SATU
“Kita nak sambut raya
pulakah ummi…?”
Suara anak kecil itu
meminta kepastian daripada ibunya mengenai kedatangan Aidilfitri. Senyuman si
ibu sambil membelek-belek kain-kain yang bakal dijadikan baju raya untuk
anak-anak sudah menjadi jawapan.
“Tapi…, sebelum raya
kena puasa dulukan? Tak bestlah ummi..!”
Begitulah anak kecil. Kalau
boleh biarlah Ramadhan tidak muncul dan yang muncul hanyalah Syawal. Hari raya
adalah segala-galanya bagi mereka, baju baru, duit raya, kueh raya, balik rumah
opah dan banyak lagi.
Adakah kita yang sudah
bukan anak kecil ini begitu juga?
Dilaporkan bahawa Umar
bin al-Khattab berkata pada penghujung Syaaban, “Selamat datang wahai pembersih
diri kami daripada dosa…”
*
* * * *
DUA
Menjelang petang,
tumpuan orang ramai adalah pasar Ramadhan. Semua jari tangan tergantung
karung-karung berisi makanan dan minuman. Pada pandangan mata, semuanya sedap
dan terasa tidak mencukupi.
“Besok kita nak berbuka
dengan apa pula ya…?”
Tanya isteri ketika
waktu Maghrib sudah semakin masak.
“Ha, kalau ada…. tentu
sedap”.
Suami pula seperti
belum mahu berganjak dari meja makan.
Patutkah sikap begini
diteruskan?
Diriwayatkan bahawa, Abdullah
bin Umar tidak pernah berbuka puasa kecuali bersama fakir miskin. Apabila ada
orang yang meminta makanan daripadanya, beliau memberikannya. Beliau makan apa
sahaja yang ada sehingga ada ketikanya beliau berpuasa dalam keadaan tidak
makan apa-apa pada malamnya.
*
* * * *
TIGA
“Masjid kampong kita
imam baca panjang atau pendek…?”
Sambil menyelak helaian
akhbar harian, dia bertanya rakannya.
“Entah, aku sembahyang
di masjid hujung sana. Setengah jam siap semua. Nak ikut… boleh!”
Ada orang menghabiskan
malam-malam Ramadhan dengan bersembang kosong bersama rakan-rakan di
‘port-port’ yang terpilih. Siangnya pula, dihabiskan dengan tidur. Malam
sembang, siang tidur.
Bagi yang bekerja,
waktu-waktu senggang dihabiskan dengan berbual kosong. Lebih teruk lagi kalau
‘makan daging saudara sendiri yang telah mati’.
Adakah itu sudah
menjadi tradisi?
Dilaporkan, apabila
menjelang Ramadhan, Imam Malik menutup kitab-kitabnya dan tidak lagi berfatwa.
Beliau memberikan sepenuh tumpuan kepada al-Quran. Ibnu Hajar menceritakan,
Imam Syafie menghatamkan al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak enam puluh kali.
Begitu juga dilaporkan bahawa, al-Bukhari mengkhatamkan al-Quran sebanyak tiga
puluh kali. Pada bulan biasa, Imam Ahmad mengkhatamkan al-Quran sekali
seminggu. Menjelang Ramadhan, beliau mengkhatamkan al-Quran dua kali seminggu.
*
* * * *
EMPAT
“Akulah tuhan kamu yang
maha tinggi…”
Bentak Firaun kepada
para pengikutnya. Mereka dipaksa menyembahnya. Orang yang melawan akan dihukum
bunuh.
Perasaan rendah diri
terhasil dengan kelaparan. Orang yang tidak pernah lapar, sukar merendah diri.
Orang yang sentiasa kenyang sukar memahami makna kesusahan.
Setahun sekali, kita
memasuki sekolah latihan merendah diri, sekolah Ramadhan. Inilah sekolah yang
diasaskan oleh Islam yang telah melahirkan mereka yang menguasai dunia dengan
kekuatan sifat rendah diri, bukan dengan kekuatan kesombongan.
Bukankah Firaun
dimusnahkan selepas dia mempromosikan kesombongannya di hadapan nabi Musa?
Dilaporkan, Umar bin
Abdul Aziz mendapat berita bahawa anaknya telah membeli sebentuk cincin
berharga seribu dirham. Beliau menulis sepucuk surat kepada anaknya, “Aku
mendapat berita bahawa kamu membeli sebentuk cincin berharga seribu dirham.
Apabila sampai kepadamu suratku ini, kamu hendaklah menjual cincin itu.
Belanjakan wang itu untuk membeli makanan kepada seribu orang yang kelaparan.
Belilah cincin besi yang berharga dua dirham sahaja dan ukir di atasnya
ungkapan ini, Allah merahmati seseorang yang mengetahui kedudukan dirinya.”
*
* * * *
LIMA
“Banyak borong…!”
Sapa seorang wanita
kepada temannya.
“Oh…, semua ni bahan
untuk buat kueh raya. Raya dah dekat, entah sempat entah tidak…”.
Semakin dekat dengan
hari raya, malam-malam Ramadahan juga semakin meriah. Sebahagian orang
memeriahkannya dengan acara menyediakan kueh raya. Tidak kurang juga yang
memeriahkannya dengan peningkatan ibadah kepada Yang Maha Berkuasa.
Dengan apakah
sepatutnya malam-malam terakhir Ramadhan diisi?
As-Sa’ib Ibnu Yazid
melaporkan, Umar bin al-Khattab mengarahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim ad-Dariy
supaya mengimamkan orang ramai dalam solat pada bulan Ramadhan. Mereka membaca
surah-surah yang panjang sehingga kami perlu bertopangkan tongkat untuk berdiri
kerana terlalu panjang. Kami tidak berhenti bersolat sehingga hampir-hampir
fajar.”
Abdullah bin Abu Bakar
as-Siddiq meriwayatkan, bapaku berkata, “Kami hanya berhenti beribadat pada
bulan Ramadhan ketika para khadam terpaksa bergegas-gegas menyediakan makanan
untuk bersahur kerana bimbangkan kemunculan fajar.”
*
* * * *
ENAM
“Tak laratlah nak
berdiri lama-lama…! Buat pendek-pendek sudahlah”.
Getus seorang lelaki
separuh umur sambil menyarung selipar.
“Kita dah tua, mana
larat nak buat panjang-panjang…!”
Besoknya, dia menyambung
cerita bila ditanya sebab dia terlalu awal meninggalkan solat terawikh di
surau.
Bolehkah faktor usia
dijadikan alasan untuk mengurangkan ibadah?
Dilaporkan oleh Asma’
bin Ubaid, beliau bersama Said bin Amir masuk menemui Abi Raja’ al-A’taridiy
yang berusia 130 tahun. Beliau berkata, “Mereka menemuiku, mengangkatku kerana
badanku yang kurus dan meletakkanku di tempat imam. Aku bacakan di dalam solatku
bersama mereka pada bulan Ramadhan, setiap rakaat tiga puluh atau empat puluh
ayat.
Bahkan diceritakan, Abu
Raja’ mengkhatamkan al-Quran di dalam solat pada bulan Ramadhan setiap sepuluh
malam.
*
* * * *
TUJUH
Tidur pada siang hari
pada bulan Ramadhan dikira ibadat khususnya kepada mereka yang puasanya
terdedah kepada kerosakan jika dia berjaga.
Tapi ada juga orang
yang menghabiskan siang dengan tidur dengan alasan letih berpuasa. Justeru, dia
akan terlepas peluang untuk meningkatkan ibadah khusus kerana ‘ibadah’ tidur.
“Huh… panas betullah
hari ini. Nak minum pun tak boleh…”
Ada orang merungut
begitu.
Betulkah puasa
menghalang tugas?
Peperangan Mu’tah
berlaku pada bulan Jamadil Awal. Ibnu Kathir melaporkan, Abdullah bin Rawahah
mengetuai peperangan Mu’tah dalam keadaan berpuasa.
Abdullah bin Rawahah
berkata, “Bawakan kepadaku seketul tulang. Aku ingin ikatkan diperutku untuk
menahan lapar”.
Selepas itu, beliau
diberikan sepotong daging. Sambil memandang matahari, beliau bertanya, “Adakah
matahari sudah terbenam?”
Beliau berbuka puasa di
atas belakang kuda, mengetuai peperangan besar dalam keadaan nyawa berada di
hujung pedang.
Beliau adalah pemimpin
ketiga yang syahid dalam medan peperangan itu selepas Zaid bin Harithah dan
Jaafar bin Abi Talib.
