Sunday, February 28, 2010

Apa 76 NGO Ini Nak Buat?

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali menjadi ketua Majlis Perundingan NGO Melayu yang baru ditubuhkan. Khabarnya, tujuan penubuhannya adalah sebagai benteng untuk mempertahankan hak orang Melayu, kedudukan agama Islam dan raja-raja Melayu.

MPM juga sebagai pendesak kepada kerajaan supaya kekal dalam perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan Perkara 153. Dikatakan 76 NGO bersatu bergabung bersama MPM.

Saya berfikir begini.

Adakah ini maknanya, rakyat Malaysia sudah tidak lagi meyakini kemampuan Umno untuk mempertahankan hak orang Melayu, kedudukan agama Islam dan mempertahankan raja-raja Melayu?

Adakah ini juga bermaksud, komponen-komponen yang ada di dalam Umno, seperti pemuda Umno misalnya, sudah tidak lagi mampu menjadi pendesak kepada Umno untuk mempertahankan asas perlembagaan?

Sehingga Ibrahim Ali terpaksa melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Umno. Atau, boleh juga dikatakan begini.

NGO ini ditubuhkan untuk menajamkan semangat kebangsaan Melayu sempit Umno dan menajamkan keruncingan hubungan antara kaum yang dimulai oleh Umno.

Apa pun tujuan dan maksud penubuhan MPM, saya percaya, kalau sekiranya MPM diasaskan sekadar untuk kepentingan kebangsaan Melayu sempit, MPM akan menerima nasib seperti Umno juga.

Juga, sekiranya MPM sekadar untuk mempertahankan Islam dengan maksud mempertahankan perkara-perkara seperti perarakan Maulidur Rasul sahaja, nasibnya akan sama seperti Umno juga.

Atau memang NGO ini ditubuhkan untuk mempertahankan Umno supaya tidak kalah dalam PRU yang akan datang?

Apa pun, senarai penuh NGO itu tidak disiarkan oleh media. Justeru sukar untuk menangkap tujuan tersirat di sebalik tujuan tersurat.

Mengapa saya bersangka buruk begitu? Ya, bukankah kini Umno begitu ghairah menaja penubuhan NGO untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa parti itu masih diterima oleh rakyat?

Satu hal lagi, bolehkah NGO tadi meletakkan harapan mereka kepada Ibrahim Ali untuk merealisasikan apa yang disuratkan itu. Mengapa Ibrahim Ali? Sudah tidak ada orang lain selain dia? Hebat benarkah Ibrahim?

Dia memang seorang yang licik dalam politik. Tetapi kelicikannya itu dilihat lebih kepada menyelamatkan karier atau kedudukan politiknya. Bagi saya, kebelakangan ini dia semakin aktif dengan NGO kerana dia tidak punya platform politik yang selamat untuk terus berpolitik.

Dia sudah berpatah arang dengan Umno, sudah berkerat rotan dengan PAS. Apa yang dia punya hanyalah menjadi aktivis NGO. Untuk lebih dilihat gah dan hebat, dia perlu mengepalai gerakan NGO yang ada kaitan dengan agama dan bangsa.

Seorang lagi yang dirasakan sesuai untuk bersama Ibrahim Ali selepas ini ialah Zulkifli Nordin. Mungkinkah mereka adalah gandingan yang serasi?

Friday, February 26, 2010

PR, Bersedialah Untuk Gantikan BN

SATU - Media melaporkan, Mahmood Zuhdi (Prof Datuk Dr) dipilih penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul. Sekalung tahniah. Beliau memang layak. Sumbangannya dalam perkembangan pemikiran Islam di negara ini memang besar.

Salah satu ideanya yang masih segar dalam ingatan saya ialah melahirkan kitab Fiqh Malizi. Apa maksudnya? Kitab-kitab fiqh yang ditadah oleh pelajar-pelajar di negara ini disemua peringkat adalah kitab fiqh untuk realiti negara Arab sebab pemikiran ilmu itu asalnya berkembang di sana.

Dalam beberapa hal, ia mungkin agak asing bagi masyarakat negara ini. Justeru, sebuah kitab fiqh berasaskan realiti Malaysia perlu dilahirkan supaya sesuai dengan masyarakat di negara ini tanpa membuang asas-asas fiqh yang asal tadi.

Namun, setahu saya sehingga kini itu belum menjadi keupayaan. Nampaknya, bukan senang melakukan kerja yang dilakukan oleh orang terdahulu. Kita kaya dengan teknologi tetapi mereka kaya dengan kecintaan kepada ilmu dan pengorbanan mengembangkan ilmu.

Tak apa, saya tidak teruja sangat dengan itu semua.

DUA - Saya lebih teruja apabila media melaporkan seorang Pegawai Penyelidik Prinsipal Dr Tan Swee Lian turut dipilih menerima anugerah itu. Berdasarkan nama dan rupanya, saya berpendapat dia seorang wanita Cina non Muslim (maafkan saya kalau tersalah).

Tentu sangat besar ertinya buat SL Tan, dia menerima anugerah itu sempena Maulidur Rasul. Anugerah itu disandarkan kepada makhluk paling mulia, Muhammad Rasulullah (saw). Jika dibandingkan dengan semua anugerah lain, anugerah yang disandarkan kepada rasul mengatasi semuanya.

Walau pun tiada gelaran khusus untuk penerima anugerah ini dipangkal namanya, itu bukan menjadi keutamaan.

Bagi orang Islam, anugerah ini membawa makna besar. Ya, rasul adalah rahmat untuk semua samada Muslim atau bukan. Rahmat pengutusan rasul tiada batas masa dan ruang. Rahmatnya menyelinap dan memberi kesan kebaikan kepada segenap sudut kehidupan.

Amalan ini wajar diteruskan. Banyak lagi diluar sana mereka yang menyumbang kepada pembangunan untuk kesejahteraan manusia yang terdiri daripada non Muslim. Bukan nilai anugerah yang diperhatikan tetapi kesentimentalan anugerah sangat besar kesannya.

Bayangkan, plak atau sijil anugerah Maulidur Rasul akan terpampang atau paling kurang tersimpan di rumah SL Tan. Dia akan ditatap oleh keturunan beliau selama itu semua masih wujud. Kesannya dari segi dakwah sangat besar dalam tempoh jangka masa panjang.

Saya yakin, 20 atau 30 puluh tahun lagi, suara-suara perjuangan berasaskan ras akan semakin mengecil dan pupus. Nilai-nilai kemanusiaan dan keintelektualan akan mengambil tempat sentimen perkauman. Pada waktu itu, orang tidak bercakap soal bangsa tetapi orang bercakap soal kemanusiaan dan ilmu.

Samada kamu Islam atau tidak, kamu berbangsa apa pun, selama kamu adalah manusia dan berilmu, kamu tetap ada tempat istimewa dalam masyarakat manusia.

Kera dihutan hidup bersekali tanpa mengira spesis. Kalau ada manusia yang mahu hidup berasaskan bangsa, dia bukan sahaja tiada tempat dalam tamadun manusia malah tiada tempat juga di dalam tamdun kera.

Maaf, kalau dikaitkan ini dengan politik kepartian di Malaysia, saya katakan 20 atau 30 tahun lagi Umno, MCA dan MIC akan pupus selama mereka berpaut pada dahan sentimen bangsa. Dahan itu sudah mulai mereput sekarang.

Ayuh, Pakatan Rakyat bersedialah untuk menjadi alternatif kepada kereputan BN itu.

Thursday, February 25, 2010

Siapa Bohong, PM Atau Cuepacs?


Berita dengan sendirinya mempunyai dua kemungkinan iaitu benar dan bohong. Apabila ada dua berita, boleh jadi kedua-duanya benar dan boleh jadi juga kedua-duanya bohong. Kalau satu sahaja yang benar, tentu satu lagi adalah bohong.

Cuma masalahnya, bolehkah berita yang datang dari sumber yang sama, salah satu adalah benar dan satu lagi bohong?

Boleh jadi juga, media melaporkan dengan benar tetapi orang yang mengeluarkan kenyataan adalah berbohong. Kalau orang itu bohong, bohonglah media. Begitu juga sebaliknya.

Bharian.com melaporkan ekonomi Malaysia pulih dengan pertumbuhan luar jangkaan sehingga 4.5 peratus pada Okt – Dis 2009. Penguncupan ekonomi juga hanya 1.7 peratus sahaja berbanding jangkaan sebanyak 3.0 peratus tahun lalu.

Najib berkata, Malaysia sudah pulih daripada kesan krisis ekonomi global. Tahun 2010, negara ini akan menikmati pertumbuhan kukuh.

Katanya, jangkaan awal pertumbuhan ekonomi adalah 4.0 peratus tetapi status terkini, pertumbuhan ekonomi adalah antara 5.0 hingga 6.0 peratus.

Adakah kenyataan Najib ini benar?

Cuepacs menggalakkan kakitangan kerajaan kumpulan sokongan II ‘menjadi pemandu teksi’ untuk menambah pendapatan. Tidak perlu buat kerja lebih masa kerana kerajaan tidak membayar bagi kerja lebih masa. Puncanya ialah jabatan kerajaan tidak mempunyai ‘bajet’.

Najib kata pertumbuhan ekonomi pada tahun ini semakin baik. Cuepacs kata jabatan kerajaan tidak punya bajet untuk bayar kerja lebih masa, kerajaan tidak berduit untuk itu.

Perkataan siapakah yang menggambarkan kedudukan sebenar ekonomi negara? Najib atau Cuepacs? Najib kata ekonomi baik, Cuepacs kata ekonomi buruk.

Siapa benar, siapa bohong?

Bolehkah kedua-duanya benar atau kedua-duanya bohong dalam isu ini? Disiplin ilmu mantik tidak membenarkan dua sifat yang bercanggah ada pada satu benda pada masa yang sama.

Ok, mari kita nilai siapa benar siapa bohong?

