Wednesday, May 12, 2010

Bawalah Politik Ke Masjid, Apa Maksudnya?

Otak saya keras berfikir maksud ungkapan ‘Bawalah Politik Ke Masjid’. (Baca sini). Tulisan ini bagus jika dibaca secara selari dan mendatar. Ideanya penulisnya adalah benar dan sahih. Saya tiada masalah menyokong idea itu dan mempertahankannya.

Namun, apa sebenarnya maksud membawa politik ke masjid? Adakah maksudnya menyebut PAS Umno dalam masjid? Atau, berkempen pilihanraya dalam masjid? Atau, adakan ceramah kempen parti politik dalam masjid? Atau, jadikan masjid sebagai pusat mengundi?

Nabi melarang mengumumkan barangan hilang dan berniaga di dalam masjid. Para ulama juga memakruhkan menjalankan perbicaraan di dalam masjid. Wanita ‘berbulan’ dilarang duduk lama di dalam masjid sekiranya itu mengotorkan masjid. Membaca al-Quran dengan lantang juga terlarang di dalam masjid.

Mengapa?

Mencemarkan masjid secara fizikal atau maknawi adalah terlarang, kerana semua perbuatan itu mengalihkan perhatian manusia daripada menjadikan masjid sebagai tempat tumpuan ibadah.

Bagaimana pula dengan membawa politik masuk ke dalam masjid?

Saya fikir, kalau maksud membawa politik ke dalam masjid itu maksudnya membawa masuk ‘ilmu politik’, tentu itu tiada pertikaian lagi. Itu sama sahaja dengan membawa masuk ilmu perniagaan, ilmu peperangan, ilmu membunuh orang (Qisas) dalam masjid.

Tetapi kalau berniaga di dalam masjid di larang, bolehkah berkempen parti politik dalam masjid?

Asas larangan berniaga di dalam masjid ialah, perniagaan membuka ruang pertikaian, perbalahan. Kalau berkempen parti politik di dalam masjid boleh menimbulkan pertikaian dan perbalahan, patutkah itu dibenarkan?

Kalau sekiranya menyebut PAS Umno dalam masjid boleh menimbulkan perbalahan, patutkah itu dibenarkan? Kalau berceramah kempen parti politik dalam masjid menimbulkan perbalahan dan pertiakaian, patutkah dibenarkan juga?

Di zaman nabi, ada orang Habsyah bermain pedang di dalam masjid baginda. Aishah menontonnya dengan dagunya diletakkan di atas bahu nabi. Tiada larangan daripada nabi.

Kalau bermain pedang dibenarkan, takkan ceramah kempen politik kepartian tidak dibenarkan pula? Berlatih pedang di dalam masjid memang bahaya tetapi itu tidak menimbulkan perbalahan. Itu hanya sekadar bermain.

Tetapi ceramah kempen politik dalam masjid menimbulkan perbalahan, pertikaian, patutkah dibenarkan? Atau, apa sahaja ceramah yang boleh menimbulkan perbalahan di dalam masjid patut dibenarkan?

Saya faham fungsi masjid di zaman nabi. Masjid adalah institusi ummah. Kalau di pasar kita berbalah, di ladang kira berbalah, di parlimen kita berbalah, kalau di masjid juga kita berbalah, dimana kita ingin berhenti berbalah?

Bagi saya, membawa masuk politik ke masjid bermaksud membawa masuk ‘ilmu politik’. Bukan kempen parti politik, ceramah parti politik, atau jadikan masjid tempat membuang undi.

Cuma malangnya ialah, bagi Umno membawa masuk ‘ilmu politik’ ke dalam masjid tak boleh, malah sebut perkataan politik pun tak boleh.

No comments: