SATU - Satu masa dulu, mesyuarat Dewan Undangan Negeri Perlis diadakan pada bulan puasa. Salah seorang ahli dewan yang sedang berucap telah mengungkapkan suatu ungkapan yang salah. Speaker pantas menegur ucapan ahli itu dan membetulkannya.
Ahli itu menjawab kembali, “Maaf Tuan Speaker, puasa…”
Seorang ahli dewan yang lain bangun dan berkata, “Tuan Speaker, saya pohon ucapan itu ditarik balik. Ahli daripada … … … telah menyalahkan puasa dengan kesilapan yang dilakukannya. Ini boleh menimbulkan tanggapan yang tidak baik terhadap ibadah puasa lebih-lebih lagi di hadapan rakan-rakan non-Muslim.”
Lebih kurang begitulah apa yang berlaku pada masa itu. Apa moral cerita itu?
Ahli itu tidak berniat menimbulkan tanggapan tidak baik terhadap puasa. Mungkin itu gurauannya. Namun, gurauan sebegitu ada implikasinya tersendiri iaitu persepsi terhadap ibadah puasa.
Orang puasa sering lupa, melakukan kesilapan, lemah dan kurang daya ingatan, itu persepsinya. Tanggapan itu adalah salah tetapi itulah nilai tanggapan yang terkeluar daripada keterikatan dengan salah atau benar.
Puasa tidak boleh dijadikan pengalas terhadap kesilapan yang dilakukan. Kesilapan berlaku juga walau pun seseorang itu tidak berpuasa.
Cuma mungkin disebabkan seluruh tumpuan seseorang Muslim pada bulan Ramadhan adalah puasa, maka dalam keadaan terdesak seperti dalam mesyuarat penting seperti di atas, itulah alasan spontan yang terbit.
DUA – Saya mendapat sekeping kertas yang menawarkan hadiah pahala bacaan al-Quran kepada orang mati dengan bayaran tertentu. Kita bayar harga tertentu, pengajur program itu dengan rakan-rakannya membaca al-Quran dan pahalanya dihadiahkan kepada orang mati yang kita maksudkan.
Program sebegitu mendapat sambutan hangat. Jika dianjurkan untuk mencari dana untuk program membantu pelajar miskan, berbuka puasa dan sahur pelajar sekolah-sekolah agama rakyat, menyumbang untuk membeli keperluan pelajaran pelajar miskin, tentu itu tidak akan dipersoalkan sangat.
Namun, ada yang menganjurkan program sebegitu untuk kepentingan peribadi misalnya bertahlil di Mekah. Setelah terkumpul sekian banyak sumbangan, orang itu berangkat ke Mekah pada bulan Ramadhan dengan hasil kutipan itu.
Saya tidak melihat kedua-dua perkara yang dipaparkan di sini dari sudut hukum tetapi dari sudut kewajaran.
Wajarkah kesilapan kita dikaitkan dengan ibadah puasa? Wajarkah Ramadhan dijadikan sebagai batu loncatan untuk kepentingan peribadi?
Saya juga melihat kedua-dua perkara ini dari sudut rasional.
Dimana rasionalnya, kita yang silap puasa yang disalahkan? Dimanakah rasionalnya, sentimen orang ramai yang suka beramal sepanjang Ramadhan dijadikan umpan untuk kepentingan sendiri?
------------------------------------
Kampong Kubang Paya, Arau
10:31 am
1 comment:
ada pulak satu kawasan tu ketua penerangan depa letak jawatan...
Post a Comment