Thursday, April 7, 2011

Pelajar Maut: Apa PAS Perlis Perlu Buat?

“Sekolah rakyat di Jejawi, sekolah mana satu”? Tanya seorang peniaga nat kepada rakan niaganya. “Alah… sekolah PAS tu.” Jawab rakannya.

Mahu tidak mahu, kejadian kematian pelajar sekolah rendah yang dikatakan dipukul warden asramanya baru-baru ini perlu ditangani oleh PAS Perlis. Jika itu suatu kepincangan, maka kepincangan itu patut ditanggung oleh PAS, khususnya PAS Perlis.

Di laman FB, ada rakan yang menyebutkan secara langsung nama sekolah berkenaan. Walau pun ada rakan FB juga yang melarang rakan FB-nya menyebut secara langsung mengenai perkara itu, rasanya masyarakat telah pun tahu dan tetap akan tahu bahawa sekolah itu adalah milik PAS Perlis.

Sesiapa pun tidak mahu perkara sebegitu berlaku apatah lagi apabila melibatkan nyawa. Jika sekadar kecurian wang sesama pelajar, tidur di atas bumbung asrama, mengoyak dawai pagar, lari malam, mengorat di bawah tangga bangunan sekolah, ponteng solat berjemaah, semua itu bukan perkara pelik.

Bukan sahaja di sekolah rakyat, ia turut berlaku di sekolah kerajaan. Bukan sahaja di sekolah PAS, jika Umno ada sekolah pun, semua itu akan berlaku.

Sekolah adalah tempat mendidik manusia. Mustahil di suatu tempat manusia di situ semuanya ‘wali-wali’ belaka.

Namun kejadian melibatkan nyawa tempoh hari sangat mengejutkan. Mereka yang tidak pernah mengambil tahu mengenai kewujudan sekolah itu pun akan turut mengambil tahu. Bahkan, tentu ada yang akan mencari-cari maklumat tambahan mengenai sekolah itu dengan pelbagai tujuan, baik atau buruk.

PAS Perlis tidak dapat lari daripada mengambil tanggungjawab. Jika mana-mana sekolah PAS beroperasi dengan baik, PAS berbangga dengannya, tentulah wajar juga apabila institusi itu bermasalah, bebannya perlu ditanggung oleh PAS.

Adakah imej PAS Perlis akan tercalar dengan kejadian itu? Belum dapat dipastikan. Saya belum mendengar orang memburukkan PAS atau pemimpin PAS dengan kejadian itu.

Bagi orang PAS, kejadian itu sedikit pun tidak melunturkan sokongan mereka kepada PAS. Bagi orang Umno pula, kejadian itu mungkin menjadi peluru percuma kepada mereka untuk memburukkan PAS. Sama ada kejadian itu mendatangkan kesan buruk secara langsung kepada PAS atau tidak, mungkin suatu kajian khusus perlu dilakukan.

Bagi saya, PAS Perlis tetapi tidak boleh membiarkan kejadian ini berlalu begitu sahaja tanpa melakukan sesuatu. Jika kita bertegas terhadap Umno dalam kejadian-kejadian besar termasuk mendesak para menterinya meletakkan jawatan, maka kita juga perlu bertegas dengan kejadian besar yang berlaku di dalam parti kita sendiri.

Saya tidak bermaksud supaya orang PAS mendesak sesiapa meletakkan jawatan tetapi maksud saya ialah suatu penilaian semula atau semakan semula perlu dilakukan terhadap pentadbiran sekolah-sekolah yang dimiliki oleh PAS Perlis.

Saya ada satu pandangan peribadi dalam perkara ini iaitu bebaskan sekolah PAS daripada pengaruh politik PAS. Sebenarnya ini bukan persoalan baru, tetapi telah dilontarkan beberapa kali, namun lontaran itu berlalu begitu sahaja.

Memang sekolah PAS ditubuhkan oleh PAS, sebuah parti politik. Namun itu tidak bermakna persoalan pendidikan juga perlu dipengaruhi oleh politik. Sekolah-sekolah PAS tidak boleh lagi diletakkan di bawah lembaga tadbir yang dipengerusikan oleh pemimpin PAS negeri atau peringkat lain.

Institusi pendidikan perlu ditadbir oleh mereka yang berkeahlian dalam bidang itu. Pengerusi lembaga tadbirnya tidak boleh lagi pesuruhjaya PAS negeri atau timbalannnya atau mana-mana pimpinan peringkat perhubungan negeri.

Pengerusi lembaga tadbirnya hendaklah seorang pendidik yang berpengalaman luas, begitu juga dengan keanggotaannya. Keputusan-keputusan berkaitan sekolah itu perlu dibuat oleh mereka yang berkeahlian dalam bidang itu, bukan oleh kuasa-kuasa politik.

Mungkin wujud kebimbangan, jika sekolah itu dikeluarkan daripada pengaruh politik PAS, terjaminkan pelajarnya akan menyokong PAS apabila tamat pengajian nanti?

Jawapannya mudah. Sebenarnya bukan semua pemimpin dan ahli PAS keluar dari sekolah PAS. Mereka keluar dari pelbagai latar belakang sekolah. UUM Sintok yang dahulunya disebut sebagai Universiti Umno Malaysia, kini melahirkan ribuan penyokong, ahli dan pemimpin PAS. Jadi PAS tidak perlu bimbang perkara ini.

* * * * *

OK, oohhhh terpaksa berhenti di sini kerana terpaksa bersedia untuk ke Melaka. Ada program besar di sana. Saya akan memberikan komen lagi bila berkesempatan. Harap-harap orang yang buat surat layang mengenai saya tidak marah dengan pandangan ini.

Kalau marah, nanti kena jual. Tak begitu Mr K.

------------------------------------------------

12:40 pm - sebelum makan tengahari.

Wednesday, April 6, 2011

Menteri Otak Belacan


Siapa lebih kenal suami kalau bukan isteri?
Kalau isteri tidak layak, siapa yang layak?
Suruhanjaya menghabiskan duit rakyat lebih layak?
Tugas suruhanjaya itu untuk membersihkan nama BN?
Adakah BN punya nama (baik) lagi untuk dibersihkan?

Tolonglah...
Kami tidak mahu lagi menjadi rakyat...
Dalam sebuah negara yang menterinya...
Berotak 'belacan' sebegini...

Monday, April 4, 2011

Menjadi Bapa

Berbelas tahun saya hidup dalam suasana ‘pondok’ walau pun tidak sempat untuk memondok daripada tok guru pondok kerana faktor usia. Tok-tok guru pondok hanya berkain pelikat, berbaju melayu dan berketayap putih atau berserban. Sesuatu yang dilihat jarang lekang daripada mulut mereka juga adalah rokok daun.

Suatu kelebihan tok-tok guru pondok ialah hubungan dengan pelajarnya. Bagi mereka pelajar mereka adalah anak-anak mereka. Mereka boleh makan bersama pelajar, bersembang bahkan bermain bersama.

Dan, paling istimewa, semua itu tidak menjatuhkan wibawa mereka sebagai guru dan tidak pula mengurangkan penghormatan pelajar kepada mereka. Dimana-mana mereka dihormati bahkan mereka turut digeruni.

Ketika di dalam kelas, mereka memanggil pelajar dengan panggilan ‘anak-anak’. Pada hal ada pelajar yang berusia puluhan tahun kerana sistem pengajian pondok tidak mementingkan usia.

Tok-tok guru ini pula membahasakan diri mereka dengan ‘Pak’ seperti Pak Man (Tuan Guru Hj Othman al-Yunusi), Pak Mid (Ustaz Abdul Hamid Ibrahim), Pak Mat (Ustaz Ahmad Yusuf Pulau Pisang), Pak Ya (Tuan Guru Hj Yahya Junaid). Dan ada pula yang hanya dikenali dengan Pak Su, Pak Teh, Pak Tam, Pak Ngah oleh para pelajar masing-masing.

Mereka bercakap di dalam kelas seperti seorang bapa bercakap dengan anak. Jarang benar mereka menengking pelajar apatah membelasahnya. Bagi mereka, pelajar mereka adalah anak-anak mereka.

Mereka tidak pernah mendapat latihan perguruan daripada mana-mana maktab perguruan, tidak kenal pedagogi. Mereka mungkin mengetahui mengetahui psikologi pendidikan daripada buku-buku berkaitan tarbiah atau kejiwaan daripada kitab-kitab yang pernah mereka baca.

Apa yang pasti, apa yang mereka ajar melekat di kepala, cara hidup mereka diikuti, gaya mereka ditiru bahkan mereka menjadi idola. Buktinya, pemergian mereka ditangisi dan mereka terus hidup di bibir orang-orang yang pernah meneguk daripada cangkir ilmu mereka.

Saya pernah belajar Ilmu Faraidh daripada seorang guru pondok, kitab al-Waraqaat. Beliau masuk kelas, terus duduk, buka kitab, baca dan hurai satu persatu. Beliau tidak kisah sangat samada pelajar nak dengar, nak lena atau nak belajar. Cuma pantangnya ialah pelajar bersembang, dia akan halau keluar kelas.

Beliau tidak pernah memegang kapur walau sekali pun. Semua masalah Ilmu Faraidh diselesaikan dengan mulut sahaja. Peliknya, kami yang belajar dengannya dapat faham ilmu itu dan dapat jawab soalan peperiksaan dengan baik. Ilmu yang diajarnya melekat di kepala hingga sekarang.

Saya juga pernah mengajar Faraidh di sekolah selama dua tahun (sebelum meninggalkan profesion perguruan). Pelajar diberi nota, dibuat rajah di papan putih, dijelaskan berulang-ulang kali, itu pun ada yang masih terkebil-kebil, tak faham.

Entahlah, tapi yang jelas, pendidikan bukan sekadar sistem, teknik, olahan, kaedah tetapi lebih kepada hubungan kejiwaan. Apa yang saya belajar di SAR puluhan tahun dahulu, sebahagian besarnya masih kekal segar dalam kepala, bahkan ada syair-syair Arab yang dihafal waktu itu masih diingat.

Berbeza dengan apa yang dipelajari di pusat pengajian rasmi selepas itu, tidak melekat di kepala.

Benar, banyak faktor yang mempengaruhi ingatan kepada ilmu. Namun satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah, hubungan kejiwaan pelajar – guru sangat berperanan.

Guru-guru pondok dahulu bukan sekadar dipanggil ‘Pak’ tetapi mereka benar-benar menjadi bapa. Bapa kepada anak-anak yang mereka asuh dan didik untuk mewarisi mereka sebagai bapa juga kepada masyarakat.