Pada tahun lepas, anak saya yang bersekolah asrama penuh dibenarkan pulang bermalam tiga minggu dan kadang-kadang empat minggu sekali. Pada tahun ini mereka diwajibkan pulang bermalam dua minggu sekali.

Seorang lagi anak saya yang bersekolah di sebuah negeri Pantai Timur, diwajibkan pulang bermalam walau pun cuti perayaan tahun baru Cina hanya empat hari sahaja. Dua hari dia atas bas dan dua hari di rumah.

Tahun lepas, ekonomi negara memang meruncing tetapi dibenarkan balik tiga minggu sekali. Tahun ini Najib kata ekonomi semakin baik tetapi diwajibkan balik dua minggu sekali. Ada sekolah yang mengarahkan pelajarnya pulang bermalam tiap-tiap minggu.

Kalau begini jadinya, saya simpulkan begini.

Bharian.com tidak berbohong. Cuepacs tidak berbohong. Habis, siapa yang berbohong…? Paling sedih, rakyat menjadi mangsa bohong seorang PM.


Wednesday, February 24, 2010

Hanya Kerana Lim Guan Eng Bukan Melayu?

SATU - Lim Guan Eng diserang oleh orang Melayu Umno dan orang yang mengaku Melayu dalam isu perarakan maulud. Melayu Umno di Perlis dan Pahang yang turut diperintah BN tidak pula menyerang kerajaan negeri mereka walau pun tiada perarakan maulud. Bukan baru tahun ini tetapi semenjak lama.

Alasan mereka, orang Melayu Pulau Pinang adalah minoriti. Jadi, perarakan maulud perlu diadakan untuk menaikkan semangat orang Melayu pulau itu supaya lebih kuat.

Sekali imbas alasan itu seakan betul. Tetapi semenjak sekian lama Melayu Pulau Pinang mengadakan perarakan, adakah Melayu di negeri itu semakin kuat? Rasanya tidak. Kedudukan Melayu di sana begitu begitu juga.

Justeru, mengapa Melayu Umno Pulau Pinang pertahankan sangat perarakan? Kerana Islam atau kerana Lim Guan Eng.

Kalau Ketua Menteri Pulau Pinang adalah Melayu, dan dia membatalkan upacara perarakan itu, rasanya orang Melayu Umno Pulau Pinang tidak marah.

Jadi mereka marah tiada perarakan itu bukan kerana perarakan itu tuntutan agama mereka tetapi kerana dia dibatalkan oleh Lim Guan Eng.

Melayu Umno pertahankan maulud bukan kerana agama tetapi kerana perkauman. Kerana Lim Guan Eng bukan Melayu.

DUA - Dr Aziz Bari kata, mengikut perlembagaan orang bukan Melayu boleh menjadi PM. Tambahnya, mungkin PM bukan Melayu lebih baik daripada Melayu. Contohnya, Lim Guan Eng yang dilihat lebih ikut buku dan lebih bekerja keras.

Percayalah, orang yang paling keras membantah pandangan pakar perlembagaan ini adalah orang Melayu Umno. Bagi mereka, hanya Melayu sahaja yang layak jadi PM biar pun Melayu itu korup atau lembik. Tak apa, asalkan Melayu.

Kalau Lim Guan Eng hebat setara mana pun dia tidak layak jadi PM, bukan kerana dia tidak bagus tetapi kerana dia bukan Melayu. Ditakdirkan Lim Guan Eng menerima Islam pun, dipercayai Melayu Umno tidak akan bersetuju.

Kenapa, kerana dia tidak bagus? Tidak, kerana dia bukan Melayu.

TIGA - Orang Melayu Umno marahkan Lim Guan Eng kerana kononnya dia mengutamakan Cina dan meminggirkan Melayu. Ya, Guan Eng memang Cina, dan kalau dia mengutamakan Cina, dia telah melakukan sesuatu yang betul.

Soalnya ialah, PM, TPM, sebahagian besar menteri adalah Melayu tetapi tidak membuat apa yang sepatutnya untuk orang Melayu.

Sepatutnya Melayu Umno marahkan menteri Melayu Umno yang tidak membela Melayu bukan marahkan Lim Guan Eng yang membela Cina.

Apakan daya, Lim Guan Eng adalah Cina dan dia dibenci oleh Melayu Umno hanya kerana dia Cina. Kalau dia Melayu bagaimana?

Monday, February 22, 2010

Selamat Datang Ke Blog Baru Saya


Ini adalah blog baru saya. Blog lama di alamat http://bongkarsauh.blogspot.com/ tidak beroperasi lagi kerana beberapa masalah teknikal.

Insya Allah, saya akan melakukan posting sebagaimana biasa. Kepada para pengunjung dipohon supaya mengupdatekan link ke blog ini dengan alamat berikut:


Saya juga akan linkkan semua blog yang telah dilinkkan diblog lama saya di blog baru ini. Saya akan melakukannya secara bertahap dan tentu itu agak mengambil masa.

Terima kasih di atas sokongan semua kepada blog ini. Hidup bloggers...