Thursday, December 30, 2010

Syabas Mahfuz!

Kalau tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang. Inilah gambaran kepada tindakan Mahfuz meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kedah Sato Sdn Bhd. Saya percaya sebab-sebab perletakan jawatan itu tiada kena-mengena dengan faktor luaran yakni Umno atau BN.

Mahfuz memang jenis manusia yang tidak takut dengan Umno. Dia tidak hairan sangat jika berhadapan dengan konspirasi Umno. Dia pernah masuk penjara, sanggup tidak balik rumah, berhujan berpanas untuk lawan Umno.

Baginya Umno kecil sahaja, enteng sahaja. Bukan sehari dua dia melawan Umno. Daripada seorang ahli biasa PAS, dia menapak sehingga ke kerusi Naib Presiden kerana melawan Umno. Sampai ke hari ini, semangat melawan Umno dalam dirinya tidak pernah luntur, walau pun dia semakin berusia. Mahfuz seperti tidak pernah penat melawan Umno / BN.

Namun, sesuatu yang mengejutkan apabila dia meletak jawatan dalam Kedah Sato. Orang yang tidak pernah penat seperti Mahfuz sebenarnya tidak kenal istilah letak jawatan. Tetapi dalam kes Kedah Sato, mengapa dia letak jawatan?

Tentu ada sesuatu yang tidak kena. Saya percaya dia mengambil tindakan itu kerana tidak mahu mengusutkan keadaan. Atau, tidak mahu terlibat dengan sesuatu yang pada jangkaannya boleh mengusutkan keadaan. Atau, tidak mahu bertembung dengan seseorang yang bakal mengeruhkan keadaan.

Tindakannya itu diyakini kerana dia sayangkan MB Kedah dan rakan-rakannya dalam kerajaan negeri Kedah. Jika dia terus juga berada di dalam Kedah Sato, dia akan bertembung dengan seseorang dan itu sudah tentu menimbulkan ‘malu-malu mata’ antara dia dengan orang itu.

Sedikit sebanyak saya tahu sebab dan punca perletakan jawatan itu. Sembang-sembang dengan orang PAS Kedah, membawa isyarat kepada perkara ini. Memang orang tidak tahu bahawa Mahfuz akan meletak jawatan sehingga dia meletak jawatan, tetapi soksek dalaman boleh dijadikan sebab mengapa ini semua terjadi.

Apa pun, keputusan Mahfuz sangat besar maknanya, jika mereka yang berkaitan pandai untuk berfikir. Sangat diharapkan, apa-apa sebab yang mendorong Mahfuz meletak jawatan diperbaiki. Dia meletak jawatan kerana isu-isu dalaman, bukan isu-isu luaran.

Jika tindakan Mahfuz meletak jawatan tidak menyedarkan juga pihak yang terlibat, masalah itu akan terus membarah. Dan, tidak mustahil Mahfuz akan bersuara lebih keras. Semua orang kenal Mahfuz, dia memang seorang yang berprinsip dan tidak tahan mulut jika sesuatu yang tidak betul dilihatnya berlaku.

Bukankah Mahfuz pernah bersuara suatu ketika dahulu dalam isu Arif Fahmi sehingga ramai orang marahkannya? Dia bersuara kerana dia yakin bahawa dia perlu bersuara untuk membetulkan kepincangan yang berlaku sekali pun melibatkan Tok Guru.

Kepada exco negeri Kedah yang terlibat dengan isu ini, pohon diperbaiki apa-apa yang pincang. Keadilan bukan sekadar suatu falsafah tetapi sesuatu yang boleh dilihat.

Syabas Mahfuz!

Wednesday, December 29, 2010

Timbus Dengan Wang

Ada dua perkara yang terlintas dalam fikiran saya apabila terbaca mengenai amah Indonesia dikatakan ‘diperlakukan sedemikian rupa’ oleh salah seorang orang besar Malaysia. Saya tidak bersetuju jika dikatakan ‘perlakuan sedemikian rupa’ adalah budaya orang besar negara ini.

Pertama, kisah Yusof digoda untuk ‘melakukan sedemikian rupa’ oleh isteri menteri Mesir yang diabadikan oleh al-Quran. Beliau menetap di rumah menteri itu. Ketika ketiadaan menteri di rumah, Yusof digoda tetapi gagal.

