Kalau kita ke nat, antara produk terlaris ialah produk kuat tenaga batin. Tertampal di tiang-tiang letrik di segenap tempat, iklan produk kuat tenaga batin. Kalau peniaga produk itu tidak nampak potensi perniagaan itu, tentulah dia tidak sanggup berbelanja untuk mengiklankannya.
Kalau kita ke kedai buku, antara majalah terlaris adalah majalah yang menampilkan gambar lelaki dan wanita separuh berpakaian. Ada majalah sebegitu yang namanya seperti nama buah, nama bintang dan banyak lagi. Kalau majalah sebegitu tidak laris, adakah penerbitnya sanggup berbelanja besar untuk menerbitkannya?
Isunya ialah, apa-apa sahaja yang berkaitan dengan syahwat kejantinaan, ia akan dieksploitasi untuk mendapatkan wang. Sebab itu wujudnya mainan, premis, profesyen dan bermacam-macam produk yang dikaitkan dengannya.
Maksudnya, isu remaja hamil luar nikah, bayi yang terbuang, isu sekolah untuk remaja hamil, adalah isu wang. Saya ulangi, semua itu adalah berkaitan dengan wang, wang dan wang.
Pada suatu masa, di Kangar ada sebuah lorong kecil gelap yang digelar oleh remaja dengan ‘Lorong Seringgit’. Mengapa? Di lorong itu, sesiapa yang sanggup membayar seringgit, dia akan dibenarkan mencium pipi remaja perempuan. Bayaran akan meningkat dengan peningkatan perkhidmatan.
Apa isunya, wang juga bukan? Apa pula kaitan antara hamil luar nikah, bayi terbuang atau remaja sekolah hamil dengan wang?
Secara normal, perkembangan syahwat kejantinaan manusia dipengaruhi oleh faktor apa yang dilihat, apa yang dibaca dan apa yang didengar.
Kalau remaja kita tidak melihat perkara yang membangkitkan ghairahnya, tidak mendengar dan tidak membacanya, tentu perkembangan syahwat kejantinaan itu akan berkembang dengan normal dan terkawal.
Tetapi, apabila mata dan telinga remaja dipersembahkan semua itu tanpa disipllin, secara liar dan bukan bersifat ilmu, maka syahwat kejantinaan juga akan berkembang tanpa disiplin, liar dan tanpa kawalan ilmu.
Akhirnya berlakulah apa yang berlaku sehingga mendorong seorang menteri bercadang untuk menubuhkan sekolah untuk remaja hamil?
Semasa di sekolah menengah dahulu saya belajar subjek fiqh dalam kelas bercampur jantina. Kami semua belajar mengenai haid, nifas dan kelahiran. Ungkapan berkaitan seks seperti jimak, mani, faraj, qubul dan dubur digunakan, tetapi tiada sesiapa pun yang teringin untuk mengambil kesempatan daripada apa yang dipelajari untuk melakukan eksperimen.
Mengapa itu tidak berlaku? Kerana itu semua dipersembahkan secara berdisiplin, secara terhormat dan dikawali ilmu. Paling penting, ia tiada unsur-unsur kepentingan wang di situ. Saya ulangi, tiada unsur kepentingan wang, wang dan wang.
Ok, bacalah pula majalah di tempat kita, tontonlah TV kita, tataplah akhbar kita, lihatlah produk pakaian untuk remaja kita, beliaklah mata untuk melihat iklan tayar di billboard kita, sorotilah iklan pencuci baju kita, jegil mata untuk tonton iklan syampu kita, perlukah wanita berseparuh pakaian tampil? Tetapi mengapa mereka ditampilkan? Kerana wang bukan?
Tonton pula pertandingan lumba motorsikal kita, lumba kereta kita, pertandingan bolasepak kita, mengapa mereka yang terdedah di segenap tempat itu ada? Kerana wang bukan?
Justeru, kalau sekolah untuk remaja hamil itu didirikan kerana wang, peraturan membenarkan kahwin awal kerana nak cari wang, memperkenalkan mata pelajaran seks di sekolah kerana wang; tunggulah, hasilnya adalah wang juga.
Masalah remaja kita, tetap begitu begitu juga. Kita dapat wang dan kita dapat juga manusia berwajah beruang.
1 comment:
bukan semua yang buang bayi tu pelajar sekolah. ada juga pekerja dan penganggur
kalau masalah judi haram boleh diselesaikan dengan lesen judi, maka buang bayi boleh diselesaikan dengan lesen membeli bayi
jadi dapatlah rakyat berzina dengan bebas. kalau mengandung, pi daftar dengan syarikat pembeli bayi dan terima wang pendahuluan. lepas bersalin di hospital, bayi akan diambil oleh keluarga angkat yang membeli bayi tersebut dan syarikat akan membayar kepada ibu tersebut
kerajaan juga yang untung sebab dapat cukai dan bil hospital kurang tertunggak kerana telah dibayar oleh syarikat, bukan oleh si ibu
bukankah dah ada datuk yang kena tangkap sebab jual bayi? dari mana dia dapat bayi tu kalau bukan bayi yang hendak dibuang? apa lagi, lesenkan saja. kalau judi haram dapat diselesaikan melalui lesen judi, maka sudah tentu lesen membeli bayi adalah penyelesaian kepada buang bayi
Post a Comment