Tuesday, August 16, 2011

Tugas Dakwah Diserah Kepada Pembesar Suara

Mufti bukan lagi individu tetapi adalah institusi. Sebab itu jarang benar mufti bersuara atas nama peribadi. Apabila mufti bersuara, itu adalah atas nama jawatankuasa yang dipengerusikannya. Di peringkat negeri, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh mufti bertanggungjawab kepada majlis agama Islam negeri.

Jika ada mufti yang bersuara atas nama dirinya sendiri, suaranya itu tidak punya implikasi kanun. Cuma suaranya itu tentu akan dimanipulasi oleh mana-mana pihak untuk kepentingan mereka. Contohnya, kenyataan mufti Perak suatu masa dahulu mengenai jumlah orang Islam yang murtad yang dimanipulasi oleh NGO dan pertubuhan politik untuk kepentingan kelompok masing-masing.

Sebab itu apabila mufti dipersoalkan, sebenarnya seseorang itu bukan mempersoalkan seorang tokoh ulamak tetapi mempersoalkan sekumpulan ulamak yang diberi mandat untuk membuat sebarang keputusan hukum mengenai sesuatu perkara.

Apabila mufti Pulau Pinang mengeluarkan arahan kepada semua masjid dan surau di Pulau Pinang supaya tidak menggunakan pembesar suara apabila membaca al-Quran khususnya sebelum masuk waktu subuh, ada NGO yang kononnya berjuang demi kepentingan Islam mempersoalkan keputusan itu.

Walau pun arahan itu adalah tepat dan benar, selari dengan kedudukan Islam sebagai rahmat untuk semua manusia tanpa mengira Muslim atau tidak, namun atas desakan ‘kejahilan’ diri sendiri, arahan itu dipertikaikan.

Tambahan pula, arahan itu dikeluarkan bukan atas keputusan individu tetapi keputusan jawatankuasa yang diiktiraf oleh sebuah badan yang bertanggungjawab terus kepada raja atau Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong iaitu majlis agama Islam negeri. Mempertikaikannya dikira mempertikai majlis agama Islam dan raja atau SPB Yang DiPertuan Agong.

Diyakini bahawa kumpulan ulamak yang membuat keputusan mengenai perkara itu lebih faham Islam dan hukum syarak daripada ketua NGO yang mempertikaikan keputusan itu. Ketua NGO itu dipercayai bukan sekadar jahil mengenai Islam tetapi kewibawaan peribadinya juga banyak dipersoalkan.

Layakkah orang yang peribadinya sendiri dipersoalkan oleh orang lain, tiba-tiba dia pula tampil mempersoalkan orang lain? Dan, yang dipersoalkan itu bukan seorang tetapi sekumpulan ulamak yang diberi mandat untuk memutuskan persoalan yang berkaitan dengan hukum agama.

Pihak berkuasa wajar memanggil dan ‘memberi amaran’ kepada ketua NGO itu sebuah lebih beradab sopan dan tahu bahasa apabila berhadapan dengan isu-isu yang berkaitan dengan persoalan hukum. Jangan pakai redah ikut sedap hati sahaja. Dan, kebelakangan ini nampaknya perangainya semakin menjadi-jadi.

Adakah Islam akan menjadi lebih tinggi dengan bacaan al-Quran berpembesar suara sebelum masuk waktu subuh? Rasanya Islam menjadi tinggi bukan dengan pembesar suara tetapi dengan akhlak para penganutnya, dengan wibawa para pendokongnya.

Adakah Islam akan menjadi tinggi dengan pendokong Islam seperti ketua NGO yang mempersoalkan keputusan mufti itu?

Tugas berdakwah dan menampilkan keindahan Islam sudah diserahkan kepada pembesar suara dalam keadaan orang Islam sendiri yang mendengar suara daripada pembesar suara itu tidak bangun menyahut suara dari pembesar suara itu. Bermaknakah bunyi suara bacaan al-Quran daripada pembesar suara itu?

Diriwayatkan, Rasulullah saw pernah ke rumah Saidina Ali bin Abi Talib dan puterinya mengejutkan mereka berdua supaya bangun bersolat malam. Baginda tidak membuat bising sehingga satu kampung terjaga daripada tidur.

Mengapa itu tidak diamalkan? Mengapa perlu bising-bising? Agaknya ketua NGO itu suka-suka bising-bising untuk mendapat liputan murahan sedangkan hasilnya tidak kemana pun.

1 comment:

suahati said...

Sepatutnya sesiapa yg nak bercakap dan menyuarakan sesuatu mengenai hukum hakam Islam perlu ada 'permit' dulu dari badan penguasa ugama sebagaimana seseorang itu perlu mendapat tauliah utk berceramah dim mesjid2 dan surau.

sekarang ini semua orang bebas bercakap dan bersuara mengenai hukum hakam ini,malah sesetengah2nya mempertikaikan pulak hukum2 islam yg sebenar tampa sebarang tindakan dikenakan.