Tuesday, November 30, 2010

Bangun Sambil 'Gabuih Ponggong'...

Pandangan Dr M bahawa tidak perlu ada lagi bangunan pencakar langit yang baru selepas bangunan Petronas 88 tingkat mungkin tidak disenangi oleh ramai pemimpin Umno. Bukan kerana mereka bimbangkan tidak wujud bangunan atau ruang yang tidak boleh disewa atau dijual, tetapi mereka bimbang mereka tidak berpeluang lagi buat duit atas angin.

Kebimbangan mereka bukan kerana kepentingan negara tetapi kerana kepentingan peribadi mereka. Bagi mereka, apa yang jadi kepada negara tidak penting tetapi apa yang bakal berlaku kepada poket mereka adalah lebih mustahak.

Di Perlis misalnya, apabila kerajaan memutuskan untuk membuka universiti di sana, ramai pemimpin Umno berebut-rebut membeli ruang-ruang bangunan baru yang dibina. Bagi yang tidak berkesempatan membeli pula, mereka berebut-rebut untuk menyewanya daripada pemilik bangunan.

Mengapa? Sebab mereka berpeluang untung di atas angin. Disebabkan universiti yang dibina itu belum memiliki kampus tetap pada masa itu, maka pemimpin Umno ‘mengarahkan’ supaya bangunan yang mereka beli atau sewa itu disewakan kepada universiti berkenaan.

Pemimpin Umno membeli atau menyewakan bangunan itu dengan kadar rendah dan mereka menyewakan pula kepada universiti berkenaan dengan harga yang tinggi, berlipat kali ganda. Mereka untung atas angin sahaja dengan tindakan itu.

Bukan sukar juga untuk pemimpin Umno membeli atau menyewa ruang-ruang bangunan untuk dimiliki sebab mereka punya kuasa. Jika mereka ingin meminjam daripada bank juga tidak bermasalah sebab mereka berkuasa juga.

Sebab itu Najib tidak bimbang untuk membina bangunan berapa ratus tingkat pun sebab duit itu bukan duit poket beliau tetapi adalah duit negara. Apa-apa hal terjadi, yang menanggung akibatnya adalah negara.

Jika ditakdirkan projek mega itu berpotensi, pemimpin Umno yang untung. Jika ditakdirkan sebaliknya, mereka tidak rugi apa-apa.

Paling teruk pun mereka kalah dalam pilihanraya dan tidak memegang jawatan lagi. Masalah negara selepas itu ditanggung oleh parti yang mengalahkan mereka. Mereka tetap bangun bangun sambil ‘gabuih ponggong’ sahaja.

Pemimpin Umno tidak pernah rugi apa-apa. Jika projek itu berdaya maju mereka untung. Jika sebaliknya pun mereka tetap untung.

Yang rugi adalah negara.

-----------------------------
Kuala Lumpur - 3: 10 pm

Saturday, November 27, 2010

Obama Dan Lim Guan Eng


Lim Guan Eng Ketua Menteri
Obama Presiden

Lim Guan Eng di Pulau Pinang
Obama di Amerika

Mereka orang nombor satu
Nombor satu di negeri
Nombor satu di negara

Zakaria doakan Lim Guan Eng
Sarah Omar doakan Obama

Siapa pun Lim Guan Eng
Siapa pun Obama
Siapa pun Zakaria
Siapa pun Sarah

Pendengar doa mereka
Adalah
ALLAH YANG MAHA ESA

Ya Allah...
Doa kami bersama doa mereka

-------------------------------------
Wilayah Persekutuan Labuan : 4: 52 pm

Wednesday, November 24, 2010

Adakah Ini Bukti PAS Kuat?

Saya tidak tahu berapa jumlah edaran bulanan Harakah cetak seluruh negara. Apa yang saya tahu, Perlis hanya ratus-ratus sahaja. Ini bukan baru tetapi sudah agak lama. Ahli PAS di Perlis ramai, tetapi pembaca Harakah tidak setara mana.

Ada orang PAS yang tidak pernah beli Harakah langsung. Dia cuma tunggu untuk dengar ceramah sahaja. Tanpa ceramah, maklumatnya hanyalah parlimen kedai kopi. Namun begitu, orang sebegini, sokongannya kepada PAS tidak pernah berubah.

Saya kenal bekas seorang pengedar Harakah. Dulu dia mengedarnya dengan setia. Dia tidak langsung memungut duit edarannya tetapi dibiarkan terkumpul. Apabila tiba musim membajak sawah, duit terkumpul jualan Harakah itulah dijadikan upah membajak sawahnya.

