Wednesday, September 29, 2010

40 Atau 60 Atau Berapa Pun, Adakah Terlarang?

Tahniah kepada blogger yang menjawab tulisan ketua ulamak muda Umno secara ilmiah mengenai 40 tok guru pondok bakal berdoa di Mekah selama 40 hari dan 40 waktu. Isunya, royalti minyak Kelantan. Baca blog al-Bakistani.

Tulisan ulamak muda Umno itu dikira bagus. Penuh dengan maksud hadis dan pandangan para ulamak. Kalau ketua ulamak muda itu berhasrat untuk menujukan tulisannya kepada 40 tok guru pondok itu, rasanya mereka pun sudah tahu.

Bahkan rasanya mereka lebih dahulu tahu daripada ketua ulamak muda itu. Namun itu tidak bermakna tulisan ketua ulamak muda tidak berharga, ia tetap berharga dan bernilai. Memberitahu perkara yang orang telah tahu dipanggil ‘tazkirah’.

Angka 40 ada signifikannya. Dalam al-Quran ada disebut angka itu. Signifikan Mekah dengan doa usah dipersoalkan lagi. 40 tok guru itu pula mewakili rakyat Kelantan yang pada pandangan mereka di zalimi. Pendek kata, jika ulama muda itu ingin mempersoalkan signifikan doa dengan isu royalti minyak Kelantan, rasanya tersasar.

Selama mana sesuatu itu tidak terlarang, maka melakukannya tidak perlu dipersoalkan. Tiada larangan berdoa oleh 40 orang, 40 waktu dan 40 hari. Bahkan tiada larangan juga untuk 60 orang, 60 waktu atau 60 hari. Atau, berapa sahaja.

Justeru, mengapa bilangan orang, waktu dan hari yang dipersoalkan oleh ketua ulama muda Umno ini?

40 tok guru adalah rakyat Kelantan. Mereka berasa diri mereka dizalimi. Bagi mereka, orang yang menzalimi mereka ialah pemimpin Umno. Kalau mereka berdoa supaya ditentukan keputusan yang wajar ke atas pihak yang menzalimi mereka, itu hak mereka.

Menjadi kelaziman, orang yang menzalimi jarang merasai dia menzalimi orang lain. Firaun berasa tindakannya memotong secara bersilang kaki dan tangan ahli sihirnya yang beriman dengan Musa adalah betul. Dia berasa dirinya Tuhan. Mana mungkin Tuhan bersalah.

Apabila rakyat Kelantan berasa mereka dizalimi, mereka berhak berdoa supaya orang yang menzalimi mereka dihukum.

Kalau Umno berasa mereka tidak menzalimi rakyat Kelantan, mengapa mereka perlu takut dengan doa 40 tok guru itu? Mengapa pula ketua ulama muda Umno ini perlu mempersoalkan tindakan 40 tok guru itu?

Mereka tidak perlu mempersolkan tindakan 40 tok guru itu. Mereka perlu tampil menasihati pemimpin Umno untuk memulangkan hak kepada yang berhak.

Benar, kefahaman terhadap tafsiran undang-undang adalah berbeza. Tetapi apalah salahnya jika rakyat Kelantan diberikan apa yang mereka yakini sebagai hak mereka. Bukankah rakyat Kelantan juga adalah warga negara?

Kalau rakyat negeri lain juga berpendapat mereka juga berhak ke atas emas hitam itu, tunaikan juga. Itu adalah lebih baik daripada berkeras lengan untuk menunjukkan kuasa. Akibatnya, rakyat yang menanggung bahana.

Persoalannya ialah, berdasarkan pengalaman Kelantan semenjak 1990, bukan sekadar royalti minyak itu sahaja yang dinafikan, bahkan geran tahunan berdasarkan perlembagaan pun tidak dilunaskan secara sepatutnya.

Sudahkah ketua ulama muda Umno menasihati ketua mereka mengenai perkara ini? Atau, mungkin mereka menasihatinya secara senyap takut diketahui orang. Nanti riya’ pula. Mudah-mudahan…

Kata ketua ulamak muda Umno lagi, RM400 ribu sepatutnya dihabiskan untuk program ilmu dan bukan program sebegitu.

Cuba ketua ulamak muda Umno ini kira, berapa banyak wang dihabiskan untuk sambutan pelbagai hari, acara dan pesta di negara ini?

Dan, tentu ketua ulamak muda Umno ini tahu bahawa kita dibenarkan bersusah-payah untuk bermusafir untuk menuju ke tiga buah masjid agung kita di Mekah, Madinah dan Palestin.

