‘Ayak teh… ayak teh …’, ‘cucok… cucok…’ Kelihatan beberapa remaja menjunjung talam dan dan menjinjing cerek besar keliling pondok.
Mereka mengatur pondok, dari satu pondok ke satu pondok memungut sumbangan air teh atau kopi atau cucur (kuih).
Inilah kenangan 30 tahun lalu ketika menetap di Pondok Pak Man Bukit Besar (al-Marhum Tuan Guru Hj Othman al-Yunusi, Bukit Besar, Kedah. Sekarang dikenali dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nahdzah).
Pada masa itu, pelajar yang belajar di Pondok Pak Man, di samping anak-anak orang tempatan, ramai yang datang daripada luar sehingga ke Perak, Selangor termasuk Thailand.
Pada bulan Ramadhan pengajian berjalan seperti biasa. Pada bulan-bulan biasa, para pelajar yang tinggal di pondok memasak sendiri. Apabila tiba bulan Ramadhan mereka tidak lagi memasak.
Mereka berbuka di menaksah (madrasah) dan bersahur di rumah-rumah penduduk tempatan. Selepas tarawikh pula berkerumun di masjid untuk makan moreh.
Selepas Asar, bermulalah operasi memungut cucur, air teh dan air kopi daripada penduduk Pondok Pak Man. Satu kumpulan biasanya ada tiga orang. Seorang menjunjung talam cucur, seorang menjinjing cerek air teh dan seorang lagi cerek air kopi.
Penduduk pondok memang pemurah. Masing-masing akan menyumbang cucur, air teh atau air kopi. Setelah semua bekas tadi penuh, hasil kutipan dikumpulkan di menaksah.
Setelah lampu gasolin dipasang, ada kumpulan lain pula yang menunggu untuk menghidang. Ketika ini berlakulah adegan yang kurang seronok. Apa dia?
Ya, menyorok (menyembunyikan) cucur yang sedap-sedap. Cucur seperti cucur cempedak, cucur badak, karipap, cucur udang akan dimasukkan ke dalam pinggan dan disembunyikan. Kadang-kadang di atas alang menaksah oleh kumpulan penghidang tadi.
Cucur sedap ini hanya akan dikeluarkan selepas solat Maghrib ketika semua orang turun dari menaksah dan balik ke pondok masing-masing.
Cucur yang dihidangkan untuk berbuka biasanya cucur kodok pisang, peknga, cucur kodok atau jenis cucur yang ‘familiar’ di kalangan orang-orang tua.
Apa lagi, berpestalah kumpulan penghidang ini makan cucur sedap. Tapi ada juga berlaku, cucur sedap itu dicuri. Tak kisahlah, kerana itu semua sebahagian ragam pelajar pondok.
Kini, semua itu tidak berulang lagi. Pelajar sekarang tinggal di asrama cantik. Makan mereka terurus dan terjaga. Tak perlu sorok-sorok cucur sedap kerana semua kuih yang dihidangkan adalah sedap-sedap belaka.
---------------------------------------------
Kampong Kubang Paya, Arau, Perlis
6.35 pm
No comments:
Post a Comment