Tetapi kini dia tidak lagi membuat kerja itu. Katanya, letih dan sudah tidak mampu untuk berkunjung dari rumah ke rumah seperti dulu untuk melakukannya. Dia sudah semakin berusia. Pada anggapan saya, mungkin pembaca Harakah yang diedarkan kawan saya ini kini jarang sekali membaca Harakah.

Kenapa? Sebab mereka membaca Harakah tanpa perlu membayar tunai dan Harakah dihantar ke hadapan tangga mereka.

Namun begitu, apabila terbaca ada ADUN yang ingin menyaman Harakah, saya agak terkejut. Rupa-rupanya Harakah punya kekuatan yang digeruni. Kalau Harakah tidak berkesan, untuk apa tindakan saman bakal diambil.

Saya fikir, tidak berapa kerat orang Umno atau orang atas pagar yang baca Harakah. Jika orang PAS sahaja yang baca Harakah, untuk apa ADUN itu takut. Orang PAS sokong PAS bukan sangat kerana baca Harakah. Dia tidak baca Harakah pun dia tetap sokong dan undi PAS.

Kalau orang Umno baca Harakah pula, saya fikir sikapnya hampir sama dengan orang PAS baca Utusan Malaysia. Masuk mata kiri keluar mata kanan. Atau, macam orang PAS tengok TV3. Hah, dasar TV tiga suku katanya.

Namun apabila tersiar berita orang kuat Umno nak saman Harakah, maksudnya dia bimbangkan pengaruh Harakah. Akhbar itu memang ada ‘power’ mempengaruhi orang untuk membenci BN dan Umno.

Justeru Harakah harus mempertahankan momentum ini. Harakah jangan sekadar memuaskan hati orang PAS dengan berita mengenai kegiatan PAS sahaja, tetapi akhbar itu perlu membongkar.

Pembongkaran memuaskan hati orang PAS dan memeningkan orang Umno. Tetapi kalau nak bagi orang PAS syok, banyakkan berita yang menyiarkan aktiviti pemimpin PAS, apatah lagi pemimpin muda.

Jika itu keadaannya, orang yang terpampang gambarnya dalam Harakah memang syok, dan pemimpin Umno pun syok juga sebab berita sebegitu tidak menggugat Umno.

Maka, jika ditanya kepada saya, berita bagaimanakah yang perlu ditampilkan oleh Harakah. Saya kata, berita yang mendedahkan akhbar itu kepada saman pemimpin Umno.

Tidak takutkah kepada saman? Jika apa yang kita laporkan adalah benar, beretika, biarlah mereka saman. Apa nak ditakutkan?

----------------------------------------------
Brunei Darussalam - 7: 52 pm

Monday, November 22, 2010

Kekal Dalam Kepelikan

Jika ditanya adakah saya kecewa, saya katakan ya. Penolakan usul Salahuddin berkaitan tarikh Hari Raya Idil Adha yang pelik, saya harapkan tidak berlaku. Namun harapan itu tidak kesampaian. Alasan Speaker Dewan Rakyat ialah perkara itu pernah dibincangkan di Dewan Rakyat.

Bagaimana perkara yang pernah dibincangkan itu masih menimbulkan kekeliruan memang mengelirukan. Sepatutnya tiada kekeliruan jika ia telah dibincangkan.

Memang keputusan muktamad mengenai perkara itu terletak di tangan Majlis Raja-raja yang dinasihati oleh mufti-mufti. Tetapi, itu tidak pula bermakna perkara itu tidak boleh disentuh oleh MP. Sekurang-kurangnya apabila perkara itu dibincangkan di dewan tertinggi negara, beberapa perkara yang menimbulkan kekeliruan dapat dirungkai dengan berkesan.

Adakah perbincangan sebegitu di dewan rakyat akan menjatuhkan air muka orang Islam? Boleh jadi ya dan tidak. Jika dibincangkan secara berhemah, berasaskan fakta dan kajian, bersumberkan ilmu dan wahyu, saya yakin MP bukan Islam juga berminat mengikutinya.

Bahkan tidak pelik itu menjadi saluran dakwah berkesan kepada mereka.

Tetapi jika dibincangkan secara emosi oleh mereka yang tidak berkeahlian, macam seorang dua MP yang bercakap entah apa-apa, itu memang memalukan kita.

Sepatutnya kita tidak perlu malu untuk membincangkan perkara yang berkaitan kepentingan umum umat Islam itu secara terbuka. Memang kita ada masalah mengenai perkara itu dan mereka yang berkuasa dalam bidang itu belum mampu mengeluarkan umat Islam negara ini daripada kemelut kekeliruan itu.