Bagi saya, ketua ulamak muda ini sepatutnya menumpukan perhatian untuk terus menasihati pemimpin Umno secara senyap-senyap seperti yang disarankannya. Tak perlu heboh-heboh.

Tetapi ketua ulama muda Umno ini perlu sedar bahawa bangkitnya kesedaran rakyat juga kesedaran pemimpin Umno sendiri dalam beberapa hal adalah kerana teguran secara terang dan keras yang dibuat oleh rakyat. Hasilnya telah kelihatan dan turut dirasai ketua ulamak muda Umno sendiri.

Kami sedang menunggu hasil nasihat senyap-senyap ketua ulamak muda Umno ini.

---------------------------------------------------

Kampong Kubang Paya, Arau - 10.31 pm

Sunday, September 26, 2010

Warak, Duit Judi Dan Duit Saman Ekor

Menurut Guan Eng, 90 peratus orang miskin tegar di Pulau Pinang adalah Melayu. Mereka diberi bantuan tetapi bukan dengan duit judi Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang seperti yang didakwa oleh Umno.

Guan Eng kata, dia tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh kepada orang Islam. Maksudnya, kalau duit itu pernah diterima sekali pun, ia tidak disalurkan kepada orang Islam.

Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang wujud semenjak entah bila. Pada zaman BN kuasai Pulau Pinang pun kelab itu sudah wujud. Umno pun tahu perkara itu.

Di utara semenanjung, orang Islam tahu mengenai kelab itu semenjak mereka kenal ‘Kalendar Kuda’. Itulah kalendar yang tergantung di rumah, sekolah, pejabat bahkan kadang-kadang di masjid pun ada.

Sampai sekarang pun kalendar itu masih ada. Samada ada kalendar itu dikeluarkan oleh kelab itu atau bukan, yang mustahak kalendar itu tetap ada jadual judi lumba kudanya. Menariknya, aturan kalendar itu adalah tepat termasuk tarikh hariraya orang Islam.

Zaman BN perintah Pulau Pinang dulu pun ada orang miskin tegar juga. Ada Islam dan bukan Islam. BN juga memberi sumbangan kepada mereka. Persoalannya, BN ambi duit mana?

Semasa BN memerintah Pulau Pinang dulu, tidak pernahkah kerajaan BN menerima duit daripada kelab lumba kuda itu?

Mustahil tidak pernah. Kalau duit kelab itu diterima pada zaman ini, tentu juga diterima oleh kerajaan sebelum ini. Kalau sumbangan kelab itu pernah diterima kerajaan BN, kemana duit itu digunakan? Adakah duit itu ada akaun berasingan?

Adakah tidak mustahil, kerajaan terdahulu juga pernah memberi sumbangan duit judi kepada orang miskin tegar zaman itu? Mungkin pada masa itu Reezal belum sedar, atau belum warak lagi atau belum teringat nak kata apa-apa sebab Pulau Pinang diperintah BN.

Ketua Penerangan Pemuda Umno ini macam kucing. Dia warak di depan orang. Di depan Guan Eng dia bukan main warak lagi. Mengapa dia tidak sewarak itu di hadapan Najib atau Muhyiddin?

Pernah atau tidak Reezal mempersoalkan Najib yang ‘sebat’ duit saman ekor? Mengapa Reezal tidak mempersoalkan duit saman ekor yang dikutip oleh kerajaan Najib, halal atau haram? Atau, sekurang-kurangnya sybubhat. Orang warak tak ambil duit syubhat.

Orang yang kena saman ekor tidak pernah dibuktikan bersalah. Mereka adalah tertuduh. Tertuduh tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Beban pembuktian terletak kepada pendakwa bukan tertuduh. Semua orang asalnya adalah bersih dan bebas daripada kesalahan.

Dalam kes saman ekor, tertuduh didenda sebelum dibuktikan bersalah. Adakah Najib sedar bahawa mendenda orang yang belum terbukti bersalah adalah suatu kesalahan?

Kalau orang yang didenda itu tidak bersalah bagaimana? Najib patut tahu bahawa tersilap membebaskan orang bersalah adalah lebih baik daripada tersilap menghukum orang tidak bersalah.

Justeru, adakah duit saman ekor yang terkumpul berjuta ringgit itu adalah halal? Kalau duit itu digunakan untuk memberi gaji polis, adakah polis menerima duit halal? Reezal pernah persoalkan perkara ini?

Tentulah ia tidak akan dipersoalkan kerana perkara itu dibuat oleh Najib. Reezal tidak perlu warak di hadapan Najib kerana dia kenal siapa Najib. Bukan setakat Najib, Rosmah pun naik hairan kalau Reezal tunjuk warak di hadapan mereka.

