Saturday, August 14, 2010

PAS Perlis: Nak Kata Lagu Mana Lagi!

Entah siapa pula yang akan terpilih sebagai Pengerusi PKR Perlis selepas Johari Shafie. Berbanding apa yang berlaku di Selangor antara Azmin dan Khalid, perletakan jawatannya beberapa hari yang lalu tidak mengejutkan sangat, bahkan mungkin ada yang tidak tahu pun.

Mungkin ada ribut yang melanda, namun tidak ramai orang Perlis yang sempat mengenali Johari sebagai orang nombor satu parti itu. Ada yang hanya mendengar berita dia meletak jawatan sahaja tanpa mendengar berita mengenai perlantikannya.

Secara peribadi, jika wujud perkembangan kurang sihat dalam parti rakan ini, saya mengharapkan itu tidak berpanjangan. Sasaran untuk menawan Perlis pada PRU akan datang tentu terjejas dengan apa yang berlaku.

Entahlah, apa malangnya nasib rakyat negeri Perlis, tsunami politik yang melanda negara dalam PRU yang lalu tidak melimpah ke negeri ini. Pencapaian PR Perlis tidak sebaik pencapaian pada tahun 1999.

Dua kerusi yang dipegang PAS Perlis sekarang pun perlu diakui bukanlah selamat sangat melihat kepada majoriti yang diperolehi.

Dipercayai, jika diadun apa yang berlaku di dalam PKR sekarang dengan perkembangan yang berlaku di dalam PAS Perlis, jika ditakdirkan berlaku lagi tsunami politik kedua pada PRU akan datang, saya menjangkakan tsunami itu tetap tidak akan melimpah hingga ke Perlis.

PKR Perlis hanya wujud di peringkat pimpinan tertinggi negeri sahaja. Kekuatan parti itu tidak wujud sangat di peringkat akar umbi. Parti itu memang ada penyokong tetapi tiada petugas. Ringkasnya, mereka cuma ada jeneral tetapi tidak ada kapten dan sarjan.

PAS pula, adakah PAS Perlis selamat daripada masalah itu? Entahlah, tetapi cuba gambarkan apabila berlaku dua YDP PAS kawasan terpaksa menjadi pengarah MTD. Adakah tidak wujud kepimpinan DUN yang layak sehingga jawatan itu perlu dipegang oleh YDP kawasan?

Lebih mengejutkan, apabila mesyuarat penubuhan jentera di peringkat MTD yang dipengerusikan oleh YDP hanya dihadiri oleh tiga orang sahaja, sedangkan DUN berkenaan ada lapan cawangan PAS.

Kemana menghilangnya ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli jawatankuasa cawangan PAS di DUN berkenaan? Mereka tidak tahu mengenai mesyuarat itu atau mereka tahu tetapi tidak hadir? Mengapa?

Ada berita menyebutkan, ada kawasan di Perlis perlu melucutkan ahli jawatankuasanya seramai lima orang sekali gus kerana mereka tidak hadir mesyuarat melebihi bilangan yang ditetapkan dalam perlembagaan.

Itu berita yang sampai ke telinga saya. Harapan saya ialah mudah-mudahan berita mengenai perkara yang saya sebutkan itu adalah tidak benar. Tetapi, bagaimana kalau berita itu adalah benar?

PAS dan PKR Perlis perlu bertindak pantas menangani persoalan tadi. Roda politik berpusing sangat pantas dan dibimbangi, jika leka, kelajuan roda itu tidak terkejar lagi.

PKR dan PAS Perlis perlu menghentikan ‘politiking dalaman’. Fokus kepada harapan rakyat dan jangan menumpukan kepada kepentingan sendiri. Pimpinan tidak boleh berasa mereka berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja tanpa memikirkan kesannya kepada parti.

Dengan kesedaran bahawa apa yang dicatatkan ini mungkin tidak disenangi oleh sebahagian orang, usaha membaiki apa yang tidak lancar adalah lebih baik daripada melenting terhadap tulisan ini.

Inilah cuma medan yang saya miliki.

------------------------------------------------

Kampong Kubang Paya, Arau

14 Ogos 2010 - 12.33 am

5 comments:

Anonymous said...

pancung dan wili adalah istilah orang muda. pada saya, ia bermaksud angkat tayar depan motor atau gerek.

tak dak orang belajag pancung dulu dari belajag naik motor. sama seperti kita suruh umno bersatu, sebelum cakap soal perpaduan melayu

maka, PR perlis juga jangan bersama-sama PR malaysia nak menang pada PRU13. lupakan pasai nak menang tu. nanti dulu. jadikan target hari ini ialah mewujudkan cawangan di semua UPU di perlis, tak kisahlah parti apa, asalkan PR

cawangan-cawangan tersebut hendaklah dalam ertikata yang sebenar. janganlah sampai pengarah MTD tak kenai ketua cawangan dan bendahari cawangan tak kenai bendahari DUN

kemudian, bagi jawatan kepada orang yang tak mai mesyuarat. hadoi... berita yang sampai ke telinga saya ialah saya yang dilantik ke jawatan tersebut

jadi, sebelum jadi parti politik yang memenangi pilihanraya, jadilah parti politik terlebih dahulu

Anonymous said...

Biaq pi la kat depa. Lantaklah depa. Depa bukan tak bijak. Tengok macam Zul Nordin, jadi khalifah majlid dakwah, baca kyitab dan tahlil. tentu depa orang baik dan bijak.
azizi abdullah

Anonymous said...

"Itu berita yang sampai ke telinga saya. Harapan saya ialah mudah-mudahan berita mengenai perkara yang saya sebutkan itu adalah tidak benar. Tetapi, bagaimana kalau berita itu adalah benar?"

...saki baki abdullah bin ubai di Perlis

Anonymous said...

Saya antara yang berharap PR memerintah Perlis. Namun harapan saya saban hari semakin pudar pabila melihat budaya ampu mengampu, percaya kpd pemberita fasik sudah membiak dlm jamaah seperti PKR/PAS.

Paling menyayat hati, orang alim diperkotak katikkan. Hormat sudah tiada. Klu dulu... dialah hebat, dia 1 dlm sejuta,dia itu dan dia ini... kini..?dia tidak bermotivasi, dia semakin tua, ideanya tidak lg bernas.


-Bersama Ulama` yang ditindas.
Anak kampung,sokong Islam.

Anonymous said...

kah..kah...kah.. PR Perlis pun nak menang jugak ka? Ahli PAS dan PKR Perlis adakah lebih cerdik cerdik dan lebih rajin dari suku-sakat Shahidan?
Kalau boleh henoi dan rajin macam Shahidan, InsyaAllah PR Perlis boleh menang. Maslahnya ramai yang tak cerdik... sebab tu orang duk gelak saja kat depa di Perlis.... kah...kah...kah..