Thursday, November 10, 2011

Jika Berhaji Mabrur

Ibadah haji bukan ibadah ritual tahunan. Menyingkap rahsianya, sesiapa sahaja akan memahami bahawa ibadah itu adalah penyumbang besar kepada kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan manusia sejagat. Bukan sekadar untuk mempamer kekuatan, tetapi lebih penting daripada itu ibadah haji menebarkan nikmat kebaikan Islam untuk dirasai oleh semua tanpa mengira agama, warna kulit dan bahasa.

Gambarkan kehebatan Islam menyatukan hati para penganutnya. Para hujjaj yang tidak pernah saling mengenali antara satu sama lain, apatah lagi saling bersama, namun mereka berjaya hidup bersama tanpa sebarang sengketa ketika mengerjakan ibadah haji. Hati, perasaan dan niat mereka hanya menumpu kepada satu, Allah Yang Satu.

Ya, penyatu hati jutaan manusia di tanah suci itu ialah Allah, bukan wang, pangkat, kepentingan atau kuasa. Terbukti sudah, wang memusnahkan perpaduan, pangkat meleraikan persaudaraan dan kepentingan mengkesampingkan kemanusiaan.

Mengapa jamaah haji boleh bersatu ketika mereka menyempurnakan ibadah itu? Jelas, kerana mereka hanya mempunyai tujuan yang satu iaitu mengabdi diri kepada Allah. Ada, memang ada mereka yang memijak kaki ke tanah suci itu bukan untuk berabdi kepada Allah, tetapi dengan tujuan-tujuan duniawi yang lain. Namun, dia akhirnya larut di tengah-tengah kesibukan jutaan manusia lain sehingga akhirnya kewujudan insan sepertinya tidak merosakkan kemurniaan ibadah yang agung itu dan mencemarkan tanah yang suci itu.

Dunia kini sedang merasai nikmat ibadah haji yang difardhukan oleh Allah itu. Nikmat keamanan dan nikmat persaudaraan. Tiada persengketaan yang tercetus walau pun jutaan umat Islam berhimpun kerana mereka berhimpun bukan untuk memercikkan api sengketa tetapi untuk menyuburkan nikmat hidup bersaudara.

Dunia seluruhnya tumpang merasai nikmat rezeki yang melimpah dengan ibadah ini. Gambarkan jika seorang jamaah haji membelanjakan RM10,000, berapakah pusingan wang berlaku sepanjang ibadah haji berlangsung? Samada peniaga, petani, pegawai, atau sesiapa sahaja, muslim atau bukan muslim, bukankah mereka semua tumpang merasai nikmat itu, secara langsung dan tidak langsung?

Setelah tamat menunaikan ibadah haji, para hujjaj akan pulang ke tanah air masing-masing. Mereka pulang seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya. Bersih, dalam situasi fitrah ibarat kain putih. Dia pulang ke tempatnya membawa jiwa yang dicanai dengan kecintaan kepada keamanan dan persaudaraan.

Gambarkan, jika sesebuah negara itu seramai 10,000 Muslim pulang daripada menunaikan haji setiap tahun, dia pulang dengan membawa keamanan yang akan disebarkan di negaranya. Untungnya negara berkenaan. Negara itu tidak perlu berbelanja untuk membentuk jiwa patriotik di dalam dada warganya, tetapi warganya sendiri menjadi patriotik dengan ibadah haji yang difardhukan oleh Tuhannya.

Ibadah haji, seperti ibadah-ibadah yang lain adalah proses memanusiakan manusia. Kehidupan manusia menjadi rosak kerana wujud sebahagian manusia yang menjadi perosak. Golongan perosak ini, samada golongan yang ingkar kepada Allah, golongan bertalam dua muka, golongan yang memakai wajah syaitan adalah manusia yang telah hilang kemanusiaan mereka.

Al-Quran menampilkan perumpamaan mengenai manusia jahat dan ingkar dengan binatang seperti dengan anjing atau seperti binatang ternak. Bahkan al-Quran juga menjelaskan ada syaitan daripada kalangan manusia. Mereka adalah manusia yang telah hilang kemanusiaannya.

Manusia yang hilang kemanusiaan, tidak hilang rupa sebagai manusia tetapi kehilangan watak, jati diri dan akhlak sebagai manusia. Ringkasnya, perangainya adalah perangai binatang walau pun rupanya adalah rupa manusia.

Manusia akan melakukan pelbagai kerosakan jika telah kehilangan jati diri kemanusiaannya. Justeru, ibadah haji yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga, perasaan dan paling penting wang ringgit adalah proses yang sangat tepat untuk memupuk serta menyuburkan kembali nilai-nilai keinsanan di dalam dirinya.

Mereka yang memperolehi haji yang mabrur kembali ke tempat asalnya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya. Bersih, suci, tulen, unggul, atau dengan istilah yang lebih tepat kembali kepada fitrah. Manusia yang mengatur kehidupan mereka di atas landasan fitrah sentiasa dinaungi kesejahteraan dan kemakmuran daripada Allah.

Memakai ihram, bertawaf, bersaei, berwukuf, mengumpul anak-anak batu, melontar jamrah, menyembelih binatang korban adalah ibadah yang berupaya mengikis habis sifat-sifat sombong, takabbur dan besar diri dalam jiwa seseorang.

Sifat-sifat itu adalah sifat-sifat syaitan. Apabila manusia menempatkan sifat-sifat sebegitu dalam dirinya, hilanglah sifat-sifat kemanusiaannya. Kehilangan itulah yang menyebabkan runtuhnya keamanan dan kesejahteraan dalam kehidupan. Runtuh keamanan, runtuhlah kemakmuran.

