Polemik jambatan Perlis – Langkawi buat masa ini agak panas seolah-olah jambatan itu akan mula dibina tahun hadapan. Saya fikir ada banyak tujuan tersirat di sebalik polemik ini.
Mungkin mengalih isu, menarik perhatian, menunjuk hebat atau mempromosikan syarikat, semuanya serba mungkin.
Dua buah syarikat bakal mengemukakan cadangan kepada kerajaan Perlis pada September ini. Saya percaya cadangan itu bakal diterima. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.
Mengapa cadangan ini hanya bakal dikemukakan kepada kerajaan Perlis? Kedah bagaimana? Bukankah Langkawi sebahagian daripada wilayah Kedah?
Bagi kerajaan Perlis, projek mega seperti ini perlu disambut pantas untuk membuktikan negeri ini juga mampu dan boleh.
Inilah masanya untuk kerajaan negeri canangkan kepada umum bahawa BN punya projek penting untuk rakyat menjelang PRU akan datang. Inilah juga modal ucapan MB Perlis dalam pembentangan bajet 2011 akan datang.
Sudahnya, pemimpin Umno akan katakan begini. “Untuk pastikan projek ini berjaya, tuan-tuan kena kekalkan BN. Kalau BN kalah, tak merasalah tuan-tuan memandu kereta ke Langkawi. Kalau PR menang projek ini akan dibatalkan.”
Soal jambatan itu akan jadi atau tidak, diperlukan rakyat atau tidak, mesra alam atau tidak, menepati keberkesanan kos atau tidak, itu semua tidak penting.
Apa yang penting ialah Umno punya modal besar untuk dicanangkan pada PRU akan datang. Ini bukan calang-calang projek. Ini projek mega. Ini bukan mega biasa tetapi ‘adi mega’.
Tidak mustahil sudah ramai pemimpin Umno Perlis yang mula pasang angan-angan menghirup kedinginan angin laut sambil memandu Proton Saga dari Perlis ke Pulau Langkawi. Mungkin ada yang berangan-angan untuk berbasikal juga.
Inilah gaya politik pemimpin Umno. Canang, canang dan canang.
Mana hasil Koridor Utara? Mana hasil projek pusat pengeluaran benih tanaman di Perlis? Sudah berapa ramai rakyat Perlis yang mendapat peluang pekerjaan daripada apa yang dicanang dan di ‘billboard’kan itu?
Jika anda berdiri tegak, setinggi itulah borang untuk memohon sebarang jawatan yang tersusun di syarikat tempat saya bertugas sekarang. Mengapa begitu?
Mana hasilnya puluhan MOU yang dibuat antara kerajaan negeri dengan puluhan syarikat dalam dan luar negara sebelum ini? Bukan bermula daripada MB yang ada pada hari ini malah MB sebelumnya pun.
Tentu orang akan berkata saya berfikiran negatif. Bagi saya jambatan Perlis – Langkawi adalah angan-angan Mat Jenin.
Kenapa saya berani berkata begitu? Ya, cadangan jambatan ini bukan baru malah pernah disuarakan dalam DUN Negeri Perlis hampir sepuluh tahun yang lalu.
Kalau ketika negara berekonomi kukuh pun jambatan ini tidak terlaksana, adakah akan terlaksana dalam keadaan ekonomi negara dalam nyawa-nyawa ikan sekarang?
----------------------------------------------------------------------------
Edisi Inggeris artikel ini baca sini.
2 comments:
Depa tengah rancang nak perabih duit rakyat....nilai projek nanti melebihi daripada sepatutnya.....kerana ada komisyen.....komisyen tak apa...bonus tak dak moral.....
Ustaz..
ini semua kes depa dah nampak gelap PRU-13 nanti, jadi apa boleh rembat, rembat sementara ada peluang.
Post a Comment