Dia hanya perlu tunjuk warak di hadapan Guan Eng kerana kalau dia tidak tunjuk warak di hadapan Guan Eng, kepada siapa lagi dia nak tunjuk warak. Nak tunjuk warak depan si dia itu dan itu?

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Kampong Kubang Paya, Arau - 1.02 pm

psssttt - Terima panggilan telefon daripada seorang hamba Allah. Katanya, mengapa tiada pemimpin utama PAS Perlis yang pergi melawat pasar baru di Kangar? Semua pemimpin utama Umno sudah pun pergi melawat. Sekadar bagi tahu sahaja. Nak pergi atau tidak terpulang...

Friday, September 24, 2010

Nik Aziz Kehilangan Melayu?

Nik Aziz Kehilangan Melayu?

Orang Melayu jadi Melayu, sama sahaja dengan orang Cina jadi Cina atau orang India jadi India. Tiada siapa berhak untuk memilih bangsa yang dia inginkan. Kalau seseorang itu tidak mahu jadi Melayu pun, dia tetap Melayu jika ibu bapanya adalah Melayu. Begitulah seterusnya.

Adakah salah seorang Melayu tidak mengaku bahawa dia orang Melayu? Atau, adakah salah seorang Cina mengaku dia adalah Melayu atau seorang Siam mengaku dia adalah Cina?

Tidak mahu jadi Melayu atau Siam atau Cina atau India, tidak sama dengan tidak mahu jadi seorang Muslim.

Kalau seseorang itu berkata, “Saya bukan Melayu”, pada hal dia adalah Melayu, adakah wujud implikasi hukum di situ?

Tetapi kalau seseorang itu berkata, “Saya bukan Muslim,” padahal dia adalah seorang Muslim, di sini wujud implikasi hukum. Sekurang-kurangnya dia berdosa besar kalau pun tidak menjadi murtad tanpa mengira apa bangsanya dan di mana dia berada.

Kenapa manusia tidak dibekalkan keupayaan untuk memilih bangsa? Mengapa Nabi kita berbangsa Arab dan dia menjadi Nabi kepada semua bangsa?

Manusia dibekalkan keupayaan untuk memilih jalan hidup dalam beragama. Nabi diutuskan dan kitab diturunkan untuk membimbing manusia memilih agama bukan memilih bangsa. Kenapa?

Adakah manusia diberi nikmat di akhirat atau menghadapi kehidupan sengsara di sana kerana bangsa?

Syurga bukan untuk Melayu dan neraka bukan untuk Cina, atau syurga bukan untuk Arab dan neraka bukan untuk Melayu. Syurga dan neraka bukan ditentukan dengan bangsa tetapi dengan agama.

Melayu, Cina, India, Siam, atau apa sahaja, darahnya merah. Bumi mereka adalah sama. Langit mereka adalah satu. Udara mereka adalah sejenis. Bahkan Tuhan mereka juga adalah satu, Allah.

Justeru, apa bezanya antara mereka? Bezanya ialah sama ada mereka menyembah Allah atau tidak. Itulah penentuan muktamad sama ada mereka ke neraka atau ke syurga.

Adakah Melayu akan tetap ke syurga walau pun tidak menyembah Allah atau Cina akan tetap ke neraka walau pun menyembah Allah? Adakah begitu?

Huh, jijik benar apabila sampai kini Umno masih meratib Melayu, Melayu, Melayu…

Saya, anda, dia, mereka, Nik Aziz tetap Melayu walau pun kita tak suka Melayu. Kita bukan Cina walau pun kita berkawan dengan Cina. Nabi kita tetap orang Arab walau pun dia menjadi rasul kepada orang Melayu, Cina, India dan semua sekali.

Habis, mengapa kita pening-pening bimbangkan Melayu? Adakah hanya orang Melayu sahaja yang ada Islam?

Adakah kita lupa bahawa ada Cina Muslim, India Muslim, Kadazan Muslim, Iban Muslim? Kalau Melayu tidak mahu kepada Islam, banggakah kita menjadi Melayu?

Nik Aziz betul apabila dia berkata dia tidak bangga jadi Melayu. Sesiapa sahaja yang berkata begitu adalah betul jika Melayu tidak punya Islam.

Tapi, bagaimana pula dengan kandungan perlembagaan bahawa seseorang itu dikira Melayu hanya jika dia beragama Islam? Jawapannya ialah, bagaimana pula dengan orang yang berbangsa Melayu tetapi keluar daripada Islam?

Hilangkah Melayunya? Adakah dia akan masuk syurga dengan Melayu itu atau dengan apa?

--------------------------------------------

Kampong Kubang Paya, Arau - 11.01 pm

Wednesday, September 22, 2010

Kua, Kuan Dan Sadu Tama

Kalau perkara ini diumumkan di dalam mana-mana perhimpunan, saya yakin orang akan bertepuk dengan gemuruh sekali. Masakan tidak, dalam usia seperti kini, PKR telah punya ahli seramai 385 ribu orang.

Komposisi ahlinya pula menggambarkan komposisi masyarakat negara ini. Mewakili pelbagai ras dan kepercayaan. Kalau saya turut berada di dalam majlis itu, saya pun akan bertepuk sama.

PAS sudah berusia 50 tahun lebih, ahlinya baru menghampiri angka sejuta. Ahli Umno usah ditanya lagi. Gambarannya ialah, di Perlis ada cawangan Umno yang ahlinya semua berbangsa Siam. Umno parti Melayu tetapi ahlinya adalah Siam.

Saya tidak berhasrat mempersoalkan apa-apa mengenai keahlian PKR. Bagi saya, makin banyak makin bagus. Parti itu sahabat PAS. Kuat parti itu, kuatlah PAS.

Kalau dicampur keahlian PAS dan PKR, ditambah keahlian DAP, tentu angka itu sudah mampu menyaingi keahlian Umno.

Persaingan sedang berlaku dengan hebat kini untuk parti-parti dalam PR menyaingi keahlian keseluruhan parti-parti komponen BN.

Ada isu yang lebih besar dari sekadar angka iaitu kualiti. Mengapa Umno tewas sedangkan ahlinya ramai? Tentulah jawapannya tidak berkualiti.

Umat Islam seperti dinyatakan oleh Nabi kita adalah ramai - kuantiti. Namun mereka terdedah untuk diratah oleh musuh mereka seperti orang pelahap meratah hidangan kerana ketandusan nilai - kualiti.

Mereka hilang ‘Kua’ walau pun memiliki ‘Kuan’. Puncanya kerana mereka berpenyakit ‘Sadu Tama – Sayang Dunia, Takut Mati’.

PAS ada usrah, ada tamrin, ada ijtimak dan menjunjung kepimpinan ulama. Dalam PAS ramai ustaz dan ustazah. Ada orang yang tidak sanggup masuk PAS kerana merasa dirinya kurang layak.

PAS ada Dewan Himpunan Penyokong PAS. Mereka bukan Islam namun diyakini mereka yang menyertai dewan itu sedar mengenai PAS sebagai sebuah parti yang sangat mementingkan ‘Kua’. Mereka yang merasa dirinya tidak punya ‘Kua’ tidak bersedia bersama dewan itu.

Saya tidak bermaksud mempersoalkan ‘Kua’ ahli PKR, tetapi sekadar menyebutkan bahawa ‘Kuan’ tanpa ‘Kua’ adalah tidak bermakna.

Benar, dalam pilihanraya yang berkuasa adalah ‘Kuan’ dan bukan ‘Kua’. Undi seorang Tok Guru dengan undi seorang Mat Gian dikira satu.

Namun, satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah, pilihanraya hanya berlaku lima tahun sekali. Lima tahun sekali ‘Kuan’ diambil kira tetapi empat tahun selebihnya, yang berharga ialah ‘Kua’. Tanpa ‘Kua’, berduyun-duyunlah timbul dan masuk Umno macam ikan temekung timbul pada musim hujan.

Ikan temekung, kalau sudah timbul (orang utara panggil ‘ikan curus’), tidak perlu lagi dijala, dikail atau ditangkul, campak kain pelekat pun, penuh kain pelikat dengan ikan tersebut.

Namun ikan temekong jarang ditangkap, bahkan kalau lekat di jala atau tangkul pun dibuang. Mulut pemilik jala dan tangkul mengomel marahkan ikan temekung melekat di jala atau tangkulnya.

Mengapa orang marahkan ikan temekung? Bukankah ia juga ikan? Tentu jawabnya ialah, ikan temekung adalah ikan tanpa ‘Kua’.

Justeru, PKR perlu memberi perhatian terhadap kualiti ahlinya. Mengapa perkara ini saya bangkitkan? Untuk memburuk atau menjatuhkan? Tidak sama sekali.

Saya bergaul dengan rakyat di peringkat bawah, orang sebut grass root – akar umbi. Saya tidak suka menyebutkan di sini apa yang mereka cakapkan mengenai ahli PKR. Cukuplah saya katakan bahawa, apa yang mereka cakapkan itu menggambarkan ahli PKR tidak punya ‘Kua’.

