SATU - Sebelum PRU 12,
selesai solat Jumaat, saya bertembung dengan Md Isa Sabu (YAB Dato’ Seri Dr) di
sebuah masjid di Perlis. “Saya dah bersara dari politik, dah terlalu lama,”
lebih kurang begitulah beliau beritahu saya mengenai dirinya. Tup tup, selepas
PRU 13 beliau jadi MB.
Itulah rezeki terpijak Md Isa.
Beliau mungkin pernah bermimpi jadi MB tetapi rasanya beliau sendiri tidak
pernah percaya mimpinya akan menjadi kenyataan. Sebaliknya tragedi itu adalah
mimpi ngeri kepada karier politik Shahidan. Mungkin Shahidan tidak pernah
bermimpi untuk ‘tersungkur’ sebegitu rupa.
Memang ada ramai orang yang tidak
sukakan Shahidan tetapi ketidaksukaan itu hanya pada bibir sahaja. Menjelang
musim raya, apabila Shahidan hulurkan ayam seekor seorang, ditambah dengan kain
batik, dicampur dengan sampul berisi not-not merah, kemarahan kepada Shahidan
bertukar pujian.
“Tak dak orang boleh ganti
Shahidan jadi MB, dia pemurah…”. Tanyalah orang nat pagi Ahad atau pasar malam
hari Sabtu, semua peniaga kenal Shahidan yang akan membeli semua barang di
gerai mereka dan meminta pemilik kedai mengedarkan percuma kepada orang ramai.
Namun ada kuasa yang mengatasi
itu semua. Shahidan ‘menggelongsor’ juga. Hatinya sangat luka bahkan lukanya
belum sembuh, masih berdarah sampai hari ini. Para penyokong (baca pengampu pun
boleh juga) Shahidan pula seperti tidak percaya itu boleh berlaku. Tapi, mereka
juga tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka turut sama ‘terluka’ seperti Shahidan.
Para penyokong Shahidan sangat
ramai di kawasan Arau. Kalau kawasan parlimen Arau adalah sebuah negeri, bagi
mereka Shahidan adalah MBnya. Mereka tidak boleh menerima Md Isa sebagai MB
sama seperti ‘istana’ tidak boleh menerima Shahidan.
Penyokong-penyokong Shahidan sampai
ke hari ini terus berkecil hati terhadap istana. Bahkan para penyokong Shahidan
di kawasan Arau turut melepaskan rasa kecil hati mereka kepada ADUN Pauh yang
berdarah istana.
Apabila ADUN Pauh buat jamuan
raya di lokasi berhampiran masjid, mereka perli kononnya nak ambil kesempatan
orang ramai keluar masjid supaya nampak majlisnya ramai yang hadir. Buat pula
di dewan, lain pula perlinya. Pendek kata, apa yang ADUN Pauh buat serba tak
kena bahkan ada NGO yang ditubuhkan untuk memprotes ADUN Pauh atas beberapa isu
di kawasannya.
Serangan mereka kepada kepada
ADUN Pauh adalah kerana kecil hati kepada istana yang menaikkan Md Isa sebagai
MB. Dilaporkan bahawa Shahidan pernah melepaskan geramnya kepada pintu pagar
istana semasa proses peralihan MB dahulu.
DUA - Dalam keadaan antara
percaya dengan tidak percaya adalah sama banyak, Md Isa pun memanaskan kerusi
MB Perlis. Saya percaya kepala Md Isa kosong semasa dia mengangkat sumpah
sebagai MB, tiada perancangan walau pun mungkin ada angan-angan.
Berbanding Shahidan, Md Isa
memang terkebelakang. Dia tak berapa pandai ‘kelentong’ macam Shahidan, tak
pandai pakai jubah, tak pandai bagi ayam daging semasa hari raya, tak pandai
macam-macam lagi. Dalam dewan pun, kalau Md Isa menjawab atau menggulung perbahasan,
beliau lurus sahaja. Jarang perli dan bidas macam Shahidan.
Dalam kalangan orang PAS, Md Isa
disifatkan orang baik. Ada pimpinan kanan PAS negeri boleh telefon terus kepada
beliau, dengan panggilan Bang Ca lagi. Semasa ibu Md Isa meninggal, banyak
pimpinan kanan PAS yang hadir mentakziahkan Md Isa termasuk pimpinan dari
pusat. Bahkan sesekali, pimpinan kanan itu rasa berbangga pula di hadapan orang
lain bila dia punya nombor telefon Bang Ca dan boleh berhubung terus dengannya.
Sampai ada cakap-cakap dalam
kalangan orang PAS, BN lebih sukar di kalahkan di Perlis di bawah pimpinan Md
Isa berbanding Shahidan. Kalau Shahidan lebih mudah untuk ditewaskan kerana dia
agak ‘jahat’.
Namun, ada juga yang berkata BN
lebih mudah ditewaskan di zaman Md Isa kerana dia lebih lemah dan perlahan
berbanding Shahidan.
KETIGA - Bagi saya, faktor
peribadi Shahidan atau Md Isa tidak mempengaruhi sangat kebangkitan PR di
Perlis, bahkan kalau siapa pun orang BN yang jadi MB. Kalau PR berharap kepada perpecahan
Umno untuk menang di Perlis, harapan itu adalah fatamorgana. Tanpa menafikan
ada kesannya, tetapi ia sangat minimum.
Sama juga dengan cakap-cakap Umno
berpecah tiga, atau berpecah empat, atau lima sekali pun. Dalam situasi pecah
itu pun jarang kedengaran ada orang kuat Umno masuk PAS atau PKR. Tidak seperti
sesetengah negeri, PAS atau PKR menerima kemasukan bekas pegawai kanan
kerajaan, bekas orang kuat Umno, namun itu semua tidak kedengaran di Perlis.
Saya bukan mahu menafikan peluang
PR di Perlis, tetapi apa yang ingin saya katakan adalah, kita hanya berpeluang
atas upaya kita sendiri tanpa berharap kepada kelemahan musuh.
1 comment:
ikut menyimak kawan :D
Post a Comment