Saturday, October 13, 2012

Merungkai Makna Sebuah Pertemuan


SATU - Najib mengaku bahawa dia pernah berjumpa Soros di New York dua tahun lalu. Katanya, perjumpaan itu adalah atas permintaan Soros. Pertemuan itu sekadar pertemuan hormat dan tidak membincangkan isu-isu penting negara termasuk berkaitan pembiayaan kepada mana-mana kerajaan.

Soros mahu menghabiskan masa bersama Najib begitu sahaja? Kepala otak Soros adalah kepala otak duit. Mana ada orang berniaga duit dalam dunia ini yang otaknya tidak pernah berfikir mengenai duit. Kalau pertemuan dengan Najib tidak membawa pulangan duit, bagi saya Soros masih belum cukup cerdik untuk menjadi penyangak mata wang.

Najib pula adalah kepala negara. Mana ada seorang kepala negara yang kepalanya kosong daripada memikirkan soal negaranya? Kalau Najib jumpa Soros sekadar untuk minum kopi dan bertanya khabar, tiada perbincangan berkaitan negara, Najib belum cukup layak menjadi PM.

Mengapa Najib merahsiakan hasil tujuan dan hasil pertemuannya dengan Soros? Pemergiannya ke sana adalah atas biaya negara, maknanya biaya rakyat. Rakyat wajib tahu apa yang Najib borakkan dengan Soros.

DUA - Kenapa rakyat wajib tahu? Jawabnya, kerana segenap lapisan rakyat mengenali siapa Soros sekurang-kurangnya sebagai seorang penyangak. Kalau Najib jumpa Syeikh al-Qaradhawi, atau jumpa Syeikh Ali Jum’ah atau jumpa Sultan Brunei, rakyat tidak berapa terkilan sangat jika Najib merahsiakan isi pertemuan dengan mereka. Justeru rakyat tahu bahawa nama-nama tadi adalah orang baik. Tidak mungkin mereka sanggup berbincang perkara buruk dengan Najib dan Najib juga tak berani bercakap perkara buruk dengan mereka.

Media berusaha bersungguh-sungguh untuk memburukkan Anwar dan PR dengan mengaitkan kedua-duanya dengan Soros. Kalau Soros orang baik, mengapa burukkan Anwar dan PR guna Soros? Maknanya Soros orang jahat. Media Umno tidak pernah mempromosikan pertemuan Anwar dengan Syeikh al-Qaradhawi kerana beliau orang baik. Mengaitkan seseorang dengan orang baik akan membawa persepsi baik.

TIGA - Apabila Najib merahsiakan hasil pertemuannya dengan Soros maknanya ada benda tak baik yang dimunaqasyahkan. Mungkinkah seseorang yang berjumpa dengan penyangak secara rahsia membincangkan perkara baik? Dan, kalau berbincang perkara yang baik mengapa pula dirahsiakan?

Logik saya ialah, Soros orang jahat. Jumpa Najib dia secara senyap-senyap. Dia yang jemput Najib. Najib pula rahsiakan hasil pertemuan itu. Mantiknya ialah, mereka bincang perkara jahat. Orang yang bincang perkara jahat adalah orang jahat. Tidak salah kalau saya kata Najib adalah ‘orang jahat’.

Najib boleh membersihkan label jahat kerana bertemu Soros ialah dengan memaklumkan isi pertemuan itu. Tetapi itu menjadi sangat sukar kerana orang tetap tahu Soros orang jahat. Mungkin semua hasil perbincangan tidak jahat, tetapi tidak mustahil yang jahat lebih mendominasi berbanding yang baik. Dalam disko juga ada orang tolong orang dan tolong orang adalah baik. Tetapi menolong orang dalam disko sukar dilihat sebagai perkara baik. Demikian analogi pertemuan Najib - Soros.

EMPAT - Saiful Bukhari pernah bertemu Najib. Pertemuan itu telah menatijahkan kes Sodomi II. Orang tidak pernah membayangkan pertemuan Saiful - Najib adalah pertemuan untuk membincangkan perkara baik apabila melihat natijahnya. Kalau pertemuan itu adalah pertemuan baik, mengapa natijahnya buruk?

Usaha Saiful untuk menjustifikasikan pertemuannya dengan Najib sebagai baik telah gagal. Kenapa? Kerana orang kenal Najib dan Saiful. Mungkin Najib tidak sejahat Soros dan Saiful tidak sejahat Najib, tetapi kalau Najib merahsiakan pertemuannya dengan Soros maka demikian juga Saiful merahsiakan pertemuannya dengan Najib. Pertemuan rahsia sebegini adalah sukar untuk dijustifikasikan sebagai pertemuan baik.

Nasharuddin, bekas Tim Pres PAS juga berjumpa Najib dan ada gambarnya. Saya cuma ingin bermantik sahaja. Natijah pertemuan Saiful - Najib adalah kes Sodomi II. Maka, adakah kritikan Nasharuddin terhadap PAS kebelakangan ini dan sebelum ini juga adalah natijah pertemuan Nasha - Najib?

Saya sukar bersangka baik terhadap pertemuan Nasha - Najib sebagaimana sukarnya saya bersangka baik terhadap pertemuan Saiful - Najib dan Najib - Soros.
Kalau Najib kata, apa salahnya jumpa Soros? Nasha juga boleh kata, apa salahnya jumpa Najib?

1 comment:

Hati Muda said...

mihin linkkan blog saya di sini tuan. blog tuan sudah saya linkkan di blog saya http://wasukalu.blogspot.com/