Monday, August 30, 2010

'Budak' Ini Perlu Diberi Pengajaran

Kalau tidak salah ingatan, Zam pernah dipanggil ‘budak’ sahaja dalam Dewan Rakyat oleh al-Marhum Fadhil Noor. Panggilan itu dibuat ketika al-marhum menyampaikan ucapan mengenai peristiwa Memali.

Peristiwa Memali dijadikan modal politik oleh Zam untuk memberikan imej ganas kepada PAS. Namun, dengan kehendak Yang Maha Kuasa semuanya berjaya dirungkai dengan berkesan oleh al-Marhum.

Beliau dijemput pulang setelah misinya untuk membersihkan PAS dan mereka yang terkorban dalam peristiwa itu daripada lumuran tuduhan penderhaka oleh Umno.

Hari ini ‘budak’ ini diguna lagi oleh Umno. Isu kemerdekaan dan konfrontasi Malaysia – Indonesia pula dijadikan modal.

Dalam peristiwa Memali, ‘budak’ ini yang ketika itu berkuasa di RTM menggunakan kaca TV untuk memburukkan PAS dan Ibrahim Mahmud.

Hari ini, walau pun ‘budak’ ini tidak punya kuasa dimana-mana lagi, dia masih digunakan oleh laman web Umno untuk menyerang PR khususnya PAS.

Tuduhannya kali ini sangat berat. PAS minta harta orang Cina dirampas semasa peristiwa 13 Mei dan menyokong Indonesia untuk ‘mengambil’ Malaysia dalam konfrontasi Mal – Indo.

Implikasi tuduhan ini ialah kekeruhan hubungan. Satu, keruh hubungan diplomatik, dan kedua keruh hubungan antara kaum.

Kedua-duanya menggugat keselamatan negara. ‘Budak’ ini wajar benar dipanggil oleh pihak berkuasa keselamatan dan disiasat.

Isu Memali dibangkitkan di parlimen. Bangkitan di tempat itu boleh dikira wajar juga walau pun bertujuan jahat.

Namun, bangkitan mengenai masalah konfrantasi Mal – Indon dan rampasan harta Cina yang dibuat melalui laman web Umno mengundang implikasi buruk.

‘Budak’ ini memang berhasrat menyelamatkan Umno dengan bangkitan isu ini. Nampaknya cara al-marhum mengajar beliau dengan memanggilnya ‘budak’ 8 tahun lalu di parlimen tidak berkesan.

‘Budak’ ini perlu diajar dengan cara yang lain supaya mulutnya tidak terlalu muncung menuduh sebarangan.

Saya menyokong 'budak' ini disaman dan harap-harap itu menjadi kenyataan.

-----------------------------------------------------

Kampong Kubang Paya, Arau - 4.15 petang

Sunday, August 29, 2010

Mufti Umno Dan Menteri Umno Berotak Kuno


Kalau rakyat biasa ada pusat pemulihan aqidah, kerajaan patut tubuhkan pusat pemulihan ‘otak’ untuk mufti dan menteri di Malaysia.

Peserta siri pertama pusat itu sudah ada dua orang. Seorang mufti dan seorang lagi menteri. Otak mereka berdua patut dipulihkan sebab telah ‘kebas’ kerana taasub dengan Umno.

Kalau kebas kaki kerana dengar khutbah panjang macam Ketua Ulama Muda Umno, itu tidak sukar dipulihkan. Bangun dan goyang kaki kiri kanan, lama-lama hilanglah kebas itu.

Tapi kalau kebas otak, penyakit itu tak akan hilang dengan mudah. Kena masuk pusat pemulihan. Kalau perlu kena ‘karan’ otak itu baru pulih.

Memang sukar diduga dalam dunia serba terbuka, serba bermaklumat, serba pantas, serba cergas, mufti dan menteri sebegini masih ada.

Pelajar sekolah menengah yang bakal mengambil SPM pun boleh faham maksud mencemarkan kesucian masjid atau surau tetapi sayang mufti yang dapat ijazah doktor kehormat tak boleh faham.

Pelajar ekonomi peringkat STPM pun boleh faham mengenai usaha memartabatkan dinar dan dirham oleh kerajaan Kelantan, sayang menteri yang ada PhD tak boleh faham.

Betullah, negara kita punya infrastruktur kelas satu, tetapi otak mufti dan menteri kelas tiga. Nasib baik tidak ada kelas ke empat, kalau tidak memang kelas empatlah mufti dan menteri ini.

Mufti itu konon-konon nak jaga kesucian Islam, tetapi langkahnya tempang apabila dia yang faham Islam gagal untuk menampilkan kerahmatan Islam.

Kalau orang bukan Islam zaman nabi dibawa masuk ke dalam masjid nabi, takkan orang bukan Islam zaman ini tak boleh dibawa masuk ke dalam surau.

Kalau zaman nabi, bahkan zaman sebelum itu orang sudah gunakan dinar dan dirham, takkan zaman ini kedua-dua matawang itu tak boleh digunakan.

Nampaknya orang zaman itu lebih cerdik daripada mufti itu dan menteri itu.

----------------------------------------------------------------------------------------------

29 Ogos 2010 - 8.02 pagi - Kampung Kubang Paya, Arau

Friday, August 27, 2010

Terpesona Dengan Umno Sampai Kebas Otak


Ketua Ulama Muda Umno meminta persoalan berikut dirungkai secara akademik dan hukum mengenainya dikeluarkan.

  • Hukum hakam khutbah secara umum
  • Hukum tidak mentaati pemerintah
  • Hukum mendoakan pemerintah Muslim
  • Hukum menyebut nama pemerintah
  • Hukum mendoakan non-Muslim
  • Hukum tazkirah sebelum khutbah
  • Hukum khatib mengangkat kedua tangan ketika berdoa
  • Hukum binaan mimbar yang mahal
  • Hukum tongkat khatib yang mahal-mahal.

Bila agaknya Ketua Ulama Muda Umno akan membincangkan perkara berikut secara akademik dan mengeluarkan hukum mengenainya?

  • Hukum mengenai hukuman sebelum dibuktikan bersalah dalam kes saman ekor?
  • Hukum mengenai pemerintah yang menggunakan kuasa untuk memeras rakyat dengan pelbagai kenaan bayaran?
  • Hukum mengenai pemerintah yang pilih kasih dengan negeri-negeri yang berada di bawah kerajaan persekutuan?
  • Hukum mengenai perampasan royalti petrol dan pelanggaran perjanjian?
  • Hukum mengenai penolakan terhadap pengenalan penggunaan dinar dan dirham?
  • Hukum mengenai Felda yang tipu peneroka?

Tuesday, August 24, 2010

Jambatan Perlis-Langkawi: Mat Jenin Berangan-angan Lagi

Polemik jambatan Perlis – Langkawi buat masa ini agak panas seolah-olah jambatan itu akan mula dibina tahun hadapan. Saya fikir ada banyak tujuan tersirat di sebalik polemik ini.

Mungkin mengalih isu, menarik perhatian, menunjuk hebat atau mempromosikan syarikat, semuanya serba mungkin.

Dua buah syarikat bakal mengemukakan cadangan kepada kerajaan Perlis pada September ini. Saya percaya cadangan itu bakal diterima. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Mengapa cadangan ini hanya bakal dikemukakan kepada kerajaan Perlis? Kedah bagaimana? Bukankah Langkawi sebahagian daripada wilayah Kedah?

Bagi kerajaan Perlis, projek mega seperti ini perlu disambut pantas untuk membuktikan negeri ini juga mampu dan boleh.

Inilah masanya untuk kerajaan negeri canangkan kepada umum bahawa BN punya projek penting untuk rakyat menjelang PRU akan datang. Inilah juga modal ucapan MB Perlis dalam pembentangan bajet 2011 akan datang.

Sudahnya, pemimpin Umno akan katakan begini. “Untuk pastikan projek ini berjaya, tuan-tuan kena kekalkan BN. Kalau BN kalah, tak merasalah tuan-tuan memandu kereta ke Langkawi. Kalau PR menang projek ini akan dibatalkan.”

Soal jambatan itu akan jadi atau tidak, diperlukan rakyat atau tidak, mesra alam atau tidak, menepati keberkesanan kos atau tidak, itu semua tidak penting.

Apa yang penting ialah Umno punya modal besar untuk dicanangkan pada PRU akan datang. Ini bukan calang-calang projek. Ini projek mega. Ini bukan mega biasa tetapi ‘adi mega’.

Tidak mustahil sudah ramai pemimpin Umno Perlis yang mula pasang angan-angan menghirup kedinginan angin laut sambil memandu Proton Saga dari Perlis ke Pulau Langkawi. Mungkin ada yang berangan-angan untuk berbasikal juga.

Inilah gaya politik pemimpin Umno. Canang, canang dan canang.

Mana hasil Koridor Utara? Mana hasil projek pusat pengeluaran benih tanaman di Perlis? Sudah berapa ramai rakyat Perlis yang mendapat peluang pekerjaan daripada apa yang dicanang dan di ‘billboard’kan itu?

Jika anda berdiri tegak, setinggi itulah borang untuk memohon sebarang jawatan yang tersusun di syarikat tempat saya bertugas sekarang. Mengapa begitu?

Mana hasilnya puluhan MOU yang dibuat antara kerajaan negeri dengan puluhan syarikat dalam dan luar negara sebelum ini? Bukan bermula daripada MB yang ada pada hari ini malah MB sebelumnya pun.

Tentu orang akan berkata saya berfikiran negatif. Bagi saya jambatan Perlis – Langkawi adalah angan-angan Mat Jenin.

Kenapa saya berani berkata begitu? Ya, cadangan jambatan ini bukan baru malah pernah disuarakan dalam DUN Negeri Perlis hampir sepuluh tahun yang lalu.

Kalau ketika negara berekonomi kukuh pun jambatan ini tidak terlaksana, adakah akan terlaksana dalam keadaan ekonomi negara dalam nyawa-nyawa ikan sekarang?

----------------------------------------------------------------------------

Edisi Inggeris artikel ini baca sini.