Malam tadi saya hadir ke rumah terbuka PAS Kawasan Padang Besar. Sambutannya baik. Saya bersyukur dapat berjumpa dengan ramai kawan yang agak lama tidak berjumpa.
Selepas tidak lagi berjawatan dalam semua peringkat organisasi parti, berjumpa dan dapat berbual dengan mereka adalah nikmat yang tidak terbeli.
Tidak ketinggalan, saya turut berjumpa dengan bekas calon KeADILan untuk PRU pada tahun 1999. “Saya nak bertanding di Titi Tinggi,” katanya. Saya diam sambil tangan mengisi buah tembikai ke dalam pinggan.
“Dia ni bila nak pilihanraya baru timbul,” sambut rakannya yang seorang lagi. Saya tidak menyampuk. Saya tahu saya tidak punya autoriti untuk bercakap soal siap patut bertanding di sini atau di situ.
Saya punya maklumat mengenai bilangan kerusi DUN yang bakal ditandingi oleh PAS Perlis, DAP dan PKR. Nama-nama mereka yang bakal menjadi calon juga saya tahu. Kerusi-kerusi yang belum ada penentuan calon juga saya tahu.
Macam mana saya tahu, sama ada apa yang saya tahu itu benar atau tidak, saya fikir itu tidak penting. Paling penting, dalam suasana kini, calon-calon mestilah berwibawa.
Apa maksud berwibawa? Ya, dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat sama ada orang PAS atau bukan sebagai pemimpin mereka. Berakhlak, berilmu, bijak mengurus, cekap, pintar, pantas, berpandangan jauh, berpengaruh, dihormati dan paling penting tidak meminta.
Maksudnya, jangan berikan kepada yang meminta. Adakah sesiapa yang meminta? Saya katakan, ada. Orang itu mungkin tidak memintanya secara verbal, tetapi tindak-tanduknya menunjukkan bahawa dia sedang membodek orang atas untuk mendapat kerusi.
Jika dia memintanya secara verbal, orang itu awal-awal lagi patut disisihkan namanya daripada senarai bakal calon. Apatah lagi jika dia bertindak menjatuhkan orang lain untuk membolehkannya mengisi kekosongan itu.
Nabi Yusuf meminta. Baginda betul dalam tindakannya kerana baginda seorang nabi. Baginda tahu kebolehan dirinya dan kesan kepada umum jika jawatan itu tidak diminta atau diserahkan kepada orang lain.
Jika ada orang lain yang sehebat baginda, maka orang itu dikira layak meminta. Bagi saya, orang yang saya jumpa malam tadi dan berkata ingin bertanding di tempat sekian-sekian patut disisihkan sahaja.
Orang yang saya jumpa malam tadi dan meminta untuk bertanding di kerusi sekian-sekian adalah orang PKR.
Orang PAS macam mana? Ada ke yang meminta-minta? Jawabnya, ada…! Kalau ada, saya katakan, sisihkan saja nama dia.
-----------------------------------
Kampong Kubang Paya, Arau - 7.48 am
No comments:
Post a Comment