Adakah saya suka ahli PKR tidak punya ‘Kua’? Saya katakan, seperti mana saya bimbang ahli PAS kehilangan ‘Kua’, saya juga tidak suka ahli PKR tidak punya ‘Kua’.

Saya yakin, bekas-bekas pimpinan ABIM yang bersama dengan PKR termasuk sekian banyak cendikiawan yang bersama parti itu akan terus memastikan ahli PKR seramai 385 ribu orang itu punya ‘Kua’.

----------------------------------------

Kampong Kubang Paya, Arau - 8.34 pm

Sunday, September 19, 2010

Umno, Mat Gian Dan Binatang Itu

Pemimpin Umno mengaku parti itu parti Melayu. Laungannya pun ‘Hidup Melayu’. Dalam Umno tidak ada Cina atau India. Kalau ada orang Siam yang masuk Umno, mereka pun sudah mengaku jadi Melayu.

Pemimpin Umno marah kalau dikatakan tidak berjuang Melayu. Kalau mereka bercakap mengenai agama pun, cakap itu adalah dalam konteks perlembagaan, Melayu adalah Islam.

Malah kalau orang Cina yang sokong Umno pun, dia turut berjuang Melayu lebih dari Melayu Umno perjuangkan Melayu. Pendek kata Melayu dan Umno, bagi pemimpin Umno memang tidak terpisah.

Itu pengakuan pemimpin Umno. Sama ada pengakuan itu benar atau tidak, semua orang berhak persoalkan. Rasanya, orang yang mempersoalkan perjuangan Melayu Umno lebih ramai daripada orang yang percaya Umno memperjuangkan Melayu.

Tapi kini, nampaknya Umno sudah mula cuba berenggang dengan Melayu. Kalau boleh pemimpin parti itu tidak mahu lagi dikenali sebagai pejuang Melayu.

Pemimpin parti itu mahu Umno dikenali sebagai bukan lagi parti Melayu. Untuk itu, kini laungan ‘Hidup Melayu’ tidak lagi kedengaran. Orang Siam yang masuk Umno pun tidak perlu lagi mengaku sebagai Melayu bahkan perlu tonjolkan kesiaman mereka secara nyata.

Umno cuba mengikis wajah Melayu daripada parti itu. Umno sanggup berkelahi dengan Perkasa untuk membuktikan bahawa parti itu bukan parti ‘pure’ Melayu. Bahkan Umno rela putus hubungan dengan Perkasa yang konon-kononnya ‘ultra Melayu’ itu.

Lebih jauh lagi Umno sanggup berkelahi dengan Tun M untuk membuktikan parti itu bukan parti Melayu tulen apabila Tun M menyokong Perkasa.

Mengapa jadi begitu? Umno sudah berubah atau Umno sudah nyanyuk? Atau, Umno adalah parti ultra pragmatis?

Semua orang tahu, itu berlaku kepada Umno kerana parti itu ketagihkan sokongan bukan Melayu. Ketagih Umno ini bukan lagi macam buruh kontrak ketagihkan daun ketum, tetapi sudah sampai ke tahap Mat Gian ketagihkan heroin.

Mat Gian ini sanggup curi gelang emaknya, jual motosikal ayahnya, curi sekerap jirannya bahkan sanggup curi besi longkang untuk dijual walau pun ketika harga besi buruk jatuh merudum. Asal dapat duit untuk melepaskan gian.

Umno pula, sanggup buat apa sahaja asalkan orang bukan Melayu menyokongnya seperti dulu-dulu. Umno giankan sokongan bukan Melayu.

Buktinya nyata. Baca kenyataan Ahmad Maslan. Sekali baca, sebahagian orang Umno sendiri pun tidak percaya kenyataan itu keluar daripada mulut Ketua Penerangan Umno.

Sikap Ahmad Maslan mungkin betul. Namun itu belum tentu mampu menarik orang bukan Melayu untuk bersama Umno.

Pemimpin Umno ibarat binatang itu dengan bayang-bayang. Mereka sayangkan tulang Melayu yang sedang digonggong. Dalam masa yang sama, bayang-bayang tulang Melayu itu disangka tulang bukan Melayu.

Binatang itu akan terlepas kedua-duanya. Ia terlepas tulang Melayu yang digonggongnya dan tidak dapat tulang bukan Melayu yang diidamkannya.

Bukan Melayu tidak akan menyokongnya kerana bagi mereka Umno tetap parti asabiyah Melayu. Orang Melayu juga tidak akan menyokong Umno kerana bagi mereka Umno bukan lagi parti Melayu.

-----------------------------------------------------

Kampong Kubang Paya, Arau – 12.13 pm