Wednesday, October 10, 2012

Kritikan Politik, Bisnes Dan Kempen PRU 13


SATU - Entah bila saya kurang pasti, saya berkata bahawa saya tidak mahu lagi menulis mengenai isu-isu politik. Tapi, jiwa politik saya tidak pernah padam. 

Dorongannya sangat kuat. Lebih-lebih lagi melihat ulasan politik daripada pelbagai sumber yang kadang-kadang sangat menyesakkan. Akhirnya, saya akan menulis kembali. Mungkin sambutan kepada tulisan saya dingin, tetapi sekurang-kurangnya menjadi arkib kepada peristiwa-peristiwa penting politik, khususnya di negeri Perlis yang bakal saya rakamkan.

Lokasi fokus tulisan saya ialah Perlis. Isu fokus ialah politik. Sasaran saya ialah parti-parti politik, individu politik, starategi politik… atau apa sahaja yang berkaitan dengan politik.

Saya tidak pandai membuat ulasan-ulasan tinggi berkaitan politik, tetapi saya harap saya dapat menyumbang sesuatu kepada dunia itu dengan cara dan upaya saya.

Pendekatan mengkritik, kecuali dasar parti, mungkin akan menjadi pendekatan saya kini, seperti sebelum ini juga. Soal apa pandangan orang terhadap kritikan itu, pengkritik sebenarnya sudah menyiapkan topi besi di kepalanya.

Sementelahan pula, saya kini lebih banyak masa kerana sudah sebulan menganggur. Pagi-pagi baca buku, tulis buku, terjemah buku. Insya Allah, mungkin ada yang akan keluar. Sudah ada pihak yang bersedia menerbitkannya.

Menjelang malam, menyampaikan kuliah di Perlis dan Kedah. Terima kasih kepada kawan-kawan yang terus menyokong untuk ‘meringankan’ bebanan penganggur ini.

DUA - “Bila nak mula bisnes…?” tanya seorang kawan. Macamlah saya sedang merancang sebuah bisnes besar yang kira juta-juta punya. Saya kata, “Dah mula kecil-kecilan..”

Sebenarnya, saya bersama seorang sahabat memang merancang untuk memulakan sebuah perniagaan kecil. Premis sudah dipohon, bentuk bisnes sudah dikenalpasti, pembekal sebahagiannya sudah ditemui, modal sedang dirancang, starategi pemasaran sudah ada dalam kepala… Pendek kata tempoh tiga tahun saya bergelumang sebagai staf dan pengurus kepada sebuah organisasi bisnes berskala jutaan ringgit sebulan memberi pengalaman berharga untuk menjadi ‘business man’. Doakan…

Kekangannya kini ialah agensi kerajaan. Biasalah, jabatan kerajaan memang agak lambat dan lembab memproses permohonan. Saya sabar dengan kerenah itu, sebab saya juga bekas pegawai kerajaan.

TIGA - Di Perlis, calon-calon PR sebahagian besarnya sudah diketahui. Semangat untuk bertanding juga berkobar-kobar, sama kobarnya dengan semangat untuk menang. Mereka yang tersenarai sebagai calon diminta menanggalkan apa-apa jawatan yang tidak berkaitan dengan pilihanraya. Pada waktu ini, wiridnya ialah pilihanraya.

Saya terserempak dengan seorang bakal calon sedang menunggang motosikal masuk kampong. Beliau pertama kali akan bertanding. Saya salute dengan kegigihan beliau. Seorang aktivis memberi komen, “Undi orang cina, ok. Undi orang Melayu kalau calon kita dapat, itu kerana peribadi calon itu. Dia orang baik.” Saya puas hati dengan komen itu.

Insya Allah, apabila sampai masanya, saya akan jadikan blog ini sebagai saluran untuk saya memperkenalkan calon-calon PR yang bertanding di Perlis. Anggap sahaja ini sebagai sumbangan saya yang tidak seberapa.

TIGA - Saya diberitahu, akan ada seorang pegawai kanan kerajaan di Perlis yang bakal bertanding kerusi PKR di salah satu kawasan parlimen di Perlis. Semasa menutup pintu kereta seusai kuliah di suatu tempat, saya berkata kepada isteri saya, “Jika berita ini benar, kita berdua akan turut berkempen untuk beliau habis-habisan. Beliau perlu menang dengan kewibawaannya.”

