Thursday, October 18, 2012

Musa Hassan Tak Perlu Masuk PAS


Bagi orang baik, PAS adalah parti baik. Bila ada orang yang berhasrat untuk masuk PAS, kemahuan itu tidak wajar dipersoalkan apatah lagi dihalang. 

Orang baik kalau bersama dengan kumpulan baik, dia akan jadi makin baik. Kalau orang tidak baik pula bersama dengan kumpulan baik, dia akan jadi baik.

Sehari dua ini, dimana-mana sahaja orang bercakap Musa Hassan nak masuk PAS. Ada orang PAS yang seronok. “Tengok, bekas ketua polis nak masuk PAS… ketua JKKK tunggu apa lagi? Ketua PIBG takkan lebih besar daripada ketua polis?”

Ramai pula yang curiga. “Bekas KPN nak masuk PAS? Biar betul, ini mesti ada apa-apa…!” Pendek kata, orang PAS berbelah bahagi jika benarlah berita yang tersebar dia nak masuk PAS.

Semasa Hassan Ali nak masuk PAS dulu, semua orang mengalu-alukannya. Saya masih ingat, semasa Hassan berkunjung ke Perlis, kehadirannya ke majlis ceramah beliau luar biasa sekali. Semua orang suka dan seronok. Nama Hassan Ali dijaja dimana-mana.

Demikian halnya dengan Ibrahim Ali. Dia tak masuk PAS, tetapi kesediaannya untuk berceramah di pentas PAS menjadikan sebahagian besar orang PAS rasa teruja. Cara dia hentam Abdullah Ahmad Badawi ketika itu mengalahkan penceramah PAS. Pendek kata, mungkin pada waktu itu, kalau Ibrahim Ali nak masuk PAS, orang tak berapa persoalkan sangat seperti Musa Hassan.

Ringkas cakap, sesiapa sahaja yang nak masuk PAS, tak cukup tapak tangan nyiru ditadahkan.

Berlainan dengan Musa Hassan. Kalau benar dia nak masuk PAS, ramai sungguh orang yang bagi ‘signal’ supaya dia tidak diterima. Pada hal Musa anak orang baik, cuma mungkin dia sendiri tidak terkenal sebagai orang baik dalam kalangan orang PAS seperti Hassan Ali.

Rasanya Musa Hassan tak perlu masuk PAS sekurang-kurangnya buat masa ini. Dia perlu terlebih dahulu membuktikan secara sungguh-sungguh bahawa kalau dia masuk PAS, dia tidaklah seperti yang disangkakan oleh orang PAS. Soalannya ialah, bagaimana dia nak membuktikannya?

Kita tak boleh halang orang untuk buat baik tetapi sekiranya kebaikannya itu membawa natijah yang buruk kepada umum, walau pun natijah buruk itu belum pasti, elok kebaikan itu ditangguhkan sementara.

Kalau Musa Hassan masuk PAS, buat masa ini, orang tidak memandang tindakannya itu baik tetapi orang akan menuduh dia mempunyai agenda tersendiri. Tuduhan itu bukan sembrono tetapi berasaskan kepada pengalaman dan pengetahuan orang ramai mengenai sikapnya terhadap PAS sebelum ini.

Justeru, adalah lebih baik, jika benar Musa Hassan ingin masuk PAS, tangguhkan dulu hasratnya itu. Allah tidak mensesiakan niat baiknya, sekiranya dia memang berniat baik untuk masuk PAS. Buat baik dimana-mana sahaja dan bila-bila masa pun boleh. Kalau nak tolong PAS tak masuk PAS pun boleh…

No comments: