Wednesday, April 27, 2011

1 Melayu 1 Bumi, Kepala Hotak Umno...!


Tuan-tuan kena sokong ini Umno la...

Ini Umno ... Melayu juga ada berjuang la...

Tanah Melayu juga ada pertahan la...

Kita... satu Malaysia juga la...

Tapi....

Itu Satim Diman juga bikin tarak serupa itu cakap la...

Siapa itu Satim Diman laa...?

Alaa...itu Selangor punya DUN,

Punya Ketua Pembangkang juga la...

Itu Satim Diman juga la...

Dia cakap dia mau bela Melayu la...

Ada betul ka...

Mana ada... Umno penipu juga...

Saturday, April 23, 2011

"...Hebat Di Pentas Saja...?"

“Dia hanya hebat di pentas sahaja…”, demikian ungkapan yang sampai ke telinga saya mengenai pertandingan merebut jawatan YDP PAS Kawasan Padang Besar. Siapa yang mengeluarkan ucapan itu, mengapa ucapan itu dikeluarkan…?

Anuar Tahir memenangi pertandingan jawatan YDP PAS kawasan itu untuk penggal kedua. Beliau memang layak untuk memegang jawatan itu. Beliau punya pengalaman luas dalam pelbagai bidang gerakan massa termasuk pengalaman politik.

Beliau termasuk anak didik Anwar Ibrahim juga teman rapat kepada al-Marhum Fadhil Noor. Diyakini juga jika ditakdirkan PR menang di Perlis, beliau antara orang yang layak ditampilkan sebagai MB. Beliau juga saya percaya layak dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis.

Namun semua itu rupa-rupanya tidak diambil kira oleh orang yang menawarkan diri untuk menentangnya merebut jawatan YDP kawasan.

Saya tidak berkata beliau tidak boleh ditentang, atau pertandingan tidak patut wujud dalam PAS. Apa yang ingin saya katakan ialah orang yang tampil untuk menentangnya merebut jawatan itu tidak mengukur diri terlebih dahulu. Atau, dia mengukur dengan alat pengukur yang salah.

Mungkin orang yang menawar diri menentang Anuar ada kekuatan kewangan tetapi bagi saya dia tidak punya kekuatan ilmu untuk memikul beban jawatan itu. Memimpin memerlukan kekuatan ilmu. Kalau tidak, orang itu hanya setaraf jin ifrit pada zaman Sulaiman sahaja yang tewas di tangan seorang lelaki alim.

Penentang Anuar Tahir ‘kekurangan / kekeringan’ ilmu mengenai al-Quran dan hadis, tidak ada ilmu politik. Kalau dia berdebat, debatnya berasaskan emosi, bukan ilmu. Kalau dia berucap, ucapannya berbaur semangat sahaja, kosong ilmu.

Saya bersyukur beliau tidak menang. Ada kemungkinankah dia menang? Ya, ada, kerana dia mampu mempengaruhi mereka yang setaraf dengannya, mereka yang boleh dipengaruhinya dengan pelbagai kaedah untuk mengundinya.

Anuar Tahir bukan sekadar hebat di pentas, beliau juga hebat di medan. Penentangnya pula, di pentas pun tidak pernah kelihatan hebatnya, di medan pun tidak setara mana juga hebatnya. Mungkin kehebatannya ialah membuat ***** ******.

Bagi saya, beliau sepatutnya menarik diri daripada menentang Anuar untuk jawatan itu, walau pun dicalonkan oleh cawangannya sendiri dan cawangan yang boleh dipengaruhinya. Bahkan, saya percaya jika beliau ditakdirkan ‘memenangi’ pertandingan, tentu ada sahabat yang kini memberikan sepenuh masa berkhidmat kepada PAS kawasan akan menarik diri daripada meneruskan perkhidmatan.

Lebih daripada itu, penentang Anuar tidak layak untuk memegang jawatan YDP jika ditakdirkan Anuar tidak lagi memegang jawatan itu. Jawatan YDP bukan boleh dipikul dengan semangat dan jeritan sahaja, tetapi hendaklah dipikul dengan bekalan ilmu dan pengalaman.

Ketika Husam Musa menarik diri daripada menentang TGHH, ketika Tn Ibrahim Tn Man menarik diri untuk pencalonan Tim Pres, ketika mereka semua akur dengan kehebatan orang lain sedangkan mereka juga hebat, tiba-tiba ada orang yang tidak sehebat mana, tetapi merasa dirinya hebat, menampilkan diri untuk menentang orang yang hebat.

Siapakah orang itu? Jika punya sahabat daripada kalangan ahli PAS dari kawasan Padang Besar, tanyalah mereka. Tak apa, saya berikan sedikit klunya. Beliau ialah Mr….

* * * * * *

Selepas terhibur dengan persembahan Kumpulan Dikir Barat Ar-Rasy,
Kelantan di Kelantan Trade Center, Kota Bharu, Kelantan.

Thursday, April 21, 2011

Setaraf Jin Ifrit Pada Zaman Sulaiman

Seorang sahabat menghantar SMS, “Nak minta pandangan tentang jawatan **** untuk pemilihan **** ini. Ana rasa agak padat jadual dengan *** dan bisnes lain. Khuatir tak terbawa. Setakat ini ana dapat pencalonan tertinggi. Rasa terpanggil pula untuk pertahankan jawatan. Macam mana ye”?

Saya jawab, “Elok teruskan sumbangan secara langsung kepada jamaah. Jangan jadi macam ana, tidak dapat menyumbang secara langsung lagi kerana pelbagai kekangan. Selamat berjuang.”

Rasanya, saya telah memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan yang dibangkitkan sahabat tadi. Beliau berkeupayaan dari sudut penguasaan ilmu, tenaga dan kewangan. Tidak ada alasan untuk beliau berundur daripada memegang amanah jawatan.

Bagi saya pemimpin PAS perlu memiliki tiga keupayaan asas itu iaitu ilmu, tenaga dan kewangan. Keupayaan ilmu termasuk ilmu politik semasa dan perkara-perkara yang berkait rapat dengannya. Keupayaan itu pula hendaklah boleh dibuktikan.

Pembuktian itu berlaku dengan keupayaan mempertahankan prinsip perjuangan, keupayaan berhujah berdasarkan prinsip itu dan keupayaan menterjemahkan prinsip itu dalam realiti politik semasa. Semua itu memerlukan bukan sekadar ilmu yang dicedok bulat-bulat daripada kitab tetapi dicanai dengan pengalaman yang luas yang melangkaui sempadan geografi.

Pemimpin perlu bertenaga. Besedia berkelana kemana sahaja demi tuntutan perjuangan. Tidak mudah terlelap ketika acara penting dan berupaya mengeluarkan pandangan dengan pantas dan tepat dalam situasi genting.

Orang yang tidak memiliki tentu tidak berupaya memberi. Perjuangan menagih pembiayaan. Tidak mungkin tuntutan perjuangan terlaksana tanpa kedudukan kewangan yang stabil.

Kepada sahabat yang bertanya tadi, tumpang Allah mengurniakan kepada kita keupayaan itu, teruskan khidmat secara langsung. Jangan lepaskan peluang yang berharga ini. Sudah pasti apabila usia semakin meningkat, keupayaan ilmu semakin menurun, kedudukan kewangan semakin kurang stabil, pada ketika itu keinginan untuk menyumbang kepada perjuangan secara langsung hanya menjadi igauan.

Kepada pemimpin PAS, telek-teleklah diri masing-masing. Jika berasa diri berilmu tetapi tidak punya tenaga, jadilah penasihat bukan pemegang jawatan utama. Kepada yang bertenaga tetapi tidak berilmu, jadilah pengikut bukan pemimpin. Begitu juga bagi merasa diri berduit tetapi lemah dan jahil, mengikutlah bukan memimpin.

Bagi yang bertenaga dan berduit, tetapi tidak berilmu, anda hanya setaraf jin ifrit di zaman Sulaiman. Jin ifrit tewas di tangan seorang lelaki berilmu dalam pertarungan menampilkan singgahsana Balqais di hadapan Sulaiman.

Jika anda jahil, siapa pun anda, anda tetap akan tewas. Paling ketara, anda akan tewas dengan hawa nafsu anda sendiri.

Bilakah pemimpin menjadi liabiliti? Bila pemimpin tersebut jahil, lemah dan tidak berduit. Kejahilan mengundang kerosakan, kelemahan mengundang ketertundaan dan ketidakberduitan mengundang ketidakhormatan orang.

Buat Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, PAS masih memerlukan pimpinan tuan guru. Seeruu ala barakatillah...

----------------------------------------------------------------

Selepas terlepas penerbangan ke Johor Bharu. Nasib badan....

Friday, April 15, 2011

Ketiak Najib Tetap Masam


Tak tahu macam mana nak jawab bila ditanya, “Mengapa TGHH peluk Najib di Sarawak?” Bukan tidak ada jawapan tetapi jawapan itu akan memungkinkan seribu andaian lain. Akhirnya, ambil keputusan diam sahaja.

Berpeluk bukan tidak boleh. Cuma ketika TGHH belum terlepas daripada dibelit dengan isu-isu sensitif sebelum ini, tindakan TGHH itu terus mengundang polemik.

Dipercayai, kalau TGHH peluk Lim Guan Eng atau peluk Khalid Ibrahim, tentu itu tidak membawa apa-apa masalah. Bahkan orang PAS dan PKR akan gembira dengan tindakan itu kerana peluk melambangkan keakraban.

Tetapi apabila TGHH peluk Najib, itu melambangkan apa? Keakraban juga? Atau, bagaimana? Ini yang menjadikan orang PAS kadang-kadang sesak nafas.

Orang PAS sayangkan TGHH dan mereka tidak rela sebarang keadaan yang menjatuhkan wibawa TGHH. Diyakini orang PAS tidak akan rela sebarang perkara buruk menimpa TGHH dan mereka sentiasa mendoakan kesejahteraannya.

Namun, kadang-kadang tindakan spontan atau di luar jangkaan TGHH menjadikan mereka mengeluh sendirian. Mereka tidak menyangka buruk dengan apa yang dilakukan oleh TGHH, cuma tindakan spontan itu menjadikan mereka kelu lidah untuk membela TGHH dalam situasi tertentu.

Memeluk Najib tidak membatalkan wuduk apatah lagi berdosa. Cuma, dalam keadaan semua orang tahu Najib dalam keadaan kelemasan, pelukan TGHH itu memungkinkan pelbagai tafsiran. Lebih parah lagi jika ada yang menganggap pelukan itu adalah lanjutan kepada beberapa isu PAS – Umno yang membelit TGHH sebelum ini.

Walau bagaimana pun, mudah-mudahan pelukan TGHH itu tidak disensasikan oleh Umno atau sesiapa sahaja. Kalau disensasikan juga, tentu sukar bagi orang PAS untuk mencari jawapannya.

Tuesday, April 12, 2011

Monolog Omega

Namaku Omega. Aku bukan seperti orang lain seperti Casio, Tag Heuer, Rado, Rolex, Swatch, Chrocodile atau Puma. Aku sangat istimewa kerana khabarnya, Neil Armstrong memakaiku ketika menjejakkan kakinya ke bulan.

Aku juga disifatkan sebagai jam paling tepat waktunya. Kawan-kawanku yang lain kadang-kadang nyanyuk juga walau pun masih muda. Justeru, aku dikagumi dan sering dijadikan hadiah istimewa terutama kepada pembesar-pembesar.

Akhir-akhir ini, di sebuah negara ‘Islam’ yang ada kilang arak, namaku sering disebut. Pada mulanya aku kurang pasti sebabnya, bahkan aku merasa pelik. Wartawan sebut nama aku, blogger sebut nama aku, aku sering ditanya kepada Uncle Google.

Menariknya, Uncle Google tidak pernah mengecewakan mereka. Gambar aku dipaparkan. Semua orang puas kerana rupa aku memang menawan. Kebanggaanku bertambah. Kalau dulu aku hanya ditatap oleh orang-orang berada sahaja, kini aku ditatap oleh semua orang.

JKKK, tok penghulu, penarik beca, drebar teksi, tukang sapu, tukang bancuh simen, turut menyebut-nyebut namaku. Memang aku pelik, mengapa semua orang menyebut namaku? Walau pun hidungku kembang-kempis, namun kadang-kadang aku naik meluat kerana ada yang menyebut namaku itu tidak gosok gigi. Mulut busuk.

Sekarang aku menjadi bahan kontroversi. Aku dikatakan ditinggalkan oleh tuanku di bilik yang terpapar dalam video yang dipromosikan oleh ‘Tiga Boroi’. Tuanku menafikannya. Isterinya berkata, aku berada di tangannya.

Aku geram apabila wartawan meminta aku ditunjukkan kepada mereka kalau benar aku tidak ditinggalkan di dalam bilik video tiga boroi berkenaan. Tuanku berkata, buat apa ditunjukkan kepada mereka, itu bukan satu keperluan. Beliau hanya bersedia menyerahkan aku kepada polis, itu pun jika diminta.

Aku cuma jam. Aku boleh dipindahkan, dicuri atau disalah letak. Orang boleh curi aku, letak dalam bilik video tiga boroi tu dan macam-macam lagi. Aku tidak boleh buat apa-apa sebab aku tidak punya daya sendiri untuk bertindak.

Apakan dayaku, aku dihadiahkan kepada orang itu. Kalau aku dihadiahkan kepada PM negara ‘Islam’ sekarang tentu aku tidak berhadapan dengan situasi ini. Atau, setidak-tidaknya, aku dihadiahkan kepada ‘First Lady’, tentu aku tidak akan menghadapi semua ini.

Namun, kalau aku diberi pilihan, aku tidak mahu menjadi hadiah kepada PM negara ‘Islam’ itu. Aku tahu dia bukan bersih, cuma dia tidak disiasat. Kalau dia disiasat macam tuanku disiasat, aku percaya rakanku yang dipakai oleh PM itu akan menjadi mangsa seperti aku.

Aaaahh, aku faham mana orang berani siasat PM negara ‘Islam’ tu. Ya, dia ada kuasa walau pun aku tahu kuasanya akan hilang dalam tempoh terdekat. Aku dengar di Sarawak, PM itu sudah mula ketar lutut kerana sambutan orang ramai kepada tuanku dan rakan-rakannya.

Aku tidak mahu hidup bersama PM negara ‘Islam’ itu. Aku lebih rela hidup bersama tuanku yang difitnah dan ditohmah itu. Aku lebih rela hidup bersama keluarganya kerana bagiku, seteruk mana pun mereka ditohmah, difitnah, dinista, mereka tetap idolaku.

Aku yakin orang dalam video itu bukan tuanku. Aku kenal benar tuanku. Beliau memang tidak maksum, tetapi aku yakin beliau bukan seperti apa yang ditohmah oleh puak-puak PM negara ‘Islam’ itu.

Namun aku tetap Omega. Aku bukan siapa-siapa.

Thursday, April 7, 2011

Pelajar Maut: Apa PAS Perlis Perlu Buat?

“Sekolah rakyat di Jejawi, sekolah mana satu”? Tanya seorang peniaga nat kepada rakan niaganya. “Alah… sekolah PAS tu.” Jawab rakannya.

Mahu tidak mahu, kejadian kematian pelajar sekolah rendah yang dikatakan dipukul warden asramanya baru-baru ini perlu ditangani oleh PAS Perlis. Jika itu suatu kepincangan, maka kepincangan itu patut ditanggung oleh PAS, khususnya PAS Perlis.

Di laman FB, ada rakan yang menyebutkan secara langsung nama sekolah berkenaan. Walau pun ada rakan FB juga yang melarang rakan FB-nya menyebut secara langsung mengenai perkara itu, rasanya masyarakat telah pun tahu dan tetap akan tahu bahawa sekolah itu adalah milik PAS Perlis.

Sesiapa pun tidak mahu perkara sebegitu berlaku apatah lagi apabila melibatkan nyawa. Jika sekadar kecurian wang sesama pelajar, tidur di atas bumbung asrama, mengoyak dawai pagar, lari malam, mengorat di bawah tangga bangunan sekolah, ponteng solat berjemaah, semua itu bukan perkara pelik.

Bukan sahaja di sekolah rakyat, ia turut berlaku di sekolah kerajaan. Bukan sahaja di sekolah PAS, jika Umno ada sekolah pun, semua itu akan berlaku.

Sekolah adalah tempat mendidik manusia. Mustahil di suatu tempat manusia di situ semuanya ‘wali-wali’ belaka.