Saya sangat berharap supaya insan yang disebut-sebut itu sanggup melepaskan jawatannya sekarang dan bertanding. Saya optimis beliau boleh menang.

“Beliau ada pakej. Berilmu, berpengalaman dalam pengurusan peringkat tinggi, berpengalaman di peringkat antarabangsa…,” kata saya kepada rakan-rakan pendengar kuliah apabila nama beliau disebut. Seperti saya, kawan-kawan yang lain juga nampaknya berharap supaya khabar angin ini bertukar menjadi berita benar.

Saya pernah menemuinya suatu masa dulu bersama beberapa pimpinan kanan PAS Perlis (alah dulu-dulu … kan semuanya ok, he he…). Dalam perbincangan kami saya sudah dapat menangkap fikrah politiknya. Cuma pada masa itu sesiapa pun tidak berani mengagak akan berlaku seperti khabar yang sampai ke telinga saya ini. Mungkin kerana beliau masih batu di Perlis dan beberapa isu setempat yang masih panas ketika itu menjadi keutamaan tugas beliau.

Saya berjanji akan berkempen untuk beliau walau pun beliau mungkin tidak akan bertanding di parlimen tempat saya mengundi atau di tempat saya tinggal. Kalau benar beliau bertanding, beliau menang, beliau layak jadi menteri.

Itu ramalan saya. Sekian dulu…

Thursday, June 14, 2012

Sepuluh Ceritera Menjelang Ramadhan



SATU

“Kita nak sambut raya pulakah ummi…?”

Suara anak kecil itu meminta kepastian daripada ibunya mengenai kedatangan Aidilfitri. Senyuman si ibu sambil membelek-belek kain-kain yang bakal dijadikan baju raya untuk anak-anak sudah menjadi jawapan.

“Tapi…, sebelum raya kena puasa dulukan? Tak bestlah ummi..!”

Begitulah anak kecil. Kalau boleh biarlah Ramadhan tidak muncul dan yang muncul hanyalah Syawal. Hari raya adalah segala-galanya bagi mereka, baju baru, duit raya, kueh raya, balik rumah opah dan banyak lagi.

Adakah kita yang sudah bukan anak kecil ini begitu juga?

Dilaporkan bahawa Umar bin al-Khattab berkata pada penghujung Syaaban, “Selamat datang wahai pembersih diri kami daripada dosa…”
* * * * *

DUA

Menjelang petang, tumpuan orang ramai adalah pasar Ramadhan. Semua jari tangan tergantung karung-karung berisi makanan dan minuman. Pada pandangan mata, semuanya sedap dan terasa tidak mencukupi.

“Besok kita nak berbuka dengan apa pula ya…?”

Tanya isteri ketika waktu Maghrib sudah semakin masak.

“Ha, kalau ada…. tentu sedap”.

Suami pula seperti belum mahu berganjak dari meja makan.

Patutkah sikap begini diteruskan?

Diriwayatkan bahawa, Abdullah bin Umar tidak pernah berbuka puasa kecuali bersama fakir miskin. Apabila ada orang yang meminta makanan daripadanya, beliau memberikannya. Beliau makan apa sahaja yang ada sehingga ada ketikanya beliau berpuasa dalam keadaan tidak makan apa-apa pada malamnya.
* * * * *

TIGA

“Masjid kampong kita imam baca panjang atau pendek…?”

Sambil menyelak helaian akhbar harian, dia bertanya rakannya.

“Entah, aku sembahyang di masjid hujung sana. Setengah jam siap semua. Nak ikut… boleh!”

Ada orang menghabiskan malam-malam Ramadhan dengan bersembang kosong bersama rakan-rakan di ‘port-port’ yang terpilih. Siangnya pula, dihabiskan dengan tidur. Malam sembang, siang tidur.

Bagi yang bekerja, waktu-waktu senggang dihabiskan dengan berbual kosong. Lebih teruk lagi kalau ‘makan daging saudara sendiri yang telah mati’.

Adakah itu sudah menjadi tradisi?

