Berkelana hampir ke seluruh negara saban minggu, mengajak masyarakat bersama perjuangan memartabatkan produk halal keluaran syarikat Muslim, membuatkan dunia pergaulan dan persahabatan semakin melebar.
Rupa-rupanya, di luar dunia politik ada lagi dunia lain yang sangat mencabar. Dunia yang tidak berpaut kepada simpati, bukan dunia merayu tetapi dunia persaingan yang natijahnya, mesti menang. Kalau gagal, akibatnya ialah ‘miss syoru’.
DUA - Sekumpulan tiga anak muda mengunjungi saya di pejabat. Mereka mengaku sebagai pelajar sebuah pusat pengajian tinggi. Mereka menemui saya atas kapasiti sebagai bekas pemimpin PAS untuk menguji pendirian saya terhadap PAS Perlis.
Saya katakan kepada mereka, PAS Perlis perlu membuka kepada peluang kepada golongan akademik untuk turut menyumbang idea dan pengalaman. Apa yang berlaku kini ialah, golongan ini berpendapat mereka tidak diberi peluang menyumbang kepada PAS Perlis. Sama ada dakwaan itu benar atau tidak, terpulang kepada persepsi masing-masing.
Ada satu soalan cepu emas yang ditanya kepada saya. Saya tidak boleh menyatakan soalan itu, cuma jawapan saya kepada soalan itu ialah, “Saya tak mahu lagi …”
TIGA – Dewan ulama dan pemuda PAS Perlis mendapat ketua baru. Cuma ada orang bergurau, bila PAS Perlis akan mendapat lebih ramai pemimpin baru di peringkat perhubungan negeri. Lama bukan bermakna tidak berguna. Cuma, kadang-kadang orang memerlukan idea, pendekatan dan strategi baru.
Orang mahukan pemimpin yang lebih karismatik dan demokratik. Pemimpin tidak boleh berbangga dengan pandangan sendiri sahaja, juga tidak boleh taasub dengan orang tertentu sahaja. Layanan pemimpin kepada pengikut hendaklah saksama.
EMPAT – Banyak kawasan mengusulkan supaya hak memilih pesuruhjaya negeri diserahkan kepada negeri seperti pemilihan ketua-ketua dewan di peringkat negeri. Atau, ada yang mencadangkan sekurang-kurangnya presiden meminta pandanan daripada kawasan-kawasan dalam negeri berkenaan sebelum melantik pesuruhjaya.
Cadangan ini memang ada pro kontra, namun ketika dunia bersipongang dengan laungan demokratik, rasanya usul berkenaan adalah benar.
Bukan menafikan keupayaan presiden untuk melantik pesuruhjaya yang baik dan berwibawa, namun seperti kata orang Arab, “Penduduk Mekah lebih tahu mengenai lorong-lorong di sana.” Maksudnya, orang Selangor lebih tahu mengenai siapa yang lebih layak menjadi pesuruhjaya negeri mereka. Demikian juga dengan negeri-negeri yang lain.
LIMA – Ketika memandu ke pantai timur, sebuah stesen radio bukan RTM menjemput PM sebagai tetamunya. Stesen radio ini memang popular, cuma kurang ingat namanya. PM berkata, dia sangat gembira kerana dapat berkomunikasi dengan orang ramai melalui new media, media yang berpengaruh termasuk media atas talian.
PM ada laman laman facebook, twitter dan blog. Dia menjawab perkara yang dibangkitkan orang melalui facebook. Respon segera itu membuatkan orang ramai suka kepadanya. Mungkin ada orang cuba menafikan keberkesanan cara PM ini, namun percayalah jika dia tidak mampu menarik sepuluh orang, cukuplah jika dia berjaya menarik tiga daripada mereka.
Cuma, pemimpin PAS memang sehingga kini sangat ketinggalan dalam perkara ini. Paling mengejutkan, ada pemimpin PAS yang tidak tahu membuka ‘inbox’ SMS. Pemimpin biasa ke? Tidak, pemimpin kanan juga.
1 comment:
Hot FM
Post a Comment