Sunday, September 19, 2010

Umno, Mat Gian Dan Binatang Itu

Pemimpin Umno mengaku parti itu parti Melayu. Laungannya pun ‘Hidup Melayu’. Dalam Umno tidak ada Cina atau India. Kalau ada orang Siam yang masuk Umno, mereka pun sudah mengaku jadi Melayu.

Pemimpin Umno marah kalau dikatakan tidak berjuang Melayu. Kalau mereka bercakap mengenai agama pun, cakap itu adalah dalam konteks perlembagaan, Melayu adalah Islam.

Malah kalau orang Cina yang sokong Umno pun, dia turut berjuang Melayu lebih dari Melayu Umno perjuangkan Melayu. Pendek kata Melayu dan Umno, bagi pemimpin Umno memang tidak terpisah.

Itu pengakuan pemimpin Umno. Sama ada pengakuan itu benar atau tidak, semua orang berhak persoalkan. Rasanya, orang yang mempersoalkan perjuangan Melayu Umno lebih ramai daripada orang yang percaya Umno memperjuangkan Melayu.

Tapi kini, nampaknya Umno sudah mula cuba berenggang dengan Melayu. Kalau boleh pemimpin parti itu tidak mahu lagi dikenali sebagai pejuang Melayu.

Pemimpin parti itu mahu Umno dikenali sebagai bukan lagi parti Melayu. Untuk itu, kini laungan ‘Hidup Melayu’ tidak lagi kedengaran. Orang Siam yang masuk Umno pun tidak perlu lagi mengaku sebagai Melayu bahkan perlu tonjolkan kesiaman mereka secara nyata.

Umno cuba mengikis wajah Melayu daripada parti itu. Umno sanggup berkelahi dengan Perkasa untuk membuktikan bahawa parti itu bukan parti ‘pure’ Melayu. Bahkan Umno rela putus hubungan dengan Perkasa yang konon-kononnya ‘ultra Melayu’ itu.

Lebih jauh lagi Umno sanggup berkelahi dengan Tun M untuk membuktikan parti itu bukan parti Melayu tulen apabila Tun M menyokong Perkasa.

Mengapa jadi begitu? Umno sudah berubah atau Umno sudah nyanyuk? Atau, Umno adalah parti ultra pragmatis?

Semua orang tahu, itu berlaku kepada Umno kerana parti itu ketagihkan sokongan bukan Melayu. Ketagih Umno ini bukan lagi macam buruh kontrak ketagihkan daun ketum, tetapi sudah sampai ke tahap Mat Gian ketagihkan heroin.

Mat Gian ini sanggup curi gelang emaknya, jual motosikal ayahnya, curi sekerap jirannya bahkan sanggup curi besi longkang untuk dijual walau pun ketika harga besi buruk jatuh merudum. Asal dapat duit untuk melepaskan gian.

Umno pula, sanggup buat apa sahaja asalkan orang bukan Melayu menyokongnya seperti dulu-dulu. Umno giankan sokongan bukan Melayu.

Buktinya nyata. Baca kenyataan Ahmad Maslan. Sekali baca, sebahagian orang Umno sendiri pun tidak percaya kenyataan itu keluar daripada mulut Ketua Penerangan Umno.

Sikap Ahmad Maslan mungkin betul. Namun itu belum tentu mampu menarik orang bukan Melayu untuk bersama Umno.

Pemimpin Umno ibarat binatang itu dengan bayang-bayang. Mereka sayangkan tulang Melayu yang sedang digonggong. Dalam masa yang sama, bayang-bayang tulang Melayu itu disangka tulang bukan Melayu.

Binatang itu akan terlepas kedua-duanya. Ia terlepas tulang Melayu yang digonggongnya dan tidak dapat tulang bukan Melayu yang diidamkannya.

Bukan Melayu tidak akan menyokongnya kerana bagi mereka Umno tetap parti asabiyah Melayu. Orang Melayu juga tidak akan menyokong Umno kerana bagi mereka Umno bukan lagi parti Melayu.

-----------------------------------------------------

Kampong Kubang Paya, Arau – 12.13 pm



No comments: