Sunday, August 22, 2010

Gerakan Menyusahkan Umno

Jika Pemuda Gerakan menganggap undang-undang hudud adalah impian peribadi Nik Abdul Aziz, anggapan itu sangat meleset. Sukar diagak, adakah Umno tidak mengajar Gerakan selama ini bahawa undang-undang hudud bukan persoalan Nik Abdul Aziz tetapi persoalan Islam?

Undang-undang hudud adalah impian semua orang Islam, bukan sekadar Nik Abdul Aziz secara individu. Jika ditakdirkan Nik Abdul Aziz tiada pun, undang-undang hudud tetap diimpikan oleh semua orang Islam.

Undang-undang hudud bukan undang-undang Nik Abdul Aziz, juga bukan undang-undang PAS. Jika perasaan keinginan kepada undang-undang hudud tidak ada dalam diri orang Islam, maka keislaman orang itu berhak diragui.

PAS tetap inginkan undang-undang hudud walau pun salah seorang orang kuat DAP mempersoalkannya. Itu tidak pelik kerana Karpal bukan Islam. Harap-harap Karpal bersuara atas kapasiti peribadi bukan kapasiti parti.

Ada dua kemungkinan dia mempersoalkannya. Mungkin kerana jahil dan mungkin kerana jahat. Kalau dia jahil, maka orang Islam berkewajipan mengeluarkannya daripada kejahilan itu. Tetapi, jika dia jahat, dia akan ditinggalkan dan diketepikan begitu sahaja.

Oleh kerana Karpal berkawan baik dengan PAS, maka kewajipan itu terpulang kepada PAS. Kesediaan Nik Abdul Aziz berhadapan dengan Karpal dalam perkara ini adalah langkah sangat tepat. Nik Abdul Aziz bersedia ditemui bila-bila masa atas isu itu.

Disela-sela berbalas kenyataan antara Nik Abdul Aziz dan Karpal itu, Pemuda Gerakan tumpang sekaki. Pemuda Gerakan bersuara atas kapasiti parti. Mereka tidak boleh menerima hudud sama seperti Karpal. Adakah Umno bersetuju dengan pandangan pemuda Gerakan ini?

Pemuda Gerakan juga seperti Karpal, tidak Islam. Mereka tidak bersetuju dengan hudud juga mungkin kerana jahil atau jahat.

Kalau mereka jahil, kawan rapat mereka ialah Umno. Ulama muda Umno wajar memahamkan mereka mengenai hudud ini.

Kalau mereka jahat pula, adakah mereka akan diketepikan sedangkan kenyataan itu dikeluarkan atas nama parti? Sudi dan sanggupkah Umno mengenepikan Gerakan?

Sehingga kini Umno belum bersuara. Jika parti itu bersuara pun, suaranya adalah suara untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP. Isu hudud ini nampaknya sangat berkesan untuk tujuan itu.

Pendirian PAS adalah jelas. Undang-undang hudud akan diusahakan supaya boleh dilaksanakan. Jika ada yang tidak bersetuju, meja dialog sentiasa terbentang.

Bukan sekadar Nik Aziz dengan DAP, malah semua pemimpin PAS bersedia. Bukan sekadar dengan DAP malah dengan sesiapa sahaja termasuk dengan Umno.

Mengapa PAS mengambil pendirian begitu? Kerana pelaksanaan undang-undang hudud adalah impian semua orang PAS.

Cuma apa yang orang ramai ingin tahu sekarang ialah apa pendirian Umno dengan kenyataan pemuda Gerakan itu? Umno bersetuju dengannya?

Nampaknya kenyataan Pemuda Gerakan ini menyusahkan Umno dan bukan menyusahkan PAS atau DAP.

Saturday, August 21, 2010

Bukan Kerana Agung, Tetapi Kerana Lim

Berdasarkan beberapa sumber, nama Lim Guan Eng memang disebut dalam khutbah Jumaat di masjid tertentu di Pulau Pinang. Walau pun ada pihak yang menafikannya, tetapi penafian itu tidak berfakta berbanding pihak yang mengiakannya.

Nama Lim disebut kerana mendoakannya supaya mendapat petunjuk. Tentulah Khatib itu orang PAS.

Mengapa Umno terkejut dengan doa ini? Kerana, pemimpin Umno termasuk Zahid tidak pernah mendengar khatib Umno mendoakan Koh Tsu Koon semasa beliau menjadi KM dulu.

Sama macam orang DAP baca ayat al-Quran dalam ceramah. Pemimpin Umno bising macam nak meletup dunia. Puncanya kerana pemimpin Umno tidak pernah mendengar pemimpin MCA dan MIC melakukannya.

Bagi sebahagian pemimpin Umno, apa yang mereka tidak lakukan sebelum ini, apabila dilakukan oleh orang lain, itu adalah salah.

Zahid gunakan hujah khatib tidak menyebut nama SPB YDP Agung. Rasanya, ini cuma ‘alasan’ untuk menyalahkan sebutan nama Lim sahaja.

Berlambak khatib yang tidak menyebut nama SBP YDP Agong, tidak pula dibisingkan sebagai salah oleh pemimpin Umno. Khatib Umno juga turut melakukan begitu, tidak bising pun.

Maknanya tidak menyebut SBP YDP Agong tidak penting sangat bagi pemimpin Umno, tetapi menyebut nama Lim itu yang salah.

Betul, secara etikanya, tidak menyebut nama SBP YDP Agung dalam khutbah adalah salah. Tetapi itu tidak menjadi salah jika tidak disebut nama Lim. Masalahnya ialah menyebut nama Lim, bukan tidak menyebut nama SBP YDP Agong.

Bagaimana kalau ada khatib yang tidak menyebut nama SBP YDP Agong, tetapi disebut nama Najib pula, adakah itu dikira salah juga?

Secara tidak langsung, doa untuk SBP YDP Agong memang wujud dalam doa untuk semua orang Islam. Tidak dikhususkan sebutan namanya bukan bermakna tidak ada doa untuknya.

Sementara mendoakan orang orang bukan Islam supaya menerima hidayah memang dibenarkan. Nabi pernah mendoakan salah seorang daripada dua Umar agar mendapat hidayah untuk mengukuhkan kedudukan Islam.

Apa kata ulama muda Umno mengenai perkara ini?

--------------------------------------------------------------

Kampogn Kubang Paya, Arau

7.17 pm

Thursday, August 19, 2010

Nostalgia Pondok Pak Man

‘Ayak teh… ayak teh …’, ‘cucok… cucok…’ Kelihatan beberapa remaja menjunjung talam dan dan menjinjing cerek besar keliling pondok.

Mereka mengatur pondok, dari satu pondok ke satu pondok memungut sumbangan air teh atau kopi atau cucur (kuih).

Inilah kenangan 30 tahun lalu ketika menetap di Pondok Pak Man Bukit Besar (al-Marhum Tuan Guru Hj Othman al-Yunusi, Bukit Besar, Kedah. Sekarang dikenali dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nahdzah).

Pada masa itu, pelajar yang belajar di Pondok Pak Man, di samping anak-anak orang tempatan, ramai yang datang daripada luar sehingga ke Perak, Selangor termasuk Thailand.

Pada bulan Ramadhan pengajian berjalan seperti biasa. Pada bulan-bulan biasa, para pelajar yang tinggal di pondok memasak sendiri. Apabila tiba bulan Ramadhan mereka tidak lagi memasak.

Mereka berbuka di menaksah (madrasah) dan bersahur di rumah-rumah penduduk tempatan. Selepas tarawikh pula berkerumun di masjid untuk makan moreh.

Selepas Asar, bermulalah operasi memungut cucur, air teh dan air kopi daripada penduduk Pondok Pak Man. Satu kumpulan biasanya ada tiga orang. Seorang menjunjung talam cucur, seorang menjinjing cerek air teh dan seorang lagi cerek air kopi.

Penduduk pondok memang pemurah. Masing-masing akan menyumbang cucur, air teh atau air kopi. Setelah semua bekas tadi penuh, hasil kutipan dikumpulkan di menaksah.

Setelah lampu gasolin dipasang, ada kumpulan lain pula yang menunggu untuk menghidang. Ketika ini berlakulah adegan yang kurang seronok. Apa dia?

Ya, menyorok (menyembunyikan) cucur yang sedap-sedap. Cucur seperti cucur cempedak, cucur badak, karipap, cucur udang akan dimasukkan ke dalam pinggan dan disembunyikan. Kadang-kadang di atas alang menaksah oleh kumpulan penghidang tadi.

Cucur sedap ini hanya akan dikeluarkan selepas solat Maghrib ketika semua orang turun dari menaksah dan balik ke pondok masing-masing.

Cucur yang dihidangkan untuk berbuka biasanya cucur kodok pisang, peknga, cucur kodok atau jenis cucur yang ‘familiar’ di kalangan orang-orang tua.

Apa lagi, berpestalah kumpulan penghidang ini makan cucur sedap. Tapi ada juga berlaku, cucur sedap itu dicuri. Tak kisahlah, kerana itu semua sebahagian ragam pelajar pondok.

Kini, semua itu tidak berulang lagi. Pelajar sekarang tinggal di asrama cantik. Makan mereka terurus dan terjaga. Tak perlu sorok-sorok cucur sedap kerana semua kuih yang dihidangkan adalah sedap-sedap belaka.

---------------------------------------------

Kampong Kubang Paya, Arau, Perlis

6.35 pm