Ibdah haji adalah ibadah Islam. Ibadah haji adalah ibadah yang menyumbang kepada keamanan sejagat. Ibadah haji adalah ibadah yang menyumbang kepada kemakmuran.

Justeru, wajarkah manusia memilih selain daripada Islam?

Friday, September 2, 2011

Siapa Pejuang Kemerdekaan Sebenar?

Dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, gerakan nasionalisme Melayu terbahagi kepada aliran kiri dan aliran kanan. Aliran kiri dipelopori oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM), diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Muda (PKMM) dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS).

Aliran kanan pula dipelopori oleh persatuan Melayu negeri-negeri dan diteruskan oleh United Malays National Organisation (UMNO) dan berjaya mencapai kemerdekaan.

Perjuangan nasionalisme aliran kiri memang tidak berjaya mencapai matlamatnya. Gerakan nasionalis kiri terpinggir dan terkeluar dari arus perdana kerana tekanan penjajah dan hanya mendapat sokongan daripada golongan minoriti Melayu.

Namun satu kelompok kecil dari kalangan pemimpin gerakan nasionalis kiri Melayu telah memilih jalan lain untuk meneruskan perjuangan mereka.

Mereka menyertai perjuangan bersenjata mulai 1948 bersama Parti Komunis Malaya (PKM) setelah mendapati perjuangan secara damai tidak dapat diteruskan lagi.

Perjuangan mereka ini hanya berakhir dengan termeterainya perjanjian damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand pada 1989 di Haadyai.

(Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan, Prof Madya Dr Mohamed Salleh Lamry)

Monday, August 22, 2011

Antara Masuk Agama Lain Dan Ikut Agama Lain

Masuk Kristian dikira murtad. Jika masuk Kristian dengan tujuan memerangi Islam, maka pelakunya boleh dihukum bunuh. Jika tidak, maka hukumannya terpulang kepada pemerintah. Para ulama sepakat bahawa hukuman bunuh hendaklah dilaksanakan ke atas orang yang murtad dengan tujuan memerangi Islam.

Memang ada orang Islam Malaysia yang murtad. Kes sebegini banyak dikesan daripada mereka yang memeluk Islam tanpa kefahaman dan ilmu. Ada pun orang Islam semenjak lahir jarang didengar murtad walau tidak ternafi ia boleh dan pernah berlaku.

Di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand memang acap kali kedengaran kejadian murtad. Kebanyakan yang masuk Islam adalah golongan wanita kerana berkahwin dengan warga tempatan. Oleh kerana perkahwinan itu pula tertegak atas asas syok atau nafsu semata-mata, maka seperti kata pepatah, habis madu sepah dibuang.

Akhirnya, wanita yang terumbang-ambing tadi, tanpa tempat bergantung dan pembelaan kembali semula kepada agama asal. Kejadian sebegini bukan sekadar memangsakan wanita itu bahkan mencemarkan imej Islam dimata golongan bukan Islam.

Seperkara yang patut diberi perhatian ialah keupayaan agensi-agensi yang terlibat samada NGO atau agensi kerajaan untuk memastikan mereka yang memeluk Islam supaya kekal di dalam agama Islam dan mendapat pembelaan wajar adalah sangat terhad.

PERKIM misalnya, kedudukan kewangannya terhad. Begitu juga dengan kemudahan prasarana. Jabatan agama Islam negeri pula, pegawai yang menguruskan hal ehwal mereka yang baru memeluk Islam ini, bilangannya sangat kecil, begitu juga dengan peruntukan kewangan.

Sebab itu, sampai bila pun gejala murtad di kalangan mereka yang baru memeluk Islam sukar dibendung. Itu belum dikira lagi kes-kes yang melibatkan perebutan anak-anak selepas seseorang wanita tadi kembali kepada agama asalnya. Status agama anak itu, kewarganegaraannya dan banyak lagi isu-isu yang berbangkit yang menyumbang kepada pandangan serong masyarakat bukan Islam kepada Islam dan orang Islam.

Murtad memang bahaya, namun sesuatu yang tidak kurang bahayanya ialah seseorang yang tidak menukar agama tetapi cara hidup dan cara berfikirnya terkeluar daripada landasan agama. Namanya adalah nama Islam, hidup di tengah-tengah kelompok masyarakat Islam, namun dia terkeluar terus daripada lingkungan cara hidup Islam.

Orang seperti itu hanya mencari Islam ketika berkhatan, berkahwin dan kematian. Ketiga-tiga perkara itu dirujuk kepada Islam bukan kerana kepatuhan kepada Islam tetapi kerana sebab-sebab lain yang terkeluar daripada landasan agama.

Berkhatan semata-mata kerana faktor kesihatan, berkahwin kerana bimbang dipandang serong oleh masayarakat atau saudara-mara dan pada saat kematian pula tidak ada pilihan lain kecuali diuruskan dengan cara Islam oleh adik-beradik.

Fenomena ini sangat berbahaya. Jika memeluk agama lain secara terang-terangan dapat dikesan atau dihidu, tetapi mengikut agama lain ini agak sukar dikesan. Cara hidup bukan Islam mendekati orang ini sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga yang masih berbaki adalah nama sahaja.

Paling menyedihkan ialah apabila cara hidup dan berfikir bukan Islam ini kadang-kadang dipelopori sendiri oleh orang Islam atas nama kemodenan, kerencaman kehidupan, kebebasan, hak asasi dan macam-macam lagi.

Kadang-kadang, gaya hidup dan cara berfikir orang sebegini lebih berat daripada cara berfikir dan gaya hidup orang yang benar-benar telah murtad.

Justeru, penyelesaiannya dimana?