Monday, July 5, 2010

Gangster Ekonomi Bertapak Di Malaysia

Gangster ekonomi bertapak di Malaysia.
Adakah ini petanda bahawa PRU 13 semakin hampir?
BACA SINI

Sunday, July 4, 2010

Tempatkan Ulama Muda Di Felda

Semenjak 2001 hingga kini, Felda dipengerusikan oleh seorang yang ‘bukan ulama muda’. Pengerusi Felda sebelum orang ‘bukan ulama muda’ ini semuanya bukan ulama.

Secara peribadi saya bukan orang yang menetap di Felda, tetapi abang dan kakak saya adalah warga Felda. Semenjak awal mereka berkahwin sehingga kini, sudah pun bercucu mereka menetap di Felda.

Bohong kalau saya katakan hidup mereka tidak berubah. Kini mereka ada tanah kebun kelapa sawit dan ada rumah. Walau pun mereka sering tidak cukup belanja harian, tetapi mereka ada tanah untuk diusahakan dan rumah sendiri untuk berteduh.

Kalau boleh dikatakan itu jasa Felda, itulah jasanya.

Namun saya berani katakan, sebenarnya apa yang warga Felda dapat kini, selepas 30 hingga 40 tahun mereka menetap di situ hanyalah ‘kuah’. Isi dan intinya diperolehi oleh orang lain, orang yang tidak ada kena mengena pun dengan kerja-kerja memajukan tanah di Felda.

Sama seperti agensi lain yang ditubuhkan oleh kerajaan, rakyat biasanya dijadikan justifikasi untuk membenarkan tindakan mengayakan kroni. Felda misalnya, yang kaya bukan peneroka tetapi kroni pemimpin Umno yang mendapat projek pembangunan di Felda.

Bermula dengan projek kecil seperti projek membaja ladang sampai kepada projek besar seperti pembinaan MRSM di Trolak bernilai RM120 juta, isinya dinikmati kroni pemimpin Umno.

Mana pulangannya kepada warga Felda yang semakin berusia itu? Mana hasilnya kepada generasi kedua warga Felda yang sebahagiannya sudah pun bercucu?

Warga Felda sebenarnya tidak berpeluang sangat untuk menikmati kekayaan Felda. Apa yang mereka nikmati sebenarnya adalah sebahagian kecil sahaja hasil titik peluh mereka selama berpuluh tahun bersama Felda.

Titik peluh mereka yang sebenar dinikmati oleh orang lain, orang yang bertali leher dan berbilik berhawa dingin di merata tempat. Warga Felda tetap begitu juga.

Semenjak 2001 hingga kini Felda diterajui oleh ‘bukan ulama muda’. Dikatakan bahawa kroni ‘bukan ulama muda’ ini sudah kaya-raya dengan projek-projek Feldajaya yang kosnya sebanyak RM152 juta.

Saya fikir inilah antara tugas ulama muda yang masuk Umno baru-baru ini. Kalau mereka ingin membersihkan Umno dari dalam, inilah kekotoran yang perlu dibersihkan itu.

Kalau ‘bukan ulama muda’ sudah ternyata gagal membela warga Felda, ulama muda perlu tampil membela peneroka.

Kalau ulama muda setakat masuk Umno untuk bercakap soal usalli dan tahlil, qunut dan talqin… entahlah.

Saturday, July 3, 2010

Anti-istana Pulak...

Orang yang pernah menerima jolokan ‘Mat Kotak’ ini menuduh Malaysiakini dan The Star anti-istana. Oleh kerana semua ‘istana’ adalah Melayu, maka dikaitkan bahawa kedua-dua akhbar itu turut anti-Melayu.

Baginya, apabila laporan berkaitan sekumpulan pekerja asing yang bekerja membina istana tidak dibayar gaji, maka laporan itu adalah anti-istana dan anti-Melayu.

Sama ada pekerja itu dibayar gaji sewajarnya atau tidak, itu adalah isu yang berasingan. Isunya ialah, Ezam mengaitkan laporan kecuaian kontraktor pembinaan membayar gaji kepada pekerja membina istana sebagai anti-istana.

Serentak dengan itu juga, oleh kerana Malaysiakini diketuai oleh seorang yang bukan Melayu, maka bukan Melayu yang melaprkan kecuaian kontraktor itu juga dikaitkan dengan perbuatan anti-istana dan anti-Melayu.

Ini senjata lama yang diasapkemenyankan semula oleh Ezam. Senjata ini diguna olehnya untuk menikam musuh politiknya. Apabila Ezam menyebut dia akan lawan Steven Gan habis-habisan, maknanya Ezam menobatkan Malaysiakini sebagai musuhnya.

Senjata yang diguna oleh Ezam untuk menjerat Malaysiakini adalah senjati anti-Melayu dan anti-istana. Kebetulan pula Steven adalah bukan Melayu. Memang senjata anti-Melayu cukup berbisa.

Kecuali ada maklumat terselindung, mengaitkan laporan kecuaian kontraktor membayar gaji pekerja yang membina istana dengan anti-istana agak keterlaluan.

Istana itu bukan dibina oleh ‘istana’. Pembiayaannya juga bukan keluar langsung dari ‘istana’. Kontraktornya juga bukan ‘istana’. Pekerja yang tidak dibayar gaji itu juga bukan bekerja dengan ‘istana’.

Maka, apa kaitannya isu tidak bayar gaji pekerja dengan ‘istana’?. Apa kaitan laporan itu dengan anti-istana? Kontraktor yang tidak bayar gaji pekerja, pemilik akhbar yang melaporkan pula dikaitkan dengan anti-istana, bagaimana?

Boleh diyakini bahawa kontraktor yang dilantik untuk membina istana itu adalah kontraktor Umno. Kalau sekadar lima orang pun tidak dibayar gaji, maknanya kontraktor Umno tidak membayar gaji pekerja. Itu tetap suatu kecuaian.

Disebabkan kontraktor Umno tidak membayar gaji pekerja, maka sebenarnya yang tidak membayarnya adalah Umno. Oleh kerana yang dibina itu adalah, maka Umno anti-istana. Kalau Umno anti-istana maka Najib yang jadi ketua Umno juga anti-istana. Adakah kaitan sebegitu menepati disiplin ilmu mantik?

Pembinaan istana itu dikata ‘istana air mata’ kerana air mata rakyat tumpah kerananya. Bukan kerana istana tetapi kerana kecuaian kontraktor Umno.

Ezam bela siapa sebenarnya?

Ezam bukan bela istana, tetapi kontraktor yang bina istana itu. Kalau pun Ezam nak bela kontraktor Umno itu, dia tidak perlu mengaitkan pelapor kecuaian kontraktor dengan anti-istana.

Untuk pengetahuan Ezam, rakyat sudah masak dengan taktik Umno. Selepas orang menunggu isi kotak yang didakwa ada enam, tujuh, sebelas, dua belas tak muncul-muncul, Ezam usahlah memanggung kepala dengan isu anti-istana pula.