Berbelas tahun saya hidup dalam suasana ‘pondok’ walau pun tidak sempat untuk memondok daripada tok guru pondok kerana faktor usia. Tok-tok guru pondok hanya berkain pelikat, berbaju melayu dan berketayap putih atau berserban. Sesuatu yang dilihat jarang lekang daripada mulut mereka juga adalah rokok daun.
Suatu kelebihan tok-tok guru pondok ialah hubungan dengan pelajarnya. Bagi mereka pelajar mereka adalah anak-anak mereka. Mereka boleh makan bersama pelajar, bersembang bahkan bermain bersama.
Dan, paling istimewa, semua itu tidak menjatuhkan wibawa mereka sebagai guru dan tidak pula mengurangkan penghormatan pelajar kepada mereka. Dimana-mana mereka dihormati bahkan mereka turut digeruni.
Ketika di dalam kelas, mereka memanggil pelajar dengan panggilan ‘anak-anak’. Pada hal ada pelajar yang berusia puluhan tahun kerana sistem pengajian pondok tidak mementingkan usia.
Tok-tok guru ini pula membahasakan diri mereka dengan ‘Pak’ seperti Pak Man (Tuan Guru Hj Othman al-Yunusi), Pak Mid (Ustaz Abdul Hamid Ibrahim), Pak Mat (Ustaz Ahmad Yusuf Pulau Pisang), Pak Ya (Tuan Guru Hj Yahya Junaid). Dan ada pula yang hanya dikenali dengan Pak Su, Pak Teh, Pak Tam, Pak Ngah oleh para pelajar masing-masing.
Mereka bercakap di dalam kelas seperti seorang bapa bercakap dengan anak. Jarang benar mereka menengking pelajar apatah membelasahnya. Bagi mereka, pelajar mereka adalah anak-anak mereka.
Mereka tidak pernah mendapat latihan perguruan daripada mana-mana maktab perguruan, tidak kenal pedagogi. Mereka mungkin mengetahui mengetahui psikologi pendidikan daripada buku-buku berkaitan tarbiah atau kejiwaan daripada kitab-kitab yang pernah mereka baca.
Apa yang pasti, apa yang mereka ajar melekat di kepala, cara hidup mereka diikuti, gaya mereka ditiru bahkan mereka menjadi idola. Buktinya, pemergian mereka ditangisi dan mereka terus hidup di bibir orang-orang yang pernah meneguk daripada cangkir ilmu mereka.
Saya pernah belajar Ilmu Faraidh daripada seorang guru pondok, kitab al-Waraqaat. Beliau masuk kelas, terus duduk, buka kitab, baca dan hurai satu persatu. Beliau tidak kisah sangat samada pelajar nak dengar, nak lena atau nak belajar. Cuma pantangnya ialah pelajar bersembang, dia akan halau keluar kelas.
Beliau tidak pernah memegang kapur walau sekali pun. Semua masalah Ilmu Faraidh diselesaikan dengan mulut sahaja. Peliknya, kami yang belajar dengannya dapat faham ilmu itu dan dapat jawab soalan peperiksaan dengan baik. Ilmu yang diajarnya melekat di kepala hingga sekarang.
Saya juga pernah mengajar Faraidh di sekolah selama dua tahun (sebelum meninggalkan profesion perguruan). Pelajar diberi nota, dibuat rajah di papan putih, dijelaskan berulang-ulang kali, itu pun ada yang masih terkebil-kebil, tak faham.
Entahlah, tapi yang jelas, pendidikan bukan sekadar sistem, teknik, olahan, kaedah tetapi lebih kepada hubungan kejiwaan. Apa yang saya belajar di SAR puluhan tahun dahulu, sebahagian besarnya masih kekal segar dalam kepala, bahkan ada syair-syair Arab yang dihafal waktu itu masih diingat.
Berbeza dengan apa yang dipelajari di pusat pengajian rasmi selepas itu, tidak melekat di kepala.
Benar, banyak faktor yang mempengaruhi ingatan kepada ilmu. Namun satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah, hubungan kejiwaan pelajar – guru sangat berperanan.
Guru-guru pondok dahulu bukan sekadar dipanggil ‘Pak’ tetapi mereka benar-benar menjadi bapa. Bapa kepada anak-anak yang mereka asuh dan didik untuk mewarisi mereka sebagai bapa juga kepada masyarakat.
3 comments:
salam ziarah, takziah kepada anak pelajar al-furqan yang kembali ke rahmatullah
salam
benar kata ustaz
dan amat berbeza di antara mendidik, mengherdik serta membunuh/mendera pelajar.
takziah kepada allahyarham saiful. semoga dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin.
juga, semoga pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penjenayah tersebut serta punca-punca yang menjadi penyebab kepada insiden yang menyedihkan tersebut.
amin.
Pemuda Ansoorus Sunnah
assakamualaikum ustaz!
1)selamat pulang ke tanahair,smg beroleh ganjaran yg banyak.
2)Tertarik dgn artikel ni,ana nak masukkan artikel ni ke blog sekolah ana www.jqaf-santan.blogspot.com insyaallah ana link kan catatan ni ke blog ustaz utk kredit.
3)Selamat kembali berkarya.
Akhukum fillah,
Abul Faruq www.senyumpadaalam.blogspot.com
Post a Comment