradab?

Adakah orang yang bercakap soal perlembagaan faham perlembagaan, faham adab dan faham kod etika? Mengapa tiada tindakan ke atas ‘orang’ yang menggunakan nama institusi milik parti untuk tujuan tertentu?

LIMA - Penulis akan terus menulis dan mengkritik melalui blog ini. Rajin-rajinlah jengok. Sekurang-kurangnya hits blog ini bertambah dan ruangan komen blog penulis makin riuh dan rancak. Itulah nikmat menulis blog. Atau pun sekurang-kurangnya, berpeluang juga mereka yang tidak sukakan penulis menghentam dan mem*****kan penulis.

Tetapi itu tidak bermakna penulis akan menulis tanpa fakta dan hujah. Penulis juga tidak akan memaki, menghamun atau mem*****kan sesiapa. Itu bukan cara penulis. Penulis akan menulis perkara yang benar berdasarkan apa yang penulis tahu.

Macam mana penulis dapat maklumat? Itu tak penting kerana maklumat boleh dapat daripada beribu sumber. Adakah tuan-tuan tahu, penulis pernah mendengar satu mesyuarat penting yang sedang berlangsung melalui handphone yang terpasang?

Thursday, June 3, 2010

Belajarlah Daripada Zulqarnain

Selesai membaca tafsir surah al-Kahfi buah tangan Ibnu Kathir, saya teringat untuk membuat kiriman ini. Walau pun bukan kerana kesamaan nama, saya tetap berterima kasih kepada al-marhum ayah yang meletakkan nama itu untuk saya. Siapalah saya untuk disamakan dengan seorang raja adil lagi perkasa yang diabadikan namanya di dalam al-Quran itu.

Zulqarnain di dalam al-Quran mengikut para ulama bukan Iskandar al-Maqduni atau Alexander The Great yang pernah kita baca dalam buku sejarah itu. Alexander itu adalah penakluk yang tidak beriman. Mereka berdua mungkin sama dari sudut kepintaran menakluk, tetapi iman memisahkan mereka.

Saya tidak berhasrat untuk berbicara panjang mengenai latarbelakang personal Zulqarnain, tanya sahaja ‘Mr Google’, dia mampu menjawab dengan agak baik.

Menurut al-Quran Zulqarnain sampai ke penghujung timur dan barat bumi. Beliau menemui pelbagai watak manusia. Dia melakukan kebaikan kepada mereka dan mengajak mereka beriman kepada Allah.

Kemuncak pengambaraan Zulqarnain ialah apabila dia sampai ke daerah yang terletak di antara dua bukit. Daerah itu sering diserang oleh Ya’juj dan Ma’juj, daripada keturunan Adam yang mengganas tanpa batasan.

Siapakah Ya’juj dan Ma’juj? Tanyalah ‘Mr Google’, dia akan mencadangkan ensiklopedia bebas Wikipedia untuk ditelaah. Rasanya itu memadai.

Kaum yang tinggal di daerah itu bersedia mengupah Zulqarnain untuk membina tembok pemisah antara mereka dan Ya’juj dan Ma’juj. Zulqarnain menolak upah itu dan bersedia bekerjasama dengan mereka untuk melakukannya.

Bagaimama Zulqarnain bekerja? Ini yang penting dan sepatutnya diteladani.

1. Zulqarnain berkepakaran tinggi – Dia bukan pemimpin biasa tetapi seorang yang berilmu. Dia menguasai ilmu dakwah, ilmu perang, ilmu seni kepimpinan termasuk ilmu binaan. Dia membina tembok pemisah dengan sangat teguh sehingga tidak mampu dipanjat dan ditebuk.

Semua kepakarannya dimanfaatkan di tempat yang sebenar. Dia berlemah-lembut dengan sasaran dakwahnya, bertegas dengan penentangnya dan bekerjasama dengan mereka yang sedia bekerjasama. Dengan lembut ada tegas, dalam tegas ada bijaksana.

2. Bijak memanfaatkan kebolehan orang lain – Biar pun Zulqarnain berupaya membina tembok itu dengan kekuatan tentera yang dimilikinya, namun dia tidak berhidung tinggi. Dia menghargai kebolehan penduduk setempat dengan memohon kerjasama mereka dalam bidang yang mereka berkebolehan.

Beliau meminta mereka mendapatkan kepingan besi, menimbunnya setinggi bukit, meniup kepingan besi sehingga panas membara, mendapatkan tembaga cair dan menuangkan tembaga itu di atas timbunan besi berkenaan.

Penduduk setempat tidak merasai tembok itu sumbangan Zulqarnain sepenuhnya, tetapi merasai itu hak mereka juga kerana mereka turut menyumbang dalam pembinaannya.

3. Sedar mengenai kedudukan diri sendiri – Selesai pembinaan tembok, Zulqarnain menyifatkan kejayaannya itu sebagai rahmat dari Tuhan. Tembok itu terbina dengan kehendak Tuhan dan bakal ranap dengan kehendak Tuhan juga.

Beliau tidak merasa dirinya serba hebat, serba tahu dan serba sempurna. Penyandaran urusan hidup kepada Tuhan pada permulaan dan penghujungnya, membentuk jiwa mereka yang berkuasa agar sedar akan amanah kekuasaan yang dimilikinya.

Sebesar mana pun kuasa, setinggi mana pun jawatan, sekuat mana pun pengaruh, sampai masa ranap jua.

4. Sentiasa mendapat pertolongan Allah – Zulqarnain sentiasa dipermudahkan oleh Tuhan dalam semua urusannya. Jalan sentiasa terbuka dan terbentang. Dia boleh sampai kemana-mana dengan bantuan angin.

Tuhan memudahkan urusannya sebab itu kehendak Tuhan untuknya. Beliau pula memanfaatkan semua kemudahan itu untuk meninggikan kalimah Tuhan. Dia tidak mengambil kesempatan kemudahan anuherah Tuhan itu untuk kepentingan dirinya.

Beliau sedar, sehebat mana pun dirinya, semua itu anugerah Tuhan jua.

Paling penting, mengapa Zulqarnain dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran. Beliau bukan nabi dan rasul. Namun, kisah beliau disebut dengan panjang lebar oleh Tuhan di dalam kitabnya. Kisahnya bakal dibaca oleh manusia sampai kiamat.

Di sana ada ribuan nabi, namun nama mereka tidak tersebut pun di dalam al-Quran. Di sana ada puluhan rasul, nama mereka tersebut tetapi tidak diceritakan dengan panjang seperti Tuhan memperihalkan Zulqarnain?

Adakah beliau lebih mulia daripada nabi dan rasul? Tidak, para nabi dan rasul lebih mulia daripadanya. Kalau begitu, mengapa begitu?

Inilah model pemimpin yang dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi, pemimpin di peringkat mana pun. Pemimpin mesti berilmu, bijak memanfaatkan kebolehan orang lain walau pun orang yang paling lekeh, sedar akan letak duduk diri sendiri dan sentiasa berusaha untuk melayakkan diri mendapat pertolongan Allah.

Sekurang-kurangnya kita semua adalah pemimpin kepada diri sendiri atau keluarga kita. Contohilah Zulqarnain, apatah lagi kalau kita adalah pemimpin sebuah JAMAAH ISLAM.

(Nota: Gambar di atas adalah hiasan saja, tiada kena mengena dengan Zolkharnain atau Zulqarnain dalam tulisan ini).