Tuesday, December 27, 2011

Saya Tidak Punya Apa-apa Untuk Merasa Kehilangan


Saya telah tiada apa-apa di sini ... untuk merasa kehilangan ...

di tanah air sendiri, tulang telah hancur berkecai ...

Penguasa hidup mewah dikelilingi oleh penjilat

sombong takbur ...

Dan orang-orang yang hidup kelaparan di tanah perkuburan ...

seolah-olah kebuluran telah biasa ...

nasib mereka telah ditetapkan oleh Allah ...

seolah-olah kelaparan untuk mereka selama-lamanya ...

sebagai satu syarat untuk menerima keampunan ...

***

Saya tiada punya apa-apa jua untuk menggigil ketakutan ... untuk merasa kehilangan ...

di tanah air yang telah dilingkungi pagar ...

Kami, kumpulan itu, telah melarikan diri dari singa dalam seluruh kehidupan kami!

Fakta-fakta yang merosakkan telah beku di dalam fikiran saya ...

Maruah diri saya?

Roti telah direbut dari tangan saya ...

Kesihatan saya ...?

Telah dibazirkan melalui kesengsaraan ...

Dan keagungan penguasa dalam kemewahan ...

Tongkat penguasa telah dihiasi dengan seribu berlian ...

Saya telah tiada apa-apa di dalam almari saya ... untuk merasa kehilangan ...

Bakat saya?

Telah dikuasai oleh pengaruh televisyen ...

Belia ... Separuh daripada kekuatan mereka adalah biasa ...

Dan separuh lagi ... dadah ...

Dan kemanusiaan saya ...

Telah diinjak oleh kenderaan berantai Sultan ...

Meraikan kekalahannya ...

Beliau telah memberitahu mereka kemenangan atas kekalahan ...

Dan jika saya mengucapkan satu ayat, saya akan memberitahu:

"Tidak perlu bersuara dengan suara pembohongan dan mustahil ..."!!

***

Saya telah tiada apa-apa di dalam perpustakaan saya ... untuk merasa kehilangan

Semua yang saya telah kumpul ...

telah dibakar di dalam musim sejuk ...

Apabila ia sukar untuk mencari alat pembakar ...

Dan dia yang mencuri kebebasan saya ... dan seketul roti ...

Mahu saya mengucapkan terima kasih kepada beliau ...!!

Saya memberitahu orang-orang bersenjata yang bodoh:

Maafkan saya ...

Beritahu Sultan rahsia kebodohannya ...

Jika dia hendak merungut, menangislah kepada bulan ...

Sejak undi palsu yang membawanya ke istana ...

Beritahu kebodohan Sultan secara terbuka ...

Tentu saya akan ditahan - walaupun tindakan itu sehina lubang dubur ...!!

***

Saya tiada punya apa-apa yang bernilai, untuk merasa kehilangan ...

Dalam tanah air yang telah dirampas kebahagiaan saya ...

Telah membuat anak-anak muda dipaksa menelan kurikulum yang dibangunkan dalam kemunduran ...

Mempunyai sejarah yang diputarbelit ...

Dan masa depan yang ia janjikan ...

telah menjadi sebagai pembunuhan beramai-ramai ...

Ia telah membenarkan pelacuran menyapu

Tiap-tiap rumah dan masjid ...

berikutan rancangan yang dianjurkan ...

Dan saya masih menentang kezaliman ...

Dengan pena bulu ayam ... dan bekas dakwat ... !!!!!

Kaherah

23 Ogos 2004

04:00

(Diterjemahkan oleh Sdr Aris Awang, dipetik di sini dan sini)

Monday, December 26, 2011

Bahagianya Bersahabat

Pagi-pagi lagi, seorang sahabat lama semasa bertugas dengan sebuah agensi kerajaan suatu masa lalu menelefon ajak pergi memancing. “Bestnya….” saya kata. Jawabnya, “Taklah best sangat sebab di tengah laut…”. Sayang, saya ada temujanji yang tak dapat dielak.

Saya bukanlah kaki pancing. Cuma sekali-sekala melayan kawan-kawan yang ajak makan angin di tengah laut. Hubungan persahabatan menjadikan saya sentiasa alah angin. Saya rela berkorban sedikit demi menjaga hubungan persahabatan, apatah lagi sahabat yang nostalgik.

Banyak kenangan bersama sahabat ini; kenangan tangkap orang berkhalwat, tangkap orang tak berpuasa termasuk masuk sebuah kasino di ibu kota ketika menjalani latihan sebagai pegawai penguatkuasa. Tidak dapat dilupakan, kenangan bahagian bot yang berhampiran dengan enjin terbakar semasa pulang dari memancing suatu ketika dulu. Semua kenangan itu adalah pengukuh ikatan persahabatan.

Bahagianya hidup apabila memiliki sahabat yang tahu menghargai sebuah persahabatan.

Thursday, November 10, 2011

Jika Berhaji Mabrur

Ibadah haji bukan ibadah ritual tahunan. Menyingkap rahsianya, sesiapa sahaja akan memahami bahawa ibadah itu adalah penyumbang besar kepada kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan manusia sejagat. Bukan sekadar untuk mempamer kekuatan, tetapi lebih penting daripada itu ibadah haji menebarkan nikmat kebaikan Islam untuk dirasai oleh semua tanpa mengira agama, warna kulit dan bahasa.

