Wednesday, September 29, 2010

40 Atau 60 Atau Berapa Pun, Adakah Terlarang?

Tahniah kepada blogger yang menjawab tulisan ketua ulamak muda Umno secara ilmiah mengenai 40 tok guru pondok bakal berdoa di Mekah selama 40 hari dan 40 waktu. Isunya, royalti minyak Kelantan. Baca blog al-Bakistani.

Tulisan ulamak muda Umno itu dikira bagus. Penuh dengan maksud hadis dan pandangan para ulamak. Kalau ketua ulamak muda itu berhasrat untuk menujukan tulisannya kepada 40 tok guru pondok itu, rasanya mereka pun sudah tahu.

Bahkan rasanya mereka lebih dahulu tahu daripada ketua ulamak muda itu. Namun itu tidak bermakna tulisan ketua ulamak muda tidak berharga, ia tetap berharga dan bernilai. Memberitahu perkara yang orang telah tahu dipanggil ‘tazkirah’.

Angka 40 ada signifikannya. Dalam al-Quran ada disebut angka itu. Signifikan Mekah dengan doa usah dipersoalkan lagi. 40 tok guru itu pula mewakili rakyat Kelantan yang pada pandangan mereka di zalimi. Pendek kata, jika ulama muda itu ingin mempersoalkan signifikan doa dengan isu royalti minyak Kelantan, rasanya tersasar.

Selama mana sesuatu itu tidak terlarang, maka melakukannya tidak perlu dipersoalkan. Tiada larangan berdoa oleh 40 orang, 40 waktu dan 40 hari. Bahkan tiada larangan juga untuk 60 orang, 60 waktu atau 60 hari. Atau, berapa sahaja.

Justeru, mengapa bilangan orang, waktu dan hari yang dipersoalkan oleh ketua ulama muda Umno ini?

40 tok guru adalah rakyat Kelantan. Mereka berasa diri mereka dizalimi. Bagi mereka, orang yang menzalimi mereka ialah pemimpin Umno. Kalau mereka berdoa supaya ditentukan keputusan yang wajar ke atas pihak yang menzalimi mereka, itu hak mereka.

Menjadi kelaziman, orang yang menzalimi jarang merasai dia menzalimi orang lain. Firaun berasa tindakannya memotong secara bersilang kaki dan tangan ahli sihirnya yang beriman dengan Musa adalah betul. Dia berasa dirinya Tuhan. Mana mungkin Tuhan bersalah.

Apabila rakyat Kelantan berasa mereka dizalimi, mereka berhak berdoa supaya orang yang menzalimi mereka dihukum.

Kalau Umno berasa mereka tidak menzalimi rakyat Kelantan, mengapa mereka perlu takut dengan doa 40 tok guru itu? Mengapa pula ketua ulama muda Umno ini perlu mempersoalkan tindakan 40 tok guru itu?

Mereka tidak perlu mempersolkan tindakan 40 tok guru itu. Mereka perlu tampil menasihati pemimpin Umno untuk memulangkan hak kepada yang berhak.

Benar, kefahaman terhadap tafsiran undang-undang adalah berbeza. Tetapi apalah salahnya jika rakyat Kelantan diberikan apa yang mereka yakini sebagai hak mereka. Bukankah rakyat Kelantan juga adalah warga negara?

Kalau rakyat negeri lain juga berpendapat mereka juga berhak ke atas emas hitam itu, tunaikan juga. Itu adalah lebih baik daripada berkeras lengan untuk menunjukkan kuasa. Akibatnya, rakyat yang menanggung bahana.

Persoalannya ialah, berdasarkan pengalaman Kelantan semenjak 1990, bukan sekadar royalti minyak itu sahaja yang dinafikan, bahkan geran tahunan berdasarkan perlembagaan pun tidak dilunaskan secara sepatutnya.

Sudahkah ketua ulama muda Umno menasihati ketua mereka mengenai perkara ini? Atau, mungkin mereka menasihatinya secara senyap takut diketahui orang. Nanti riya’ pula. Mudah-mudahan…

Kata ketua ulamak muda Umno lagi, RM400 ribu sepatutnya dihabiskan untuk program ilmu dan bukan program sebegitu.

Cuba ketua ulamak muda Umno ini kira, berapa banyak wang dihabiskan untuk sambutan pelbagai hari, acara dan pesta di negara ini?

Dan, tentu ketua ulamak muda Umno ini tahu bahawa kita dibenarkan bersusah-payah untuk bermusafir untuk menuju ke tiga buah masjid agung kita di Mekah, Madinah dan Palestin.

Bagi saya, ketua ulamak muda ini sepatutnya menumpukan perhatian untuk terus menasihati pemimpin Umno secara senyap-senyap seperti yang disarankannya. Tak perlu heboh-heboh.

Tetapi ketua ulama muda Umno ini perlu sedar bahawa bangkitnya kesedaran rakyat juga kesedaran pemimpin Umno sendiri dalam beberapa hal adalah kerana teguran secara terang dan keras yang dibuat oleh rakyat. Hasilnya telah kelihatan dan turut dirasai ketua ulamak muda Umno sendiri.

Kami sedang menunggu hasil nasihat senyap-senyap ketua ulamak muda Umno ini.

---------------------------------------------------

Kampong Kubang Paya, Arau - 10.31 pm

1 comment:

Anonymous said...

saya tak nampak pun jasa ulamak muda umno tegur pemimpin umno. mungkin mereka tegur senyap-senyap, tak heboh dalam media

tapi, kenapa tegur pas dalam media? 2 keanehan iaitu : (1) ulamak muda umno masuk umno untuk baiki umno, bukannya pas. kalau nak baiki pas, jadilah ulamak muda pas. dalam pas belum wujud lagi cabang ulamak muda. (2) kenapa tegur dalam media, tak boleh ke tegur senyap-senyap? kalau nak tegur pas dalam mediapun, jangan la guna nama ulamak muda umno. perbuatan tersebut membusukkan nama ulamak muda umno. menjadikan ia kelihatan sebagai ulamak muda umno adalah alat umno untuk hentam pas. semua elemen umno akan hentam pas, itu adalah normal. tetapi masyarakat sedang mengharap agar ulamak muda umno adalah elemen yang berbeza