Thursday, September 2, 2010

Khutbah Jumaat: Perlukah Khatib Jemputan?

Majlis Agama Islam Pulau Pinang tentu ada hujah tersendiri terhadap tindakan tidak membenarkan masjid-masjid di negeri itu mengambil khatib jemputan untuk khutbah Jumaat. Ada pro dan kontra.

Suatu ketika dulu, saya diberitahu oleh seseorang. Katanya, “Ustaz, bila berkhutbah di masjid ini kena ‘keras’ sikit sebab kalau tak ‘keras’, orang tak suka.”

Mungkin ‘keras’ maksudnya adalah ‘pedas’. Saya tahu masjid itu kerap menjemput khatib ‘pedas’ yang saya kenali.

Saya pun berusaha ‘memedaskan’ khutbah saya. Saya sendiri terasa sudah pun cukup ‘pedas’ dengan khutbah pada hari itu. Namun selepas itu, saya diberitahu bahawa khutbah saya belum cukup ‘pedas’. Saya pun tidak dijemput berkhutbah lagi di masjid itu.

Ungkapan ‘orang tidak suka’ juga kurang jelas. Siapakah ‘orang’ itu? Saya fikir ‘orang’ itu ialah pihak yang bertanggungjawab menguruskan khatib jemputan.

Adakah selera pengurus khatib jemputan mewakili keseluruhan jamaah di masjid itu? Saya fikir tidak. Saya yakin, walau pun ada khatib yang tidak mampu berkhutbah dengan ‘pedas’, tentu ada jamaah yang suka khutbah sebegitu.

Maksudnya, khutbah yang memberi ilmu dan kesedaran, bukan sekadar khutbah yang penuh dengan emosi dan serangan.

Khutbah Jumaat bukan macam ceramah politik. Khutbah ada disiplin dan etikanya kerana ia adalah ganti kepada dua rakaat solat Zohor. Justeru, khutbah tidak boleh sebarangan.

Bagi saya khutbah tidak perlu sangat berdegar-degar, menhentak-hentak tongkat apatah lagi menjerkah-jerkah.

Khutbah hendaklah disampaikan dengan harmoni dan berfakta. Setiap fakta pula hendaklah dikaitkan dengan ayat al-Quran atau hadis. Sebab itulah, di dalam khutbah diwajibkan membaca ayat-ayat al-Quran.

Kaedah menyampaikan khutbah perlu sesuai dengan suasana semasa. Betul, nabi berkhutbah sehingga merah muka baginda seperti seorang panglima tentera sedang mengarahkan tenteranya. Sunnah ini perlu dijunjung.

Namun, khutbah pada hari ini menggunakan sistem pembesar suara yang baik. Setiap orang mampu mendengar apa yang disampaikan walau pun tidak dengan suara yang tinggi.

Justeru, perlukah suara khatib ditinggikan? Untuk apa ditinggikan suara lebih dari sepatutnya? Ingin memarahi mereka yang hadir solat Jumaat? Atau, untuk apa?

Justeru, bagi saya khutbah hendaklah disampaikan dengan suara yang jelas, fakta yang padat, semasa, bersandarkan al-Quran dan hadis dan tidak merapu-rapu.

Biarlah jamaah terasa nyaman dengan suara khutbah yang memasuki telinganya bukan merasa seperti dirinya ditengking oleh khatib.

Lebih malang lagi apabila ada khatib yang berkhutbah entah apa-apa. Maksudnya memperbodohkan jemaah dengan isi khutbah dan gayanya.

Khutbah adalah medan dakwah yang sangat berkesan. Khutbah bukan bertujuan menimbulkan masalah tetapi merungkai masalah.

Khutbah bertujuan menyedarkan, memudahkan, menyamankan, mendamaikan, bukan meliarkan, menyusahkan, memanaskan dan menyeterukan.

Saya menyokong tindakan MAIPP dengan syarat khatib di masjid-masjid Pulau Pinang dilatih dengan baik. Kalau sudah tidak mampu dibaiki prestasi khutbahnya, gantikan sahaja dengan orang lain yang lebih berwibawa.

Paling penting, khatib hendaklah seseorang yang berilmu, yakni menguasai al-Quran dan hadis selayaknya. Bukan sekadar hanya pandai berpidato tetapi kosong dada.

Tentu masalah khatib jemputan tidak akan timbul lagi.

------------------------------------------------------------------

Kampong Kubang Paya, Arau - 12.38 pagi

1 comment:

NIZAM MAT SAARI said...

Saya sangat setuju pandangan Tuan tentang khutbah Jumaat ini. Syabas. Saya hendak kongsi di blog saya. Terima kasih.