Menteri, suami wanita itu memang bermasalah. Wanita itu kekal perawan walau pun sekian lama berkahwin. Ditambah pula dengan keperkasaan Yusof, menasabah wanita berkenaan tergoda. Manakan tidak, bukan sekadar dia yang tergoda malah wanita Mesir yang lain turut terpotong jari kerana terpegun dengan ketampanan Yusof.

Namun sudahnya, wanita itu menjadi permaisuri Yusof jua. Demikianlah aturan Tuhan semesta alam. Segalanya berakhir dengan keindahan dan keberkatan.

Kedua, Nabi saw menjanjikan bayangan arasy kepada mana-mana lelaki yang mampu menolak ajakan wanita cantik dan kaya untuk ‘melakukan sedemikian rupa’. Ungkapan ‘saya takutkan Allah’ adalah tiket kelayakan mendapat bayangan arasy itu.

Bukan senang seorang lelaki ‘takutkan Allah’ dalam situasi semuanya terhidang. Mengkuliahkan hadis itu kepada orang ramai di surau memang mudah, namun menghadapi realiti belum tentu semudah menyampaikan kuliah.

Kedua-dua situasi di atas, ‘perlakuan sedemikian rupa’ dipelopori oleh wanita. Kedua-dua wanita terlibat adalah cantik dan kaya. Mengapa cantik, mengapa kaya?

Kalau tidak cantik tentu godaannya tidak setara mana. Kalau lelaki tidak bersedia ‘melakukan sedemikian rupa’ kerana tiada tarikan kecantikan, tentulah lelaki itu tidak hebat. Yusof dan lelaki yang dijanjikan bayangan arasy hebat kerana digoda wanita cantik.

Bagitu juga kalau tidak kaya. Wanita menanggung risiko lebih besar berbanding lelaki jika ‘perlakuan sedemikian rupa’ berlaku. Namun mengapa wanita kaya sanggup?

Sudah tentu kerana kekayaan mampu menutup lubang-lubang mulut atau apa-apa sahaja lubang yang boleh ditutup dengan wang. Pendek kata, ‘perlakuan sedemikian rupa’ boleh ditimbus dengan timbunan wang.

Sehingga kini belum nampak penghujung kepada episod yang didedahkan oleh adik kepada amah itu. Ada NGO sedang menyiasat kebenaran dakwaannya. Kita tidak perlu lebih lajak daripada laju kerana ada risiko hukum agama di situ.

Akhirnya, bolehkah timbunan wang menutup kesemua itu?

Saturday, December 25, 2010

Orang Itu, Saya, Pemandu Teksi Dan Surau

Di hentian bas ekspres.

Orang itu, “Encik, kat mana surau?”

Saya, “Entah, saya pun tak tahu.”

Di atas teksi.

Saya, “Kat hentian bas ekspres memang tak ada surau?”

Pemandu, “Memang tak ada. Kalau ada pun jauh sangat.”

Kurang dapat dipastikan berapa ramai yang Subuh Gajah pada pagi ini kerana ketiadaan kemudahan surau di sini. Apa yang pasti gajah memang tak solat Subuh.

Tiada surau, dimana?

Selangor.

Dimana?

Shah Alam.

Dimana?

Hentian bas ekspres.

Dimana?

Seksyen 17.

Mengapa tiada surau di situ? Mungkin kerana orang besar-besar jarang atau tidak pernah naik bas ekspres. Mereka tak pernah memijak tangga bas ekspres pada waktu Subuh.

Mengapa mereka tak pernah pijak tangga bas ekspres?

Ya, sebab mereka orang besar yang punya kereta besar.

Eh, surau mungkin ada. Ya, mungkin. Tetapi kalau ada surau dan tiada papan tanda surau, serupa macam tak ada.

Tapi kalau ada, tak mungkin tak ada papan tanda pula.

Comform, tiada.

Thursday, December 23, 2010

Ganti Md Isa Atau PAS Menang?