Gambarkan kehebatan Islam menyatukan hati para penganutnya. Para hujjaj yang tidak pernah saling mengenali antara satu sama lain, apatah lagi saling bersama, namun mereka berjaya hidup bersama tanpa sebarang sengketa ketika mengerjakan ibadah haji. Hati, perasaan dan niat mereka hanya menumpu kepada satu, Allah Yang Satu.

Ya, penyatu hati jutaan manusia di tanah suci itu ialah Allah, bukan wang, pangkat, kepentingan atau kuasa. Terbukti sudah, wang memusnahkan perpaduan, pangkat meleraikan persaudaraan dan kepentingan mengkesampingkan kemanusiaan.

Mengapa jamaah haji boleh bersatu ketika mereka menyempurnakan ibadah itu? Jelas, kerana mereka hanya mempunyai tujuan yang satu iaitu mengabdi diri kepada Allah. Ada, memang ada mereka yang memijak kaki ke tanah suci itu bukan untuk berabdi kepada Allah, tetapi dengan tujuan-tujuan duniawi yang lain. Namun, dia akhirnya larut di tengah-tengah kesibukan jutaan manusia lain sehingga akhirnya kewujudan insan sepertinya tidak merosakkan kemurniaan ibadah yang agung itu dan mencemarkan tanah yang suci itu.

Dunia kini sedang merasai nikmat ibadah haji yang difardhukan oleh Allah itu. Nikmat keamanan dan nikmat persaudaraan. Tiada persengketaan yang tercetus walau pun jutaan umat Islam berhimpun kerana mereka berhimpun bukan untuk memercikkan api sengketa tetapi untuk menyuburkan nikmat hidup bersaudara.

Dunia seluruhnya tumpang merasai nikmat rezeki yang melimpah dengan ibadah ini. Gambarkan jika seorang jamaah haji membelanjakan RM10,000, berapakah pusingan wang berlaku sepanjang ibadah haji berlangsung? Samada peniaga, petani, pegawai, atau sesiapa sahaja, muslim atau bukan muslim, bukankah mereka semua tumpang merasai nikmat itu, secara langsung dan tidak langsung?

Setelah tamat menunaikan ibadah haji, para hujjaj akan pulang ke tanah air masing-masing. Mereka pulang seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya. Bersih, dalam situasi fitrah ibarat kain putih. Dia pulang ke tempatnya membawa jiwa yang dicanai dengan kecintaan kepada keamanan dan persaudaraan.

Gambarkan, jika sesebuah negara itu seramai 10,000 Muslim pulang daripada menunaikan haji setiap tahun, dia pulang dengan membawa keamanan yang akan disebarkan di negaranya. Untungnya negara berkenaan. Negara itu tidak perlu berbelanja untuk membentuk jiwa patriotik di dalam dada warganya, tetapi warganya sendiri menjadi patriotik dengan ibadah haji yang difardhukan oleh Tuhannya.

Ibadah haji, seperti ibadah-ibadah yang lain adalah proses memanusiakan manusia. Kehidupan manusia menjadi rosak kerana wujud sebahagian manusia yang menjadi perosak. Golongan perosak ini, samada golongan yang ingkar kepada Allah, golongan bertalam dua muka, golongan yang memakai wajah syaitan adalah manusia yang telah hilang kemanusiaan mereka.

Al-Quran menampilkan perumpamaan mengenai manusia jahat dan ingkar dengan binatang seperti dengan anjing atau seperti binatang ternak. Bahkan al-Quran juga menjelaskan ada syaitan daripada kalangan manusia. Mereka adalah manusia yang telah hilang kemanusiaannya.

Manusia yang hilang kemanusiaan, tidak hilang rupa sebagai manusia tetapi kehilangan watak, jati diri dan akhlak sebagai manusia. Ringkasnya, perangainya adalah perangai binatang walau pun rupanya adalah rupa manusia.

Manusia akan melakukan pelbagai kerosakan jika telah kehilangan jati diri kemanusiaannya. Justeru, ibadah haji yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga, perasaan dan paling penting wang ringgit adalah proses yang sangat tepat untuk memupuk serta menyuburkan kembali nilai-nilai keinsanan di dalam dirinya.

Mereka yang memperolehi haji yang mabrur kembali ke tempat asalnya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya. Bersih, suci, tulen, unggul, atau dengan istilah yang lebih tepat kembali kepada fitrah. Manusia yang mengatur kehidupan mereka di atas landasan fitrah sentiasa dinaungi kesejahteraan dan kemakmuran daripada Allah.

Memakai ihram, bertawaf, bersaei, berwukuf, mengumpul anak-anak batu, melontar jamrah, menyembelih binatang korban adalah ibadah yang berupaya mengikis habis sifat-sifat sombong, takabbur dan besar diri dalam jiwa seseorang.

Sifat-sifat itu adalah sifat-sifat syaitan. Apabila manusia menempatkan sifat-sifat sebegitu dalam dirinya, hilanglah sifat-sifat kemanusiaannya. Kehilangan itulah yang menyebabkan runtuhnya keamanan dan kesejahteraan dalam kehidupan. Runtuh keamanan, runtuhlah kemakmuran.

Ibdah haji adalah ibadah Islam. Ibadah haji adalah ibadah yang menyumbang kepada keamanan sejagat. Ibadah haji adalah ibadah yang menyumbang kepada kemakmuran.

Justeru, wajarkah manusia memilih selain daripada Islam?