Dilaporkan, apabila menjelang Ramadhan, Imam Malik menutup kitab-kitabnya dan tidak lagi berfatwa. Beliau memberikan sepenuh tumpuan kepada al-Quran. Ibnu Hajar menceritakan, Imam Syafie menghatamkan al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak enam puluh kali. Begitu juga dilaporkan bahawa, al-Bukhari mengkhatamkan al-Quran sebanyak tiga puluh kali. Pada bulan biasa, Imam Ahmad mengkhatamkan al-Quran sekali seminggu. Menjelang Ramadhan, beliau mengkhatamkan al-Quran dua kali seminggu.
* * * * *

EMPAT

“Akulah tuhan kamu yang maha tinggi…”

Bentak Firaun kepada para pengikutnya. Mereka dipaksa menyembahnya. Orang yang melawan akan dihukum bunuh.

Perasaan rendah diri terhasil dengan kelaparan. Orang yang tidak pernah lapar, sukar merendah diri. Orang yang sentiasa kenyang sukar memahami makna kesusahan.

Setahun sekali, kita memasuki sekolah latihan merendah diri, sekolah Ramadhan. Inilah sekolah yang diasaskan oleh Islam yang telah melahirkan mereka yang menguasai dunia dengan kekuatan sifat rendah diri, bukan dengan kekuatan kesombongan.

Bukankah Firaun dimusnahkan selepas dia mempromosikan kesombongannya di hadapan nabi Musa?

Dilaporkan, Umar bin Abdul Aziz mendapat berita bahawa anaknya telah membeli sebentuk cincin berharga seribu dirham. Beliau menulis sepucuk surat kepada anaknya, “Aku mendapat berita bahawa kamu membeli sebentuk cincin berharga seribu dirham. Apabila sampai kepadamu suratku ini, kamu hendaklah menjual cincin itu. Belanjakan wang itu untuk membeli makanan kepada seribu orang yang kelaparan. Belilah cincin besi yang berharga dua dirham sahaja dan ukir di atasnya ungkapan ini, Allah merahmati seseorang yang mengetahui kedudukan dirinya.”
* * * * *

LIMA

“Banyak borong…!”

Sapa seorang wanita kepada temannya.

“Oh…, semua ni bahan untuk buat kueh raya. Raya dah dekat, entah sempat entah tidak…”.

Semakin dekat dengan hari raya, malam-malam Ramadahan juga semakin meriah. Sebahagian orang memeriahkannya dengan acara menyediakan kueh raya. Tidak kurang juga yang memeriahkannya dengan peningkatan ibadah kepada Yang Maha Berkuasa.

Dengan apakah sepatutnya malam-malam terakhir Ramadhan diisi?

As-Sa’ib Ibnu Yazid melaporkan, Umar bin al-Khattab mengarahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim ad-Dariy supaya mengimamkan orang ramai dalam solat pada bulan Ramadhan. Mereka membaca surah-surah yang panjang sehingga kami perlu bertopangkan tongkat untuk berdiri kerana terlalu panjang. Kami tidak berhenti bersolat sehingga hampir-hampir fajar.”

Abdullah bin Abu Bakar as-Siddiq meriwayatkan, bapaku berkata, “Kami hanya berhenti beribadat pada bulan Ramadhan ketika para khadam terpaksa bergegas-gegas menyediakan makanan untuk bersahur kerana bimbangkan kemunculan fajar.”
* * * * *

ENAM

“Tak laratlah nak berdiri lama-lama…! Buat pendek-pendek sudahlah”.

Getus seorang lelaki separuh umur sambil menyarung selipar.

“Kita dah tua, mana larat nak buat panjang-panjang…!”

Besoknya, dia menyambung cerita bila ditanya sebab dia terlalu awal meninggalkan solat terawikh di surau.

Bolehkah faktor usia dijadikan alasan untuk mengurangkan ibadah?

Dilaporkan oleh Asma’ bin Ubaid, beliau bersama Said bin Amir masuk menemui Abi Raja’ al-A’taridiy yang berusia 130 tahun. Beliau berkata, “Mereka menemuiku, mengangkatku kerana badanku yang kurus dan meletakkanku di tempat imam. Aku bacakan di dalam solatku bersama mereka pada bulan Ramadhan, setiap rakaat tiga puluh atau empat puluh ayat.
Bahkan diceritakan, Abu Raja’ mengkhatamkan al-Quran di dalam solat pada bulan Ramadhan setiap sepuluh malam.
* * * * *

TUJUH

Tidur pada siang hari pada bulan Ramadhan dikira ibadat khususnya kepada mereka yang puasanya terdedah kepada kerosakan jika dia berjaga.

