Kalau perkara ini diumumkan di dalam mana-mana perhimpunan, saya yakin orang akan bertepuk dengan gemuruh sekali. Masakan tidak, dalam usia seperti kini, PKR telah punya ahli seramai 385 ribu orang.
Komposisi ahlinya pula menggambarkan komposisi masyarakat negara ini. Mewakili pelbagai ras dan kepercayaan. Kalau saya turut berada di dalam majlis itu, saya pun akan bertepuk sama.
PAS sudah berusia 50 tahun lebih, ahlinya baru menghampiri angka sejuta. Ahli Umno usah ditanya lagi. Gambarannya ialah, di Perlis ada cawangan Umno yang ahlinya semua berbangsa Siam. Umno parti Melayu tetapi ahlinya adalah Siam.
Saya tidak berhasrat mempersoalkan apa-apa mengenai keahlian PKR. Bagi saya, makin banyak makin bagus. Parti itu sahabat PAS. Kuat parti itu, kuatlah PAS.
Kalau dicampur keahlian PAS dan PKR, ditambah keahlian DAP, tentu angka itu sudah mampu menyaingi keahlian Umno.
Persaingan sedang berlaku dengan hebat kini untuk parti-parti dalam PR menyaingi keahlian keseluruhan parti-parti komponen BN.
Ada isu yang lebih besar dari sekadar angka iaitu kualiti. Mengapa Umno tewas sedangkan ahlinya ramai? Tentulah jawapannya tidak berkualiti.
Umat Islam seperti dinyatakan oleh Nabi kita adalah ramai - kuantiti. Namun mereka terdedah untuk diratah oleh musuh mereka seperti orang pelahap meratah hidangan kerana ketandusan nilai - kualiti.
Mereka hilang ‘Kua’ walau pun memiliki ‘Kuan’. Puncanya kerana mereka berpenyakit ‘Sadu Tama – Sayang Dunia, Takut Mati’.
PAS ada usrah, ada tamrin, ada ijtimak dan menjunjung kepimpinan ulama. Dalam PAS ramai ustaz dan ustazah. Ada orang yang tidak sanggup masuk PAS kerana merasa dirinya kurang layak.
PAS ada Dewan Himpunan Penyokong PAS. Mereka bukan Islam namun diyakini mereka yang menyertai dewan itu sedar mengenai PAS sebagai sebuah parti yang sangat mementingkan ‘Kua’. Mereka yang merasa dirinya tidak punya ‘Kua’ tidak bersedia bersama dewan itu.
Saya tidak bermaksud mempersoalkan ‘Kua’ ahli PKR, tetapi sekadar menyebutkan bahawa ‘Kuan’ tanpa ‘Kua’ adalah tidak bermakna.
Benar, dalam pilihanraya yang berkuasa adalah ‘Kuan’ dan bukan ‘Kua’. Undi seorang Tok Guru dengan undi seorang Mat Gian dikira satu.
Namun, satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah, pilihanraya hanya berlaku lima tahun sekali. Lima tahun sekali ‘Kuan’ diambil kira tetapi empat tahun selebihnya, yang berharga ialah ‘Kua’. Tanpa ‘Kua’, berduyun-duyunlah timbul dan masuk Umno macam ikan temekung timbul pada musim hujan.
Ikan temekung, kalau sudah timbul (orang utara panggil ‘ikan curus’), tidak perlu lagi dijala, dikail atau ditangkul, campak kain pelekat pun, penuh kain pelikat dengan ikan tersebut.
Namun ikan temekong jarang ditangkap, bahkan kalau lekat di jala atau tangkul pun dibuang. Mulut pemilik jala dan tangkul mengomel marahkan ikan temekung melekat di jala atau tangkulnya.
Mengapa orang marahkan ikan temekung? Bukankah ia juga ikan? Tentu jawabnya ialah, ikan temekung adalah ikan tanpa ‘Kua’.
Justeru, PKR perlu memberi perhatian terhadap kualiti ahlinya. Mengapa perkara ini saya bangkitkan? Untuk memburuk atau menjatuhkan? Tidak sama sekali.
Saya bergaul dengan rakyat di peringkat bawah, orang sebut grass root – akar umbi. Saya tidak suka menyebutkan di sini apa yang mereka cakapkan mengenai ahli PKR. Cukuplah saya katakan bahawa, apa yang mereka cakapkan itu menggambarkan ahli PKR tidak punya ‘Kua’.
Adakah saya suka ahli PKR tidak punya ‘Kua’? Saya katakan, seperti mana saya bimbang ahli PAS kehilangan ‘Kua’, saya juga tidak suka ahli PKR tidak punya ‘Kua’.
Saya yakin, bekas-bekas pimpinan ABIM yang bersama dengan PKR termasuk sekian banyak cendikiawan yang bersama parti itu akan terus memastikan ahli PKR seramai 385 ribu orang itu punya ‘Kua’.
----------------------------------------
Kampong Kubang Paya, Arau - 8.34 pm
No comments:
Post a Comment