Sama halnya dengan apa yang berlaku di Indonesia. Apabila kerajaan negera mengisytiharkan Idil Adha pada hari Rabu, Pertubuhan Muhammadiah mengisytiharkannya pada hari Selasa. Di negara itu, berlaku dua kali Idil Adha.

Adakah di negara kita tidak berlaku? Ya, itu berlaku. Walau pun secara kecil-kecilan tetapi tidak mustahil ia akan berkembang dan berpengaruh. Kalau JAKIM tidak percaya, mereka boleh turun ke kampong-kampong dan meninjau-ninjau masalah ini.

Perkara ini dibangkitkan bukan untuk mempersoalkan kewibawaan para mufti dan profesor kita. Tetapi perkara ini berkaitan kepentingan umum.

Diyakini jika Idil Adha diisytiharkan serentak dengan Arab Saudi, itu tidak mengundang polemik lagi berbanding apa yang diamalkan sekarang yang mengundang polemik sepanjang masa.

Bukankah polemik / kekeliruan yang berlaku ini mengundang mudarat. Mengapa tidak berusaha menolak mudarat itu?

Mana lebih mudarat antara membincangkan perkara ini di Dewan Rakyat dan didengari oleh orang bukan Islam dengan membiarkan orang Islam terus berpolemik / dan keliru mengenai masalah ini?

Saturday, November 20, 2010

DUN Pauh Perlis: Bermimpilah Untuk Menang!

Dalam DUN Pauh, Parlimen Arau Perlis, ada sebuah kampong yang didiami seratus peratus orang Melayu. Daripada berpuluh-puluh buah keluarga di kampong itu, dimaklumkan hanya tiga sahaja keluarga PAS.

Papan tanda cawangan PAS terpampang di hadapan salah sebuah rumah ahli PAS di kampong itu.

“Papan tanda itu diletak untuk bagi Umno terkejut sahaja. Sebenarnya ahli PAS kampong ini tak sampai sepuluh orang pun.” Beritahu tuan rumah yang papan tanda cawangan PAS dipacak di hadapan rumahnya.

Orang PAS di kampong itu khabarnya dipulau oleh orang Umno. Buktinya, hari ini, ketika hadir ke majlis kenduri di rumah salah seorang sahabat di kampong itu, petugas untuk menguruskan kenduri perlu diimpot dari kampong lain.

Orang Umno kampong itu datang makan, kemudian balik.

Mereka bercerita lagi, semasa persiapan kenduri, wanita Umno kampong itu ada juga yang turut membantu tuan rumah menyediakan juadah. Wanita Umno duduk sebelah, muslimat PAS duduk sebelah. Tidak bercakap dan tidak bertegur sapa.

“Satu Malaysia apa macam tu,” rungut salah seorang muslimat sekampong saya yang turut hadir menyumbang tenaga menjayakan kenduri rumah ahli PAS itu.

Berdasarkan angka PRU 12, jumlah pengundi di DUN Pauh ialah 8,107 orang. Daripada jumlah itu, 74 peratus (5,999) adalah pemilih Melayu dan 18 peratus (1,446) adalah pemilih Cina. BN menang dengan majoriti 2,572 undi.

Untuk memenangi DUN tersebut, sekurang-kurangnya 1,286 orang pemilih perlu ‘swing’ kepada PAS. Jika PAS meletakkan harapan kepada pengundi Cina, maka hampir semua pengundi Cina perlu ‘swing’.

Jika separuh pengundi Cina ‘swing’, maka sekurang-kurangnya 500 pengundi Melayu perlu ‘swing’. Tetapi, jika ada kampong yang orang Umno boleh pulau orang PAS, harapan untuk melihat orang Melayu ‘swing’ adalah kelam.

Mustahil juga, semua orang Cina akan ‘swing’ untuk mengundi PAS kerana dalam majlis hari raya puasa anjuran PAS di DUN Pauh, orang Cina yang hadir dalam majlis itu mungkin lebih sedikit daripada 10 orang. Justeru, bolehkah diletakkan harapan kepada mereka?

Kemenangan bukan sesuatu yang mustahil bagi PAS. Namun, bagaimana pula, dalam situasi congak matematik yang tidak menyebelahi PAS, jentera PAS sendiri, khususnya di DUN Pauh masih tenggelam timbul. Nasib baik tidak hanyut dibawa arus banjir baru-baru ini.

Tulisan ini tidak berhasrat untuk melemahkan atau memperlekehkan PAS Perlis, tetapi sekadar untuk menyalurkan pandangan. Hanya inilah saluran yang dimiliki untuk tujuan itu.

Mengharapkan kemenangan tidak salah, tetapi harapan tanpa bersandar kepada undang-undang semula jadi alam, sama seperti persepakatan tikus untuk menggantung loceng di leher kucing.

Harapan itu memang bagus, tetapi mana tikus yang sanggup melakukan tugasan itu?

Atau, seperti lawak seorang rakan, kalau Umno boleh menang, takkan PAS tak boleh menang? Sama seperti Pak Pandir yang melihat ribuan ekor semut meniti sebuah jambatan kayu reput, Pak Pandir berkata, “Kalau beribu ekor semut boleh menyeberang, takkan aku seorang sahaja tak boleh menyeberang?”

--------------------------------------------------------------------
Warga Kampong Kubang Paya - DUN Pauh / Parlimen Arau, Perlis.

Friday, November 19, 2010

Salahuddin, Khir Dan Harus

Bukan tarikh sahaja yang pelik, sambutannya pun pelik. Kerja siapakah ini?

Kita sedang menunggu bagaimana jawapan menteri yang menjaga agama mengenai usul ini jika usul ini diterima untuk dibahas. Menjadi harapan umat Islam Malaysia agar usul ini tidak ditolak.

Menurut ulama, rukyah hilal adalah fardhu kifayah, Justeru, tidakkah kita merasa cukup dengan rukyah yang dilakukan oleh Kerajaan Arab Saudi, khususnya mengenai penetapan awal Zulhijjah supaya tarikh sambutan Idil Adha di negara kita serentak dengan sambutan di Arab Saudi?

Ini sangat penting sebab melibatkan puasa sunat Arafah dan ibadah qurban. Sampai bila kita ingin melihat sebahagian umat Islam yang bertindak sendiri menyambut Idil Adha lebih awal sehari daripada sambutan yang diisytiharkan oleh kerajaan?

Adakah mereka boleh dipersalahkah sedangkan perkara itu sangat mudah untuk dielak. Jika minoriti umat Islam Thailand boleh merayakan Idil Adha serentak dengan Arab Saudi, mengapa tidak kita?

Secara lojiknya, pada zaman dahulu memang setiap tempat perlu melakukan rukyah di tempat masing-masing untuk menentukan awal bulan Islam khususnya Ramadhan sebab kaedah menyampaikan maklumat adalah sukar.

Dengan teknoloji kini, adakah sukar untuk kita mengikut sahaja ketetapan Arab Saudi dalam suasana kaedah penyampaian maklumat adalah sangat pantas?

Nampaknya negara kita memang serba pelik. Bukan sekadar tarikh sambutan Idil Adha sahaja yang pelik, sambutannya pun pelik.

Ini kerja siapa? Menyatukan sambutan Idil Adha dengan Deepavali? Jika ini kerja orang Islam, adakah perkara ini pernah dirujuk kepada Mufti?

Menyamakan Idil Adha dengan Deepavali adalah sesuatu yang sangat menjolok mata. Lebih menjolok mata lagi apabila majlis ini diserikan dengan tarian ala-ala tarian Hindu dan majlis berkenaan dihadiri pula oleh isteri Perdana Menteri.

Kehadirannya pula, 'loncoih' seperti yang dapat dilihat dalam foto di atas. Inilah sudahnya apabila urusan ini diserah kepada mereka yang bukan ahli.

Kita sedang menunggu dengan sabar apa kata Jamil Khir dan Harussani. Adakah amalan ini adalah 'Khir' (baik) dan 'Harus' (boleh)?

-----------------------------
Kampong Kubang Paya - 1:19 am

Tuesday, November 16, 2010

Di Tempat Anda Politik Apa?

Di Kedah, politik banjir.

Di Perak, politik ancak.

Di Kelantan, politik kasyaf.

Di Selangor, politik yayasan.

Di Terengganu, politik Monsun Cup.

Di Melaka, politik Melaka Maju.

Di Pahang, politik felda.

Di Johor, politik lombong pasir.

Di Pulau Pinang, politik rel berkembar.

Di WP, politik Putrajaya.

Di Perlis, politik. . . ?

* * * * * * * * * * * * *

Tahniah buat dua puteriku,

Kerana berjaya lahir sebagai graduan PASTI,

Bila kamu sudah besar,

Dan jika kamu terjun ke medan politik,

KAMU JANGAN JADI AHLI POLITIK SEPERTI MEREKA ITU.

