Tuesday, May 17, 2011

Macam Mana Pemimpin PAS Terpilih?

Senarai mereka yang layak bertanding di dalam muktamar PAS yang akan datang telah diumumkan. Cuma menunggu pengesahan daripada mereka yang tercalun sama ada terus bertanding atau menarik diri.

Tentu ramai yang akan menarik diri kerana merasa diri tidak layak, tidak mampu memberi tumpuan kepada tugas, terlalu banyak jawatan yang dipegang di pelbagai peringkat dan macam-macam lagi.

Ramai juga yang bakal mempertahankan jawatan atau mencuba nasib ke jawatan yang lebih tinggi. Tidak kurang yang tidak pernah berjawatan di peringkat pusat dan mencuba-cuba 'pasaran' mudah-mudahan terpilih.

Banyak pencalonan daripada kawasan belum tentu menyumbang kepada banyak undi. Semuanya bergantung kepada hari muktamar. Tidak ada kempen? Salah, kempen tetap ada dan sekarang pun telah ada individu yang berkempen.

Semuanya di tangan perwakilan daripada kawasan-kawasan seluruh negara. Tenggelam atau timbul adalah di tangan perwakilan daripada kawasan. Apa kriteria yang biasanya digunakan oleh perwakilan daripada kawasan (bukan semua kawasan tetapi sesetengah kawasan)?

CALON PANDAI CERAMAH
: Dia suka calon yang pandai berceramah. Dia tidak kisah, calon itu bekerja atau tidak selepas terpilih, asalkan calon itu pandai berceramah dan pandai buat lawak dalam ceramah.

CALON SATU NEGERI: Dia angkat calon dari negerinya sendiri. Ada perwakilan yang mengundi calon dari negerinya kerana katanya, mudah sikit kalau nak ‘sign’ apa-apa dokumen sebab berada dalam satu negeri.

CALON LAMA: Tak payah fikir yang baru, pilih saja yang sudah sedia ada. Orang lama senang berkira, dah lama kenal dan senang untuk diajak datang berceramah ke kawasan.

CALON USTAZ: Kena lantik ustaz untuk pertahankan apa yang diistilahkan sebagai ‘kepimpinan ulama’. Kalau bukan ustaz, ‘kepimpinan ulama’ di dalam PAS terjejas.

CALON BEKAS PEGAWAI TINGGI KERAJAAN: Pegawai tinggi kerajaan ada nama, ada pengaruh dan sedap kalau diperkenalkan di dalam majlis ceramah. Tentu orang ramai akan kagum.

CALON YB: Biasanya YB ada duit. Kalau dia terpilih sebagai pemimpin tentu mudah untuknya menjalankan tugas-tugas parti.

CALON ADA GELARAN: Gelaran Datuk atau apa-apa gelaran yang menyumbang rasa gah ketika disebut. Tentu nama yang ada gelaran sedap ditulis dan sedap disebut dan menimbulkan kebanggaan penulis atau penyebut.

Banyak lagi kriteria yang digunakan oleh perwakilan untuk memilih pemimpin dalam muktamar. Apa pun kriteria yang digunakan, calon itu hendaklah mampu memikul beban membawa PAS ke hadapan, bukan menarik PAS ke belakang.

Pemimpin itu hendaklah mampu memenuhi aspirasi rakyat terbanyak yang mahu melihat PAS mampu menggantikan Umno dalam tempoh terdekat.

Justeru, pemilihan perwakilan untuk memilih pemimpin hendaklah dikenalpasti dengan teliti. Jangan tangkap muat. Perlu ada kriteria perwakilan supaya mereka yang menjadi perwakilan mampu memilih pemimpin yang berwibawa.

Saya ulangi, bukan semua kawasan menggunakan kriteria di atas tetapi suatu masa dahulu, kawasan di negeri saya menggunakan sebahagian keriteria di atas.

Saturday, May 14, 2011

Adakah Pengundi Terkenangkan PAS?

Orang memang bencikan Umno, tetapi mengapa mereka susah untuk mengundi PAS?