Tapi ada juga orang yang menghabiskan siang dengan tidur dengan alasan letih berpuasa. Justeru, dia akan terlepas peluang untuk meningkatkan ibadah khusus kerana ‘ibadah’ tidur.

“Huh… panas betullah hari ini. Nak minum pun tak boleh…”

Ada orang merungut begitu.

Betulkah puasa menghalang tugas?

Peperangan Mu’tah berlaku pada bulan Jamadil Awal. Ibnu Kathir melaporkan, Abdullah bin Rawahah mengetuai peperangan Mu’tah dalam keadaan berpuasa.

Abdullah bin Rawahah berkata, “Bawakan kepadaku seketul tulang. Aku ingin ikatkan diperutku untuk menahan lapar”.

Selepas itu, beliau diberikan sepotong daging. Sambil memandang matahari, beliau bertanya, “Adakah matahari sudah terbenam?”

Beliau berbuka puasa di atas belakang kuda, mengetuai peperangan besar dalam keadaan nyawa berada di hujung pedang.

Beliau adalah pemimpin ketiga yang syahid dalam medan peperangan itu selepas Zaid bin Harithah dan Jaafar bin Abi Talib.
* * * * *

LAPAN

Gastrik, penyakit yang menjadi alasan sebahagian orang untuk meninggalkan puasa Ramadhan.

“Aku bukan tak nak puasa, tapi aku tak boleh lapar. Aku ada penyakit…!”

Kalau betul, orang itu tetap terikat dengan hukum meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan kerana sakit. Kalau dia berbohong, dia berdosa kerana berbohong dan berdosa kerana meninggalkan perkara fardu.

Sanggupkah kita mensia-siakan anugerah Ramadhan yang sangat berharga itu?

Dilaporkan, seorang pemimpin dalam kerajaan Umawi bernama Rauh bin Zanba’ dalam perjalanan melalui padang pasir untuk menunaikan umrah. Ditengah-tengah perjalanan, beliau bertemu seorang arab badwi yang sedang mengembala kambing.

“Wahai A’raby, mari ke sini makan bersamaku”, pelawa Rauh bin Zanba’.

“Ada orang lain yang lebih mulia daripada kamu mempelawaku”, jawab arab badwi itu.

“Siapa?” Rauh memohon kepastian.

“Allah, Tuhan semesta alam”, tegas arab badwi itu.

“Macam mana?” Rauh kehairanan.

“Aku sedang berpuasa dan aku hanya berbuka untuk-Nya sahaja”, jawab arab badwi itu.

“Tidak mengapa. Kamu berbuka sekarang, besok kamu berpuasalah lagi”, desak Rauh.

“Adakah kamu boleh menjamin bahawa besok aku akan hidup lagi?” soal arab badwi itu.

“Kamu mengambil berat terhadap hari-hari kamu, sedangkan kami pula mensia-siakannya”, jawab Rauh dengan tersedu-sedan.
* * * * *

SEMBILAN

“Ya Rasulallah, pakaian ini hamba jahitkan khusus untuk tuan. Terimalah…”.

Wanita ini begitu teruja menghadiahkan sehelai pakaian jahitan tangannya sendiri untuk insan yang paling disayanginya. Dirinya seakan-akan melayang ke langit apabila pakaian itu diterima dan dipakai oleh baginda, makhluk paling agung di dunia dan di akhirat.

“Ya Rasulallah, berikan pakaian itu kepadaku…”

Rasulullah saw memasuki rumah baginda, menanggalkan pakaian yang dihadiahkan oleh wanita tadi dan memberinya kepada lelaki yang meminta itu.

“Apa yang kamu buat ni…? Rasulullah telah memakai pakaian itu, baginda memerlukannya. Mentang-mentanglah kamu tahu baginda tidak pernah mengecewakan orang yang meminta, kamu memintanya daripada baginda?”

Para sahabat melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap lelaki itu. Mereka tahu, mintalah apa sahaja daripada nabi, baginda akan memberinya. Baginda sangat pemurah melebihi angin yang berhembus.

“Demi Allah, aku tidak memintanya daripada baginda kecuali pakaian ini akan aku jadikan kafanku”.

Benar, pada hari kematiannya, lelaki itu dikafankan dengan kain yang pernah menyentuh tubuh baginda yang mulia. Alangkah beruntungnya lelaki itu.