Namun kejadian melibatkan nyawa tempoh hari sangat mengejutkan. Mereka yang tidak pernah mengambil tahu mengenai kewujudan sekolah itu pun akan turut mengambil tahu. Bahkan, tentu ada yang akan mencari-cari maklumat tambahan mengenai sekolah itu dengan pelbagai tujuan, baik atau buruk.

PAS Perlis tidak dapat lari daripada mengambil tanggungjawab. Jika mana-mana sekolah PAS beroperasi dengan baik, PAS berbangga dengannya, tentulah wajar juga apabila institusi itu bermasalah, bebannya perlu ditanggung oleh PAS.

Adakah imej PAS Perlis akan tercalar dengan kejadian itu? Belum dapat dipastikan. Saya belum mendengar orang memburukkan PAS atau pemimpin PAS dengan kejadian itu.

Bagi orang PAS, kejadian itu sedikit pun tidak melunturkan sokongan mereka kepada PAS. Bagi orang Umno pula, kejadian itu mungkin menjadi peluru percuma kepada mereka untuk memburukkan PAS. Sama ada kejadian itu mendatangkan kesan buruk secara langsung kepada PAS atau tidak, mungkin suatu kajian khusus perlu dilakukan.

Bagi saya, PAS Perlis tetapi tidak boleh membiarkan kejadian ini berlalu begitu sahaja tanpa melakukan sesuatu. Jika kita bertegas terhadap Umno dalam kejadian-kejadian besar termasuk mendesak para menterinya meletakkan jawatan, maka kita juga perlu bertegas dengan kejadian besar yang berlaku di dalam parti kita sendiri.

Saya tidak bermaksud supaya orang PAS mendesak sesiapa meletakkan jawatan tetapi maksud saya ialah suatu penilaian semula atau semakan semula perlu dilakukan terhadap pentadbiran sekolah-sekolah yang dimiliki oleh PAS Perlis.

Saya ada satu pandangan peribadi dalam perkara ini iaitu bebaskan sekolah PAS daripada pengaruh politik PAS. Sebenarnya ini bukan persoalan baru, tetapi telah dilontarkan beberapa kali, namun lontaran itu berlalu begitu sahaja.

Memang sekolah PAS ditubuhkan oleh PAS, sebuah parti politik. Namun itu tidak bermakna persoalan pendidikan juga perlu dipengaruhi oleh politik. Sekolah-sekolah PAS tidak boleh lagi diletakkan di bawah lembaga tadbir yang dipengerusikan oleh pemimpin PAS negeri atau peringkat lain.

Institusi pendidikan perlu ditadbir oleh mereka yang berkeahlian dalam bidang itu. Pengerusi lembaga tadbirnya tidak boleh lagi pesuruhjaya PAS negeri atau timbalannnya atau mana-mana pimpinan peringkat perhubungan negeri.

Pengerusi lembaga tadbirnya hendaklah seorang pendidik yang berpengalaman luas, begitu juga dengan keanggotaannya. Keputusan-keputusan berkaitan sekolah itu perlu dibuat oleh mereka yang berkeahlian dalam bidang itu, bukan oleh kuasa-kuasa politik.

Mungkin wujud kebimbangan, jika sekolah itu dikeluarkan daripada pengaruh politik PAS, terjaminkan pelajarnya akan menyokong PAS apabila tamat pengajian nanti?

Jawapannya mudah. Sebenarnya bukan semua pemimpin dan ahli PAS keluar dari sekolah PAS. Mereka keluar dari pelbagai latar belakang sekolah. UUM Sintok yang dahulunya disebut sebagai Universiti Umno Malaysia, kini melahirkan ribuan penyokong, ahli dan pemimpin PAS. Jadi PAS tidak perlu bimbang perkara ini.

* * * * *

OK, oohhhh terpaksa berhenti di sini kerana terpaksa bersedia untuk ke Melaka. Ada program besar di sana. Saya akan memberikan komen lagi bila berkesempatan. Harap-harap orang yang buat surat layang mengenai saya tidak marah dengan pandangan ini.

Kalau marah, nanti kena jual. Tak begitu Mr K.

------------------------------------------------

12:40 pm - sebelum makan tengahari.