Md Isa kata dia tak tau ada orang nak ganti dia. Maknanya dia masih Pengerusi Perhubungan Umno Perlis yang sah hingga Najib ganti dengan orang lain. Itu pun kalau Najib nak ganti. Kalau tak, dia akan kekal sebagai pengerusi.

Kalau Najib nak ganti Md Isa, sapa yang boleh ganti dia?

Shahidan Kassim, rasanya tak mungkin. Walau pun tidak mustahil, tapi lantik Shahidan kali kedua agak pelik, jarang-jarang orang buat. Lagi pun, Shahidan tak mesra dengan istana. Tak mungkin salah seorang exco kerajaan negeri sekarang yang juga dari istana akan merelakan Shahidan dilantik semula.

Syed Razlan, juga agak mustahil sebab dia orang istana. Kalau dia jadi Pengerusi Perhubungan Umno dan ditakdirkan BN menang lagi dalam PRU akan datang, maknanya kerusi MB milik dia.

Tentu agak kurang manis dua beradik berada di singgahsana pemerintahan negeri. Tak mungkin raja Perlis sekarang akan merestui keadaan itu berlaku. Baginda tentu kurang selesa dengan keadaan itu.

Sapa lagi tokoh Umno Perlis yang ada selain Md Isa? Yazid Mat, dia ibarat ubat tamat tempoh. Sudah tidak punya ummpphh lagi untuk memimpin Umno. Prestasinya pun bukan menyerlah sangat sama ada sebagai pemimpin Umno atau pemimpin negeri. Biasa-biasa sahaja.

Radzi Syeikh Ahmad, dia pernah letak jawatan sebagai SU Agong Umno. Suaranya pun jarang kedengaran dan kelibatnya pun jarang nampak di Perlis. Dia duduk dimana pun orang Perlis tak tau. Apa yang orang Perlis tau, rumah dia memang di Perlis.

Azmi Khalid, dia lebih kurang macam Yazid Mat juga. Kalau ibarat tayar, sudah kehabisan bunga dan kalau brek pun tidak mencengkam lagi. Brek di sini berhenti di sana. Sudah tidak makan, ikut kata oranglah.

Sapa lagi tokoh Umno yang ada? Exco-exco yang lain kalau ada yang dilantik jadi Pengerusi Perhubungan Umno tentu kena buli dengan Shahidan kecuali yang jadi geng Shahidan.

ADUN Guar Sanji yang orang sebut-sebut baik dan warak tu pun kena buli dengan Shahidan. Takkan dia Najib nak lantik jadi orang nombor satu Umno Perlis.

Exco dan pemimpin Umno yang lain semuanya tumpang semangkuk sahaja. Kalau Shahidan jadi ketua tumpang mangkuk Shahidan. Kalau Md Isa jadi ketua tumpang mangkuk Md Isa. Nak harap depa tu ada mangkuk sendiri, entah bila. Lebai mangkuk adalah…

Tapi orang kampung bukan kisah sangat dengan itu semua. Bagi depa, asal nampak kelibat dacing saja terus pangkah. Sama ada yang pimpin dacing tu berwibawa atau tidak, itu tidak penting, yang penting dacing.

Petang tadi jumpa Bang Mat Sabu di tempat kenduri. Dia tanya, “Macam mana Perlis, boleh menang?” Entah, garu kepala juga nak jawab. Tak jawab, yang tanya pimpinan pusat. Tanya pula dengan penuh semangat.

Nak kata tak boleh menang, perjuangan PAS mesti sentiasa optimis, meyakini kemenangan. Itu yang diajar dalam usrah dulu-dulu (lama dah tak pi usrah, pasai apa…?).

Nak kata boleh menang, Perlis bukan macam Perak atau Selangor. Cina Perlis bukan macam Cina Perak atau Selangor. PAS Perlis pun bukan macam PAS Perak atau Selangor, atau macam PAS Kedah. Tidak patut sangat tak kata PAS boleh menang.

Tapi nak kata PAS boleh menang, tidak ada pun gelombang itu. PAS memang ada aktiviti, program, mesyuarat tak berhenti, usrah memang kerap, tak percaya tengok diari pemimpin PAS. Penuh!

Macam pernah sebut sebelum ini, ada orang yang tidak pernah merasai kewujudan PAS. Mereka hanya menyedari kewujudan PAS pada musim pilihanraya sahaja, itu pun bila nampak poster bulan tergantung.

Macam mana saya boleh tahu itu semua? Jawabnya, apabila saya bergaul dengan orang biasa, bukan orang kuat PAS.

--------------------------------
Jejawi, Lepas Pening Buat Kerja

Monday, December 20, 2010

Mufti Perlis, Pengerusi DAP Dan Menteri Jaga Agama

MUFTI PERLIS:

Mufti Perlis menyatakan bahawa orang bukan Islam boleh menjadi peguam syarei yang membawa maksud mereka boleh mewakili orang Islam untuk perbicaraan di mahkamah syariah.

Baginya, jika Saidina Ali boleh kalah dalam perbicaraan dengan seorang Yahudi di hadapan hakim Islam yang membuktikan keadilan Islam, maka pada zaman serba canggih ini mengapa Islam tidak diberi peluang untuk membuktikan keadilannya kepada segenap lapisan manusia?

PENGERUSI DAP:

Sementara itu Pengerusi DAP pula, yang selama ini dilabel anti Islam berikutan kenyataan ‘langkah mayat’, menegaskan bahawa DAP bersedia menerima Islam sebagai agama rasmi negara.

Menurutnya, DAP bersedia berbincang supaya PR mencapai konsensus bersama dalam perkara berkenaan.

MENTERI JAGA AGAMA:

Menurut menteri jaga agama pula, pertumpahan darah akan berlaku seperti di Pakistan dan Iraq sekiranya negara ini memiliki dua mazhab, maksudnya Sunni dan Syiah.

Menurutnya, penyebaran ajaran Syiah boleh menggugat keharmonian masyarakat kerana kerana beberapa dakyah songsang dalam ajaran itu.

SAYA:

Ketika banyak pihak sedang mempromosikan keharmonian hidup antara Muslim dan non-Muslim di bawah payung rahmat Islam, pemikiran menteri Umno masih dibelenggu ‘sejarah’ perbalahan antara Sunni dan Syiah.

Ketika Amerika sangat membenci dan tidak mahu Sunni dan Syiah ‘berbaik-baik’, menteri Umno turut menjadi penyambung usaha itu. Kenyataan bahawa pengikut Sunni dan Syiah akan berbalah sampai bertumpah darah di negara ini adalah kenyataan yang tidak optimis dengan rahmat Islam.

Jika Amerika tidak mahu Sunni – Syiah bersama, Umno juga tidak mahu PAS – DAP bersama. Jika Amerika mengungkit-ngungkit sejarah perbalahan Sunni – Syiah, Umno juga akan mengungkit-ngungkit sejarah perbalahan PAS – DAP.

Mengungkit-ngungkit perbalahan tidak membawa makna apa-apa. Dua puak yang pernah berbalah suatu masa dahulu tidak semestinya akan berbalah sampai bila-bila. Apatah lagi jika perbalahan itu bukan diinginkan oleh kedua-dua belah pihak, tetapi mereka ‘dilaga-lagakan’ oleh musuh masing-masing.

Sebagai mana Amerika pernah melaga-lagakan Sunni – Syiah dan ingin terus kedua-dua kelompok itu berperang, demi kuasa mereka, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Umno juga mahukan PAS – DAP terus berbalah, juga demi kuasa mereka.

Kita ingin benar melihat orang-orang bukan Islam membuka kitab-kitab warisan Islam untuk mendalami hukum-hukum Islam, peraturan-peraturan Islam, kaedah-kaedah Islam dalam menyelesaikan masalah manusia, ketika mereka dibenarkan menjadi peguam syarei.

Kita ingin benar melihat orang-orang Sunni dan Syiah bersama-sama menjulang panji-panji kalimah tauhid untuk berhadapan dengan Amerika dan kuncu-kuncunya.

Kita ingin benar melihat Umno terkubur bersama ‘1’ mereka kerana dipinggirkan oleh orang Islam dan bukan Islam yang marahkan parti itu kerana menghalang mereka daripada menikmati hidup di bawah rahmat Islam.

------------------------------------------

Kampong Kubang Paya – Kampong tanpa non-Muslim dan Syiah, tapi ada Umno