Asnaf zakat tidak pernah berkurang. Walau pun kini sudah tidak wujud lagi hamba, ada ulamak berpendapat bahagian asnaf hamba boleh disalurkan kepada pelajar untuk melepaskan mereka daripada kejahilan kerana kejahilan menatijahkan perhambaan.
Demikian juga dengan asnaf ‘al muallafatu qulubuhum – mereka yang dijinakkan hatinya. Semenjak sekian lama, penerima untuk asnaf ini adalah mereka yang baru memeluk Islam. Namun kini, setelah semakan dibuat, mereka yang belum memeluk Islam tetapi berpotensi untuk memeluk Islam juga boleh diberikan melalui peruntukan asnaf itu.
Namun begitu seperti kehairanan yang dilahirkan oleh ramai orang, kemana perginya wang zakat kita? Adakah jumlahnya kecil? Adakah tidak mencukupi? Adakah wang zakat kita diuruskan dengan betul?
Pernah berlaku suatu masa dulu seorang hamba Allah dihadapkan ke mahkamah kerana tidak memberi zakat kepada pihak berkuasa negeri. Orang itu melakukan begitu kerana alasan tersendiri iaitu tidak meyakini institusi zakat.
Cakap-cakap banyak pihak menyebutkan bahawa memang wujud penyelewengan wang zakat. Wang itu tidak disalurkan kepada yang berhak tetapi digunakan oleh mereka yang berkuasa untuk tujuan-tujuan kepentingan politik. Paling tidak sedap, wang itu ada yang dibelanjakan untuk makan angin orang-orang besar atau orang-orang berkedudukan dalam institusi zakat.
Memohon wang zakat bukan mudah. Saya sendiri berpengalaman apabila memohon untuk sebuah institusi agama. Macam-macam alasan diberikan seperti tidak cukup syarat, tidak memebuhi peraturan dan entah apa-apa lagi. Pendek kata ada sahaja alasan untuk wang zakat tidak disalurkan kepada yang berhak.
Asnaf fi sabilillah turut diperuntukan kepada pelajar dalam pelbagai bidang pengajian. Namun begitu, memohon bantuan untuk asnaf ini bukan main sukar. Perlu tandangan orang itu, orang ini, perlu itu dan ini dan semua peraturan itu dibuat untuk memberi kuasa kepada orang politik menolak dan mengenepikan permohonan wang zakat.
JKKK sangat berkuasa. Jika borang permohonan ditandatangani oleh JKKK dengan dakwat hijau alamatnya permohonan itu akan tertolak kerana warna itu mewakili kelompok parti politik tertentu. Jika permohonan itu disokong oleh JKKK, tandatangan dan kenyataan sokongannya ditulis dengan warna biru.
Inilah sebahagian kecil birokrasi zakat. Banyak benar sekatannya. Apa yang jelas birokrasi itu diwujudkan untuk menekan kumpulan tertentu dan memberi kuasa kepada golongan tertentu untuk monopoli harta yang sepatutnya disalurkan tanpa mengira kelompok itu.
Zakat tidak dijadikan landasan untuk dakwah. Zakat tidak menjadi rahmat dan bukti belas kasihan sesama insan tetapi menjadi senjata orang berkuasa untuk mengekalkan kuasanya.
Itu belum dikira lagi penggunaan wang zakat untuk tujuan-tujuan komersial yang lain yang tidak memberi pulangan secara langsung atau tidak langsung kepada asnaf.
Bangunan menguruskan harta zakat hebat-hebat, pegawainya bergaji besar, pejabatnya berkemudahan canggih namun sayang pengurusan dan pengagihan wang zakat masih corot.
Justeru, siapakah patut dipersalahkan jika gereja mengambil kesempatan di atas kebobrokan mereka yang berkuasa untuk menyebarkan agama mereka?
1 comment:
Salam ustaz. teruskan terjahan minda dlm blog ini.
Post a Comment