* * * * *
SEPULUH

Ingin sekali perkara itu ditanyakan kepada bondanya, namun dibimbangi bondanya berkecil hati. Beliau faham, bagi bonda, walau pun seperit mana kehidupan yang ditempuh bersama buya, bonda sangat berbangga kerana buya hidup sebagai pejuang.

Tiada sesaat pun hidup buya, tiada sekalimat yang terpancar dari mulut buya, tiada selangkah buya bergerak kecuali semuanya demi perjuangan untuk meninggikan kalimah Allah.

“Bonda, mengapa jari telunjuk buya bergerak-gerak sepanjang masa? Buya seperti menulis sesuatu. Apakah masalah buya?”

Akhirnya, setelah kewafatan Buya Hamka, si anak tidak dapat menahan lagi gejolak jiwanya. Akhirnya soalan itu terpacul jua dari bibirnya.

“Anakku, buyamu menulis kalimah Allah dengan jarinya. Itulah zikirnya sepanjang hayatnya”.

* * * * *

Tuesday, April 24, 2012

Kenangan PKLP Thailand

“Ustaz nak pergi tu, ok ke…?” Ramai sahabat yang melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan apabila saya menyatakan persetujuan untuk menghadiri PKLP yang akan dianjurkan oleh Sekretariat ESP Thailand pada 15 April di sebuah restoran di Yala. Namun saya nekad untuk berkunjung ke negara itu kerana ramai juga rakan yang berkata, “Pergi saja ustaz, semuanya ok.”

Saya pernah membatalkan pada saat-saat akhir pemergian ke program yang sama pada bulan lalu di Pattani, sebuah wilayah yang dikatakan sering bergolak. Pembatalan ini juga adalah atas nasihat kawan-kawan. ‘Rayuan’ isteri supaya tidak meneruskan hasrat pemergian itu menambahkuatkan lagi hujah pembatalan.

Hatyai, bandar di Selatan Thai yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai bandar bersih, dikejutkan dengan kematian 14 orang dan kecederaan seramai 340 orang pada awal April yang lalu. Mereka yang menjadi mangsa bom kereta itu dikatakan dilakukan oleh pemberontak Islam.

Pada penghujung Mac lalu, 11 terbunuh manakala 100 orang cedera dalam tiga letupan yang berlaku selang beberapa minit sahaja di Yala, sebuah bandar yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan berkereta dari Padang Besar. Di Pattani pula, sebuah motosikal meletup dan seorang anggota polis menjadi mangsa pada tarikh yang sama.

Sesiapa sahaja akan berfikir beberapa kali untuk berkunjung ke Thailand apabila mendengar berita sebegitu. Itu adalah normal. Namun saya bertekad, bukan untuk menempah kecelakaan tetapi untuk melihat dan merasai sendiri suasana di negara gajah putih itu.

Debaran di dada menjadi semakin kencang apabila kenderaan yang membawa saya dan Saudara Ibrahim, Pengurus Cawangan HPA Padang Besar melintasi sempadan Malaysia – Thai. Tiada sebarang pemeriksaan keselamatan di sempadan. 

Kami terus ke rumah Ustaz Sofi di Padang Besar Thailand, seorang warga Thailand yang berpendidikan di Emiriah Arab Bersatu dan Yaman yang akan membawa kami ke Yala. Beliau kelihatan biasa sahaja, tanpa raut kebimbangan yang terpalit di wajahnya. Saudara Ibrahim pula sering mengingatkan saya, “Tak apa ustaz, kita berniat baik. Allah bersama kita.” 

Perasaan saya bercampur-baur antara bimbang dan yakin apabila pick-up yang dipandu Ustaz Sofi mula meluncur melalui jalan besar empat lorong tanpa tol ke Yala. Bagaimana kalau ada ‘butiran besi pembunuh’ sesat menyinggahi kenderaan kami, atau kepala kami? Hah, semuanya serba mungkin.

“Cuba ustaz kira berapa sekatan jalan yang kita tempuh…”, kata Ustaz Sofi apabila kami melalui satu sekatan jalan raya yang dilakukan oleh tentera. Mereka bersoal jawab panjang mengenai barang-barang yang kami bawa. Saya tidak faham apa-apa, semuanya dalam bahasa Thai. Apa yang saya nampak, Ustaz Sofi menjawab semua soalan yang dikemukakan dengan tenang dan selamba. 