Ingat baik-baik pesan abahmu ini.

Monday, November 15, 2010

Sembelih Hari Sabtu Masih Dikira Korban?

Sudah letih menjawab pertanyaan orang ramai. Soalan mereka:

“Mengapa kita ber-Idil Adha pada hari Rabu, sedangkan Kerajaan Arab Saudi menetapkan wukuf pada hari Isnin? Mengapa kita tidak mengikut mereka ber-Idil Adha pada hari Selasa?”

“Bilakah kami patut berpuasa Arafah, hari Isnin atau Selasa sedangkan wukuf pada hari Isnin dan 9 Zulhijjah di negara kita pada hari Selasa. Nak puasa ikut wukuf atau puasa ikut 9 Zulhijjah?”

“Bolehkah kami berkorban lagi pada hari Sabtu iaitu hari raya kelima jika mengikut Arab Saudi tetapi masih hari raya keempat mengikut negara kita. Mengikut Arab Saudi hari Tasyrik tamat pada hari Jumaat.”

Tanpa mempersoalkan kewibawaan para ulama dan mufti negara kita, kemelut ini wajar diselesaikan. Inilah soalan popular setiap kali menjelang hari raya Idil Adha.

Mengapa kita tidak mengikut Arab Saudi dalam menetapkan tarikh Idil Adha supaya tidak timbul persoalan untuk puasa Arafah dan sembelihan korban?

Ketetapan al-Azhar dalam perkara ini mungkin boleh dijadikan panduan juga pegangan. Berikut adalah ketetapan mereka:

Perbezaan Matla’ Dalam Ru’yah Hilal

(Fatwa al-Azhar –Jamadil Akhir 1386h / Oktober 1979m)

1. Sepakat di kalangan muslimin bahawasanya melihat hilal Ramadhan adalah wajib kifa’ei bukan fardhu ain. Cukuplah ia dilaksanakan oleh sebahagian muslimin kerana beramal dengan hadis yang sahih.

2. Jumhur fuqaha’ berpendapat, perbezaan matla’ tidak diambil kira. Apabila telah pasti kelihatan anak bulan di mana-mana negeri Islam, maka dikira thabit (kelihatan) juga kepada semua orang Islam sekali pun berbeza matla’ apabila (berita mengenainya) sampai kepada mereka secara pasti dengan cara yang sahih.

3. Sebahagian para fuqaha’ pula berpendapat, perbezaan matla’ diambil kira. Maka hendaklah penduduk setiap negeri berpegang dengan matla’nya.

4. Pandangan yang kuat (rajih) yang dijadikan fatwa dan ketetapan yang dibuat oleh Muktamar Ulama’ Islam yang diadakan di Akademi Kajian Islam di Universiti al-Azhar asy-Syarif pada tahun 1386h / 1966m, bahawasanya tidak diambil kira perbezaan matla’ kerana kuatnya dalil (yang berkaitan) selaras dengan tuntutan Allah untuk penyatuan umat Islam.

5. Apabila telah pasti kelihatan anak bulan Ramadhan di salah satu daripada negeri Islam, maka wajib ke atas umat Islam semua sekali, yang negeri mereka bersekali dengan negeri Islam itu pada sebahagian malamnya dalam ru’yah hilal, selagi tidak wujud pertentangan dan keraguan dari segi kesahihannya, (wajib ke atas mereka) berpuasa kerana berpegang dengan arahan al-Quran dan as-sunnah.

6. Apabila tidak kelihatan anak bulan kerana sesuatu sebab atau halangan, mereka hendaklah menyempurnakan bilangan hari dalam bulan Syaaban sebanyak 30 hari apabila diputuskan mereka yang pakar dalam bidang hisab bahawasanya anak bulan Ramadhan muncul dan tenggelam sebelum (seperti di dalam teks - mungkin sebenarnya selepas) terbenam matahari 29 Syaaban.

7. Apabila diputuskan mereka yang pakar dalam bidang hisab bahawasanya anak bulan Ramadhan muncul pada 29 haribulan Syaaban dan berada di atas ufuk selepas terbenam matahari pada hari itu dalam tempoh yang membolehkan ia kelihatan, maka dalam situasi ini, hendaklah dipegang pandangan pakar dalam bidang hisab yang dipercayai. Dengan itu dikira bermulalah Ramadhan berpegang kepada pendapat sebahagian ahli fiqh dan ketetapan yang dibuat oleh Akademi Kajian Islam al-Azhar.