Soalan di atas mungkin kurang disenangi oleh sebahagian orang PAS. Tambah-tambah lagi isu-isu semasa menolak Umno ke dinding. Parti itu semakin terdesak dengan beberapa taktik serangan yang kurang menjadi. Umno terdesak dengan isu Kristian dan isu video Datuk T.

Walau pun terdesak begitu, belum tentu orang tidak akan mengundi Umno dalam PRU akan datang. Isu-isu sebelum PRU seperti tenggelam menjelang PRU. Tenggelam dengan sogokan, ugutan, rayuan dan kenangan bersama Umno.

Kenangan? Ya, orang biasanya mengenang Umno yang berjasa kepadanya sepanjang tahun. Soal jasa itu kecil atau besar, berniat politik atau tidak, itu soal lain. Apa yang penting orang mengenang jasa Umno.

Kenangan menghasilkan undi. Membuatkan orang mengenang bukannya mudah. Kalau sumbangan dihulurkan semasa hampir hari mengundi, itu tidak menjadi kenangan tetapi menjadi juihan mulut.

Umno bijak membuatkan orang mengenangnya. Walau orang tahu Umno jahat, tetapi undi tetap diberikan kepada Umno kerana orang mengenang jasanya. Orang terlupa kejahatannya Umno kerana terkenangkan jasanya.

Cuba fikir, mengapa orang terus sanggup mempertahankan Anwar? Salah satunya kerana orang mengenang jasa Anwar semasa dia dalam Umno dulu.

Orang Permatang Pauh mengundi Wan Azizah, bukan kerana susuk dirinya tetapi kerana orang terkenangkan Anwar. Orang di situ terlalu banyak kenangan dengan Anwar sehingga tidak terlupakan.

PAS parti baik, tetapi orang tidak nampak kebaikan PAS. Tidak banyak yang dibuat oleh PAS supaya orang mengenangnya. Bukan PAS tidak punya jasa, tetapi PAS tidak berupaya membuat jasanya itu dikenang sepanjang masa.

Mengapa orang kurang mengenang PAS? Entahlah, mungkin kerana PAS lebih meminta daripada memberi. Meminta tidak salah, tetapi orang lebih mengenang PAS kerana meminta bukan mengenang PAS kerana memberi.

Bagi saya, selama mana orang tidak mempunyai kenangan dengan PAS, mereka sukar untuk mengundi PAS walau pun mereka membenci Umno. Parti itu jahat, tetapi orang ada kenangan manis dengan parti itu.

Mengapa orang masih sukakan Shahidan Kassim walau pun dia bukan lagi MB? Sudah tentu kerana orang ada kenangan dengannya. Begitu juga, ada orang PAS Perlis yang boleh panggil Bang Cha saja dengan MB Mat Isa Sabu. Kenapa? Kerana orang itu ada kenangan dengan Mat Isa Sabu.

Mungkin orang itu tidak mengundi Mat Isa dalam pilihanraya tetapi dia tentu tidak sanggup bercakap perkara yang kurang sedap mengenai Mat Isa dalam ceramah kerana dia punya kenangan dengan Mat Isa.

Orang tidak sanggup melukakan hati Tok Guru Nik Aziz kerana orang mengenangkan jasanya dan kezuhudannya. Orang tidak sanggup bercakap perkara tidak baik mengenai Ust Fadhil Noor kerana orang mengenangkan sikap humble dan rendah dirinya.

Simpulnya begini, PAS perlu buat sesuatu supaya orang boleh mengenang PAS. Kenangan menghasilkan undi.

* Gambar di atas sekadar hiasan sahaja.

Wednesday, May 11, 2011

Belum Pandai Buka Inbox SMS?

Dikatakan, TG Hj Hadi mula belajar IT semenjak tahun 1984. Komputer pertama beliau ialah IBM. Selepas itu rakan-rakan beliau menghadiahkannya Macintosh versi Arab. Laptop pertama yang digunakan ialah pada tahun 1986.

Khabarnya TG juga jarang lekang dengan komputer. Beliau juga pengguna Maktabah Syamilah, sebuah perisian yang menyediakan ribuan kitab untuk rujukan melalui komputer. Program ini boleh diinstall terus ke dalam laptop, boleh dirujuk pada bila-bila masa dan dimana-mana sahaja.

Beliau turut menasihatkan ahli PAS supaya membudayakan ICT khususnya para ulama dan pemimpin PAS. Jika mereka lambat, tentu akan ketinggalan.

TG Hj Hadi adalah orang PAS paling sibuk, tetapi beliau punya masa untuk menulis dan membaca termasuk membuka beberapa laman web kesukaannya seperti al-Jazeerah dan sebagainya.

Mengapa saya timbulkan perkara ini?

Peperangan zaman dahulu menggunakan kuda dan panah. Seseorang takkan terpilih sebagai tentera sehingga dia pandai menunggang kuda dan memanah. Jika dia tidak pandai dia perlu berlatih sehingga pandai.

Peperangan zaman ini adalah peperangan maklumat. Semua itu berada di layar komputer. Jika seseorang itu tidak pandai komputer, bagaimana dia ingin menyertai peperangan zaman ini. Sekarang, orang meletupkan bom pun menggunakan komputer.

Belajar komputer bukan sukar, anak-anak Pasti pun sudah boleh menguasainya. Jika Najib ada laman facebook, twitter dan blog, bolehkah pemimpin PAS, termasuk pemimpin kanan, ada yang masih ‘belum’ tahu untuk membuka kotak SMS?

Ada pemimpin yang beralasan begini, “Ini bukan dunia saya! Cukuplah orang-orang muda yang menguasainya, saya sudah tua!” Atau ada pula yang berkata, “Tak sempatlah nak belajar…!”

Kepada pemimpin yang beralasan begitu, kita tanyakan soalan ini, “Adakah TG Hj Hadi masih muda? Mengapa TG Hj Hadi masih sempat belajar?”

Tidak perlu semua pemimpin PAS menjadi seperti Ust Abdul Ghani Shamsuddin, tetapi memadailah dengan ada email dan tahu membuka laman-laman web utama untuk mendapat maklumat segera. Kalau ada FB, twit dan blog, tentu itu lebih bagus.

Pemimpin PAS memang pandai berceramah dan berkuliah. Cuma, pendengar ceramah dan kuliah adalah orang yang sama dan kuat PAS pula. Bahkan, semenjak akhir-akhir ini, ceramah PAS semakin kurang, kalau ada ceramah pun pendengarnya tidak seramai dahulu.

Mengapa? Tentu kerana maklumat di layar komputer lebih pantas daripada maklumat penceramah. Kadang-kadang analisis sesuatu isu di laman sesawang lebih menarik, pedas dan terkini daripada analisis yang dibuat oleh penceramah.

Justeru, apa perlunya dengar ceramah.

Situasi sebegitu menjadi hujah kuat supaya pemimpin PAS menguasai ICT. Bukan bermakna kalau pemimpin PAS tidak tahu ICT tidak boleh menjadi pemimpin. Boleh, tiada masalah.

Cuma, dia tidak boleh memimpin PAS pada zaman ini. Dia boleh menjadi pemimpin PAS tahun 70 an. Kalau dia mahu menjadi pemimpin zaman ini, dia wajib menguasai ilmu ICT.

Ini adalah ‘Wajibul Waqti’ – kewajipan semasa.

Tuesday, May 10, 2011

Catatan Terlepas Keretapi...

SATU - Kesempatan untuk mengemaskini blog ini agak terhad semenjak kebelangan ini.Tuntutan kerja membuatkan banyak perkara terbantut termasuk kesempatan untuk bersama keluarga. Apa pun, bersyukur kepada-Nya yang telah mentakdirkan semua ini. Benarlah kata orang, ubat biasanya pahit.

Berkelana hampir ke seluruh negara saban minggu, mengajak masyarakat bersama perjuangan memartabatkan produk halal keluaran syarikat Muslim, membuatkan dunia pergaulan dan persahabatan semakin melebar.

Rupa-rupanya, di luar dunia politik ada lagi dunia lain yang sangat mencabar. Dunia yang tidak berpaut kepada simpati, bukan dunia merayu tetapi dunia persaingan yang natijahnya, mesti menang. Kalau gagal, akibatnya ialah ‘miss syoru’.