*
* * * *
LAPAN
Gastrik, penyakit yang
menjadi alasan sebahagian orang untuk meninggalkan puasa Ramadhan.
“Aku bukan tak nak
puasa, tapi aku tak boleh lapar. Aku ada penyakit…!”
Kalau betul, orang itu
tetap terikat dengan hukum meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan kerana sakit.
Kalau dia berbohong, dia berdosa kerana berbohong dan berdosa kerana
meninggalkan perkara fardu.
Sanggupkah kita
mensia-siakan anugerah Ramadhan yang sangat berharga itu?
Dilaporkan, seorang
pemimpin dalam kerajaan Umawi bernama Rauh bin Zanba’ dalam perjalanan melalui
padang pasir untuk menunaikan umrah. Ditengah-tengah perjalanan, beliau bertemu
seorang arab badwi yang sedang mengembala kambing.
“Wahai A’raby, mari ke
sini makan bersamaku”, pelawa Rauh bin Zanba’.
“Ada orang lain yang lebih
mulia daripada kamu mempelawaku”, jawab arab badwi itu.
“Siapa?” Rauh
memohon kepastian.
“Allah, Tuhan semesta
alam”, tegas arab badwi itu.
“Macam mana?” Rauh
kehairanan.
“Aku sedang berpuasa
dan aku hanya berbuka untuk-Nya sahaja”, jawab arab badwi
itu.
“Tidak mengapa. Kamu
berbuka sekarang, besok kamu berpuasalah lagi”, desak
Rauh.
“Adakah kamu boleh
menjamin bahawa besok aku akan hidup lagi?” soal arab badwi
itu.
“Kamu mengambil berat
terhadap hari-hari kamu, sedangkan kami pula mensia-siakannya”, jawab
Rauh dengan tersedu-sedan.
*
* * * *
SEMBILAN
“Ya Rasulallah, pakaian
ini hamba jahitkan khusus untuk tuan. Terimalah…”.
Wanita ini begitu
teruja menghadiahkan sehelai pakaian jahitan tangannya sendiri untuk insan yang
paling disayanginya. Dirinya seakan-akan melayang ke langit apabila pakaian itu
diterima dan dipakai oleh baginda, makhluk paling agung di dunia dan di
akhirat.
“Ya Rasulallah, berikan
pakaian itu kepadaku…”
Rasulullah saw memasuki
rumah baginda, menanggalkan pakaian yang dihadiahkan oleh wanita tadi dan
memberinya kepada lelaki yang meminta itu.
“Apa yang kamu buat ni…?
Rasulullah telah memakai pakaian itu, baginda memerlukannya. Mentang-mentanglah
kamu tahu baginda tidak pernah mengecewakan orang yang meminta, kamu memintanya
daripada baginda?”
Para sahabat melahirkan
rasa tidak puas hati mereka terhadap lelaki itu. Mereka tahu, mintalah apa
sahaja daripada nabi, baginda akan memberinya. Baginda sangat pemurah melebihi
angin yang berhembus.
“Demi Allah, aku tidak
memintanya daripada baginda kecuali pakaian ini akan aku jadikan kafanku”.
Benar, pada hari
kematiannya, lelaki itu dikafankan dengan kain yang pernah menyentuh tubuh
baginda yang mulia. Alangkah beruntungnya lelaki itu.
*
* * * *
SEPULUH
Ingin sekali perkara
itu ditanyakan kepada bondanya, namun dibimbangi bondanya berkecil hati. Beliau
faham, bagi bonda, walau pun seperit mana kehidupan yang ditempuh bersama buya,
bonda sangat berbangga kerana buya hidup sebagai pejuang.
Tiada sesaat pun hidup
buya, tiada sekalimat yang terpancar dari mulut buya, tiada selangkah buya
bergerak kecuali semuanya demi perjuangan untuk meninggikan kalimah Allah.
“Bonda, mengapa jari
telunjuk buya bergerak-gerak sepanjang masa? Buya seperti menulis sesuatu.
Apakah masalah buya?”
Akhirnya, setelah kewafatan
Buya Hamka, si anak tidak dapat menahan lagi gejolak jiwanya. Akhirnya soalan
itu terpacul jua dari bibirnya.
“Anakku, buyamu menulis
kalimah Allah dengan jarinya. Itulah zikirnya sepanjang hayatnya”.
*
* * * *
1 comment:
mengalir air mata baca entry ni
Post a Comment