Kami melepasi satu demi satu pemeriksaan, tujuh semuanya. Setiap sekatan jalan dilakukan oleh tentera dengan uniform dan bersenjata lengkap. Kebetulan kawasan yang kami lalui adalah kawasan perkampungan yang majoritinya penduduknya adalah orang-orang Islam, menyebabkan kebimbangan kejadian tidak diingini berlaku makin menebal.

Semasa di dalam kenderaan, kami berbual-bual mengenai situasi politik di Thailand. Menurut Ustaz Sofi, bukan mustahil konflik yang berlaku di Selatan Thailand adalah berpunca daripada pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan. Konflik itu dijadikan sebagai batu loncatan untuk meraih keuntungan politik atau ekonomi oleh pihak tertentu.

Entahlah, apa yang saya tahu saya ingin pergi dan pulang dengan selamat. Itu sahaja. Bagi saya, setiap seorang warga Thailand, tanpa mengira apa agamanya, berhak untuk hidup dalam keadaan harmoni. Tidak boleh ada mana-mana pihak yang menjadi pengancam keselamatan kepada pihak yang lain.

Program PKLP Thailand berjalan dengan baik. Kehadiran memberangsangkan. Sepanjang majlis, bahasa yang menjadi alat komunikasi adalah bahasa Melayu Petani. Lebih kurang bahasa Melayu loghat Kelantan. Bahasa itu bukan sahaja digunakan semasa majlis berlangsung, malah ketika berbual-bual juga.

Saya bertanya, “Mengapa orang Thai bercakap sesama orang Thai pakai bahasa Melayu?” Ust Hassan Salaema, PJS Thailand tersenyum. “Sudah biasa…”, katanya. Cuma saya teringat, suatu masa dulu ketika seorang pelajar Thailand dihantar belajar ke sebuah sekolah menengah Arab di Perlis, ayahnya berkata kepada saya, “Kami mahu anak-anak kami belajar bahasa Melayu sebab bahasa Melayu adalah bahasa Islam.”

PKLP dianjurkan di sebuah restoran berhampiran sebuah taman rekseasi. Saya pernah ke situ suatu masa dulu ketika pesta tanglong berlangsung. Seperti dahulu, suasana aman sahaja. Orang berkumpul, berbual, bermain, berlari, makan-makan, berkereta… biasa sahaja seperti di tempat-tempat lain di negara ini juga. Tidak pula nampak riak-riak kebimbangan pada wajah-wajah mereka yang saya temui. Dalam hati mereka, itu saya tidak tahu. 

Orang Thai memang baik-baik. Mereka tahu menghormati tetamu apatah lagi jika saudara seagama. Bagi mereka, orang Islam Malaysia dan Thailand bukan sekadar seagama bahkan ‘seibu sebapa’. Kata mereka, “Jika orang Islam Malaysia selesa menikmati makanan dan bahan gunaan halal, mereka patut berusaha agar kami di Thailand juga mengecapi nikmat yang sama.” Atas asas inilah HPA dikembangkan di Thailand. Bumi itu sangat subur untuk HPA.

Semasa pulang kami melintasi sebuah perkampungan orang Islam. Di tepi jalan raya, di atas sebuah kereta kebal, kelihatan seseorang yang saya kira tentera berdiri di atasnya dengan gaya tersendiri.

“Ustaz, cepat ambil gambar tentera itu…”, cadang Ustaz Sofi. Saya diam. Jika saya diupah sekali pun saya tidak berani mengetik kamera untuk merakamkan panorama menggerunkan itu. Ada sesuatu yang terlintas dalam benak saya. Perkara yang terlintas itu biarlah saya rahsiakan sahaja.

Sepanjang perjalanan pulang, di bandar-bandar yang kami tempuhi, suasana biasa sahaja. Kami berhenti bersolat maghrib dan makan malam di sebuah stesen petrol. Suraunya padat. Kenderaan dengan nombor pendaftaran Malaysia berderetan. Keletihan menjadikan tomyam daging bersama telor dadar tidak berbaki sedikit pun di dalam pinggan. Nasinya pula memang sedap, maklumlah beras Thailand.

Bumi Thailand akan kami kunjungi lagi demi produk halal untuk umat Islam di sana.