DUA - Sekumpulan tiga anak muda mengunjungi saya di pejabat. Mereka mengaku sebagai pelajar sebuah pusat pengajian tinggi. Mereka menemui saya atas kapasiti sebagai bekas pemimpin PAS untuk menguji pendirian saya terhadap PAS Perlis.

Saya katakan kepada mereka, PAS Perlis perlu membuka kepada peluang kepada golongan akademik untuk turut menyumbang idea dan pengalaman. Apa yang berlaku kini ialah, golongan ini berpendapat mereka tidak diberi peluang menyumbang kepada PAS Perlis. Sama ada dakwaan itu benar atau tidak, terpulang kepada persepsi masing-masing.

Ada satu soalan cepu emas yang ditanya kepada saya. Saya tidak boleh menyatakan soalan itu, cuma jawapan saya kepada soalan itu ialah, “Saya tak mahu lagi …”

TIGA – Dewan ulama dan pemuda PAS Perlis mendapat ketua baru. Cuma ada orang bergurau, bila PAS Perlis akan mendapat lebih ramai pemimpin baru di peringkat perhubungan negeri. Lama bukan bermakna tidak berguna. Cuma, kadang-kadang orang memerlukan idea, pendekatan dan strategi baru.

Orang mahukan pemimpin yang lebih karismatik dan demokratik. Pemimpin tidak boleh berbangga dengan pandangan sendiri sahaja, juga tidak boleh taasub dengan orang tertentu sahaja. Layanan pemimpin kepada pengikut hendaklah saksama.

EMPAT – Banyak kawasan mengusulkan supaya hak memilih pesuruhjaya negeri diserahkan kepada negeri seperti pemilihan ketua-ketua dewan di peringkat negeri. Atau, ada yang mencadangkan sekurang-kurangnya presiden meminta pandanan daripada kawasan-kawasan dalam negeri berkenaan sebelum melantik pesuruhjaya.

Cadangan ini memang ada pro kontra, namun ketika dunia bersipongang dengan laungan demokratik, rasanya usul berkenaan adalah benar.

Bukan menafikan keupayaan presiden untuk melantik pesuruhjaya yang baik dan berwibawa, namun seperti kata orang Arab, “Penduduk Mekah lebih tahu mengenai lorong-lorong di sana.” Maksudnya, orang Selangor lebih tahu mengenai siapa yang lebih layak menjadi pesuruhjaya negeri mereka. Demikian juga dengan negeri-negeri yang lain.

LIMA – Ketika memandu ke pantai timur, sebuah stesen radio bukan RTM menjemput PM sebagai tetamunya. Stesen radio ini memang popular, cuma kurang ingat namanya. PM berkata, dia sangat gembira kerana dapat berkomunikasi dengan orang ramai melalui new media, media yang berpengaruh termasuk media atas talian.

PM ada laman laman facebook, twitter dan blog. Dia menjawab perkara yang dibangkitkan orang melalui facebook. Respon segera itu membuatkan orang ramai suka kepadanya. Mungkin ada orang cuba menafikan keberkesanan cara PM ini, namun percayalah jika dia tidak mampu menarik sepuluh orang, cukuplah jika dia berjaya menarik tiga daripada mereka.

Cuma, pemimpin PAS memang sehingga kini sangat ketinggalan dalam perkara ini. Paling mengejutkan, ada pemimpin PAS yang tidak tahu membuka ‘inbox’ SMS. Pemimpin biasa ke? Tidak, pemimpin kanan juga.

Wednesday, May 4, 2011

Baru Tahu Sebabnya...

Orang bela hantu raya tidak dirasuk oleh hantu raya
Orang gila tidak mengaku dia gila

Malaysia tidak perlu menjadi sasaran pengganas
Mengapa?

Kerana pengganas tahu
Malaysia sudah cukup dengan pengganas yang ada

Siapa pengganas itu?
Selidiki kes tuduhan liwat...
Kes video Trio Datuk T...
Altantuya...
Jual enjin helikopter...
Teoh Beng Hock...
dan banyak lagi...

Ketua pengganas berkata...
Buat apa kita mengganas...
Di negara itu...

Macam hantu raya kata...
Buat apa aku nak rasuk ...
Orang yang memang berkawan dengan aku.